Isnin, 5 September 2011

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Tenang di Red Kebaya

Posted:

Tenang di Red Kebaya

Tenang di Red Kebaya

Oleh MERAN ABU BAKAR
Gambar WAHIDAH ZAINAL


Norain Zainal bersama dua kakitangan Spa Red Kebaya.


MUNGKIN mendapat ilham daripada filem Red Kebaya, Norain Zainal, 27 tahun, terus mengambil nama ini bagi menamakan spa miliknya yang baru dibuka Februari tahun ini.

Memilih lokasi di Bukit Antarabangsa, Norain berkata, walaupun lokasi itu agak jauh dari ibu kota, namun kedudukan yang eksklusif ini memberikan ketenangan kepada pengunjung.

Katanya, kebiasaannya mereka yang datang ke spa kerana inginkan ketenangan dan jauh daripada kebisingan dan kesibukan.

Lokasi ini juga memudahkan pelanggan yang datang dari semua arah kerana mereka boleh melalui lebuh raya Lingkaran Tengah.

''Pelanggan tidak perlu melalui jalan yang sesak dan mereka boleh meletak kereta dengan mudah di sini,'' tambahnya yang ditemui di Spa Red Kebaya baru-baru ini.

Menurut ibu kepada dua orang anak perempuan ini, Spa Red Kebaya adalah lebih bercirikan kecantikan dan kesihatan.

''Kebiasaannya hanya wanita yang berumur 30 tahun ke atas yang mula peka dan mengambil berat akan kecantikan wajah dan badan. Sementara yang muda malas dan mengambil remeh akan hal ini.

''Di Spa Red Kebaya, kami menerima pelanggan dari semua peringkat usia. Banyak jenis rawatan yang boleh dipilih, iaitu daripada rawatan muka hingga ke rawatan badan,'' ujarnya.

Tambahnya, antara rawatan yang popular di spa itu ialah program pelangsingan Marissa Scientific yang diformulakan oleh pakar estetika Dr. Rushmini Maris Ismail. Program itu amat berkesan untuk melangsingkan tubuh yang berisi.

Tempoh rawatan mengambil masa tiga bulan dan sempena Hari Raya Aidilfitri ini, pelanggan mendapat tawaran istimewa pada harga RM4,788..

Program itu akan memudakan metabolisma yang ada pada seseorang dan hasilnya pelanggan tidak akan berasa letih dan lesu.

Menurutnya, sempena raya juga beliau menyediakan rawatan peremajaan bagi menegang, mencerah dan merawat sel kulit muka.

Pelanggan yang membeli produk Rejuvenist di Spa Red Kebaya akan mendapat harga promosi untuk facial pada harga RM158 sahaja.

Antara cara rawatan yang diberikan ialah membersihkan muka, skrub, wap, mengeluarkan noda hitam dan putih dan meratakan serum ke seluruh wajah.

Rawatan ini amat sesuai kepada mereka yang berusia 23 tahun ke atas dan mengalami masalah kulit kering.

Jelas Norain, selain mendapatkan rawatan di spa, pelanggan boleh membeli serum rejuvenist ini untuk kegunaan di rumah.

Ia merupakan cara semulajadi bagi memiliki wajah yang lembap, anjal, cerah, muda dan cantik berseri.

Mempunyai enam bilik rawatan, empat untuk muka dan tiga untuk badan, Spa Red Kebaya turut menyediakan spa ikan dengan bayaran sebanyak RM15 untuk 20 minit.

Norain boleh dihubungi di 016-3350352.

Elak pembaziran di rumah terbuka

Posted:

Elak pembaziran di rumah terbuka

Elak pembaziran di rumah terbuka

Oleh SHOLINA OSMAN


Mengadakan rumah terbuka memerlukan belanja besar dalam menyediakan makanan. - Gambar hiasan


SEJAK berzaman budaya kunjung-mengunjung sudah menjadi amalan dalam masyarakat Melayu untuk memeriahkan sambutan hari raya sepanjang bulan Syawal.

Ini bertepatan dengan konsep rumah terbuka yang sudah lama menjadi tradisi di mana tuan rumah akan menerima kunjungan tetamu tanpa batasan masa dan waktu.

Sekalipun tuan rumah akan menyediakan juadah dan duit raya untuk kanak-kanak tetapi amalan ini sebenarnya lebih kepada ruang yang digunakan untuk saling bermaafan bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim.

Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini budaya rumah terbuka semakin mengambil-alih amalan tradisi ini.

Kini ia bukan sahaja menjadi trend kepada masyarakat di kota malah semakin menular di bandar-bandar kecil khususnya kepada mereka yang mendiami taman-taman perumahan.

Konsep rumah terbuka berbeza dengan amalan kunjung-mengunjung secara tradisi kerana ia lebih kepada mengadakan jamuan besar seperti kenduri di mana tetamu terhad kepada jemputan sahaja.

Juadah yang dihidangkan juga lebih menyerupai lauk-pauk kenduri termasuk makanan tradisi hari raya iaitu ketupat, rendang, lontong dan sebagainya.

Apa yang pasti konsep rumah terbuka ini memerlukan perbelanjaan yang lebih besar berbanding amalan tradisi lebih-lebih lagi dengan keadaan ekonomi negara sekarang.

Harga barang yang semakin naik sekali gus akan meningkatkan lagi perbelanjaan terutama kepada yang mula merancang untuk menganjurkan rumah terbuka pada musim Syawal ini.

Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) juga menggalakkan rakyat di negara ini supaya kembali mengamalkan rumah terbuka secara tradisi.

''Rumah terbuka secara tradisi ini walaupun berlangsung selama sebulan tetapi tuan rumah tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan besar memandangkan kunjungan tetamu hanya untuk saling bermaafan dengan disediakan dengan sedikit hidangan ringan,'' kata Pengarah Komunikasinya, Mohd. Yusof Abdul Rahman baru-baru ini.

Tambahan pula katanya, tetamu yang datang biasanya tidak akan mengambil masa lama ketika bertandang memandangkan akan berkunjung ke rumah orang lain pula.

Selain itu katanya, rumah terbuka secara tradisi ini juga lebih menjimatkan perbelanjaan.

''Ini kerana kunjungan tetamu biasanya bukan untuk makan sahaja tetapi lebih ke arah untuk mengeratkan hubungan silaturrahim,'' katanya.

Berbanding dengan majlis rumah terbuka yang menjadi trend masa kini kata Mohd. Yusof, pastinya tuan rumah tidak dapat mengelak daripada mengeluarkan perbelanjaan yang besar.

''Tambahan pula sekarang sudah ada yang mengedarkan kad jemputan seperti kenduri kahwin serta mengupah katering untuk menyediakan juadah kepada tetamu,'' katanya.

Katanya, selain menyediakan juadah yang banyak untuk tetamu yang dijangka akan datang tetapi akan berlaku pembaziran apabila makanan tidak habis dimakan dan sebagainya.

''Selain itu kedatangan tetamu yang datang beramai-ramai dengan serentak ini juga akan membuatkan tuan rumah tidak dapat memberikan layanan sebaik mengadakan rumah terbuka secara tradisi,'' katanya.

Bagaimanapun kata Mohd Yusof , tuan rumah sebenarnya masih boleh menjimatkan perbelanjaan jika ingin menganjurkan rumah terbuka.

Katanya tuan rumah harus memastikan jumlah tetamu yang bakal dijemput supaya dapat menyediakan makanan yang secukupnya.

Katanya, ini penting bagi tuan rumah membuat perbelanjaan yang tepat supaya sekali gus tidak melakukan pembaziran.

Mohd. Yusof memberitahu, untuk lebih menjimatkan lebih baik jika tuan rumah memasak sendiri juadah yang akan disediakan untuk tetamu.

Selain itu, katanya, apa salahnya jika mengadakan gotong-royong untuk menyediakan masakan untuk rumah terbuka ini yang sememangnya berkonsep ala majlis kenduri.

Jelas Mohd. Yusof sekali gus ini akan menggalakkan hubungan yang lebih akrab sesama jiran tetangga, rakan dan sanak-saudara.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved