Selasa, 5 Julai 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Berbilion dana demi peneroka

Posted:

Berbilion dana demi peneroka

Berbilion dana demi peneroka

Oleh AMIR SARIFUDIN
amir.mansor@utusan.com.my


Dzukifli Abd. Wahab


TARIKH 7 Julai, amat bermakna bagi ratusan ribu warga peneroka Felda di seluruh negara kerana ia merupakan hari bagi menghargai sumbangan mereka ini kepada negara. Bermula dengan poket kosong, makan pagi kais pagi, makan petang kais petang, kehidupan golongan peneroka satu ketika dulu amat sengsara.

Namun setelah 55 tahun berlalu, nasib mereka masa kini jauh amat berbeza, malah ada yang bergelar jutawan.

Di sebalik kejayaan golongan peneroka itu, banyak cerita yang tersirat ketika kerajaan mula-mula memperkenalkan tanah rancangan Felda puluhan tahun lalu.

Untuk menyingkap sebahagian apa yang tersirat itu, penulis berpeluang mewawancara Pengarah Besar Felda, Datuk Dzukifli Abd. Wahab. Sebaik sahaja bertemu beliau, soalan pertama diajukan ialah ''bagaimana kehidupan para peneroka Felda masa kini''.

Termenung sejenak memikirkan perubahan hidup para peneroka, Dzulkifli perlahan- lahan berkata: ''Apakah tuan-tuan mengetahui, ramai kalangan peneroka Felda kini kehidupan mereka jauh lebih baik berbanding jawatan saya ini sebagai Pengarah Besar Felda.''

Jawapan ringkas tetapi penuh bermakna daripada Dzulkifli itu menggambarkan satu perubahan amat besar kepada kehidupan peneroka.

Dulu generasi pertama peneroka Felda hidup sangat susah dengan serba kekurangan. Mereka bermula dengan tangan kosong dan dibawa dari seluruh pelosok negara dan dikumpulkan di kawasan hutan belantara semata-mata untuk membela nasib mereka.

Untuk membuka tanah rancangan di Jengka, Pahang sahaja pada tahun 1965 (iaitu selepas merdeka), kerajaan dengan berani membuat pinjaman daripada Bank Dunia.

Sebanyak AS$52 juta (kira-kira RM250 juta ketika itu) dipinjam, ia amat besar jumlahnya berdasarkan negara baharu sahaja merdeka.

Kerajaan ketika itu turut mengeluarkan peruntukan tambahan hingga menjadikan pembukaan projek tanah rancangan Felda di Jengka mencecah kira-kira RM347 juta.

Ramai yang tidak sedar, ketika itu kerajaan sanggup meminjam semata-mata mahu mengeluarkan rakyat daripada kemiskinan hidup.

Untuk meminjam daripada Bank Dunia, pihak bank pada awalnya sukar mempercayai kemampuan kerajaan Malaysia hendak menjadikan kawasan hutan belantara sebagai penempatan baru dan membuka ladang.

Namun, akhirnya pinjaman itu diluluskan juga setelah Bank Dunia menghantar wakil bagi meninjau rancangan kerajaan tersebut.

Mengupas jawapan beliau tadi, Dzulkifli berkata, ada rumah peneroka Felda kini lebih besar dan cantik berbanding rumah beliau (Dzulkifli) sendiri.

''Ini menunjukkan kemampuan mereka setelah menyertai tanah rancangan Felda. Kehidupan mereka lebih baik berbanding saya yang makan gaji dengan gred yang tinggi,'' katanya.

Namun, Dzulkifli agak terkilan, pelbagai kejayaan dicapai itu tidak dihargai oleh segelintir peneroka yang mudah termakan hasutan pihak luar.

''Kita buka beberapa lagi tanah rancangan selepas Jengka. Semuanya untuk keluarkan rakyat daripada kemiskinan hidup. Ramai peneroka berjaya dalam hidup mereka, tetapi segelintir tak berjaya itu kerana apa? Segelintir ini pula termakan hasutan hingga bertindak saman Felda,'' katanya.

Dzulkifli membayangkan, tindakan segelintir peneroka yang vokal itu boleh menghancurkan usaha bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang memperkenalkan entiti Felda kepada rakyat.

Berbalik kepada peruntukan RM347 juta untuk pembukaan Jengka itu, jika dinilai peruntukan pada masa ini bolehlah dianggarkan sekitar RM20 bilion. Bayangkanlah besarnya jumlah pinjaman dan peruntukan itu hanya semata-mata nak tolong para peneroka.

Menjawab pertanyaan, Dzulkifli berkata, pinjaman kerajaan pada pihak luar negara bagi membangunkan tanah rancangan Felda bukanlah perkara baru malah telah dibuat sejak puluhan tahun lalu.

''Tapi ramai juga yang tidak tahu, pinjaman itu telah kira selesaikan pada tahun 2000 walaupun syarat dikenakan ia perlu dijelaskan pada 2013. Kerajaan juga telah buat pinjaman RM4.95 bilion untuk tanah rancangan di Johor Tenggara. Pinjaman ini juga telah kita selesai tahun 2000 iaitu 13 tahun lebih awal,'' katanya.

Mengenai tindakan segelintir peneroka bertindak menyaman Felda di mahkamah, beliau berkata, mereka berbuat demikian kerana hasutan. Katanya, peneroka terbabit kebanyakannya tidak lagi menguruskan sendiri ladang mereka tetapi mengupah pekerja asing.

''Kita tahu, kini ramai kalangan peneroka generasi pertama tidak lagi bekerja atau menguruskan ladang masing-masing. Mereka sudah mengupah para pekerja asing disebabkan kehidupan mereka bertambah baik dengan pendapatan lumayan,'' katanya.

Apabila ini berlaku. peneroka terbabit tidak tahu apa sebenarnya berlaku di ladang-ladang. Jika masa dahulu, kalangan peneroka sendiri yang mengusahakan ladang, maka tumpuan dibuat lebih kepada kualiti buah.

Namun sekarang, apabila sudah mengupah buruh asing, para pekerja ini lebih tertumpu kepada berat buah sawit. Apabila ini berlaku, bayaran dari hasil kadar perahan sawit juga berkurangan disebabkan buah sawit yang hasilkan kurang berkualiti.

Berikutan itu, ada kalangan peneroka tidak berpuas hati dengan bayaran diterima kerana beranggapan buah sawit yang dihantar ke kilang banyak tetapi mengapa pula bayaran diterima mereka (peneroka) berkurangan. Ini disusul pula dengan hasutan pihak luar hingga mendakwa Felda telah menipu para peneroka.

Dzulkifli berkata, pihaknya sentiasa bersemuka dengan para peneroka bagi memberi penjelasan mengenai perkara tersebut.

"Apabila diadakan penerangan mengenai perkara ini, bukan semua peneroka yang hadir. Jika mereka tidak hadir, penjelasan dan pemahaman tidak dapat diberi,'' katanya.

Bagaimanapun katanya, Felda sentiasa bersedia memberi penerangan dan penjelasan supaya perkara itu dapat diselesaikan dengan baik.

''Usaha memberi penjelasan itu tetap diteruskan kerana Felda percaya ia dapat diselesaikan,'' katanya.

Ditanya lagi mengenai siapa yang bakal meraih keuntungan dari tindakan saman itu, Dzulkifli berkata: ''Tuan-tuan pun boleh nilai sendiri, siapa yang untung nanti, peneroka ke atau pihak luar?''

Sempena sambutan Hari Peneroka, Dzulkifli berkata, Felda dan kerajaan tidak pernah menganaktirikan mana-mana peneroka.

Felda tidak mendapat apa-apa kerana semua yang dilakukan adalah demi golongan peneroka. Ini dibuktikan melalui langkah kerajaan yang sanggup meminjam termasuk dari negara Kuwait dan Jepun, semata-mata demi kesejahteraan para peneroka.

Hasilnya juga dapat kita lihat bagaimanapun kehidupan para peneroka kini bertambah baik.

Mengakhiri wawancara itu, Dzulkifli hanya berpesan: ''Renungkanlah, sama-samalah kita (peneroka) renungkan. Kita ada saluran dan sepatutnya mencari jalan penyelesaian terbaik. Siapa yang bakal untung jika para peneroka Felda berpecah-belah hanya disebabkan hasutan luar."

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Peranan pemimpin atau rakyat?

Posted:

Peranan pemimpin atau rakyat?

Peranan pemimpin atau rakyat?

PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia

PEMIMPIN lahir daripada rakyat. Tanpa rakyat, siapalah pemimpin dalam konteks pemerintahan negara ini. Rakyat adalah 'raja' yang menentukan kedudukan seseorang pemimpin dalam konteks politik arus perdana hari ini.

Semua pemimpin dalam stratifikasi masyarakat baik dengan apa jawatan sekalipun sama ada di peringkat bawahan mahupun atasan, lahir daripada rakyat. Namakan mereka apa sahaja, pemimpin tetap wajar memiliki penjenamaan rakyat dalam diri mereka. Barulah, kepemimpinan daripada rakyat dan merakyatkan kepimpinan dilihat saling perlu memerlukan.

Hari ini nilai hubungan pemimpin dan rakyat sudah jauh berubah. Dalam mempertahankan nilai konvensional dan tradisional, kepimpinan hari ini hakikatnya berpusat kepada karakter atau keperibadiannya beserta gagasan atau agenda pentadbiran walaupun kuasa dan kedudukan meletakkan seseorang pemimpin pada taraf tertentu dalam masyarakat.

Kewujudan pemimpin dalam apa jua gelarannya barangkali mempunyai pelbagai kuasa dan kedudukan malahan tanpa kedudukan sekalipun masih berpengaruh untuk memainkan peranan dan fungsi pengukuhan seseorang pemimpin.

Legitimasi politik atau keabsahan pemimpin adalah bagaimana beliau diiktiraf tanpa perlu dipaksa memberi sokongan tetapi dengan sukarela mendapatnya kerana memiliki ciri kepimpinan yang berwibawa.

Pemimpin berjiwa rakyat adalah harapan umum, yang jujur dan memenuhi tanggungjawab ke atas rakyat dengan etika dan integriti yang dipersetujui tanpa melahirkan keraguan ke atas hak mereka sebagai warga.

Pemimpin juga seperti pengarah syarikat dan rakyat adalah pemegang sahamnya. Sebagaimana keluarga dan syarikat penting bagi empunyanya, begitu juga beban tanggungjawab pemimpin ke atas rakyatnya. Pemegang saham boleh memberontak jika lembaga pengarah syarikat memegang jawatan untuk memperkukuhkan diri sendiri.

Bertopengkan jawatan sehingga membelakangkan integriti boleh menyebabkan rakyat marah dan kecewa. Rakyat adalah penentu dan penyuntik hayat seorang pemimpin dalam konteks hari ini yang dipenuhi dengan permainan manipulasi fakta dan sejarah.

Moral menjadi penanda aras martabat seorang pemimpin. Sumbangan pembangunan harus diimbangi dengan keikhlasan pemimpin dalam memanifestasi perjuangannya untuk rakyat.

Pemimpin mesti cekal dan tidak mudah terpedaya; tidak gentar pada suruhan nafsu ataupun pujukan rasuah, bergelut nyawa daripada menggadai maruah, serta tidak akan berkompromi untuk mengalah kepada desakan dusta dan nista.

Keteguhan pemimpin adalah pada secara konsisten mendahulukan rakyat daripada dirinya. 'Rakyat Dahulu, Saya Kemudian' boleh dirujuk sebagai pemimpin rakyat.

Pengorbanan dan kompromi dilakukan untuk rakyat; rakyat menjadi benteng kekuatan dirinya. Jika ada kelemahan, pemimpin mesti berani mengakuinya dan bersifat rendah diri untuk kepentingan rakyat.

Pemimpin juga seharusnya dapat memastikan tingkah laku rakyat tidak bertentangan dengan Perlembagaan dan undang-undang agar rakyat akan sentiasa merasa selamat dari angkara pihak yang mempunyai kepentingan fahaman politik mereka atau terlalu taksub dengan individu sehingga akan menggunakan apa sahaja cara untuk melenyapkan yang terbina melalui amalan demokrasi berperlembagaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pernah menasihatkan pemimpin katanya; "Seseorang yang bergelar pemimpin bukan bermakna berada pada kedudukan tertinggi atau memiliki keistimewaan, tetapi ia satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Pemimpin perlu memiliki sifat rendah diri dan tawaduk dalam menjalankan tanggungjawab serta sanggup merasai kesusahan yang dialami rakyat.''

Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah juga pernah bertitah bahawa ''adab adalah penentu kepada jatuh bangun seseorang pemimpin, bangsa dan sesebuah negara kerana ia memperingati bahawa taraf kemuliaan seseorang itu bukan ditentukan oleh faktor kuasa, kekayaan mahupun keturunan, tetapi oleh pengetahuan, kecerdasan otak dan sifat murni.''

Wadat Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba dalam teks Sejarah Melayu atas konsep derhaka-setia perlu dihalusi semula kerana politik baru memerlukan pemimpin rakyat yang berfikiran inklusif bersedia melakukan apa sahaja demi kepentingan rakyat dan bukan kepentingan diri kerana pemimpin adalah penyatu masyarakat.

Pemimpin dan pengikut perlu berubah kerana yang mencorakkan matlamat dan perjuangan adalah pemimpin yang beralaskan tulang belakang yang ampuh iaitu rakyat. Keangkuhan, bongkak dan sombong bukan nilai tambah politik baru tetapi di sebaliknya.

Model politik baru merungkai tanggungjawab dalam kalangan pemimpin dan ia akan berjaya jika masing-masing memahami peranan dan fungsi mereka dalam kerangka untuk mentransformasi negara dan rakyat. Rakyat memerlukan pemimpin dan pemimpin juga memerlukan rakyat.

Kebangkitan rakyat dan pemimpin beralaskan kepada keunikan demografi dan geografi negara ini akan membolehkan kestabilan, kesejahteraan dan kehidupan berukun terus diperkasakan dan martabat negara bangsa dipertahankan demi generasi akan datang. Dilemanya, adakah keseluruhan masyarakat berfikiran sedemikian rupa apabila landskap politik berubah sejak Mac 2008.

Rakyat menentukan kepimpinan politik melalui amalan yang sudah wujud sekian lamanya; sehingga Terengganu jatuh kepada pembangkang pada 1959 dan 1999; Kelantan di bawah parti pembangkang untuk sekian lamanya; Sabah pada 1990; beberapa negeri juga dimenangi dalam pilihan raya 1969 dan 2008; Wilayah Persekutuan turut dikuasai oleh pemimpin pembangkang; yang terkini lapan dari 16 Pilihan Raya Kecil turut melihat kekalahan parti pemerintah.

Apakah politik perlu dijaja dalam apa sahaja acuan seolah-olah mahu mengesahkan bahawa 'politik adalah kotor' dengan membawa mesej bersih secara tersurat. Sedangkan pemimpin jika benar-benar jujur dengan tanggungjawabnya ada saluran untuk menyerah memorandum kepada Institusi Raja negeri yang ditadbir urus mereka sebelum dibawa kepada perhatian Yang di-Pertuan Agong?

Apakah undang-undang hanya akan dihormati jika ia memberikan keselesaan kepada tuntutan sesetengah pihak dan ditolak habis-habisan jika boleh membawa kemudaratan kepada mereka?

Barangkali sentimen populis adalah ayunan akhir untuk mempertahankan pemimpin yang memerhati dan membuat congakan untuk menguasai kepimpinan negara apabila barisan pembesar bukan kerajaan menyedari ada pemimpin yang akan menjadi liabiliti kepada mereka dan boleh kehilangan sokongan yang tidak bersifat tetap daripada pilihan raya lalu.

Rakyat yang menentukan kedudukan pemimpin dan sudah tiba masanya menilai apakah benar 'rakyat sudah matang' dalam konteks politik perkauman dan sejauh manakah pemimpin yang akan lahir adalah bukan dari yang tidak matang?

Apakah yang kita lihat mutakhir ini dan yang akan datang adalah akibat dari desus-desus pilihan raya akan diadakan tidak berapa lama lagi? Barangkali, tarikh pilihan raya umum perlu diperpanjangkan tempoh masa sehingga mencapai tempoh masa matang agar 'pemimpin dan rakyat' memain peranan memulihkan ekonomi negara, menjana kestabilan dan keadaan yang lebih menentu sebagaimana yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 1999?

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved