Rabu, 15 Jun 2011

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Tiga didakwa beri rasuah

Posted:

Tiga didakwa beri rasuah

Tiga didakwa beri rasuah

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM dan FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
pengarang@utusan.com.my


R. K. Rajendran (kiri) didakwa atas tuduhan memberi rasuah kepada pemain bola sepak skuad Piala Presiden T-Team di Mahkamah Sesyen Seremban, semalam. - utusan/ MD.SHAHJEHAN MAAMIN


KUALA LUMPUR 15 Jun - Seorang ahli perniagaan dari Singapura hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Shah Alam, Selangor dan Seremban, Negeri Sembilan atas 11 pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM24,200 kepada pemain bola sepak skuad Piala Presiden T-Team bagi mengatur keputusan perlawanan Piala Presiden pada tahun lalu.

R.K. Rajendran, 51, mengaku tidak bersalah bagi setiap pertuduhan iaitu enam pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen Seremban.

Di Mahkamah Sesyen Shah Alam, tertuduh didakwa memberi rasuah berjumlah RM1,200 kepada enam pemain bola sepak pasukan tersebut bagi mengatur keputusan perlawanan Piala Presiden antara pasukan itu dengan Selangor pada Mac tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memberi rasuah RM200 setiap seorang kepada Mohd. Azwan Mat Ali, Muhammad Syariquddin Ibrahim, Mohd. Nadzmeer Mohamad, Mohd. Azwan Hussein, Mohd. Hanifzam Muda dan Mohd. Hafiz Mohd. Noor.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Hotel Blue Wave di Shah Alam pada pukul 7 malam, sekitar Mac 2010.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau R10,000, mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fadzillah Mohd. Ossman menawarkan jaminan RM6,000 untuk kesemua tuduhan dengan syarat tambahan iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Beliau turut memohon agar kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu untuk dibicara bersama dengan kes rasuah membabitkan jurulatih pasukan Piala Presiden T-Team, Sufian Ngah berikutan transaksi dan saksi-saksi yang sama.

Hakim M. Bakri Abd. Majid. membenarkan Rajendran dibebaskan dengan ikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin warga tempatan serta mengarahkan paspot tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Beliau turut mengarahkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu dan disebut semula di mahkamah tersebut pada 30 Jun ini.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen Seremban, Rajendran mengaku tidak bersalah atas lima tuduhan memberi rasuah RM23,000 kepada lima pemain skuad Piala Presiden T-Team bagi tujuan yang sama pada Mei tahun lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, Rajendran didakwa memberi rasuah antara RM2,000 dan RM7,000 kepada lima pemain berkenaan untuk mengatur keputusan perlawanan Piala Presiden antara pasukan itu dengan skuad Piala Presiden Negeri Sembilan.

Pemain yang menerima wang tersebut ialah Mohd. Izwan Mat Ali (RM2,000), Muhammad Shariquddin Ibrahim (RM5,000), Mohd. Nadzmeer Mohammad (RM4,000) Mohd. Azuan Hussien (RM5,000) dan Mohd. Hafiz Mohd. Noor (RM7,000).

Kesalahan di bawah seksyen dan akta yang sama itu didakwa dilakukan sebuah rumah di Taman Bidara, Seremban kira-kira pukul 7 malam pada bulan Mei lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Mohd. Asri Abd. Rahman Sidik dan Mohd. Hanafi Abd. Rahim manakala tertuduh diwakili peguam, V. Shanmugam.

Hakim Datin Nursinah Adzmi menetapkan tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan permohonan pihak pendakwa untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.

Kes tersebut juga akan disebut semula di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada 30 Jun ini.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Jurulatih dituduh atur keputusan perlawanan

Posted:

Jurulatih dituduh atur keputusan perlawanan

Jurulatih dituduh atur keputusan perlawanan


Sufian Ngah diiringi anggota SPRM di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, semalam.


KUALA TERENGGANU 15 Jun - Seorang jurulatih pasukan bola sepak Piala Presiden T-Team dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam tuduhan memberi rasuah berjumlah RM5,000 kepada enam pemain skuad itu bagi tujuan mengatur keputusan perlawanan menentang pasukan Pahang, tahun lalu.

Sufian Ngah, 41, yang juga kerani sebuah bank di sini mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kesemua pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Zainal Abidin Kamarudin.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memberi suapan RM500 setiap seorang kepada empat pemain dan RM1,500 setiap seorang kepada dua lagi pemain pasukan Piala Presiden T-Team di rumah Lot 10544-A, Kampung Hulu Takir, Jalan Seberang Takir di sini, kira-kira pukul 7 malam pada bulan Mac tahun lalu.

Empat pemain yang masing-masing menerima suapan RM500 ialah Mohd. Nadzmeer Mohammad, Mohd. Azuan Hussein, Mohd. Hanifzam Muda dan Mohd. Hafiz Mohd. Noor manakala Mohd. Azwan Mat Ali dan Muhammad Shariquddin Ibrahim masing-masing menerima RM1,500 seorang.

Setiap pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang daripada 20 tahun dan denda lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, atau mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Syafinas Shabudin yang mengendalikan pendakwaan menawarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bela merayu agar jumlah tersebut dikurangkan atas alasan menanggung keluarga dengan pendapatan yang kecil.

Zainal Abidin membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 30 Jun ini.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved