Selasa, 9 Ogos 2011

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Warisan India Muslim tak lupus

Posted:

Warisan India Muslim tak lupus

Warisan India Muslim tak lupus

Oleh MALINDA ABDUL MALIK
utusanpenang@utusan.com.my


Orang ramai mengunjungi Sambutan Hari Kebudayaan India Muslim yang diadakan di laman Masjid Kapitan Keling, Pulau Pinang, baru-baru ini.


PULAU PINANG 8 Ogos - Kira-kira 5,000 orang termasuk pelancong asing mengunjungi laman Masjid Kapitan Keling sempena sambutan Hari Kebudayaan India Muslim di sini, baru-baru ini.

Sambutan tersebut merupakan salah satu program Hari Warisan Dunia yang disambut setiap tahun di Georgetown.

Sebanyak empat kategori pameran disediakan merangkumi makanan, perniagaan, permainan dan sejarah masyarakat India Muslim.

Paling mencuri tumpuan adalah makanan yang popular dalam kalangan masyarakat berkenaan seperti pasembur, nasi kandar dan putu mayam.

Malah, ada pengunjung yang baru sedar bahawa makanan tersebut diperkenalkan oleh masyarakat India Muslim dan bukan oleh pedagang India semasa berlabuh di Tanah Melayu suatu ketika dulu seperti yang mereka sangkakan selama ini.

Para pengunjung bukan sahaja boleh menikmati keenakan makanan itu malah dapat melihat sendiri bagaimana ia disediakan.

Selain itu, mereka turut dihiburkan dengan persembahan kebudayaan masyarakat berkenaan yang jarang-jarang dapat ditonton.

Pengarah program, Mohd. Rizwan Abdul Ghafoor Khan berkata, antara objektif itu adalah mempromosi adat resam dan amalan tradisi masyarakat India Muslim kepada orang ramai khususnya generasi muda agar tidak dilupakan begitu sahaja.

Menurutnya, penganjuran seperti itu dapat memberi kefahaman kepada kaum-kaum lain seperti Melayu, Cina dan India serta pelancong asing mengenai peranan dan sumbangan yang telah dimainkan oleh masyarakat India Muslim di Pulau Pinang sejak dulu lagi.

Daripada raut wajah para pengunjung, ternyata mereka rasa puas dan gembira kerana dapat mengenali serta menikmati keunikan masyarakat India Muslim yang sudah lama bertapak di negara ini khususnya di Pulau Pinang.

Rata-rata pengunjung yang ditemui melahirkan kepuasan kerana keunikan sambutan seperti itu yang tidak dapat dilihat dan dinikmati di negeri-negeri lain.

Seorang pelancong dari England, William Stiendl berkata, dia merasa amat bertuah kerana dapat mempelajari serta menyelami keunikan budaya dan warisan masyarakat India Muslim.

Menurutnya, meskipun sudah merantau di banyak negara, pengalaman seperti itu tidak dapat diperolehi di tempat-tempat lain.

"Walaupun sudah lima kali mengunjungi Malaysia, hanya di Pulau Pinang saya dapat melihat dan merasai keunikan masyarakat India Muslim," katanya.

Ibarat pepatah 'biar mati anak, jangan mati adat', budaya dan warisan golongan tersebut sentiasa dipertahankan dan ia boleh dilihat diamalkan sehingga hari ini.

Ia sekali gus membuktikan bahawa masyarakat India Muslim tidak pernah dipinggirkan sebaliknya disanjung kerana memainkan peranan penting dalam menyebarkan syiar Islam ke negara ini selain pedagang Arab pada suatu ketika dulu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Nelayan rayu ganti jeti reput

Posted:

Nelayan rayu ganti jeti reput

Nelayan rayu ganti jeti reput

Oleh ASLIZA MUSA
utusanperak@utusan.com.my


SEKUMPULAN nelayan menunjukkan keadaan jeti di Kuala Sepetang, Taiping, Perak yang semakin uzur menyebabkan lebih 50 nelayan berhadapan risiko terjatuh semasa mendaratkan ikan. - UTUSAN/MOHD. NAJIB MOHD. NOR


TAIPING 8 Ogos - Hampir setiap hari ada sahaja nelayan yang terjatuh dan mengalami luka-luka semasa memunggah hasil tangkapan yang diperoleh ke daratan.

Mereka bukan jatuh kerana cuai, tetapi keadaan jeti di perkampungan nelayan Kuala Sepetang di sini yang terlalu uzur dan daif sehingga menyukarkan tugas mereka.

Bagi lebih 50 nelayan terlibat, masing-masing tidak mempunyai pilihan selain terus menggunakan jeti yang semakin 'tenggelam' itu kerana ia merupakan satu-satunya lokasi untuk mendaratkan hasil tangkapan berdekatan penempatan mereka.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, jeti kayu yang mempunyai kelebaran 0.5 meter itu tidak lagi boleh dibaik pulih akibat reput dan kini menunggu masa untuk menyembah bumi.

Seorang nelayan, Tan Swee Thiam, 59, berkata, keadaan jeti itu tidak lagi selamat digunakan dan pihak berwajib dirayu menggantikannya dengan jeti batu yang lebih selamat untuk kegunaan nelayan di kawasan berkenaan.

"Kami menggunakannya sejak tiga dekad lalu dan keadaannya semakin uzur sejak beberapa tahun lalu," katanya selepas majlis ramah mesra masyarakat Kuala Sepetang anjuran sebuah pertubuhan kebajikan tempatan, Pertubuhan As-Siddiq (As- Siddiq) di sini, hari ini.

Katanya, jeti kayu 200 meter panjang itu digunakan lebih 15 bot nelayan tempatan dan dia secara peribadi bimbang dengan insiden nelayan tergelincir serta terjatuh ke dalam air akan terus berlaku.

"Ketika air naik, sebahagian besar jeti ini akan tenggelam manakala kedalaman air di tebing mencecah lima meter," katanya.

Bagi Beng Khai Khew, 62, pengalamannya terjatuh ke dalam air semasa membawa naik hasil tangkapan beberapa minggu lalu sememangnya tidak dapat dilupakan.

"Lebih malang jika hujan lebat, kami terpaksa melalui jeti itu pada waktu gelap. Saya takut ada bahagian jeti kayu ini patah tanpa disedari nelayan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi As-Siddiq, Habidi Zain berkata, pihaknya akan membantu nelayan terbabit dalam menyalurkan permasalahan berkenaan kepada agensi terlibat.

"Masalah ini sudah lama berlarutan dan pihak berwajib seharusnya menyegerakan penggantian jeti nelayan itu. Pada masa sama, As-Siddiq akan terus membantu menyelesaikan beberapa isu kecil yang melibatkan penduduk di sini," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Kaunter bergerak JPJ hujung minggu

Posted:

Kaunter bergerak JPJ hujung minggu

Kaunter bergerak JPJ hujung minggu


HASSAN Yaccob (kanan) melihat kakitangan MyEg Servises Berhad melayani pelanggan semasa majlis pembukaan kaunter 'One JPJ' di Penaga, Kepala Batas, Pulau Pinang, semalam.


KEPALA BATAS 8 Ogos - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang memperkenalkan kaunter bergerak 'One JPJ' di kawasan tumpuan awam bagi membolehkan orang ramai berurusan dengan agensi tersebut di luar waktu pejabat dan hujung minggu.

Pengarahnya, Datuk Hassan Yaccob berkata, program tersebut akan berjalan setiap minggu di lokasi-lokasi berbeza di negeri ini khususnya di pasar tani dan pusat beli-belah.

Menurutnya, menerusi kaunter tersebut, orang ramai boleh menjalankan urusan-urusan menukar alamat, membaharui lesen memandu dan cukai jalan selain menyemak serta membayar saman.

"Program ini juga bagi memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa perkhidmatan atas talian JPJ lebih mudah dan berkesan kerana mereka boleh menguruskan sendiri di rumah tidak kira masa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena pembukaan kaunter bergerak 1JPJ di perkarangan Masjid Jamek Penaga di sini, semalam.

Program berkenaan turut mendapat kerjasama MyEG dan Konsortium Multimedia Swasta Sdn. Bhd. (Komms).

Hassan memberitahu, urusan JPJ secara atas talian oleh orang ramai kini dilihat semakin meningkat.

Jelasnya, perkembangan itu amat baik memandangkan jumlah urusniaga di kaunter-kaunter JPJ negeri berkurangan saban tahun.

"Sebagai contoh, jumlah urusan membaharui lesen memandu tahun lalu adalah sebanyak 102,866 berbanding 121,197 pada 2009 dan 118,110 (2008).

"Begitu juga membaharui cukai jalan iaitu 368,941 urusniaga pada 2010 berbanding 399,471 (2009) dan 444,173 (2008)," ujarnya.

Beliau menambah, keadaan tersebut akan membolehkan JPJ mencapai sasaran 50 peratus penggunaan secara atas talian menjelang 2012.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved