Utusan Online - Jenayah |
Posted: 554 laporan terhadap Mat SabuOleh ZAINAL AZHAR MOHAMED KUALA LUMPUR 5 Sept. – Kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang menjulang komunis sebagai hero dalam tragedi Bukit Kepong mengundang rasa marah pelbagai pihak apabila sebanyak 554 laporan polis dibuat sehingga semalam. Sumber berkata, laporan polis itu dibuat oleh pelbagai pihak dalam tempoh sembilan hari sejak disiarkan Utusan Malaysia pada 27 Ogos lalu. Menurutnya, pihak yang membuat laporan berkenaan terdiri daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik, persatuan dan bekas-bekas anggota keselamatan. "Laporan yang dibuat bukan sahaja tidak berpuas hati dengan kenyataan Mohamad Sabu (Mat Sabu) dalam ceramahnya di Tasek Gelugor pada 21 Ogos lalu, tetapi terdapat bekas anggota keselamatan yang tersinggung dengan tindakan ahli politik itu. "Terdapat laporan polis menyifatkan kenyataan Mat Sabu sebagai beracun dan mampu merosakkan keamanan negara yang dipelihara sejak 54 tahun lalu. "Berikutan itu, pengadu mahu tindakan tegas diambil terhadap Mat Sabu sebelum ada ahli politik lain yang memanipulasi sejarah demi kepentingan politik mereka dengan mengagungkan komunis," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini. Tambah sumber itu, hasil laporan tersebut, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melibatkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam. "PDRM sedang menjalankan siasatan berhubung laporan polis tersebut sebelum tindakan lanjut diambil," katanya. Mat Sabu dalam ceramah tersebut dilaporkan berkata, seorang lelaki Melayu, Mohamad Indera yang bersekongkol dengan 200 anggota komunis lain menyerang Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950, sebelum membunuh anggota keselamatan dan keluarga mereka dalam tragedi itu ialah hero sebenar yang memperjuangkan kemerdekaan negara. |
KDN pandang serius isu pertahan komunis Posted: KDN pandang serius isu pertahan komunisKUALA LUMPUR 5 Sept. - Kerajaan menolak dakwaan bahawa mereka bersikap sambil lewa dalam kes Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang mempertahankan gerakan komunis sebagai pejuang kemerdekaan. Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Abu Seman Yusop berkata, siasatan yang menyeluruh perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan undang-undang terhadap Mohamad atau Mat Sabu itu. "Dalam isu-isu sebegini, kita perlukan masa untuk menyiasat Mat Sabu serta pihak yang berkaitan sebagai saksi. "Sudah semestinya kita mahu mengambil tindakan segera terhadap beliau mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada tetapi siasatan sedang dijalankan ketika ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini. Beliau diminta mengulas dakwaan sesetengah pihak yang menyifatkan kerajaan bersikap acuh tak acuh dalam isu tersebut. Dalam ruangan Forum di akhbar ini hari ini, bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin menyatakan sikap kerajaan dalam hal itu merupakan kemuncak kelemahan dalam menangani isu yang berkaitan politik dan kepentingan negara. Sehingga kini, kira-kira 554 laporan polis dibuat pelbagai pihak yang tidak berpuas hati dengan kenyataan Mat Sabu dalam ceramahnya di Tasek Gelugor pada 21 Ogos lalu. Ketika ditanya bentuk tindakan yang boleh diambil terhadap Mat Sabu, Abu Seman berkata, perkara itu hanya dapat ditetapkan selepas siasatan selesai dijalankan. "Kita tidak boleh nyatakan lagi bentuk tindakan terhadap Mat Sabu kerana siasatan belum selesai dan yang pastinya akan ada tindakan terhadap beliau," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Jenayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan