Ahad, 21 Ogos 2011

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Bekalan ikan ditambah di Pahang

Posted:

Bekalan ikan ditambah di Pahang

Bekalan ikan ditambah di Pahang

Oleh KHAIRATUL AINAL ABDUL KARIM
utusanpahang@utusan.com.my

KUANTAN 21 Ogos - Jabatan Perikanan Negeri akan membawa masuk bekalan ikan dari negeri lain bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan itu di negeri ini.

Pengarahnya, Datuk Mohamad Mat Saman berkata, pihaknya juga akan mengimport ikan dari luar bagi mengatasi kekurangan bekalan tersebut supaya masyarakat tidak menghadapi masalah untuk mendapat bahan mentah makanan itu.

Beliau menjelaskan, masalah kekurangan bekalan itu bermula sejak April lalu dan dijangka berakhir pada akhir bulan ini.

"Ia disebabkan perairan laut di negeri ini mengalami kekurangan ikan disebabkan musim bertelur dan tempoh membesar antara April hingga akhir Ogos.

"Kita sedia maklum mengenai perkara ini (kekurangan bekalan ikan), namun memang sekarang musim tidak banyak ikan," katanya ketika dihubungi di sini kelmarin.

Mohamad berkata, pihaknya turut menerima rungutan daripada orang ramai terutama peniaga yang sukar mendapat bekalan ikan lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan ini.

Tambahnya, bekalan itu dijangka kembali pulih sepenuhnya menjelang musim perayaan Aidilfitri nanti.

"Dijangka hujung bulan ini dan dan awal September nanti, orang ramai serta peniaga akan mendapat bekalan seperti sedia kala," katanya.

Sementara itu, tinjauan di sebuah pasar basah di bandar ini mendapati harga ikan masih stabil bagi setiap satu kilogram termasuk kembung yang dijual RM12, selayang (RM8), selar (RM7) dan kerisi (RM14) walaupun bekalan dibawa masuk dari negeri-negeri lain.

Pemandu lori berhenti kerja demi anak

Posted:

Pemandu lori berhenti kerja demi anak

Pemandu lori berhenti kerja demi anak


YAHYA Mamat memerhatikan keadaan anaknya, Badrul Hisham yang cacat sejak lahir di rumahnya di Kampung Pantai Bahagia, Beserah, Kuantan, semalam.


KUANTAN 21 Ogos - Seorang pemandu lori terpaksa berhenti kerja sejak enam bulan lalu bagi memberi tumpuan kepada anaknya yang dilahirkan cacat sejak kecil.

Yahya Mamat berkata, anaknya, Badrul Hisham, 27, yang merupakan zuriat hasil perkahwinan pertamanya itu cacat fizikal dan hanya terbaring di rumahnya di Kampung Pantai Bahagia, Beserah, di sini.

Menurutnya, Badrul Hisham dijaga oleh isteri keduanya, Norehan Ibrahim, 55, sejak kecil tetapi kini tahap kesihatan isterinya itu juga semakin merosot akibat komplikasi penyakit kencing manis yang dihidapinya sejak beberapa tahun lalu.

"Dia tidak dapat lagi menjaga Badrul dengan baik kerana matanya sendiri rabun teruk sehinggakan dia kerap terjatuh di rumah," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Menurut Yahya, 56, perkahwinannya dengan Norehan kira-kira 20 tahun lalu tidak dikurniakan anak.

Tambahnya, dengan pendapatan yang tidak menentu dan tidak mampu menanggung kos yang tinggi, dia terpaksa membenarkan Norehan dibawa pulang ke rumah seorang saudara isterinya itu untuk menjalani rawatan.

"Oleh kerana saya bimbang keselamatan Badrul yang terpaksa ditinggalkan sendirian, saya tiada pilihan melainkan terpaksa berhenti kerja untuk menjaganya.

"Saya buntu memikirkan nasib kami anak beranak memandangkan saya tidak lagi bekerja dan hilang sumber pendapatan dan hanya mengharapkan belas ihsan jiran terdekat," katanya.

Menurut Yahya, anaknya menerima bantuan bulanan sebanyak RM70 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi ia masih tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan membeli lampin pakai buang serta keperluan lain yang mencecah hampir RM200.

"Saya kasihan melihat keadaannya apabila hanya mampu memberinya makan roti dan biskut serta air susu sedangkan dia memerlukan makanan yang berkhasiat," katanya.

Lebih membimbangkan katanya, sejak berhenti kerja, bayaran rumah sewanya sebanyak RM200 sebulan beserta bil air dan elektrik tertunggak hampir enam bulan.

"Saya sentiasa memikirkan nasibnya pada masa depan jika saya tiada lagi nanti memandangkan tiada ahli keluarga dan saudara-mara yang mempedulikan nasib kami berdua," katanya.

Yamaha anjur kempen 15 pemeriksaan percuma

Posted:

Yamaha anjur kempen 15 pemeriksaan percuma

Yamaha anjur kempen 15 pemeriksaan percuma

KUANTAN 21 Ogos - Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) melancarkan Kempen Keselamatan Balik Kampung Yamaha peringkat negeri di Taman Esplanade di sini sempena musim perayaan nanti.

Kempen anjuran syarikat tersebut turut menawarkan pemeriksaan 15 bahagian komponen motosikal secara percuma kepada penunggang motosikal jenis Yamaha.

Pengurus Tanggungjawab Korporat Sosial HLYM, Ar. Kirishnamoorthie berkata, kadar kemalangan maut yang berlaku pada musim perayaan banyak melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.

Menurutnya, pelancaran kempen itu secara tidak langsung akan memberi kesedaran kepada pemilik motosikal supaya memeriksa kenderaan mereka dahulu sebelum menuju ke destinasi masing-masing.

"Memeriksa kenderaan harus dijadikan satu budaya tanpa perlu menunggu penganjuran kempen berkaitan keselamatan jalan raya diadakan," katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Kempen tersebut dilancarkan oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan, Datuk Zulkifli Yaacob.

Sebanyak 100 topi keledar diberikan kepada pengunjung terawal dan beberapa aktiviti serta pameran berkaitan keselamatan jalan raya turut diadakan di taman tersebut.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved