Rabu, 13 Julai 2011

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Suhaidah perlu bantuan rawat mata

Posted:

Suhaidah perlu bantuan rawat mata

Suhaidah perlu bantuan rawat mata

Oleh ROSMAH DAIN
Gambar MUHAMMAD AMIN NAHARUL ISLAM

BERAT rasanya menanggung derita hanya Tuhan sahaja yang tahu. Sudahlah sering ditimpa sakit, kos rawatan yang bertambah menyebabkan kemampuan untuk mengumpulkan duit bagi mempercepatkan kos pembedahan matanya yang hampir buta tidak tercapai.

Ini yang dihadapi Suhaidah Jaffar, 30, anak kelahiran Johor dan kini menetap di Kampung Sungai Tangkas, Kajang, Selangor, bersama suaminya sejak pernikahan mereka enam tahun yang lalu.

Suhaidah memberitahu, dia tabah menerima kenyataan hidup apabila disahkan sebagai penghidap kencing manis kronik sejak tahun 2008.

''Pada Julai tahun itu saya alami demam panas yang kuat, mengakibatkan kaki menjadi bengkak dan berat. Apabila melakukan pemeriksaan di hospital, doktor kata ada nanah dalam kaki dan kemudian melakukan pembedahan.

''Doktor kata kencing manis yang saya alami ini tahap satu daripada faktor genetik atau keturunan. Adik-beradik saya pun mengalami masalah yang sama sehinggakan adik saya yang berusia 20 tahun pun menghidap kencing manis," jelas anak ketujuh daripada lapan adik-beradik itu.

Pernah bertugas sebagai guru tadika di Bandar Baru Bangi, Selangor, apa yang menyedihkan, akibat masalah kencing manis itu anak yang dikandungnya pada tahun 2009 meninggal dunia akibat kelahiran pramatang.

Dari setahun ke setahun kesihatan Suhaidah juga semakin parah. Selain kencing manis, buah pinggangnya juga rosak, tulang menjadi rapuh, selain menghidap darah tinggi dan terkini sejak tiga tahun lalu, matanya hampir buta.

Dalam seminggu, Suhaidah perlu menjalani rawatan hhemodialisis sebanyak tiga kali. Mujurlah dengan dengan adanya bantuan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Socso), rawatan hemodialisis dapat dijalani secara percuma. Suhaidah juga terpaksa menggunakan suntikan insulin untuk mengawal tahap kencing manisnya.

Namun apa yang diperlukan Suhaidah ialah perbelanjaan sebanyak RM15,000 bagi mempercepatkan rawatan pembedahan matanya di hospital swasta.

''Doktor kata saya mengalami katarak yang teruk. Sekiranya saya boleh melakukan rawatan dan pembedahan mata segera, mungkin penglihatan saya dapat dipulihkan biarpun tidak seratus peratus.

''Jika mengharapkan pembedahan dari hospital kerajaan, saya terpaksa menunggu sehingga tiga tahun lagi baru saya dapat jalani rawatan berkenaan memandangkan senarai menunggu yang panjang," jelasnya yang berharap tidak terus menjadi buta dan menambah menyulitkan keadaan.

Bagaimanapun nasib Suhaidah baik kerana dalam waktunya yang terhimpit seperti itu, suaminya masih ada di sisi menyokongnya. Bertugas sebagai seorang pembantu am di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, Negeri Sembilan, Mohd. Hirwan Muhmad Ishak, 30, turut berkongsi kedukaan bersama isterinya.

''Tiada niat saya untuk meminta-minta tetapi saya sudah hilang cara bagaimana hendak membantu mendapatkan kewangan bagi rawatan pembedahan mata isteri saya," katanya yang berpendapatan sekitar RM700 sebulan.

Sebagai seorang suami, hati mana yang tidak tenang apabila meninggalkan isterinya di rumah berseorangan apabila keluar bertugas.

''Saya takut sekiranya dia jatuh di bilik air, dia tidak akan dapat bangun lagi kerana tulangnya yang rapuh dan mudah mendapat kecederaan.

''Saya hanya mengharapkan bantuan jiran dan bapa saya, untuk melihat-lihat Suhaidah dan menghantar makanan tengah hari buatnya ketika saya bekerja," jelasnya.

Tambahnya dengan pendapatan yang tidak seberapa, dia terpaksa berkorban membeli ubat-ubatan isterinya termasuk ubat untuk dialisis sebanyak RM90 setiap kali rawatan.

''Saya yang menyuntik insulin, membersihkan luka dan menjaga isteri saya. Saya sebenarnya tidak sampai hati melihat penderitaan yang dialaminya, namun saya pasrah dengan dugaan yang mendatang," kata anak sulung daripada lima beradik itu yang juga mengharapkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Justeru, Mohd. Hirwan berharap orang ramai dapat membantu isterinya agar membolehkan dia menjalani rawatan dan pembedahan mata dalam masa yang terdekat.

Kepada yang mahu menghulurkan bantuan atau datang melihat sendiri keadaan Suhaidah bolehlah menghulurkan bantuan atau mengunjungi Lot 44B, Batu 18, Kampung Sungai Tangkas, 43000 Kajang, Selangor atau hubungi talian 017-2967708 dan 012-6898651.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Hargai hati elak hepatitis

Posted:

Hargai hati elak hepatitis

Hargai hati elak hepatitis

Oleh SHOLINA OSMAN
Gambar JEFFRI IRAN


MOHD. Yusof Ahmad menurunkan tandatangannya sempena Kempen Hepatitis yang diadakan, baru-baru ini.


HEPATITIS satu penyakit yang semakin mengancam nyawa manusia. Di Malaysia sahaja dianggarkan lima peratus daripada penduduknya telah menghidap Hepatitis B kronik dan lebih kurang dua peratus lagi Hepatitis C kronik.

Namun pada peringkat dunia, kedua-dua penyakit itu disenarai sebagai salah satu punca utama kematian yang mana melebihi sejuta kes dicatatkan setiap tahun.

Ia yang juga dikenali sebagai penyakit radang hati biasanya disebabkan jangkitan virus yang boleh merebak melalui perkongsian alat suntikan ubat atau dadah, pisau cukur, berus gigi dan peralatan lain seperti gunting kuku yang dicemari darah.

Selain itu ia juga disebabkan tatu, bertindik telinga atau badan dengan alatan yang tidak disteril, menerima darah tercemar melalui darah sebelum saringan virus hepatitis diperkenalkan.

''Penularan daripada ibu penghidap virus hepatitis diperkenalkan semasa bersalin dan ini adalah cara jangkitan Hepatitis B yang paling biasa,'' katanya.

Sehubungan itu Pakar Perunding Hepatologi, Profesor Dr. Rosmawati Mohamed yang juga Ahli Majlis Eksekutif Gabungan Membasmi Hepatitis Virus di Asia Pasifik (CEVHAP) berkata, setiap orang perlu mengambil tahu mengenai penyakit itu dan tidak sesekali menganggap diri kebal terhadapnya.

''Penyakit ini boleh dihidapi oleh sesiapa. Oleh itu setiap orang perlu menjalani ujian darah kerana keputusan ini sahaja yang dapat membuktikan seseorang itu menghidap hepatitis atau bebas daripadanya,'' katanya.

Dr. Rosmawati yang mempelopori kempen Hari Hepatitis Sedunia di Malaysia berkata, hepatitis bergelar pembunuh senyap kerana virus itu dapat hidup dalam tubuh selama bertahun-tahun sebelum timbul apa-apa simpton.

''Hari Hepatitis Sedunia akan dirai secara besar-besaran pada tahun ini supaya dapat membantu usaha mengurangkan bebas virus hepatitis,'' katanya pada sidang akhbar Kempen Hepatitis yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru.

Turut hadir Ketua Pengarah Galeri Seni Negara, Datuk Mohd. Yusof Ahmad.

Berikutan itu sempena Hari Hepatitis Sedunia bertemakan Kenali Hati Anda, Sedarlah dan Jumpalah Doktor (Know Your Liver, B Aware, C A Doctor) pada 28 Julai ini akan dianjurkan pelbagai kempen di seluruh negara.

Ia bermula dengan pameran solo oleh Bhanu Achan yang bertajuk Variasi 40 yang merupakan koleksi lukisan di sepanjang penglibatannya dalam bidang seni.

Ia akan diadakan di The Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPac) dari 4 hingga 17 Julai.

Sebanyak 40 peratus daripada hasil jualan lukisan yang dipamerkan akan disalurkan kepada tabung Hari Hepatitis Sedunia.

''Penglibatan Bhanu amat dihargai kerana dapat menyebarkan maklumat mengenai penyakit ini menerusi seni,'' kata Dr. Rosmawati.

Katanya, menjelang Hari Hepatitis Sedunia, sebanyak 6,000 pesakit yang paling awal mendaftar di laman web rasmi akan dapat menjalani saringan hepatitis B dan C secara percuma di 20 hospital yang turut serta dalam kempen itu di seluruh negara.

Sehubungan itu, orang ramai boleh mendaftar secara online di laman web www.myhepatitisday.com.

''Saringan ini penting kerana hepatitis yang disebabkan virus Hepatitis B dan C merebak terutamanya melalui darah yang terjangkit atau melalui bendalir tubuh,'' katanya.

Sehubungan itu, katanya, mereka yang berisiko tinggi memang patut menjalani ujian itu.

Beliau memberitahu, acara utama Hari Hepatitis Sedunia akan berlangsung pada 16 dan 17 Julai ini di pusat membeli-belah Sunway Piramid.

Sempena dengan majlis itu diadakan pameran foto montaj, pusat kaunseling untuk pemvaksinan dan pondok ujian hepatitis.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved