Selasa, 5 Julai 2011

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Gelagat saksi 'warnai' perbicaraan

Posted:

Gelagat saksi 'warnai' perbicaraan

Gelagat saksi 'warnai' perbicaraan

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM dan SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my


Anak mangsa, Erni Erinawati Sofia (kiri) ditemani Erni Dekritawati Yuliana (kanan) hadir pada perbicaraan kes bunuh Sosilawati Lawiya di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam. - UTUSAN/AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN


SHAH ALAM 5 Julai - Perbicaraan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya pada hari kedua di Mahkamah Tinggi di sini hari ini boleh dikatakan agak menarik terutamanya ketika sesi soal balas oleh barisan pembelaan.

Antara saksi pendakwaan yang menarik perhatian ialah jurugambar dari Cawangan Foto Ibu Pejabat Daerah Kuala Langat, Lans Koperal Mohd. Fairol Awad dan bekas juruwang Fazz Enterprise Sdn. Bhd., Zurayina Jemaat.

Fazz Enterprise merupakan tempat Sosilawati dan pemandunya, Kamarudin Shamsudin dilihat membeli pelbagai jenis kerepek dan kuih raya sebelum hilang.

Mohd. Fairol yang merupakan saksi pendakwa keenam yang pada mulanya kelihatan tenang ketika pemeriksaan utama dilihat 'hilang ingatan' terutamanya ketika disoal oleh peguam-peguam bela, Manjeet Singh Dhillon dan Amer Hamzah Arshad.

Ini kerana, sepanjang sesi soal balas, saksi tersebut dilihat banyak mendiamkan diri seolah-olah sedang memikirkan sesuatu sehingga Manjeet pada satu ketika terlupa akan soalannya sendiri kerana terlalu lama menunggu.

Saksi berkenaan juga menjawab 'tak ingat' sebanyak lapan kali sepanjang sesi soal balas.

Amer Hamzah pula akibat terlalu lama menunggu jawapan, mengulangi soalan beberapa kali sehinggakan soalannya yang terakhir berhubung individu yang bertanggungjawab memilih gambar-gambar sebagai bukti di mahkamah turut disertakan dengan pilihan jawapan.

''Soalan saya senang sahaja. Siapa pegawai yang beri arahan tentang pemilihan gambar? Ini saya bagi pilihan jawapan: (A) Cif Inspektor Govindan. (B) Asisten Supritendan (ASP) Ishak Yaakob. (C) DPP (Timbalan Pendakwa Raya) Ishak. (D) Tiada di atas,'' ujarnya.

Tindakan peguam yang mewakili tertuduh ketiga, R. Matan, 21, dalam kes itu memasukkan nama Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff dalam pilihan jawapan itu membuatkan Ishak terkejut dan secara spontan berkata ''Eh, apa pula ni?''

Reaksi tersebut menyebabkan mereka yang hadir termasuk Hakim Datuk Akhtar Tahir tertawa.

Amer Hamzah sekali lagi menarik perhatian apabila beliau 'mengagumi' saksi pendakwa ketujuh, Zurayina, 27, yang disifatkan seorang pekerja yang rajin, tidak curi tulang dan suri rumah yang baik sehingga tidak ada masa untuk membaca akhbar mahupun menonton televisyen kecuali pada hari cuti.

Sedangkan saksi itu pada pemeriksaan utama oleh pendakwa raya menyatakan dia mengenali Sosilawati melalui majalah Wanita yang dibacanya antara dua hingga tiga kali seminggu.

''Saya cadangkan pada awak, apa yang awak tahu tentang kereta yang dibawa oleh Datuk Sosilawati adalah melalui media. Sebab awak tidak keluar dari kedai, awak ada di bahagian belakang kedai. Awak tidak nampak Datuk Sosilawati tiba dan meninggalkan kedai,'' tegas peguam itu.

''Saya tak baca apa-apa. Masa kerja mana boleh baca apa-apa. Balik rumah saya uruskan hal rumah tangga, hal anak-anak, masak. Tak ada tengok tv, tak baca surat khabar,'' jawab wanita terbabit yang agak kelihatan tidak senang dengan asakan Amer Hamzah.

Sementara itu, Manjeet yang sebelum ini agak tegas ketika menyoal balas saksi-saksi, dilihat menggunakan pendekatan yang lebih lembut ketika menyoal balas Suzana Radin Pangit, 39, iaitu isteri kepada pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad.

Peguam terbabit sebelum memulakan soal balas turut memohon maaf terlebih dahulu kepada wanita itu sekiranya ketika bertanyakan soalan dia merujuk kepada Noorhisham sebagai 'your late husband' (arwah suami awak) atau 'you missing husband' (suami awak yang hilang).

Beliau bagaimanapun tidak menggunakan mana-mana istilah itu sepanjang sesi soal balas.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Sikap Noorhisham berbeza – Isteri

Posted:

Sikap Noorhisham berbeza – Isteri

Sikap Noorhisham berbeza – Isteri

SHAH ALAM 5 Julai – Isteri Noorhisham Mohamad, seorang daripada tiga mangsa yang dibunuh bersama-sama jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, memberitahu bahawa suaminya itu enggan menyatakan di mana dia berada pada pukul 8 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Suzana Radin Pangat, 39, yang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berkata, suaminya juga kedengaran seperti sedang tergesa-gesa apabila segera mematikan talian telefon tanpa memberitahu lokasi dia berbuka puasa serta juadah yang dimakan seperti kebiasaan semasa menghubunginya.

''Saya tanya dia berbuka puasa di mana, dia tidak jawab. Tidak sempat cakap apa-apa, dia sudah matikan telefon.

''Seperti biasa kalau dia telefon, saya akan tanya berbuka di mana dan makan apa. Saya tidak ingat berapa lama kami bercakap tetapi sekejap sangat.

''Biasanya kalau telefon, dia juga akan cakap berada di mana. Tetapi pada hari kejadian, dia tidak beritahu, ia satu kelainan,'' kata isteri kepada pegawai Bank CIMB Cawangan Kampung Baru itu.

Suzana yang bertugas sebagai pembantu peribadi di Ibu Pejabat Bank CIMB itu berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff serta semasa disoal balas oleh peguam Amer Hamzah Arshad.

Menurut saksi pendakwaan kelapan itu, beliau juga merasa marah apabila Noorhisham memberitahu tidak dapat pulang selama tiga hari untuk membantu menyelesaikan masalah Sosilawati ketika bercakap melalui telefon setengah jam sebelum suaminya dikatakan dibunuh.

Dia bertindak menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) lima minit kemudian kepada Norhisham yang berbunyi: 'Kenapa awak sanggup nak bantu orang lain tetapi tinggalkan saya dan anak-anak selama tiga hari.'

Suzana mengakui, dia turut tidak menjawab panggilan telefon Noorhisham beberapa minit kemudian kerana sedang marah dan tidak dapat menerima tindakan suaminya pada ketika itu.

Dia hanya cuba menghubungi suaminya semula semasa bangun untuk bersahur pada pukul 3 pagi keesokan hari tetapi tidak berjaya.

''Selepas berbuka puasa, suami telefon dan beritahu dia tidak boleh pulang tiga hari sebab ada hal. Saya tanya kenapa, dia kata hendak cuba selamatkan Sosilawati. Kamal (Kamaruddin) ugut Sosilawati sebab ada gambar tidak elok hendak disebarkan. Jadi dia dan Ahmad Kamil terpaksa bantu dalam hal ini.

''Lepas itu dia minta saya faham situasi dan minta maaf banyak-banyak dengan saya. Dia kata, dalam masa tiga hari, dia akan balik dan ceritakan segalanya. Bila saya tanya dia di mana dia tidak jawab dan terus matikan talian,'' katanya sambil menangis.

Terdahulu, Suzana memberitahu, Noorhisham memakai baju korporat CIMB berwarna hijau dan memakai jam tangan jenama Longines hadiah daripada bank tersebut, semasa menghantarnya di pejabat pada pukul 8 pagi.

Jelas saksi, suaminya ketika itu memberitahu dia akan ke Banting pada waktu petang bersama-sama Ahmad Kamil atas urusan perniagaan Sosilawati.

Pada prosiding hari ini, Suzana turut mengecam jam tangan Longines dan telefon bimbit Blackberry Bold hitam kepunyaan suaminya. Perbicaraan bersambung esok.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved