Rabu, 26 Mac 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Indeks kadar jenayah menurun

Posted: 25 Mar 2014 11:51 AM PDT

Oleh SAFINA RAMLI
dan NORLIA RAMLI
utusankedah@utusan.com.my

Zaleha Abd. Rahman semasa menghadiri majlis penyampaian sijil penghargaan Ketua Polis Kedah kepada para anggota polis yang cemerlang dalam perkhidmatan sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-207 peringkat negeri Kedah di Ibu Pejabat Polis Kedah, Alor Setar, semalam. - UTUSAN/Safrizal Azmi

ALOR SETAR 25 Mac - Indeks kadar jenayah di Kedah bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini menunjukkan penurunan sebanyak hampir 10 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Zaleha Abdul Rahman berkata, bagi mencapai sasaran yang lebih baik, pihaknya berharap orang ramai akan terus memberikan kerjasama menyalurkan maklumat berkaitan jenayah kepada polis.

"Bagi tempoh Januari dan Februari tahun ini, jumlah jenayah indeks dicatatkan ialah sebanyak 1,450 kes berbanding 1,611 kes bagi tempoh sama tahun lalu, penurunan sebanyak 9.99 peratus," katanya selepas menghadiri sambutan Peringatan Hari Polis Ke-207 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.

Dalam pada itu, di Baling, seramai 65 penerima yang terdiri daripada anggota polis, wartawan dan orang awam menerima sijil penghargaan daripada pihak polis sempena sambutan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Baling, Supritendan Mat Daud Mat Hassan berkata, sijil penghargaan tersebut diberikan untuk menghargai jasa orang awam yang membantu pihak polis menangani jenayah di daerah itu.

"Selain daripada tugas hakiki seorang anggota polis menjaga keselamatan, orang awam juga memainkan peranan penting untuk menghalang kegiatan jenayah daripada berleluasa," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling, di sini hari ini.

Sementara itu, penerima sijil kategori orang awam, M. Ravi, 42, berkata, dia tidak menyangka akan menerima sijil penghargaan tersebut kerana tanggungjawab menjaga keamanan ialah tugas semua pihak.

"Sebagai rakyat yang cintakan negara kita perlu ada inisiatif untuk membantu pihak polis bagi mengurangkan kadar jenayah di tempat tinggal kita. Sijil penghargaan yang diterima hari ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk membantu polis," katanya.

250 hadir meriahkan Peringatan Hari Polis

Posted: 25 Mar 2014 11:51 AM PDT

SUNGAI PETANI 25 Mac - Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-207 Peringkat Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Muda di sini hari ini, dimeriahkan dengan kehadiran lebih 250 orang tetamu melibatkan pesara dan balu polis, ahli-ahli badan sukarela serta pemimpin tempatan.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Khalil Arifin berkata, pengurusan IPD itu turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 76 pegawai dan anggota keluarga serta empat orang awam yang membantu polis membanteras jenayah di daerah berkenaan.

Menurutnya, sambutan Peringatan Hari Polis perlu diraikan bersama komuniti setempat bagi merapatkan hubungan dua hala, selain menjadi medan untuk menghargai pengorbanan anggota pasukan keselamatan.

"Kita ingin mendekati masyarakat supaya tiada takut untuk berurusan dengan pihak polis. IPD Kuala Muda mengambil pelbagai pendekatan seperti turun padang dan aktiviti Komuniti Kepolisan bersama pelbagai sektor," katanya ditemui selepas sambutan itu, di sini hari ini.

Yang hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya negeri, Datuk Tajul Urus Md. Zain.

Sementara itu, Tajul Urus menyeru masyarakat memberi kerjasama kepada pihak polis dengan menyalurkan maklumat mengenai kegiatan jenayah bagi memastikan ketenteraman awam terjamin.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai turut melahirkan penghargaan kepada polis khususnya IPD Kuala Muda yang berusaha mengurangkan kes-kes jenayah di kawasan persekitaran bandar Sungai Petani sepanjang tahun lalu.

Pembangunan Penang Sentral bermula suku ketiga tahun ini

Posted: 25 Mar 2014 11:51 AM PDT

PULAU PINANG 25 Mac - Projek pembinaan Penang Sentral yang meliputi hab pengangkutan dan logistik bersepadu di Butterworth dekat sini, dijangka dimulakan pada suku ketiga tahun ini selepas mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang (MTPNPP), Datuk Zainal Abidin Osman berkata, kelulusan pelan pembangunan kawasan yang akan menyatukan terminal feri, stesen kereta api, terminal bas dan teksi itu dijangka diperoleh Mei ini sebelum kerja pembinaan dimulakan pada September ini.

Menurutnya, kerja pembinaan projek itu akan menjawab persoalan banyak pihak ekoran kelewatan pembinaannya selepas majlis pecah tanah dilakukan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2007.

"Penang Sentral bakal menjadi hab pengangkutan utama di utara dengan pembinaan stesen keretapi, terminal bas ekspres, terminal teksi serta feri selain pembangunan komersial seperti hotel dan pejabat.

"Fasa pertama projek itu dijangka siap pada 2017 dengan kos keseluruhan sebanyak RM600 juta yang akan mampu menjawab segala persoalan selepas tertangguh hampir tujuh tahun," katanya dalam sidang akhbar di sini baru-baru ini.

Difahamkan hab pengangkutan itu akan mengandungi dua platform feri, dua monorel, empat kereta api dan 50 platform bas serta 4,000 petak letak kereta selain hartanah komersial dan kediaman.

Tambah Zainal Abidin, kerajaan negeri pimpinan Lim Guan Eng juga diharap bersikap profesional untuk segera meluluskan pelan pembinaan projek di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) itu.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang berkata, pihak MTPNPP akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pertahanan bagi membincangkan isu cadangan pemindahan Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Teluk Air Tawar, di Butterworth.

Menurut beliau, pihaknya tidak mendapat maklumat lengkap atau dipanggil untuk membincangkan isu pemindahan pangkalan itu dan hanya mengetahui mengenainya daripada laporan media.

Katanya, perbincangan itu diharap diadakan secepat mungkin supaya UMNO Pulau Pinang selaku wakil Kerajaan Pusat di negeri ini mendapat maklumat lengkap dan diberi taklimat terperinci berkaitan isu tersebut.

"Selain itu, kami bagi pihak UMNO Pulau Pinang juga membantah sekeras-kerasnya cadangan pemindahan tersebut kerana tidak memberi keuntungan kepada penduduk negeri ini," katanya.

Pangkalan TUDM di Teluk Air Tawar, Seberang Perai dengan keluasan lebih kurang 407 hektar itu terletak kira-kira lapan kilometer dari Butterworth dan menghadap ke arah Pulau Pinang.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved