Rabu, 13 Julai 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


PDRM wira sebenar

Posted:

PDRM wira sebenar

PDRM wira sebenar

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my

KALAU anda mahu diiktiraf sebagai 'wira negara' mengikut tafsiran Pas, anda tidak perlu menang pingat emas di Sukan Olimpik, tidak perlu menawan puncak Gunung Everest atau mengharumkan nama di pentas dunia dalam apa juga bidang.

Malahan anda juga tidak perlu menyertai pasukan keselamatan untuk mempertahankan kedaulatan negara ini.

Sebaliknya, anda akan diiktiraf 'wira negara' jika menyertai perhimpunan haram anjuran pembangkang dan berani 'bertempur' dengan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) apabila melakukan rusuhan.

Demikianlah dangkal dan jumudnya pemikiran pemimpin-pemimpin Pas sehinggakan puak-puak yang merusuh di jalan raya pada Sabtu, 9 Julai lalu begitu mudah dianggap sebagai pejuang dan wira negara.

Malahan mereka juga mendakwa perhimpunan tersebut sebagai lambang kebangkitan rakyat sedangkan kalau mengikut laporan media termasuk media antarabangsa kehadiran sekitar 10,000 orang sahaja, jauh daripada sasaran 300,000 yang diuar-uarkan oleh pembangkang.

Apa pun cubalah berfikir dengan tenang tanpa dipengaruhi oleh emosi siapakah sebenar wira negara?

Penyokong-penyokong perhimpunan haram berkenaan yang terpekik terlolong dan melakukan rusuhan serta mencabul ketenteraman awam atau anggota polis yang bertugas sejak beberapa bulan lalu membuat persiapan bagi memastikan ketenteraman awam terus terpelihara?

Sebagai orang yang waras sudah pasti kita akan mengiktiraf bahawa wira sebenar adalah anggota-anggota PDRM tersebut.

Ketekunan dan kegigihan mereka serta amat sabar dalam menjalankan amanah yang diberikan telah menyelamatkan negara kita daripada huru-hara pada 9 Julai lalu.

Pelbagai langkah dilakukan termasuklah tinjauan, risikan dan sekatan jalan raya bagi mengelakkan perhimpunan haram berkenaan dicemari oleh 'elemen ketiga' iaitu elemen yang berhasrat menghuru-harakan negara.

Penahanan sekumpulan penyokong Bersih yang cuba menghidupkan kembali perjuangan komunis dan penemuan pelbagai jenis senjata serta bahan-bahan untuk membuat bom sudah menunjukkan bahawa perhimpunan haram Bersih bukan sekadar demonstrasi biasa.

Pada hari perhimpunan berlangsung pula, para wartawan yang turun ke lapangan menceritakan bagaimana sabarnya anggota-anggota polis yang bertugas melayan kerenah biadab penunjuk perasaan.

Puak-puak yang diupah tersebut dan ada antara mereka yang menyertai perhimpunan haram berkenaan secara membuta tuli, memaki-hamun dan melakukan provokasi melampau ke atas anggota polis.

Seorang penyokong Pas di dalam blog menulis, "pada ana (saya) penyokong PKR adalah antara yang provokasi pihak polis secara melampau. Ana sendiri tengok bilamana anak muda PKR - jerkah (jerit)....!....!....! (nama sejenis binatang) depan muka FRU. Ana urut dada. Biar betul. Kita jangan provoke.

"Ana nampak sendiri penyokong PKR (dengan baju PKR) membaling batu kepada kenderaan FRU." Itu pengakuan penyokong Pas tersebut yang seolah-olah menafikan dakwaan pemimpin dan penyokong perhimpunan haram berkenaan bahawa polis yang melakukan provokasi.

Tetapi pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas dan DAP serta penyokong-penyokong mereka memaki hamun polis ibarat tidak cukup tanah apabila perhimpunan berakhir.

Walaupun semua yang ditahan diberi layanan cukup istimewa di Pusat Latihan Polis dan balai-balai polis sebelum dibebaskan, namun tiada pujian dan penghargaan, kecuali ucapan terima kasih daripada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengaku polis memberi layanan baik kepadanya. Namun pemimpin-pemimpin pembangkang lain dengan disokong oleh Majlis Peguam yang terkenal dengan sikap berat sebelah mereka terus menyalahkan polis.

Mereka membela perusuh-perusuh sehingga kematian yang berlaku melibatkan penyokong pembangkang ketika perhimpunan haram berlangsung, polis juga disalahkan. Mereka sengaja melupakan bahawa yang mencari fasal ialah pemimpin, ahli dan penyokong pembangkang yang sengaja melanggar undang-undang apabila menyertai perhimpunan haram berkenaan.

PDRM sudah menyatakan sejak berminggu-minggu lalu bahawa perhimpunan itu adalah haram! dan Stadium Merdeka tidak boleh digunakan tetapi mereka ingkar dan degil.

Oleh itu apabila undang-undang tidak mahu dihormati dan dipatuhi, maka PDRM terpaksa bertindak mempertahankan kedaulatan undang-undang.

Jadi janganlah jahil hendak menyalahkan polis pula. 'Kitab' mana yang dirujuk oleh puak-puak Pas, 'buku undang-undang' mana yang dibaca oleh pemimpin PKR dan DAP untuk menyatakan mereka yang hadir dalam perhimpunan haram berkenaan adalah 'wira negara' dan pejuang demokrasi?

Sebenarnya pejuang dan wira sebenarnya adalah anggota PDRM. Mereka menjalankan tugas dengan penuh profesional tanpa mengira siapa juga, yang bersalah tetap bersalah!

Sebab itu langkah Kementerian Dalam Negeri dan PDRM untuk mengemukakan fakta dan bukti mengenai tindakan polis ketika mengendalikan perhimpunan haram berkenaan adalah tepat sekali.

Ia kerana di dalam negara ini, sudah ada individu dan kumpulan yang bersedia menjadi 'perosak negara' dengan memaparkan fakta yang tidak betul mengenai tindakan PDRM ketika perhimpunan tersebut.

Kelompok ini termasuklah pemimpin-pemimpin pembangkang sanggup memutar belit fakta dan membohongi rakyat. Pendustaan dan pembohongan ini disokong pula oleh media dan blog-blog pro mereka.

Agensi berita asing pula hanya memaparkan bagaimana anggota polis bertindak ke atas perusuh apabila arahan bersurai tidak diendahkan. Tetapi mereka tidak pula mahu menunjukkan rakaman video bagaimana perusuh melakukan provokasi ke atas polis.

Adalah tidak wajar apabila mereka yang melanggar undang-undang hendak diiktiraf sebagai wira negara manakala anggota polis yang mempertahankan undang-undang dituduh zalim. Mungkin bagi PKR, DAP dan Pas, 'kezaliman' hanya terpakai untuk mereka sahaja. Maknanya kalau orang buat ke atas mereka zalim tetapi kalau mereka buat ke atas orang lain tidak dikira zalim. Itu perjuangan, kata mereka.

Ternyata keghairahan untuk berkuasa telah menutup pintu pemimpin dan penyokong ketiga-tiga parti berkenaan sehinggakan perusuh pun mahu dianggap sebagai wira negara manakala orang yang menghalang kejahilan mereka demi kepentingan bangsa, agama dan negara dituduh zalim.

Namun kita percaya apa pun majoriti rakyat di negara ini amat memahami sumbangan besar PDRM, selama ini pun pasukan itu telah membuktikan kewibawaan dan kemampuan mereka sehingga kita mampu tidur lena setiap malam dan menjalankan aktiviti harian dengan tenang.Taniah PDRM!

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Jangan 'beri muka' kempen berpakaian kuning setiap Sabtu

Posted:

Jangan 'beri muka' kempen berpakaian kuning setiap Sabtu

Jangan 'beri muka' kempen berpakaian kuning setiap Sabtu

SELEPAS gagal mengajak 300,000 orang turun ke jalan raya dalam perhimpunan haram 9 Julai lalu, jawatankuasa pemandu Bersih 2 meminta rakyat berpakaian kuning setiap Sabtu sebagai sokongan berterusan kepada lapan perkara tuntutan mereka bagi pembaharuan pilihan raya di negara ini.

Tidak serik-serik pemimpin Bersih ingin menghuru-harakan negara ini. Sikap keras kepala mereka ini tidak boleh dilembutkan dengan tindakan diplomasi dan berhati-hati pihak berkuasa.

Jika cadangan Bersih tidak ditentang, maka satu suasana kurang sihat akan berlaku dalam negara. Setiap Sabtu sahaja ada kumpulan akan berpakaian kuning boleh berkumpul di Kuala Lumpur sebagai simbol kebangkitan kumpulan haram itu.

Apakah Bersih hanya menyeru rakyat berpakaian kuning pada setiap Sabtu sebagai tanda sokongan kepada mereka dan tiada agenda lain selanjutnya? Bolehkah kita percaya dengan kata-kata orang yang telah mengkhianati titah perintah Yang di-Pertuan Agong?

Mula-mula satu dua kumpulan, tetapi jika berminggu-minggu dibiarkan berlangsung, ia akan membina satu kekuatan yang boleh memudaratkan keselamatan awam. Mereka dengan mudah mengadakan perarakan dan perhimpunan haram.

Pihak berkuasa sudah tentu arif dengan taktik dan strategi Datuk S.Ambiga dan kumpulan pemimpin bersih yang didokongi parti pembangkang. Oleh kerana tuntutanBersih belum tertunai, maka mereka akan guna segala upaya untuk melaksanakannya.

Ambiga dan Bersih sengaja memekakkan telinga dan menutup mata sedangkan perkara yang dituntut sudah diperjelaskan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya bukan di bawah bidang kuasanya.

Kalau perkara itu pun Ambiga tidak faham-faham, maka ada muslihat dan agenda yang masih ingin mereka perjuangkan.

Nampaknya selagi lapan tuntutannya belum selesai, kita percaya Ambiga dengan sokongan parti pembangkang akan membuat kacau.

Apa kuasa Bersih hendak mendesak ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk meneliti sistem pilihan raya kita.

Memandangkan kedegilan pemimpin Bersih yang tidak habis-habis mencabar bidang kuasa pihak berkuasa, mungkin sesuai masanya diberi satu kejutan untuk memberi peringatan kepada kumpulan haram itu.

Apatah lagi keingkaran mereka mematuhi arahan mahkamah dan polis pada peristiwa 9 Julai lalu masih belum didakwa di muka pengadilan.

Pihak berkuasa kena bertindak pantas dan tegas untuk menangani pelbagai kerenah dan agenda Bersih yang dilihat sampai ke tahap yang tidak boleh diberi muka lagi.

Jadi apakah kempen Bersih mengajak rakyat berpakaian kuning pada setiap Sabtu wajar dibiarkan?

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved