Isnin, 4 Julai 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Yingluck perlu restu Raja Thai

Posted:

Yingluck perlu restu Raja Thai

Yingluck perlu restu Raja Thai

Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my


Yingluck Shinawatra meraikan kemenangan di ibu pejabat Parti Pheu Thai, Bangkok pada 3 Julai lalu – AFP


SEPERTI yang telah dijangkakan ramai pihak, Parti Pheu Thai (Untuk Rakyat Thai) memperoleh kemenangan besar pada pilihan raya umum Thailand seterusnya mencatat nama Yingluck Shinawatra, 44, adik kepada bekas Perdana Menteri, Thaksin, selaku Perdana Menteri wanita pertama negara itu.

Bekas Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva akhirnya terpaksa mengakui kekalahan tersebut yang menyaksikan kejayaan besar bagi gerakan politik Baju Merah yang menyokong Thaksin.

Abhisit, 46, seorang ahli ekonomi yang dilahirkan di Britain dan mendapat pendidikan di Universiti Oxford sebelum ini telah memberi amaran Thailand boleh kembali bergolak jika Yingluck menang.

Penyokong Abhisit yang terdiri daripada pihak istana dan golongan kelas menengah serta atasan di bandar pula mahu Thaksin menjalani hukuman penjara dua tahun kerana kesalahan rasuah dan menyalahgunakan kuasa.

Aktivis Baju Merah bagaimanapun tetap memberi sokongan padu kepada Yingluck dan menuduh Abhisit bersekongkol dengan tentera untuk bertindak sewenang-wenangnya, tuduhan yang berlarutan sejak tentera menggulingkan Thaksin pada 2006.

Yingluck berhasrat menubuhkan kerajaan campuran dengan segera berikutan kemenangan itu sementara Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand mempunyai tempoh hingga 2 Ogos untuk mengesahkan keputusan pilihan raya tersebut.

Bagi Pensyarah di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamad Faisol Keling, apa yang berlaku telah dijangkakan.

"Gerakan Baju Merah dan sokongan terhadap Thaksin memberi impak besar dalam pilihan raya kali ini yang diterjemahkan melalui keputusannya serta kemenangan Yingluck.

"Yingluck merupakan ikon imej abangnya yang menarik sokongan simpati terhadap Thaksin di kalangan rakyat di utara Thailand terutamanya di luar bandar," katanya.

Secara peribadi, Mohamad Faisol tidak tahu sejauh mana keberkesanan parti baru pimpinan adik Thaksin itu akan berjaya kerana semuanya akan bergantung kepada penerimaan seluruh rakyat Thailand.

Tambahnya, persoalan utama kini adalah hubungan parti Pheu Thai itu dengan Raja Thailand dan istana yang seterusnya bakal menentukan sokongan atau tentangan pihak tentera.

"Menjadi satu cabaran untuk parti itu mahupun Yingluck sendiri mendapat restu istana dan ini mampu menggugat pentadbiran mereka kerana majoriti rakyat Thailand sangat setia kepada Raja.

"Masalah juga mungkin timbul dengan rakyat di selatan Thailand yang tidak menyokong Yingluck selepas banyak peristiwa buruk menimpa mereka semasa pemerintahan Thaksin," jelasnya.

Menurut beliau, faktor-faktor itu merupakan risiko besar kepada Yingluck seterusnya tidak memberi jaminan tinggi kepimpinannya akan bertahan lama.

"Thaksin dahulu juga menghadapi masalah sokongan daripada istana dan kerana itu Yingluck perlu mempunyai hubungan baik dengan istana jika mahu bertahan lama.

"Rakyat Thailand masih dalam konflik antara amalan demokrasi penuh dan monarki mutlak. Namun, kesetiaan dan sokongan mereka kepada Raja amat tinggi, ditambah pula tentera sendiri berada di bawah kuasa Raja," ujarnya.

Pemerintahan monarki mutlak Thailand berakhir pada 1932 tetapi menyaksikan lebih 30 peralihan pemerintahan Perdana Menteru melalui rampasan kuasa.

Raja Bhumibol Adulyadej yang menaiki takhta sejak 9 Jun 1946 juga telah menyaksikan 15 rampasan kuasa, peralihan 27 Perdana Menteri dan pernah menggunakan pengaruhnya untuk menghalang dua rampasan tentera pada 1980-an.

Mohamad Faisol menegaskan, sukar dijangka apa yang bakal berlaku kelak kerana parti Pheu Thai dan Perdana Menteri wanita pertama Thailand itu masih baru dan semuanya bergantung kepada penerimaan rakyat Thailand terlebih dahulu, terutamanya di Selatan.

"Hubungan dua hala dan diplomatik dengan Malaysia tiada masalah tetapi situasi pemerintahan dalaman Thailand masih belum dapat dipastikan.

"Saya membuat andaian perarakan penentangan seperti sebelum ini bakal berlaku semula terutamanya dengan usul pengampunan dan membawa balik Thaksin yang pasti akan dikemukakan parti Pheu Thai," katanya.

Dalam pada itu, pemerhati politik Asia Tenggara, Ahmad Zaki Hassan turut bersetuju pengaruh Thaksin masih besar dan kuat walaupun selepas beberapa tahun digulingkan apabila adiknya yang langsung tiada asas politik boleh menang besar dan dilantik sebagai Perdana Menteri.

"Masyarakat kampung dan luar bandar masih menyokong Thaksin kerana dasar ketika zaman pemerintahannya dahulu memang diperakui berjaya.

"Dasar 'Thaksinomik' itu berjaya mengeluarkan negara itu daripada belenggu masalah ekonomi dan memberi pekerjaan kepada penduduk luar bandar," jelasnya.

Tambahnya, kerana itu juga Thaksin merupakan Perdana Menteri Thailand yang dilantik secara demokrasi paling lama bertahan selepas menang besar dalam dua pilihan raya.

"Parti yang menang mungkin akan menggunakan peluang ini untuk memasukkan nama Thaksin dalam senarai pesalah bagi pengampunan di bawah sokongan Yingluck selaku Perdana Menteri.

"Tetapi usaha membawa balik dan menaikkan kembali bekas Perdana Menteri itu akan dilawan pihak tentera dan rampasan kuasa juga mungkin akan berulang," ujarnya.

Ahmad Zaki menegaskan, campur tangan tentera dalam perancangan Parti Pheu Thai dan Yingluck itu mungkin berlaku memandangkan istana dan golongan elit negara itu tidak menyebelahi mereka.

"Jika mereka berjaya membentuk kerajaan sekalipun dalam tempoh terdekat ini, saya fikir dalam sebulan sahaja lagi Baju Kuning yang menentang Thaksin akan kembali ke jalan raya.

Dengan perkembangan dan jangkaan perkembangan situasi politik di Thailand, tidak mengejutkan jika senario politik jalanan negara itu akan diulang tayang.

Semua sudut positif dan negatif corak politik Thailand juga wajar diambil iktibar negara lain terutamanya para pemimpin politik dalam mencorak negara sendiri sama ada mahu demokrasi yang aman dan harmoni atau memilih bentuk politik 'ombak'.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Ancaman komunis dan 13 Mei

Posted:

Ancaman komunis dan 13 Mei

Ancaman komunis dan 13 Mei

Oleh ZAINAL RASHID AHMAD
pengarang@utusan.com.my


Teo Kok Seong dan Salleh Mat Rasid dalam rancangan bual bicara Assalamualaikum yang dihos oleh Shahrul Faizie Zaini dan Irma Hasmie Ibrahim di TV AlHijrah, baru-baru ini. – UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN


PADA 9 Julai ini tidak lagi dilihat sebagai misi Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) untuk tampil bersuara mengenai apa juga bentuk protes mereka sama ada terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mahu pun kerajaan.

Apa yang dibimbangi, di peringkat masyarakat awam, Julai tidak lagi ditafsir sebagai hari menyuarakan protes atau bantahan, kerana perkembangan semasa sudah jelas menunjukkan 9 Julai bakal mengheret negara jauh ke dalam kancah krisis keselamatan malah pertembungan berdarah isu perkauman mahu pun keagamaan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Salleh Mat Rasid menyifatkan, penyusupan unsur dan ideologi jelas wujud dan bakal menular melalui perhimpunan ini.

Buktinya, di Pulau Pinang dan Selangor, beberapa siri operasi polis jelas menunjukkan barangan seperti kemeja T dan bahan cetak yang diedarkan terang-terangan menyebarkan dakyah dan propaganda komunis.

Penyusupan melalui agenda menumpang demonstrasi awam, melalui kempen Bersih ini, satu ruang baru yang digunakan pihak komunis untuk bertapak.

"Kita mendapat maklumat bahawa di Pulau Pinang ada unsur-unsur komunis terlibat. Perhimpunan Bersih nyata sudah tidak Bersih dan dikhuatiri ia akan membawa negara kita kembali ke era darurat," kata Salleh.

Salleh jelas merujuk kepada beberapa siri rampasan barangan termasuk kemeja T yang tertera gambar-gambar bekas pemimpin komunis Malaya serta wajah-wajah ikon komunis dunia yang dicetak dan cuba diedarkan oleh pihak tertentu.

Bagi polis, medan demonstrasi Bersih kini bukan sahaja menjadi medan yang diharamkan kerana tidak mendapat permit perhimpunan, tetapi bahaya perhimpunan itu kini ialah potensi ia akan digunakan oleh anasir komunis bagi mencari ruang untuk bergerak semula di tengah-tengah masyarakat negara ini.

Salleh menjelaskan isu mengenai ancaman komunis ini ketika diwawancara secara eksklusif dalam program bual bicara Assalamualaikum terbitan TV AlHijrah baru-baru ini.

Program ini dihos oleh Irma Hasmie Ibrahim dan Mohd Shahrul Faizie Zaini. Tamu lain yang dijemput bersama memperkatakan mengenai Bahaya Subversif di Sebalik Bersih ini ialah pakar sosiolinguistik Universiti Kebangsaan Malaysia Profesor Teo Kok Seong.

Selain bimbang dengan ancaman komunis, polis turut mengakui ada kecenderungan perhimpunan ini akan diheret menjadi tempat bertembungnya isu perkauman dan keagamaan.

Ini berikutan begitu banyak sentimen liar yang sengaja ditiup dengan mengheret perhimpunan ini sebagai detik kebangkitan bangsa dan agama dalam berjuang mahu pun berjihad kerana banyak perkara berkaitan Bersih kini ditafsir sebagai berbau perkauman dan mencabar nilai keagamaan.

Menurut Mohd Syahrul, "sudah banyak pihak meniupkan mesej anti atau pro Bersih dengan elemen rasis dan agama."

Jelas Salleh, "akan lebih teruk dari 13 Mei, sekiranya tiada tindakan diambil bagi menghalang agenda golongan ini. Perhimpunan ini akan diambil alih oleh golongan perkauman dan ekstremis untuk menimbulkan kekacauan dan mengeruhkan keadaan."

Kenyataan Salleh disokong Kok Seong dengan menyifatkan: "Objektif perhimpunan ini sudah jauh tersasar, sudah lebih kepada permainan politik pihak tertentu. Kita sebagai rakyat harus melihat akibat buruk yang bakal mengganggu kestabilan negara.

Kok Seong turut melahirkan rasa bimbang, kerana perhimpunan ini apabila dicemari oleh sentimen komunis dan perkauman, maka akan mudah menjurus kepada pertembungan puak kanan dan kiri. Lebih memburukkan keadaan, sekiranya pertembungan ini sengaja dirancang.

"Anak muda dan mahasiswa harus sedar, ini bukan pesta untuk keluar berhimpun dan cabar mencabar. Generasi hari ini mungkin tidak mengalami peritnya era 13 Mei, justeru mereka tidak hargai apa yang kita ada sekarang," kata Kok Seong.

Beliau mengingatkan semua pihak untuk segera mempelajari nilai sejarah, terutama kejayaan dan keamanan negara yang terpelihara kerana kuatnya nilai keamanan yang dipegang sejak era menuntut kemerdekaan.

"Cara penyelesaiannya ialah meja rundingan. Kita harus utamakan nilai kenegaraan dan imej negara," jelasnya lagi.

Mengenai penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), polis akan bertindak menggunakan akta ini sekiranya perlu. Apatah lagi terhadap dalang yang menyeret isu perkauman dan keagamaan dengan niat sengaja untuk memporak-porandakan negara.

"Polis akan menggunakan ISA sekiranya perlu, kita akan bertindak menggunakan akta yang ada serta mengutamakan undang-undang untuk menangani isu ini," tegas Salleh.

Ketegasan ini disuarakan sebagai reaksi terhadap usaha-usaha yang kini luas dijalankan di saluran media baru yang sengaja menyiarkan foto-foto 13 Mei sebagai umpan untuk menyemarakkan semangat perkauman, kebencian dan dendam di kalangan orang Melayu.

Manakala mesej-mesej yang menyeru penganut Kristian menjadikan perhimpunan ini sebagai perjuangan Salib pula meluas disebarkan melalui laman sembang sosial.

"Kita pasti akan bertindak, kerana bertindak tegas adalah sebahagian daripada matlamat polis dalam mengawal keselamatan negara," kata Salleh lagi.

Pada Rabu 9.30 malam, TV AlHijrah melalui program Bicara akan membawa beberapa lagi panel untuk mengupas pula tajuk: Bahaya Pasca 9 Julai terhadap Keselamatan Negara.

PENULIS ialah Pengurus Besar Penerbitan,

TV AlHijrah

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved