Utusan Online - Pahang |
Posted: Ternakan berkeliaran di jalanSaudara pengarang, Saya terpanggil mengenengahkan isu ini apabila nyaris merempuh belakang sebuah kenderaan di depan secara tiba-tiba berhenti untuk mengelak daripada sekumpulan kerbau melintas berdekatan Kampung Ganding. Mujurlah tidak membabitkan kemalangan yang lebih teruk dan kerosakan kenderaan dan pemandu terbabit menggelengkan kepalanya sambil membunyikan hon supaya haiwan itu melintas dengan cepat. Saya dan pemandu lain tidak menyangka sekumpulan kerbau yang terdiri hampir 15 ekor meluru dari arah semak tebing Sungai Jelai ke arah jalan raya untuk menyeberang ke kampung berdekatan. Masalah ternakan haiwan itu berkeliaran di jalan raya bukannya fenomena baru berlaku di Kampung Ganding malahan di tempat lain juga berhadapan dengan situasi sama. Senario berkenaan memaparkan pemilik ternakan masih tidak prihatin menjaga haiwan masing-masing supaya tidak berkeliaran di jalan raya dan mengganggu tanaman orang lain. Begitu juga pihak berwajib perlu merungkaikan penyelesaian menerusi tindakan berasaskan peraturan ke atas pemilik haiwan berkenaan. Kita juga tertanya-tanya mengapa para pemimpin terutama wakil rakyat tidak menyelitkan nasihat kepada penternak mengenai isu ini. Pemasangan papan tanda amaran perlu diwujudkan supaya pengguna tidak memandu laju dan berhati-hati ketika melalui kawasan itu. Penjelasan saya barang kali dipersetujui pembaca lain bukan untuk menyalahi mana-mana pihak tetapi aspek keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya juga perlu diambil kira. Diharap menerusi Rakan Pahang, kita sama-sama berfikir manakala pihak berwajib, Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dan wakil rakyat perlu mencari penyelesaian agar jalan raya yang menjadi nadi sektor ekonomi dan pelancongan bersih daripada gangguan haiwan. ANTI KERBAU LIAR, Bandar Baru Lipis |
Posted: Jambatan sempit undang bahayaSaudara pengarang, Apa yang saya ingin suarakan melalui ruangan Rakan Pahang di sini adalah terdapat beberapa jalan raya khususnya jambatan sempit yang boleh mengundang risiko kemalangan maut. Jika dilihat kepada beberapa jambatan sempit sepanjang laluan dari Triang ke Mengkuang, Pahang, terlintas di fikiran saya sekiranya berlaku kemalangan, adakah jambatan itu baru hendak dilebarkan. Jalan yang retak dan tanah mendap ke dalam sungai membuatkan pengguna jalan raya bimbang tentang keselamatan mereka apabila melalui jalan tersebut. Simen konkrit yang digunakan untuk menyokong jambatan tersebut juga retak selain besi penghadang yang hampir jatuh ke dalam sungai. Baru-baru ini saya melalui jalan tersebut dan melihat sebuah lori yang datang dari arah Mengkuang terpaksa berhenti berhampiran jambatan tersebut bagi memberi laluan kepada sebuah lori balak yang datang dari arah Triang. Bayangkan sekiranya kedua-dua lori yang membawa muatan berat melalui jambatan tersebut dan tiba-tiba tebing bahagian kiri kanan jalan mendap ke dalam sungai. Sudah pasti kita tidak mahu melihat kejadian buruk berlaku kepada pengguna jalan raya yang melalui jalan tersebut terutama pada waktu malam. Sehubungan itu, saya berharap supaya pihak berkaitan mengambil langkah segera membaiki jambatan tersebut sebelum nyawa pengguna jalan raya lain melayang. PEMANDU RISAU, Jerantut. |
Posted: Taman permainan Kerdau rosakSaudara pengarang, Saya yang merupakan salah seorang penduduk di sini ingin menyuarakan kebimbangan mengenai keadaan taman permainan kanak-kanak di pekan Kerdau, Temerloh. Taman itu merupakan kawasan tumpuan kanak-kanak sekitar pekan tersebut untuk bermain pada setiap waktu petang. Keadaan peralatannya yang rosak terutama besi mendatangkan bahaya kepada golongan kecil itu kerana mereka gemar berlari dan melompat di taman tersebut. Saya melihat pada setiap petang taman itu menjadi tumpuan kanak-kanak untuk bermain dan mereka tidak tahu erti bahaya kerana mahu berseronok bersama rakan-rakan. Kebanyakan peralatan permainan di situ sudah rosak dan berkarat. Malah, ada yang tercabut dan tajam, sekali gus mengundang risiko kepada mereka. Selain itu, taman tersebut dipenuhi sampah-sarap yang tidak dibersihkan oleh pihak berwajib. Justeru, saya menyeru pihak berwajib segera membaiki peralatan yang rosak dan kebersihan di situ kerana tempat tersebut menjadi tumpuan kanak-kanak. ABDUL RAGHANI JAAFAR, Kerdau, Temerloh |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan