PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang telah berakhir dengan kemenangan calon PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dengan majoriti 5,379 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datin Paduka Chew Mei Fun yang juga Naib Presiden MCA.
Berikut adalah carta keputusan PRK Kajang pada 23.03.2014 dan statistik terdahulu sebagai perbandingan.
Jumlah tidak turun mengundi dalam PRK ialah 10,686 atau 27% daripada jumlah pengundi. Dalam PRU-12 pada 2008, calon PKR, Lee Kim Sin menang majoriti 3,268.
Dalam PRU-13, tiga calon bebas Melayu memperolehi 1,346 undi manakala calon bebas bukan Melayu (Ong Yan Foo) mendapat 85 undi.
Saya melihat kebanyakan penganalisis prokerajaan termasuk media memainkan isu konon PKR tidak mendapat sokongan berdasarkan majoriti yang diperolehi oleh Wan Azizah berkurangan sebanyak 2,830 (atau 15%) berbanding yang diperolehi oleh Lee Chin Cheh pada PRU-13.
Wan Azizah mendapat 16,741 berbanding Lee Chin Cheh mendapat 19,571.
Namun pada saya ini satu analisis yang menipu diri sendiri.
Jangan lupa calon BN, Chew Mei Fun hanya mendapat 11,362 undi, berbanding Lee Ban Seng, calon BN dalam PRU-13 yang mendapat 12,747 undi. Ini adalah kekurangan undi sebanyak 1,385 atau 10%.
Beberapa faktor perlu diambil kira didalam membuat analisis PRK Kajang ini. Yang paling ketara ialah jumlah pengundi yang turun dalam PRK ini sangat berkurangan berbanding dengan PRU-13.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah peratus turun mengundi bagi PRU-13 ialah 88.4%, manakala bagi PRK Kajang jumlah turun mengundi hanya 72%; iaitu kekurangan 6,151 undi atau 16%, satu jumlah yang agak besar.
Manakala jumlah yang tidak turun mengundi berbanding dengan jumlah daftar pengundi adalah 10,686 atau 27%. Ini satu jumlah yang sangat besar dan perlu diambil kira dalam menganalisis PRK Kajang.
Pada saya, penurunan jumlah turun mengundi adalah kerana pelbagai faktor. Antaranya, mereka sudah yakin PKR akan menang; kedua, kerana merasakan PRK Kajang tidak perlu; ketiga, faktor pengundi luar tidak balik mengundi; keempat, kerana isu MH370 yang masih menyelubungi negara mempengaruhi mood tidak mahu mengundi; kelima, kerana silent-protest (protes senyap).
Begitu juga kemungkinan besar pengundi Melayu terutamanya dalam kalangan ahli dan penyokong Pas kurang turun mengundi mungkin kerana faktor menolak politiking melampau Anwar Ibrahim dan PKR.
Apapun yang jelas, pada hakikatnya PRK Kajang membuktikan tiada sebarang perubahan dari segi trend mengundi sama ada kepada pembangkang mahupun BN.
Setelah 10 bulan PRU-13 berlalu di mana BN berhadapan dengan senario tsunami politik Cina yang menolak parti pemerintah, saya melihat PRK Kajang memberi gambaran sebenarnya tiada sebarang perubahan trend pengundian dalam kalangan pengundi.
Kita perlu ingat dalam PRK ini ada beberapa faktor memihak kepada BN iaitu:
1. Sabitan kesalahan jenayah liwat terhadap Anwar oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac yang menghukum Ketua Pembangkang itu lima tahun penjara;
2. Politik kronisme yang jelas diamalkan PKR bilamana Wan Azizah, isteri Anwar yang juga Presiden PKR dipilih sebagai calon menggantikan Anwar;
3. Isu kehilangan MH370 yang sepatutnya melahirkan rasa simpati rakyat dan sewajarnya diterjemahkan dalam bentuk undi kepada BN sebagai sokongan moral kepada kerajaan;
4. Tiadanya bantuan aktif daripada jentera Pas kawasan mahupun pusat dalam kempen, malahan Datuk Seri Abdul Hadi Awang hanya turun sekali;
5. Persepsi bahawa Anwar mengkhianati Tan Sri Khalid Ibrahim dengan perancangan untuk menggulingkannya sebagai Menteri Besar Selangor yang menjadi darling MB kepada masyarakat korporat dan peniaga Cina.
Pada waktu yang sama, calon BN bukan calang-calang orang. Mei Fun ialah Naib Presiden MCA, dilihat sebagai seorang yang berprinsip apabila meletakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri dan semua jawatan dalam MCA kerana tidak bersedia bersekongkol dengan bekas Presiden, Datuk Seri Chua Soi Lek yang diselubungi masalah moral yang serius.
Sebagai perbandingan, Wan Azizah pula dilihat sebagai calon yang tidak berprinsip, contohnya gagal menunjukkan jam Omega yang dikaitkan dengan skandal Anwar-China Doll. Kenyataan Wan Azizah bahawa jam itu ada dalam simpanannya bercanggah dengan bukti yang dikemukakan oleh Datuk Eskay yang telah menyerahkan jam tersebut kepada pihak polis.
Isu ini menimbulkan persoalan kewibawaan yang serius terhadap Wan Azizah; siapa yang berbohong, Wan Azizah atau Eskay? Malah slogan kempen BN dalam PRK ini antaranya; calon berprinsip atau calon puppet!
Jentera BN diturunkan sepenuhnya diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dengan Pengarah Jentera Pilihan Raya diamanahkan kepada Datuk Seri Noh Omar, Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor.
Tidak seperti jentera PKR dan pembangkang yang hanya berbekalkan air liur dan modal ceramah, jentera BN turun dengan segala bentuk persiapan dan bekalan; selain ceramah.
Saya memang dari awal tidak menjangkakan BN boleh memenangi kerusi Kajang ini. Namun saya berpandangan jika kena strategi dan perancangan, BN mampu mengurangkan dengan serius majoriti PKR terutama dalam kalangan pengundi Melayu.
Namun jangkaan itu meleset sama sekali. Ternyata hakikatnya tiada sebarang perubahan dalam trend mengundi pada PRK Kajang ini. Malahan trend tsunami politik Cina masih berterusan.
Pada saya, MCA masih gagal untuk menjadi relevan dan diterima oleh masyarakat Cina. Walaupun sudah berubah kepimpinan, namun ia tidak berjaya memberi keyakinan kepada pengundi Cina untuk mengubah trend politik mereka.
Jika PRK Kajang boleh dijadikan cermin untuk PRU-14, BN terutamanya UMNO perlu mengubah strategi dan pendekatan politik mereka.
Mengakui dan menyedari bahawa trend tsunami politik Cina bukan sahaja tidak akan berubah, malah akan bertambah parah dalam PRU-14, UMNO perlu kembali kepada asas undi akar umbi iaitu pengundi Melayu.
Saya berpegang kepada pendapat bahawa kuasa politik Malaysia masih lagi berpaksi kepada bangsa Melayu sebagai tulang belakang pemerintahan. Mana-mana juga parti yang dilihat mendapat sokongan jitu bangsa Melayu akan muncul sebagai tunggak mana-mana kerajaan yang dipilih.
Inilah rahsia kepada kelangsungan politik UMNO dan BN selama ini, termasuk dalam menghadapi PRU-14.
Sokongan dan undi Melayu menjadi paksi kepada kesinambungan politik UMNO. Dan UMNO perlu menyedari bahawa politik bangsa Melayu tidak seperti dahulu. Melayu kini sudah berubah.
Retorik politik bahawa Melayu perlukan UMNO sudah tidak relevan. Hakikatnya sekarang ialah UMNO perlukan Melayu.
Dan itulah pendekatan dan strategi yang perlu dirangka semula oleh kepimpinan UMNO.
Selagi UMNO merasakan Melayu perlukan UMNO, selagi itulah kepimpinan dan ahli UMNO akan berada di zon-selesa dan mengambil mudah kepentingan dan perjuangan bangsa Melayu.
Tetapi jika mereka merasakan bahawa UMNO memerlukan bangsa Melayu, saya yakin seluruh kepimpinan dan ahli UMNO akan mengubah pendekatan dengan memberi keutamaan kepada perjuangan dan kepentingan bangsa Melayu.
Salah satu pendekatan serius yang perlu dilakukan oleh UMNO ialah soal pertanggungjawaban pemerintahan, dalam konteks ketelusan, amanah dan tegas memerangi unsur-unsur salah guna kuasa dan rasuah.
Soal kenaikan harga, soal pengenaan cukai baru GST dan lain-lain bukan isu besar bagi golongan Melayu kelas pertengahan. Tumpuan mereka ialah soal ketirisan, pembaziran dan salah guna perbelanjaan kerajaan.
Soal pelantikan individu politik ke jawatan-jawatan amanah yang langsung tidak wajar, dilihat sebagai pelantikan habuan dan bukannya strategik untuk memartabat dan memperkasa bangsa Melayu. Bak kata pepatah Melayu, seperti menyuruh kucing menjaga lauk ikan! Ini adalah antara faktor yang membuatkan orang Melayu, khususnya kelas pertengahan meluat.
Salah satu pendekatan yang paling berkesan bagi UMNO menghadapi PRU-14 adalah dengan melipatgandakan usaha untuk menyatukan umat Melayu-Islam terutama dari segi politik.
Pemimpin dan jentera UMNO harus berusaha keras merapatkan jurang perbezaan dengan Pas. Suka tak suka, Pas adalah parti alternatif bagi orang Melayu.
Pas masih di tahap kurang cerdik dan terlalu taksub dengan kekuasaan sehingga menjadi pekak, bisu dan buta terhadap realiti keperluan survival politik umat Melayu-Islam.
Jika kelak satu hari Pas tersedar dan membuang Anwar serta membatalkan kerjasama politik dengan DAP, lalu kembali kepada perjuangan asal mereka untuk sebuah negara Islam dan pemerintahan yang tawaduk juga takwa kepada Allah, saya kira waktu itu UMNO hanya tinggal membilang hari.
Kini masih belum terlambat. UMNO perlu segera bangkit daripada zon selesa dan kembali kepada perjuangan mengangkat martabat dan memperkasa umat Melayu-Islam dalam semua aspek termasuk politik, agama, ekonomi, sosial dan lain-lain.
Dan UMNO wajib membuka ruang dan peluang kepada pimpinan pelapis dalam kalangan generasi muda terutama golongan profesional dan berpendidikan tinggi.
Saya merumuskan bahawa PRK Kajang adalah satu cermin istimewa untuk UMNO melihat ke hadapan. Tiada guna kita terus hidup membohongi diri sendiri daripada menerima hakikat bahawa kesinambungan politik Melayu-Islam terletak di tangan pengundi Melayu terutama dalam menghadapi PRU-14.
Selagi UMNO masih dengan sindrom penafian, selagi UMNO masih di dalam zon selesa, selagi UMNO tidak berubah menjadi parti yang meletakkan kualiti di tempat teratas, UMNO akan ketinggalan dalam arus politik perdana yang makin mencabar.