Rabu, 26 Mac 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Sekolah agama dibantu

Posted: 26 Mar 2014 12:17 PM PDT

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanktn@gmail.com

Syed Ibrahim Syed Ahmad (dua kanan) menyampaikan cenderamata kepada Adnan Yaakob (kiri) selepas merasmikan Majlis Penutup Sukan dan Ilmiah SMAN Negeri Pahang di Raub, kelmarin. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD

RAUB 26 Mac - Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM71.76 juta tahun ini bagi tujuan pembangunan dan pendidikan sekolah menengah agama negeri (SMAN) dalam usaha melahirkan modal insan cemerlang.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, daripada peruntukan itu, sebanyak 80 peratus diperuntukan untuk pentadbiran dan bayaran gaji guru manakala selebihnya adalah untuk pembangunan termasuk melengkapkan prasarana di sekolah-sekolah terbabit.

Menurut beliau, peruntukan besar itu membuktikan kerajaan negeri begitu prihatin dan komited terhadap usaha memartabatkan pendidikan sekolah aliran agama Islam.

Sebanyak 18 SMAN ditadbir kerajaan negeri dengan pelajar seramai 9,800 orang manakala jumlah guru pula seramai 640 orang.

Sekolah aliran agama kini semakin mendapat sambutan pelajar dan ibu bapa berikutan prestasi peperiksaan utama yang meningkat setiap tahun, katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penutup Sukan dan Ilmiah SMAN Negeri Pahang di Sekolah Menengah Agama (SMA) al-Falah Batu Talam di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Dakwah Islamiah negeri, Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Shahiruddin Ab. Moin dan ADUN Batu Talam, Datuk Abdul Aziz Mat Kiram.

Adnan berkata, sekolah agama kini bukan lagi sekolah kelas ketiga seperti persepsi sesetengah pihak sebelum ini.

Tambahnya, tumpuan kerajaan negeri bukan sahaja soal pendidikan berkualiti tetapi juga meningkatkan prasarana dan kemudahan yang mampu memaksimumkan kemudahan rakyat.

Kini pelajaran di sekolah agama adalah setanding dengan sekolah menengah lain yang turut diajar mata pelajaran seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa arab dan lain-lain," ujarnya.

Beliau turut menasihati pelajar supaya belajar bersungguh-sungguh, tekun dan dedikasi dengan menguasai bahasa Inggeris serta Arab.

Penguasaan kedua-dua bahasa ini akan memudahkan mereka bergaul dan mendapat peluang pekerjaan apabila menamatkan persekolahan nanti," katanya.

Ibu bapa diminta sertai Program Sarana tingkatkan kecemerlangan pelajar

Posted: 26 Mar 2014 12:17 PM PDT

Wan Rosdy Wan Ismail (dua dari kiri) menyampaikan beg sekolah kepada Zainal Abidin Ismail (dua dari kanan) untuk murid miskin di Sekolah Kebangsaan Felda Sungai Koyan, Kuala Lipis, baru-baru ini. UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD

KUALA LIPIS 26 Mac - Ibu bapa diminta melibatkan diri dalam Program Sarana yang dilakukan pihak sekolah di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 supaya kerjasama dengan guru lebih rapat bagi meningkatkan kecemerlangan akademik, kokurikulum serta bina insan pelajar.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerjasama sedemikian akan mewujudkan satu perkongsian bijak dengan pentadbir sekolah dan guru mengenai perkongsian pengetahuan serta kemahiran masing-masing.

Menurutnya, langkah itu juga membabitkan aspek pembinaan, disiplin, kebersihan dan keceriaan sekolah termasuk kebajikan pelajar bagi mewujudkan keselesaan pelajar mengikuti pembelajaran dalam kelas.

Ahli jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu merancang kegiatan serta tindakan yang selari dengan visi sekolah berkenaan khususnya dalam pencapaian akademik dan bidang lain setiap tahun.

Komitmen PIBG berasaskan wujudnya komunikasi dua hala dengan pentadbir sekolah untuk melakarkan idea dan melaksanakan kegiatan tahunan supaya kecemerlangan bidang berkenaan dapat direalisasikan pada akhir tahun khususnya kualiti peperiksaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Sungai Koyan di Sungai Koyan di sini baru-baru ini yang turut dihadiri Guru Besar Sekolah Kebangsaan Felda Sungai Koyan, Zainal Abidin Ismail.

Dalam majlis itu, Wan Rosdy menyampaikan sumbangan beg sekolah kepada murid miskin serta sumbangan sebanyak RM4,000 daripada Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai kepada Zainal Abidin bagi pelaksanaan program kecemerlangan akademik, kebersihan dan keceriaan.

Menurut beliau, PIBG juga diminta menghayati dan memahami ledakan teknologi maklumat membabitkan penggunaan aplikasi media baharu yang menjadi satu keperluan masa kini.

Katanya, mereka juga perlu tampil membantu pihak sekolah sama ada dalam bentuk motivasi, penerangan dan pemantauan terhadap pelajar bagi menangani kes penyalahgunaan teknologi berkenaan.

Iltizam menerusi perancangan tersusun dengan pentadbir sekolah merupakan mekanisme paling utama untuk menggerakkan usaha melahirkan murid berkualiti serta memiliki sahsiah tinggi sekali gus mewujudkan pendidikan berkualiti di sekolah," katanya.

300 peserta sertai Bicara Sakinah anjuran Yadim

Posted: 26 Mar 2014 12:17 PM PDT

Ismail Abd. Muttalib (tengah cermin mata) menyampaikan buku akaun simpanan Tabung Haji kepada pelajar sekolah yang tepilih di Kuantan, baru-baru ini.Hadir sama, Asyraf Wajdi Dusuki (berdiri kiri).

KUANTAN 26 Mac - Seramai 300 peserta hadir menyertai Karnival Bicara Sakinah anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini baru-baru ini.

Menurut Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abd. Muttalib berkata, program tersebut diadakan bagi mengupas peranan setiap individu dalam membangunkan model keluarga Islam yang boleh dicontohi.

Masalah anak muda pada hari ini berdepan dengan cabaran yang cukup besar tambahan pula dengan perubahan dunia tanpa sempadan.

Jika anak-anak tidak mempunyai jati diri tinggi serta ilmu pengetahuan yang lengkap, pasti mereka akan mudah terdedah dengan unsur-unsur negatif sehingga membawa keburukan dalam masyarakat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program tersebut.

Yang turut hadir ialah Yang Dipertua Yadim, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Katanya yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia, beliau mengucapkan terima kasih kepada Yadim kerana menganjurkan program yang cukup baik dan banyak memberi manfaat kepada masyarakat secara keseluruhan.

Sementara itu, menurut Asyraf, karnival itu merupakan antara pengisian utama di dalam program Dakwah Negara 2014.

Kita akan menjelajah ke seluruh negara ke 32 daerah atau parlimen dalam usaha memberi dokus kepada pemantapan institusi kekeluargaan Islam.

Karnival Bicara Sakinah dijangka akan sampai kemuncaknya pada Disember ini terutama bagi memantapkan akidah dikalangan anak muda dalam mendepani ancaman dan cabaran," jelasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved