Jumaat, 3 Jun 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Populariti 'hantui' sayap Pas

Posted:

Populariti 'hantui' sayap Pas

Populariti 'hantui' sayap Pas

Zulkiflee Bakar


Ketua Pemuda Pas Pusat, Nasruddin Hassan (tengah), Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat baru, Nik Abduh Nik Aziz (empat dari kanan) dan Naib Ketua Pemuda Pas Pusat baru, Raja Ahmad Iskandar Raja Yaakob (empat dari kiri) bersama AJK Pemuda Pas Pusat baru setelah diumumkan menang dalam pemililihan jawatan sayap tersebut di Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia di Dewan MBSA Shah Alam, kelmarin. UTUSAN/ SAIFUL BAHARI ASHARI


NAMA Khairy Jamaluddin secara tiba-tiba bergema di Auditorium MBSA, Shah Alam, kelmarin ketika berlangsungnya Muktamar Tahunan Pemuda Pas Pusat Ke-52.

Kali pertama ia disebut apabila seorang perwakilan dari Perak yang naik ke pentas untuk membahaskan ucap utama Ketua Pemuda meminta namanya tidak disensasikan kerana namanya Khairie Jamaludin sama dengan Khairy, Ketua Pemuda UMNO.

Kali kedua pula, Pengerusi Tetap muktamar Misbahul Munir Masduki 'mendedahkan' pertanyaan Khairy kepada Ketua Pemuda Pas, Nasruddin Hassan ketika mereka bertemu dalam satu wacana sehari sebelum muktamar.

Antara lain secara berseloroh Khairy bertanya kepada Nasruddin apa doa yang beliau pakai sehingga menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda.

Sebenarnya apa yang berlaku adalah berkaitan dengan populariti kerana itulah yang diperlukan oleh Pemuda Pas yang pada muktamar kali ini menjadikan 'Memimpin Kebangkitan Anak Muda' sebagai temanya.

Sebab itulah beberapa perwakilan yang membahaskan ucap utama berkenaan secara terbuka menegur kepimpinan Pemuda supaya jangan terlalu ghairah untuk ke Putrajaya sedangkan anak-anak muda yang diharapkan memberikan sokongan kepada mereka tidak pun mengenali barisan kepimpinan Pemuda Pas.

''Kita mahu anak muda menyebut, kami mahu Nasruddin Hassan sebagai pemimpin kami, itu yang kita mahukan, kita mahu ketua kita popular," kata seorang perwakilan.

Sememangnya anak muda menjadi sasaran utama Pemuda Pas tetapi berdasarkan kepada perbahasan oleh para perwakilan jelaslah terlalu banyak yang perlu dilakukan oleh Nasruddin bagi tujuan berkenaan.

Ucap utama beliau yang lebih banyak menumpukan perhatian kepada usaha mengkritik pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) ternyata tidaklah begitu mengghairahkan perwakilan atau ahli Pemuda Pas untuk menyokongnya. Malahan Nasruddin yang dalam ucapan menyebut sebanyak enam kali 'BN perlu ditumbangkan' turut ditegur oleh perwakilan yang bertanya apa yang akan dilakukan oleh Pemuda bagi menarik sokongan golongan muda.

''Janganlah kita membuat program yang hanya dihadiri oleh orang-orang kita sahaja sedangkan anak-anak muda di luar lingkungan kita tidak mempedulikannya," kata seorang perwakilan.

Mesej yang hendak disampaikan oleh perwakilan secara tersiratnya ialah Nasruddin tidak perlu 'syok sendiri' mengkritik dan memburuk-burukkan BN tetapi dalam masa yang sama tidak memberikan alternatif bagaimana cita-cita memimpin kebangkitan anak muda hendak dicapai.

Jelaslah majoriti perwakilan tidak berkongsi keghairahan Nasruddin yang seolah-olah tidak nampak apa-apa selain hendak menguasai Putrajaya. Apa yang mereka mahukan Pemuda Pas menyusun strategi dan memperbaiki kelemahan terlebih dahulu sebelum memikirkan soal menawan pusat pentadbiran negara itu.

Ia termasuklah memastikan Pas tidak mengorbankan segala-galanya semata-mata untuk merebut kuasa terutamanya dalam soal bekerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Ada perwakilan yang mahukan supaya Pemuda Pas memastikan parti itu dominan dalam pakatan pembangkang dan bukannya menjadi 'kuda tunggangan'.

Walaupun istilah itu dianggap oleh sesetengah perwakilan adalah mainan media namun mereka secara tersirat mengakui hakikat itulah yang ramai orang perkatakan.

Tindakan Nasruddin yang dilihat ibarat kalau Pas memerintah maka aman damailah Malaysia sebenarnya boleh memerangkap parti itu memandangkan beliau hanya bijak mengkritik tetapi tidak melihat bagaimana parti itu sendiri pun banyak masalah.

Sebab itulah seorang perwakilan meminta supaya Pemuda Pas jangan terlalu ghairah dengan matlamat ke Putrajaya kerana perjuangan Pas bukan sekadar meraih kuasa politik tetapi juga satu gerakan Islam yang bertanggungjawab mengajak manusia ke arah kebaikan.

''Saya bersetuju seperti mana kata Ketua Pemuda kita perlu mendekati golongan muda tetapi janganlah sampai kita mengikut sahaja apa kehendak mereka sedangkan sepatutnya kita memimpin mereka ke jalan Allah SWT," kata seorang lagi perwakilan.

Soal populariti juga turut menjadi tumpuan Dewan Muslimat Pas yang kali ini menuntut seorang wakil muslimat diberikan peluang bertanding di setiap kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Menurut Ketuanya, Nuridah Salleh yeng kemudiannya tewas kepada Siti Zalilah bagi perebutan jawatan tersebut, sebelum ini tuntutan berkenaan tidak dapat dilaksanakan kerana Dewan itu menghadapi masalah untuk mencari calon boleh menang.

''Tidak guna kita meletakkan calon tetapi akhirnya kalah," katanya.

Malahan Dewan Muslimat juga mahukan 'populariti' Pas sebagai parti memperjuangkan Islam ditingkatkan. Ia memandangkan ketika ini ramai pengundi Melayu lebih memihak kepada BN.

"Mana mungkin pengundi yang tidak langsung mengenali dan memahami perjuangan Pas dapat semua dirayu dan diyakinkan dalam hanya lapan ke 10 hari berkempen?

"Kalaulah setakat beramai-ramai memenuhi markas-markas dan bilik-bilik gerakan Pas tetapi tidak pergi menemui para pengundi, hanya berbekalkan poster dan kibaran bendera, janganlah diimpikan kemenangan akan datang bergolek," kata Nuridah.

Bagi Dewan Ulama pula, muktamar tahun ini menampakkan sedikit ketegasan oleh dewan tersebut yang secara terbuka mahukan 'populariti' kepimpinan ulama dikekalkan dalam parti tersebut.

Malahan Ketuanya, Datuk Dr. Harun Taib turut mengingatkan Pas supaya tidak menggadaikan prinsip perjuangan Islam semata-mata kerana bekerjasama dengan PKR dan DAP.

Dari satu sudut penegasan berkenaan berkaitan dengan 'populariti' kerana kepimpinan ulama dan perjuangan Islam sememangnya amat berkaitan dengan golongan tersebut. Dan 'populariti' juga menjadi taruhan kepada mereka yang bertanding merebut jawatan dalam Pas.

Ia terbukti apabila Nik Abduh yang merupakan anak Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menang kerusi Timbalan Ketua Pemuda Pas kerana populariti bapanya.

Itu juga yang berlaku kepada Khalil yang memenangi kerusi Ahli Jawatankuasa Pas pusat, walaupun beliau mendakwa ia bukan disebabkan pengaruh bapanya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang merupakan Presiden Pas tetapi orang tahu siapa beliau.

Jelaslah 'populariti' amat penting kepada Pas termasuklah sayap-sayapnya dalam usaha mereka mencapai cita-cita menumbangkan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti. Tetapi mereka juga harus ingat bahawa 'populariti' juga boleh memusnahkan impian mereka, contohnya pejuangan Islam yang pernah dipopularkan oleh Pas.

Ketika ini jelas bahawa perjuangan berkenaan yang suatu ketika dulu membantu parti tersebut meraih populariti semakin ditinggalkan.

Jika keadaan itu berterusan, Pas akan ditolak oleh rakyat khususnya umat Islam kerana tidak konsisten dalam perjuangan semata-mata mahu meraih populariti merebut kuasa bersama PKR dan DAP.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tarif baru elektrik bukan alasan naik harga barang

Posted:

Tarif baru elektrik bukan alasan naik harga barang

Tarif baru elektrik bukan alasan naik harga barang

TARIF elektrik telah dinaikkan sebanyak 7.1 peratus mulai 1 Jun yang lalu. Menurut pengumuman yang dikeluarkan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) 75 peratus pengguna tidak akan terlibat dengan kenaikan ini. Hanya pengguna isi rumah yang tinggi penggunaannya dan pengguna industri yang akan membayar lebih.

Maknanya majoriti rakyat tidak akan merasa kesan daripada kenaikan tarif tersebut. Sambil kita bercakap tentang mereka yang mengikat perut memastikan bil bulanan mereka tidak melebihi RM20 sebulan, kita dapati memang terdapat banyak pembaziran elektrik yang berlaku.

Kita ambil contoh saja di hotel-hotel di sekitar bandar raya, kita masuk saja ke dalam mana-mana hotel kebanyakannya memang meletakkan suhu hawa dingin mereka begitu rendah, seolah-olah kita mengalami 'musim sejuk dalam negara tropika'.

Sesiapa yang menghadiri seminar atau ceramah di hotel-hotel tersebut sepanjang hari akan merasakan keadaan yang begitu sejuk.

Kita dapati pembaziran kuasa elektrik ini berlaku di merata tempat termasuk lampu-lampu jalan yang terpasang waktu siang, kononnya dilakukan load shedding.

Dalam pengumumannya semasa mengumumkan kenaikan tarif elektrik tersebut, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh mengatakan tidak ada sebab kenapa pengilang patut menaikkan harga barang pengeluaran mereka melebihi paras yang wajar kerana tenaga mungkin hanya sebahagian kecil daripada keseluruhan kos pengeluaran.

Itu adalah harapan kita semua. Malangnya peniaga akan mencari apa jua alasan yang membolehkan mereka menaikkan harga barang-barang.

Walaupun kerajaan bersetuju untuk tidak menaikkan harga minyak buat sementara ini kecuali kalau harga setong minyak dunia naik antara AS$110-AS$120 rakyat keseluruhannya perlu menerima hakikat bahawa menunggu masa saja untuk harga minyak ini dinaikkan.

Cuma jumlah yang bakal dinaikkan saja yang kerajaan akan berhati-hati kerana kenaikan yang terlalu besar akan menimbulkan keresahan kepada rakyat.

Ada pendapat yang mengatakan kenaikan sebanyak AS$0.06 (RM0.18) akan menambahkan kadar inflasi kita sebanyak 0.5 peratus. Harga sekarang ialah AS$0.63 sen.

Inflasi juga perlu dikawal kerana ia menyebabkan nilai mata wang kita merosot sekiranya terlalu tinggi.

Ada juga pendapat yang mengatakan disebabkan subsidi dalam pelbagai barangan yang diberikan, kita tidak menunjukkan harga sebenar sesuatu barang itu.

Oleh itu kita akan terus dibuai oleh persepsi yang harga barang yang telah diberikan subsidi itulah harga sebenar dan sekiranya subsidi ditarik maka ramai yang akan mengatakan tidak wajar.

Sebenarnya sebarang pembatalan subsidi perlu diseimbangkan dengan beberapa perkara yang lain seperti pembaziran dalam kewangan kerajaan yang setiap tahun menjadi teguran oleh Ketua Audit Negara dan kenaikan faktor produktiviti keseluruhannya yang pada masa ini begitu rendah.

Saya bersembang dengan seorang yang membesar semasa belanja ke sekolahnya dulu hanya lima sen yang mampu dia membeli sarapan nasi lemak dan siling satu sen boleh memberikan dia air batu gosok bersirap (ais kepal).

Tapi rakyat perlu ingat nilai mata wang berubah jadi membandingkan 30 atau 40 tahun dulu dengan sekarang tidak wajar.

Banyak bencana yang kita lihat berlaku masa kini tidak kerap berlaku dulu yang menyebabkan hasil pertanian misalnya tergugat sehingga menyebabkan harga barangan berkaitan melambung naik seperti yang berlaku tidak lama dulu dengan bahan asas, bawang.

Bencana terbaru yang kita diberitahu ialah bakteria E-coli di Eropah menyebabkan banyak kematian dan membuatkan Rusia mengharamkan pengimportan sayur-sayuran daripada negara-negara Kesatuan Eropah.

Gempa bumi di Jepun pada 11 Mac yang lalu menyebabkan banyak negara tidak mengimport barang makanan dari Jepun kerana takut akan kesan radioaktif daripada kesan kebocoran loji nuklear mereka.

Ketidaktentuan harga minyak ada kaitan dengan beberapa perkara seperti apa yang berlaku di negara-negara Asia Barat yang sedang dilanda angin perubahan dan ini menjejaskan sedikit sebanyak pengeluaran.

Keadaan ekonomi negara seperti Amerika Syarikat yang masih bergelut dengan pemulihan juga mempengaruhi harga minyak. Ada yang menjangkakan penggunaan akan berkurangan, harga minyak akan turun, kemudian ada pula pendapat mengatakan ada tanda-tanda pemulihan, jadi harga minyak naik.

Seperkara lagi yang perlu kita fahami ialah minyak diperdagangkan sebagai suatu komoditi di pasaran hadapan dan ia tentu sekali jadi bahan spekulasi pelbagai pihak macam juga mata wang dan lain-lain komoditi.

Perubahan harga itu berlaku setiap minit. Unsur spekulasi itu adalah sesuatu yang kita tidak boleh lari dalam dunia kewangan hari ini.

Hanya pakar-pakar yang tinggi ilmu mereka saja yang mampu memberi jaminan boleh menurunkan harga minyak di negara kita.

Lagi pun bukan payah bagi seseorang memberi jaminan yang dia boleh menurunkan harga minyak kalau berkuasa.

DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved