Jumaat, 3 Jun 2011

Utusan Online - Timur


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


Keunikan menara kayu condong

Posted:

Keunikan menara kayu condong

Keunikan menara kayu condong

Oleh ASMA HANIM MAHMOOD
utusankelantan@utusan.com.my


Menara Masjid Tok Pulai Chondong di Machang, Kelantan yang diperbuat daripada kayu cengal kelihatan sedikit condong daripada pembinaan asal. –utusan/asma hanim mahmood


MACHANG 2 Jun – Binaan seperti Menara Condong Pisa di Itali dan Menara Eiffel di Perancis misalnya, dikagumi ramai dan menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia.

Nilai sejarah pada kedua-duanya menjadi tarikan kuat hingga tidak dapat ditandingi infrastruktur masa kini yang lebih berfungsi untuk menarik tumpuan pengunjung semata-mata.

Namun, kelebihan itu sebenarnya bukanlah hak mutlak orang di negara Barat kerana pertukangan Melayu di negara kita juga mempunyai beberapa khazanah yang masih tegak sehingga ke hari ini.

Antaranya, menara kayu Masjid Mukim Pulai Chondong atau Masjid Tok Pulai Chondong di sini yang terletak kira-kira 33 kilometer dari bandar Kota Bharu masih tegap dan kukuh berdiri meskipun sudah berusia 154 tahun.

Menara berbentuk segi lapan yang satu ketika berfungsi sebagai tempat bilal melaungkan azan ini mempunyai ketinggian 17.3 meter dari aras tanah.

Dan apa yang mengkagumkan adalah, ia dibina menggunakan sebatang tiang tanpa sebarang sambungan daripada umbi yang ditanam 8.3 meter dalam tanah hinggalah ke puncak menara.

"Ini bermakna, panjang tiang kayu cengal batu yang digunakan untuk pembinaan menara ini adalah 25.6 meter dan ia diangkat secara bergotong-royong oleh penduduk kampung pada masa itu," kata

Mohd. Nor Mohamed, 74, iaitu cicit kepada Allahyarham Tuan Guru Abdus Samad Faqeh Abdullah, orang yang mengetuai pembinaan menara tersebut pada 1857.

Abdus Samad adalah seorang tokoh ulama besar yang merupakan pelopor pengajian pondok di Kelantan apabila memulakan pengajian pondok di surau yang dibinanya di Kampung Bilal Talib iaitu penempatan baru yang dibukanya ketika itu.

Perkembangan itu sekali gus menjadi asas kepada kewujudan Daerah Pulai Chondong pada 1820.

Menurut Mohd. Nor, surau itu dinamakan Surau Pulai Chondong oleh moyangnya sempena sebatang pokok pulai besar yang condong berdekatan tapak surau dan atas jasanya itu juga, ulama tersebut terkenal dengan nama Tok Pulai Chondong.

Surau tersebut dikatakan pernah terbakar dua kali pada 1820 dan 1856 sebelum Tok Pulai Chondong mengambil keputusan berpindah ke Kampung Surau tidak jauh dari penempatan awalnya itu.

"Pada 1856, Tok Pulai Chondong berpindah ke Kampung Surau membina masjid baru yang dikenali dengan Masjid Tok Pulai Chondong yang kemudiannya dilengkapi dengan mimbar, geduk dan menara kayu.

"Masjid ini dibina atas sebidang tanah milik Tok Pulai Chondong tetapi sebahagian kawasan seluas 77 depa adalah tanah kerajaan, walaupun menara kayu masih kukuh dan kini menjadi tempat letak pembesar suara, binaan masjid yang kita lihat sekarang bukanlah binaan asal kerana ia sudah dirombak beberapa kali.

"Bagaimanapun, peminat sejarah masih boleh melihat geduk dan mimbar lama yang masih disimpan di dalam masjid," kata Mohd. Nor yang lebih dikenali dengan nama Pak Su Nor.

Beliau berkata, Abdus Samad dikatakan mencari dan memilih sendiri kayu balak dari kawasan hutan Bukit Cina kira-kira 10 kilometer dari lokasi masjid untuk membina menara kayu dan kayu itu ditarik menggunakan tali dari hutan secara bergotong-royong bersama penduduk kampung.

Katanya, setiap kali anak buahnya merasa letih kerana berat kayu cengal tersebut, Abdus Samad akan naik duduk di atasnya dan balak itu dikatakan menjadi ringan semula untuk ditarik.


Seorang pengunjung menuruni tangga menara kayu Masjid Mukim Pulai Chondong yang masih teguh.


Mohd. Nor berkata, pada hari gotong-royong dilakukan bagi membina menara bersejarah ini, seluruh tenaga penduduk dikerah tidak kira lelaki dan wanita membawa peralatan masing-masing seperti kapak, ketam kayu dan peralatan memasak.

"Geduk masjid dipalu berulang-ulang untuk memanggil penduduk kampung supaya datang menarah kayu balak itu sama ada untuk dijadikan tiang atau paksi tengah dan juga dinding luar menara.

"Di dalam menara itu terdapat 25 anak tangga mengelilingi tiang tengah dengan sisinya dipasak pada dinding dan tiang untuk mengukuhkan binaan menara. Anak-anak tangga yang diletakkan mengikut lawan arah jam bertujuan untuk membolehkan bilal naik ke atas bagi melaungkan azan," katanya.

Mohd. Nor berkata, beliau tidak pasti kenapa menara itu sedikit condong ke bahagian utara dan pernah ada cubaan untuk membetulkannya pada 1958 dengan memotong kepingan dinding luar di bahagian bawah.

Penduduk dikatakan cuba mengalih sedikit sudut menara lalu menggantikan tapak asas dinding kayu di bawah dengan bancuhan simen, tetapi usaha itu tidak berjaya membaikinya.

"Pada 1880 sewaktu Kelantan dilanda peristiwa ribut besar, menara ini tidak mengalami sebarang masalah untuk terus tegap berdiri walaupun pokok-pokok besar di sekeliling masjid habis tumbang," katanya.

Menara yang menjadi saksi pelbagai peristiwa sepanjang 154 tahun kewujudannya ini pernah dipanjat askar Jepun yang tertarik dengan pembinaannya pada zaman Perang Dunia Kedua.

Mohd. Nor berkata, askar Jepun yang ketika itu sedang sibuk membina lapangan terbang di Padang Luas dekat sini sekitar 1941-1942 datang melawat jemaah yang selesai menunaikan solat Jumaat.

"Saya ingat lagi ada tiga orang semuanya lengkap dengan pakaian seragam naik sampai ke atas menara, tidak tahulah apa niat mereka sebenarnya tetapi mereka datang secara baik dan memaklumkan terlebih dahulu penduduk hajat mereka untuk melawat," katanya.

Penulis terkenal sejarah negeri, Abdul Razak Mahmud ketika dihubungi berkata, kemungkinan besar menara masjid ini adalah satu-satunya menara masjid daripada kayu yang masih digunakan di Kelantan sehingga sekarang.

"Malah mungkin juga ia satu-satunya menara kayu lama yang masih digunakan di Semenanjung Malaysia dan menjadi lambing warisan seni pertukangan Melayu Kelantan yang sangat membanggakan," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Anggota Rela di stesen minyak

Posted:

Anggota Rela di stesen minyak

Anggota Rela di stesen minyak

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my


SEORANG anggota Rela mencatat nombor pendaftaran kenderaan Thailand yang mengisi minyak di salah sebuah stesen minyak di Rantau Panjang, baru-baru ini.


RANTAU PANJANG 2Jun- Seramai 206 anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) akan ditempatkan di 28 stesen minyak berhampiran pintu sempadan negara Malaysia-Thailand bagi memantau aktiviti penyeludupan minyak ke negara jiran.

Pengarah Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Kelantan, Fauzi Haron berkata, kawalan statik itu merupakan pendekatan terbaru yang dilakukan oleh kerajaan untuk membanteras aktiviti penyeludupan dengan kerjasama anggota Rela.

Menurut beliau, kerjasama itu berkuat kuasa mulai kelmarin sehingga ke tarikh yang akan diberitahu kemudian.

"Negeri ini merupakan perintis kepada kerjasama tersebut dan jika usaha-usaha pemantauan yang dijalankan itu memberi impak positif kepada pencegahan penyeludupan, ia akan turut dilaksanakan oleh negeri-negeri lain terutama yang terletak di sempadan negara.

"Gerakan pemantauan ini dijalankan mulai kelmarin melibatkan 28 stesen kawalan di sepanjang sempadan dari Jeli hingga ke Tumpat melibatkan 206 anggota Rela yang akan ditempatkan di sana mengikut tempoh operasi stesen- stesen minyak berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Fauzi menambah, sekiranya sesebuah stesen minyak itu beroperasi selama 24 jam, dalam tempoh yang sama dua anggota rela akan ditempatkan mengikut giliran.

"Buat masa ini sebanyak 12 stesen yang terletak berhampiran sempadan di sini (Rantau Panjang) akan dipantau oleh anggota Rela terbabit mulai pukul 8 pagi atau mengikut tempoh operasi masing-masing,'' katanya.

Menurut Fauzi lagi, usaha yang dilakukan ini sebagai langkah penambahbaikan mengawal penjualan minyak kepada warga asing mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan.

"Selain mengawasi kegiatan penyeludupan minyak, pemantauan juga akan memastikan kemungkinan bertambahnya aktiviti penyeludupan barangan kegunaan harian seperti minyak masak, gula dan tepung," ujarnya.

Beliau berkata, pemantauan di kawasan operasi itu dilakukan dengan kerjasama agensi penguat kuasa lain, termasuk anggota tentera dan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) yang sememangnya ditugaskan di kawasan sempadan berkenaan.

Sehubungan itu, beliau juga meminta kerjasama daripada orang ramai supaya melaporkan kejadian pembolosan barangan seludup ke negara jiran dengan menghubungi pihaknya menerusi talian 09-7416000 (Kota Bharu) atau 09-7922600 (Pasir Mas).

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Perhilitan diminta tangkap harimau baham lembu

Posted:

Perhilitan diminta tangkap harimau baham lembu

Perhilitan diminta tangkap harimau baham lembu

KUALA TERENGGANU 2 Jun - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu diminta mengambil tindakan proaktif untuk memerangkap harimau yang mula membaham lembu milik penduduk di kampung Jambu Bongkok Dungun.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, tindakan segera itu bagi menghilangkan keresahan penduduk yang turut bimbangkan keselamatan mereka.

"Haiwan ini mungkin secara kebetulan keluar dari kawasan hutan berdekatan untuk mencari makanan namun ia juga boleh mengundang bahaya terutamanya kepada pekebun yang keluar pada awal pagi.

"Kita bimbang haiwan ini akan menakutkan penduduk untuk keluar rumah," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Terengganu, di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kejadian harimau 'mengamuk' di kampung Jambu Bongkok, Dungun yang dipercayai telah membaham dua ekor lembu milik penduduk.

Dalam kejadian Ahad lalu itu, seorang penternak yang mendakwa kehilangan dua ekor lembunya menemui dua bangkai haiwan itu dengan kesan cakaran di dalam semak.

Dalam pada itu, Pengarah Perhilitan negeri, Yusoff Shariff ketika dihubungi memberitahu, pihaknya telah memasang dua perangkap di dua lokasi yang dikenal pasti laluan harimau terbabit.

Katanya, siasatan awal mendapati dua ekor harimau daripada spesies harimau belang dikesan berada di kawasan itu.

"Kita percaya harimau terbabit mengalami kecederaan kerana tabiat asalnya hanya memakan babi hutan. Mungkin kecederaan menyebabkan ia menyerang ternakan yang lebih mudah ditangkap," ujarnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved