Isnin, 5 September 2011

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Noramfaizul ingin ke Baitulmaqdis

Posted:

Noramfaizul ingin ke Baitulmaqdis

Noramfaizul ingin ke Baitulmaqdis

Oleh SYUKRI SHAARI
dan ABDUL YAZID ALIAS
pengarang@utusan.com.my

SUBANG 4 Sept. – Jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd. Nor yang meninggal dunia kerana terkena tembakan curi semasa menyertai Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Somalia pernah menyatakan hasrat untuk menjejakkan kaki ke Baitulmaqdis dan menjalankan misi kemanusiaan di sana.

Menurut jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan (gambar), Allahyarham menyatakan hasrat tersebut ketika mereka berbual-bual sebelum kejadian tembakan itu berlaku.

Katanya, Allahyarham sangat teringin untuk berada di Baitulmaqdis kerana banyak tempat telah dijejakinya sepanjang menjadi jurukamera dan menyertai misi kemanusiaan tetapi masih belum berpeluang ke sana.

"Dia (Allahyarham Noramfaizul) ada bercerita kepada saya bahawa dia suka bekerja di luar (negara) dan sangat teringin ke Baitulmaqdis.

"Dia pernah sampai di Gaza ketika mengikuti misi kemanusiaan tetapi tidak berpeluang memasuki Baitulmaqdis ketika itu dan menyimpan impian menjejakkan kaki dan mengikuti misi kemanusiaan di sana," katanya yang ditemui di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini hari ini.

Noramfaizul, 39, meninggal dunia selepas terkena tembakan curi semasa dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan bersama beberapa petugas media Malaysia lain yang mengikuti Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia untuk membantu mangsa bencana kemarau dan kebuluran di Somalia.

Dalam kejadian yang sama, Aji turut cedera apabila terkena tembakan di tangan kanannya.

Sebagai seorang jurukamera BernamaTV, Noramfaizul telah menyertai beberapa misi kemanusiaan Malaysia di luar negara yang bertujuan membantu golongan memerlukan.

Sementara itu, wartawan BernamaTV, Khairulanuar Yahaya pula berkata, Allahyarham sangat bersemangat dan bertenaga menjalankan tugas pada hari berkenaan, yang rupa-rupanya adalah tugas terakhirnya.

"Arwah sangat bersemangat pada hari itu. Pada mulanya saya pelik dengan kesungguhannya tetapi tidak pula menyangka sesuatu buruk akan berlaku kerana dia sememangnya komited sewaktu bertugas.

"Tetapi siapa yang sangka, mungkin arwah sudah dapat merasakan ia adalah tugas terakhirnya dan mahu melaksanakannya sebaik mungkin," jelasnya.

Noramfaizul dilindungi dua insurans

Posted:

Noramfaizul dilindungi dua insurans

Noramfaizul dilindungi dua insurans

KUALA LUMPUR 4 Sept. - Noramfaizul Mohd. Nor, jurukamera BernamaTV yang terkorban di Somalia pada Jumaat lepas, dilindungi dua polisi insurans yang diambil oleh Bernama, kata Pengerusi Bernama, Datuk Abdul Rahman Sulaiman.

"Semua petugas Bernama dilindungi dua polisi insurans iaitu insurans hayat dan insurans kemalangan diri yang terpakai di seluruh dunia," kata beliau sebagai respons kepada spekulasi yang tersebar dalam Internet bahawa Allahyarham Noramfaizul tidak dilindungi insurans semasa menjalankan tugasan terakhirnya itu.

Selain itu, Kelab Putra 1Malaysia turut mengambil polisi insurans kelompok kepada kesemua 55 anggota misi bantuan kemanusiaan ke Somalia.

Abdul Rahman berkata, Bernama akan turut menghulurkan segala sokongan dan bantuan yang diperlukan oleh keluarga Allahyarham.

Sementara itu, Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) yang turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Noramfaizul menggesa supaya satu prosedur operasi standard ditampilkan untuk diguna pakai oleh anggota media yang ditugaskan membuat liputan di zon perang.

Presidennya, Mokhtar Hussain dalam satu kenyataan berkata, satu prosedur operasi standard perlu ditampilkan segera bagi memelihara keselamatan wartawan yang membuat liputan di zon perang atau di kawasan tidak selamat.

Beliau berkata, contohnya mereka perlu dibekalkan dengan pelbagai alat perlindungan dan diberi taklimat mengenai apa yang perlu dilakukan dalam keadaan kecemasan.

Mokhtar yang pernah menerajui operasi editorial di BernamaTV berkata, beliau mengenali Noramfaizul secara peribadi dan Allahyarham merupakan seorang yang amat bersemangat tinggi dan komited dalam melaksanakan setiap tugasan. - BERNAMA

Misi bantuan: Langkah keselamatan telah diambil

Posted:

Misi bantuan: Langkah keselamatan telah diambil

Misi bantuan: Langkah keselamatan telah diambil

PETALING JAYA 4 Sept. — Kementerian Luar telah menghantar Duta Besar Malaysia ke Libya, Datuk Zulkifli Yaacob ke Somalia untuk meninjau langkah keselamatan di negara itu sebelum misi bantuan kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia ke sana, kata menteri berkenaan Datuk Seri Anifah Aman.

Anifah berkata, Zukifli ke Somalia bagi membuat kerja-kerja lapangan dan penilaian yang diperlukan untuk misi berkenaan.

"Kita hendaklah pastikan bahawa negara yang kita akan pergi, diberikan perlindungan yang secukupnya dan memuaskan, di mana mereka telah lakukan, tetapi ini adalah sesuatu yang tidak dijangkakan," katanya kepada pemberita selepas menyambut ketibaan jenazah jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor dari Mogadishu di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang dekat sini hari ini.

Anifah berkata, Wisma Putra pada lazimnya membantu misi bantuan kemanusiaan tempatan menjalankan kerja-kerja lapangan dan penilaian keselamatan di negara yang akan dikunjungi.

Sungguhpun, kedutaan Malaysia di luar negara tidak diwajibkan untuk mengemukakan laporan kepada kementerian, ia bagaimanapun pada lazimnya akan mengemukakan butir-butir penilaian berkenaan kepada kementerian, kata beliau

"Setelah mendapati semua maklumat, kita akan membantu dalam mendapatkan bantuan dari negara-negara yang mahu dituju (oleh misi kemanusiaan).

"Kita akan berbincang dengan mereka (penganjur misi), sama ada negara tersebut selamat atau tidak, dan apa jenis perlindungan yang dapat diberikan untuk mereka. Kita akan bantu mereka sebaik mungkin," katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun keputusan untuk meneruskan sebarang misi bergantung pada penganjur kerana mereka sepatutnya menyedari tentang risiko yang akan dihadapi.

Di zon bergolak, apa-apa boleh berlaku, walaupun perlindungan diambil, tambah beliau.

Anifah juga berharap agar kerajaan Somalia, yang berjanji untuk menjalankan siasatan menyeluruh mengenai kejadan itu, akan memberikan laporan kepada beliau secepat mungkin. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved