Rabu, 10 Ogos 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Mencari punca sebenar rusuhan

Posted:

Mencari punca sebenar rusuhan

Mencari punca sebenar rusuhan

Oleh SHAMSIAH ZULKAFLI
pengarang@utusan.com.my


SALAH sebuah kedai telefon bimbit di Clapham Junction, di selatan London, yang kosong setelah diceroboh dan dirompak oleh perusuh-perusuh di bandar raya itu. - AFP


RUSUHAN oleh golongan muda pelbagai etnik di kota London menyaksikan satu lagi tamparan hebat buat kerajaan Britain pimpinan Perdana Menteri, David Cameron.

Belum pun skandal penggodaman telefon membabitkan empayar media dan rasuah akhbar milik hartawan media, Rupert Murdoch, News Corp selesai, Cameron sekali lagi terpaksa pulang awal ke Britain dari luar negara.

Masuk hari keempat, situasi di kota London masih belum menunjukkan sebarang tanda akan reda.

Arahan Cameron semalam untuk menempatkan 16,000 anggota polis di sekitar kota itu juga hanya berjaya mententeramkan London, sedangkan rusuhan terus merebak ke bahagian lain kota tersebut.

Terbaru, perusuh terus mengamuk di bandar ketiga terbesar di Britain, Manchester dan kawasan perindustrian Midlands.

Kejadian curi juga semakin berleluasa di Birmingham, sementara beratus-ratus perusuh melontar anggota polis dengan batu di Liverpool.

Kesan kemusnahan akibat rusuhan boleh dilihat hampir di mana-mana; bangunan dan premis dibakar; kenderaan termasuk kereta, bas dan van hangus dijilat api; serpihan kaca, batu dan kayu bertaburan di jalan-jalan; serta kecurian di kedai-kedai yang tidak terkawal.

Keadaan itu menimbulkan persoalan tentang tindakan remaja terlibat kerana apa yang diperlihatkan mereka lebih berbentuk vandalisme.

Banyak pihak turut mempersoalkan punca sebenar kepada rusuhan terburuk di London itu dalam tempoh 30 tahun.

Media melaporkan, ia berpunca daripada kematian seorang bapa anak empat, Mark Duggan, 29, pada Khamis lalu, dipercayai dalam satu kejadian berbalas tembakan dengan polis.

Duggan dilapor menaiki sebuah teksi apabila kenderaan tersebut ditahan polis yang sedang menjalankan operasi menyekat pemilikan senjata haram di kalangan masyarakat kulit hitam. Dia mati selepas ditembak dua kali di bahagian dada dan tangan.

Ini bukanlah merupakan kali pertama rusuhan di London tercetus disebabkan rasa tidak puas hati dengan polis.

Insiden kali ini mengulangi rusuhan dahsyat 1985 di kawasan estet Broadwater Farm, utara London yang tercetus apabila seorang wanita tempatan mati selepas polis menyerbu rumahnya. Seorang anggota polis turut mati ditetak dalam kejadian itu.

Sejarah hubungan yang tidak begitu baik antara pasukan polis dan masyarakat pelbagai etnik di London itu mungkin antara penyumbang kepada rusuhan kali ini.

Bagaimanapun, melihat kepada skop yang lebih luas, banyak faktor lain boleh dikaitkan dengan rasa tidak puas hati perusuh yang hanya menjadikan kematian Duggan sebagai satu alasan.

Rusuhan berhari-hari itu menekankan lagi ketegangan sosial yang semakin mendalam di kawasan miskin di ibu negara Britain tersebut.

Ia bukan bersifat jenayah semata-mata, tetapi didorong rasa tidak puas hati golongan muda yang rasa dipinggirkan.

Dengan keadaan ekonomi Britain yang kurang berkembang ditambah dengan pelaksanaan langkah berjimat-cermat oleh kerajaan tahun lalu, kawasan yang tinggi dengan kadar pengangguran seperti Tottenham sangat merasa tempiasnya.

Krisis kewangan yang berlaku mengakibatkan golongan muda yang sepatutnya diberikan peluang, merasakan diri mereka diabaikan.

Kekecewaan tersebut sebenarnya boleh memarakkan bantahan politik, pemberontakan atau mencetuskan jenayah dan keadaan mungkin akan bertambah buruk dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Britain kini bukan lagi sebuah negara seperti beberapa tahun dahulu. Pada asasnya, negara itu semakin lemah.

Keyakinan terhadap pemimpin, polis dan media telah terhakis sebahagian besarnya disebabkan skandal perbelanjaan Ahli-Ahli Parlimen dan skandal penggodaman telefon.

Kemelesetan ekonomi serta proses pemulihannya yang masih belum nampak juga tidak banyak membantu.

Penentangan terhadap langkah berjimat cermat kerajaan juga mewujudkan budaya anarki.

Begitu juga dengan hubungan undang-undang dan ketenteraman dengan sosial yang semakin lemah.

Ahli-ahli politik juga nampaknya tidak berminat untuk bercakap mengenai isu ini. Ia bukan satu kepentingan yang perlu menjadi penilaian mereka.

Kerajaan campuran Parti Konservatif dan Parti Demokrat juga tidak menunjukkan minat menyelesaikan isu ini.

Kesilapan yang berlaku hari ini sepatutnya diletakkan di bahu Parti Buruh yang tewas pada pilihan raya umum 2010 selepas 13 tahun memerintah.

Perusuh sebenarnya menzahirkan kemarahan mereka, lebih kepada pemberontakan sehingga mengakibatkan vandalisme.

Ia bukan pemberontakan menuntut reformasi politik seperti yang berlaku di negara-negara Asia Barat tetapi lebih kepada rasa kecewa kerana diketepikan dari segi ekonomi.

Tindakan mencuri, membakar, mencetuskan huru hara di kota London bukanlah satu bentuk bantahan, tetapi bersifat oportunis.

Keadaan yang sama juga pernah berlaku di kawasan miskin di pinggir bandar Paris pada 2005, bandar-bandar di Afrika Selatan atau di mana-mana bahagian dunia sekali pun.

Rusuhan atau pemberontakan ini disemarakkan lagi dengan fenomena media sosial, sama seperti pemberontakan yang berlaku di Mesir, Tunisia, Yemen, Syria dan Maghribi.

Lain persoalan yang timbul, sampai bilakah rusuhan ini akan berlarutan dan apakah tindakan yang akan diambil kerajaan? Mampukah pihak berkuasa menghalang keadaan daripada menjadi bertambah buruk?

Peranan polis yang gagal meredakan rusuhan kini dibangkitkan. Apakah penggunaan kereta kebal seperti di Syria mampu menakut-nakutkan perusuh dan menghentikan mereka daripada terus bertindak?

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Malapetaka Tripoli menimpa Damsyik

Posted:

Malapetaka Tripoli menimpa Damsyik

Malapetaka Tripoli menimpa Damsyik

Oleh Azmi Hassan

RESOLUSI 1973 mengenai Libya diluluskan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 17 Mac 2011 atas dasar untuk menyelamatkan rakyat Libya dari serangan pemimpin mereka iaitu Muamar Gaddafi.

Tetapi seperti mana yang diketahui apa yang telah berlaku, resolusi tersebut telah digunakan oleh NATO sebagai dalil membolehkan mereka menyerang Tripoli dengan harapan pemimpin Libya tersebut dapat dihapuskan.

Walaupun Resolusi 1973 hanya mendapat 10 sokongan ahli Majlis Keselamatan kerana lima negara ahli lain iaitu Brazil, China, Jerman, India dan Rusia mengambil pendirian berkecuali, tetapi apa yang penting adalah ia mendapat restu dari Liga Arab.

Apa yang berlaku terhadap Libya besar kemungkinan boleh menimpa Syria kerana sejak akhir-akhir ini momentum Majlis Keselamatan untuk mengeluarkan resolusi mengenai pemberontakan rakyat Syria semakin mendapat sokongan. Draf resolusi yang ditaja oleh Britain, Perancis, Jerman dan Portugal telah mula diedarkan seawal Mei lagi tetapi terbantut kerana mendapat bantahan Rusia.

Rusia merupakan sekutu kuat Presiden Bashar Assad dan Moscow menggunakan alasan pergolakan yang berlaku adalah konflik dalaman yang tidak memerlukan campur tangan masyarakat antarabangsa. Tambahan pula Rusia begitu khuatir resolusi tersebut boleh digunakan untuk menjatuhkan Presiden Assad.

Tetapi sejak beberapa hari lepas pendirian Rusia terhadap bantahan resolusi Syria mula berubah kerana beberapa Negara Teluk telah mengeluarkan kenyataan mengutuk kaedah Presiden Assad menangani pemberontakan rakyat Syria. Paling ketara adalah kenyataan keras Raja Abdullah dari Arab Saudi yang memberi kata dua kepada Assad supaya memilih jalan yang betul untuk mengelak huru hara dari berlaku.

Memang benar Riyadh dan Damsyik sering bertelagah terutama sekali mengenai Iran, Lebanon dan juga sokongan Syria terhadap Hamas dan Hizbullah, tetapi kenyataan terbuka dari Raja Abdullah mengenai negara Arab lain adalah jarang kedengaran sekali. Ekoran itu Riyadh telah memanggil pulang duta Arab Saudi ke Syria sebagai susulan bantahan tersebut.

Tindakan Riyadh juga diikuti oleh Bahrain dan Kuwait yang turut memanggil pulang duta masing-masing sebagai bantahan diplomatik dengan apa yang berlaku di Syria. Sebelum ini pun Liga Arab dan Majlis Kerjasama Teluk turut mengeluarkan kenyataan mengutuk tindakan Assad yang dianggap terlalu kejam.

Presiden Assad kini begitu tersisih kerana sebahagian besar negara Arab dan masyarakat antarabangsa telah menyatakan pendirian yang bertentangan dengan hasrat beliau. Tekanan paling terkini dan agak ketara yang dihadapi oleh Syria adalah apabila Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan melalui menteri luar beliau iaitu Ahmet Davutoglu menghantar kenyataan keras kepada Damsyik.

Tindakan Ankara dianggap memberi kesan yang lebih ketara berbanding dengan Riyadh kerana selama ini Turki adalah antara sekutu kuat Syria. Malah tidak keterlaluan jika diandaikan sokongan Turki terhadap Syria selama ini adalah sama kuat seperti yang telah diberikan oleh Iran atau Lebanon.

Penyisihan sokongan negara Arab dan sekutu Syria adalah tanda awal kepada Majlis Keselamatan untuk mengeluarkan resolusi mengenai Syria. Jika draf awal resolusi yang dikemukakan oleh empat ahli majlis tersebut yang kesemuanya terdiri dari negara Eropah mungkin kelihatan agak berat sebelah, kini Brazil tampil dengan versi baru draf resolusi.

Tidak kira versi mana yang akan digunakan, apa yang paling dikhuatiri adalah resolusi tersebut boleh diamalkan sewenang-wenangnya dengan alasan untuk melindungi rakyat Syria dari ancaman kerajaan Presiden Assad.

Besar kemungkinan jika resolusi tersebut dibawa ke pengundian Majlis Keselamatan tiada kuasa pembatal akan digunakan oleh lima ahli tetap iaitu Britain, Amerika Syarikat (AS), Peranchis, China dan Rusia. Hanya Lebanon yang pada ketika ini sebagai ahli tidak tetap majlis tersebut dijangka mengambil pendirian menolak resolusi.

Duta AS ke PBB Susan Rice telah memberi jaminan bahawa apa yang telah berlaku terhadap Libya tidak akan berulang kepada Syria dan kebimbangan yang pada awalnya disuarakan oleh Rusia dianggap oleh beliau sebagai cerita khayalan dan dongeng semata-mata.

Tetapi jika diungkit kembali bibit-bibit Resolusi 1973 mengenai Libya yang dirangka oleh Britain dan Peranchis, jaminan yang serupa telah diberikan sebelum pengundian dilakukan. Tetapi oleh kerana bahasa dalam resolusi yang digunakan adalah terlalu longgar, sehinggakan interpretasi melindungi rakyat Libya telah menghalalkan pengeboman keatas Tripoli.

Masyarakat antarabangsa perlu berhati-hati supaya apa yang telah menimpa Libya tidak berulang terhadap Syria. Jika itu berlaku maka hanya satu negara yang paling mendapat manfaat iaitu Israel yang selama ini menyimpan idaman untuk menyerang Syria. Jika revolusi yang melanda Tunisia dan Mesir tidak langsung menguntungkan Israel, maka revolusi Syria dijangka memberi manfaat maksimum kepada Tel Aviv.

PENULIS ialah GeoStrategis Institut

GeoSpatial UTM dan ahli bersekutu

Majlis Profesor Negara

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved