Selasa, 16 Ogos 2011

Utusan Online - Timur


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


‘Mesej dari penjara’

Posted:

'Mesej dari penjara'

'Mesej dari penjara'

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI
utusanterengganu@utusan.com.my


Persembahan sketsa oleh penghuni penjara program Mesej Dari Penjara di Penjara Marang.


MARANG 15 Ogos – Haris (bukan nama sebenar), 22, berasal dari Pahang dibesarkan dengan penuh kasih sayang oleh ibu dan ayah, apatah lagi dia anak sulung dalam keluarga.

Namun kasih sayang itu tidak langsung dihargai malah dia bagaikan membalas dengan tuba, apabila perbuatannya amat mengaibkan keluarga.

Sejak berusia 12 tahun, Haris mula merokok dan bersama rakan-rakan, mereka gemar ponteng sekolah sehingga pelajaran semakin terabai dan dia tidak lagi mempunyai cita-cita setelah dibuang sekolah.

Ketika meniti keremajaan, dia semakin bebas bergaul dan dan dua tahun lalu dia mula merengkok dalam penjara kerana merogol seorang remaja.

Haris masih tidak dapat melupakan bayangan betapa luluh jiwa ibunya yang kemudiannya rebah apabila melihat anak kesayangan digari di depan mata dan turut disaksikan jiran-jiran.

Malah Haris yang dihukum penjara selama enam tahun, tanpa dapat menahan tangisan dalam esakan secara terbuka mengulangi permohonan maaf kepada ibunya, walaupun tidak didengari kerana ibunya tiada di situ.

Permohonan itu dilafazkan ketika menyertai program Mesej Dari Penjara Peringkat Zon Selatan di penjara Marang dekat sini baru-baru ini.

Air mata penyesalan itu turut dirasai bersama lebih 100 pelajar terpilih di beberapa buah sekolah di negeri ini ketika dia menceritakan rentetan pengalaman hitam yang memusnahkan masa depannya.

Haris dalam sesi luahan itu mengingatkan para pelajar tersebut tidak melakukan perkara yang sama dilakukannya kerana masa depan mereka pasti gelap.

Katanya, hanya ibu dan anggota terdekat akan sentiasa bersama tetapi rakan-rakan ketika 'berseronok' dahulu langsung tidak mungkin bertanya khabar apatah lagi mengunjunginya.

Haris merupakan salah seorang pesalah juvenil sukarela yang berkongsi pengalamannya sempena Program Mesej Dari Penjara yang bertujuan mendekatkan masyarakat dengan banduan serta membolehkan bekas banduan kembali diterima di pangkuan orang ramai setelah tamat menjalani hukuman.

Pada program itu, tetamu juga dipersembahkan sketsa, drama dan nasyid oleh Kumpulan Kesenian dan Kebudayaan Penghuni Penjara Marang selain turut berpeluang melihat pameran seni kraftangan yang dihasilkan oleh penghuni tersebut.

Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah; Pengarah Bahagian Dasar Kepenjaraan, Alzafry Mohamed Alnassif Mohamed Adahan; Ketua Seksyen Pemulihan Rawatan Penjara Malaysia, Darussalam Budin dan Pengarah Penjara Marang, Hamzani Che Berahim.

Seorang pelajar yang ditemui, Mohd. Taqullahizra Mohd. Khaira, 16, dari Sekolah Menengah Agama (SMA) Marang memberitahu, dia amat tersentuh dengan program berkenaan apabila dapat mendengar sendiri luahan pesalah juvenil itu.

Ujarnya, sebelum ini dia hanya memandang tembok batu itu dari luar dan tidak menyangka di sebalik tembok yang menghukum tersebut, banyak ilmu yang diperoleh dengan menyertai program berkenaan.

"Jika dulu saya menganggap banduan ini semua jahat namun setelah mendengar luahan pesalah terlibat, rasa kasihan timbul dan seharusnya masyarakat memberi peluang untuk mereka kembali," jelasnya.

Sementara itu, Alzafry Mohamed Alnassif berkata, program itu akan diteruskan setiap tahun bagi memberi kefahaman kepada masyarakat tentang pelbagai program yang diusahakan Jabatan Penjara Malaysia (JPM) untuk membolehkan kemasukan berulang penghuni dapat diatasi.

Katanya, melalui program seperti itu, masyarakat tidak lagi memandang sinis terhadap bekas banduan dan membolehkan mereka meneruskan kehidupan seperti biasa.

Luahan banduan diharap dapat memberi pengajaran, keinsafan kepada masyarakat luar.

"Sokongan semua pihak amatlah dituntut bagi membantu banduan dari segi fizikal dan mental untuk menghadapi cabaran apabila kembali ke dunia luar serta menjadi warga negara yang produktif," jelasnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Amalan junjung lauk suburkan tradisi sepakat

Posted:

Amalan junjung lauk suburkan tradisi sepakat

Amalan junjung lauk suburkan tradisi sepakat


Penduduk menjunjung lauk pauk masing-masing menuju ke masjid untuk hidangan berbuka puasa di Kampung Gemuruh, Tepoh, Kuala Terengganu, baru-baru ini.


KUALA TERENGGANU 15 Ogos - Bagi generasi muda, tradisi ini mungkin sesuatu yang asing dan pengalaman baru buat mereka, namun bagi golongan dewasa ia menyuburkan kembali nostalgia kehidupan di desa pada bulan Ramadan.

Semangat kekitaan dan kerjasama yang terserlah dalam majlis berbuka puasa di masjid atau surau dengan setiap keluarga membawa juadah dari rumah untuk dikongsi bersama.

Lauk-pauk bersama nasi yang diletak di dalam dulang dijunjung oleh ibu-ibu ke masjid untuk dijamu kepada sesiapa sahaja yang kebetulan duduk di hadapan sajian itu dalam majlis berbuka puasa beramai-ramai.

Tradisi itu dipraktikkan semula oleh masyarakat sekitar Masjid Kampung Gemuruh, Tepuh di sini baru-baru ini semasa menyambut kunjungan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said pada majlis berbuka puasa peringkat daerah ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung itu, Amran Abdullah berkata, mereka sepakat untuk menjadikan majlis berbuka puasa itu sesuatu yang berlainan daripada biasa.

Menurutnya, penduduk kampung tidak mahu makanan dimasak secara bergotong-royong, sebaliknya ia perlu dimasak sendiri oleh orang kampung di rumah masing-masing.

Dengan cara begitu katanya, setiap masyarakat menghantar juadah ke masjid dengan menu yang pelbagai dan membuatkan semua orang dapat merasai air tangan orang kampung.

"Sekitar 1970-an, jumlah hidangan yang dihantar oleh para isteri cukup banyak membuatkan ruang dalam masjid penuh dengan talam yang bertutup tudung saji nipah sehingga terpaksa disusun bertingkat-tingkat," ujarnya.

Amran ditemui pada majlis yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepuh, Muhammad Ramli Nuh dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Wan Nawawi Wan Ismail.

Simbolik menyambut ketibaan Ahmad, seramai 15 wanita menjunjung talam dengan pelbagai jenis lauk berarak sambil berselawat mengiringi ketibaan jemputan kenamaan hingga ke meja makan.

Kata Amran, majlis yang penuh adat dan tradisi itu melibatkan lebih 100 hidangan lauk dan kuih-muih yang dimasak di rumah mengikut kreativiti dan kemampuan masing-masing.

Antara masakan kampung yang dihidangkan adalah gulai ayam kampung, rebung, acar pisang, gulai telur itik, kerabu jantung pisang dan sambal petai serta kuih tradisional seperti nekbat, puteri mandi, bubur lambuk, lompat tikam dan tapai beras.

"Tradisi unik ini mungkin akan hilang sekiranya generasi baru tidak mengambil inisiatif menyambung apa yang sudah dilakukan sejak turun-temurun oleh datuk nenek kita," ujarnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Bumbung bocor ancam pelajar

Posted:

Bumbung bocor ancam pelajar

Bumbung bocor ancam pelajar

Oleh RADHUAN HUSSAIN
utusanterengganu@utusan.com.my


Abdullah Muda menunjukkan serpihan bumbung yang tertanggal dan jatuh ke dalam bilik darjah di sebuah bangunan SK Gong Kapas yang tidak dibaiki sejak 2009.


KUALA TERENGGANU 15 Ogos - Tingkat atas salah satu blok bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Gong Kapas di sini yang terpaksa dikosongkan akibat kerosakan bumbungnya lebih dua tahun lalu sehingga kini masih belum dibaiki.

Malah dengan keadaannya yang terbiar begitu sahaja sementara menunggu kelulusan dan peruntukan, keadaannya semakin buruk apabila banyak atap pecah dan air hujan bertakung.

Blok lama itu yang tingkat atasnya menempatkan empat buah kelas untuk murid tahun dua, tiga dan kelas Jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain (j-Qaf).

Aras bawah yang dijadikan dewan untuk majlis perjumpaan serta penyampaian hadiah selain mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) turut berdepan risiko apabila air hujan dari bumbung bocor telah meresap ke lantai konkrit dan pernah berlaku litar pintas.

Berikutan masalah itu, lebih 100 murid tahun dua, tiga dan J-Qaf terpaksa ditempatkan ke kelas lain termasuk di bengkel Kemahiran Hidup (KH) serta muzik di sekolah yang pernah merangkul anugerah Sekolah Cemerlang Peringkat Kebangsaan 2009 itu.

Utusan Malaysia difahamkan, pihak sekolah telah memaklumkan masalah tersebut kepada Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) pada 2009 sebelum pihak jabatan menghantar surat kepada Kementerian Pelajaran pada tahun yang sama.

Bagaimanapun, permohonan daripada JPNT agar masalah itu segera diperbaiki tidak mendapat maklum balas positif daripada Kementerian Pelajaran sehingga sekarang.

Seorang ahli jawatankuasa PIBG sekolah berkenaan, Abdullah Muda, 56, berkata, masalah bumbung rosak itu bukan sahaja mengancam keselamatan pelajar malah turut menjejaskan sesi pembelajaran mereka.

Katanya, lebih 100 murid terlibat terpaksa menumpang di bengkel kemahiran hidup (KH) dan muzik yang tidak kondusif sejak dua tahun lalu.

"Biarlah masalah itu ditangani segera, jangan biar ia berlaku baru kita nak bertindak. Kalau masalah ini dibaiki pada awal lagi (2009) ia tak mungkin seteruk sekarang," ujarnya.

Beliau turut mencadangkan supaya sebuah blok baru di sekolah itu yang kini diserahkan kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) beroperasi di situ dijadikan sebagai kelas tetap untuk murid-murid terbabit.

"Bayangkan, murid-murid ini terpaksa berpindah randah dari bengkel KH ke kelas lain sekiranya ada murid lain yang akan menggunakan bengkel ini," jelasnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved