Rabu, 26 Mac 2014

Utusan Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pemotoran


Permohonan semakan ditolak

Posted: 26 Mar 2014 12:17 PM PDT

Oleh SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 26 Mac - ''Kami berpendapat bahawa keputusan majoriti bahawa insiden seksual yang menjadi teras kepada pertuduhan benar-benar berlaku tetapi, bila kejadian berlaku yang menjadi tanda tanya. Oleh itu kami sependapat bahawa terdapat bukti yang mewajarkan kenyataan tersebut dibuat.''

Itu merupakan sebahagian daripada penghakiman sebulat suara yang dibuat oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sewaktu menolak permohonan semakan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar memohon untuk mengeluarkan satu perenggan penghakiman bertulis Mahkamah Persekutuan pada 2 September 2004 yang membebaskannya daripada sabitan dan hukuman meliwat bekas pemandu keluarganya, Azizan Abu Bakar.

Keputusan majoriti 2-1 itu mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos 2000 yang menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun ke atasnya.

Panel itu turut mengetepikan sabitan dan hukuman penjara enam tahun ke atas adik angkat Anwar, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja yang dibicarakan bersama-samanya atas dakwaan meliwat Azizan di Tivoli Villa di ibu negara pada 1994.

Penghakiman majoriti tersebut ditulis oleh Hakim Mahkamah Persekutuan ketika itu, Tun Abdul Hamid Mohamad, yang kemudiannya dilantik Ketua Hakim Negara (kini bersara).

Dalam penghakiman itu, Abdul Hamid berkata: 'kami mendapati wujud keterangan yang mengesahkan perayu (Anwar dan Sukma Darmawan) terlibat dalam aktiviti homoseksual dan kami cenderung untuk percaya bahawa insiden yang didakwa berlaku di Tivoli Villa itu benar-benar berlaku, kadang kala'.

Antara alasan yang dikemukakan dalam permohonan Anwar untuk memadamkan perenggan terbabit ialah bahawa kenyataan tersebut sering disalah guna oleh pihak tertentu dalam menjatuhkan reputasinya.

Yang turut bersidang hari ini ialah Datuk Seri Zaleha Zahari, Datuk Jeffrey Tan Kok Wha, Datuk Abu Samah Nordin dan Datuk Ramly Ali.

Pada prosiding hari ini, Anwar selaku perayu diwakili barisan peguam yang diwakili Datuk Sulaiman Abdullah manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup.

Terdahulu, Hakim Zulkefli menyatakan terdapat tiga pertimbangan yang perlu dibuat antaranya sama ada pihak yang terlibat mempunyai peluang dalam menjelaskan atau mempertahankan dirinya.

''Dalam kes ini, perayu merupakan pihak terlibat dalam prosiding. Terdapat bukti yang mencukupi direkodkan bagi mewajarkan kenyataan hakim terdahulu. Kami bersetuju dengan hujah pihak pendakwaan bahawa kenyataan yang dibuat adalah sebahagian daripada proses analitikal yang diambil oleh hakim sebelum membuat keputusan.

''Kami mendapati perenggan yang dipersoalkan mengandungi perkataan demikian '...walaupun membaca rekod rayuan.." diikuti dengan perkataan-perkataan yang kritikal iaitu 'kami mendapati terdapat bukti..' Oleh itu, ia tidak boleh disifatkan sebagai pandangan peribadi oleh hakim yang menyampaikan keputusan itu.

''Hakim terdahulu juga telah meneliti segala bukti, hujahan dan setiap keputusan yang dibuat oleh hakim perbicaraan termasuk pembelaan pihak perayu. Oleh itu pertimbangan pertama telah dipenuhi," kata hakim tersebut.

Pertimbangan berikutnya ialah adakah terdapat rekod pembuktian berhubung perilaku yang mewajarkan kenyataan tersebut dibuat.

Dalam isu ini, Hakim Zulkefli menyatakan, adalah jelas keputusan majoriti tersebut dibuat berdasarkan fakta berhubung tarikh kesalahan berlaku yang tidak dapat dibuktikan.

"Tidak ada pada bila-bila masa bahawa keputusan majoriti mengatakan bahawa kejadian liwat itu tidak berlaku," ujarnya.

Pertimbangan ketiga ialah sama ada ketika sesuatu penghakiman dibuat, hakim perlu membuat komen terhadap perilaku atau kesalahan.

Hakim Zulkefli ketika membaca penghakiman ringkasnya menyatakan, hakim terdahulu telah membuat komen terhadap salah satu elemen yang perlu dibuktikan dalam pertuduhan. Oleh itu, tiada kekhilafan berlaku ketika hakim tersebut membuat dapatan sedemikian.

"Hujahan telah dibuat oleh kedua-dua pihak atas elemen yang sama dan sudah pasti hakim yang mendengar kes itu mempunyai hak untuk membuat komen terhadap elemen yang sama.

"Adalah keputusan kami bahawa hakim yang mendengar kes terbabit mempunyai segala hak membuat komen sebagaimana yang dinyatakan di dalam perenggan yang dipertikaikan ketika membaca penghakimannya," kata mahkamah.

Hakim Zulkefli turut bersetuju dengan hujah pihak pendakwaan yang menyatakan bahawa permohonan ini, sekiranya dibenarkan, akan menyebabkan lebih banyak pihak akan memohon untuk membuat perubahan kepada setiap penghakiman agar bersesuaian dengan kehendak mereka.

Sementara itu, Anwar selepas 'merasakan' bahawa permohonannya akan ditolak oleh mahkamah, mula mengeluh dengan kuat beberapa kali.

Sebaik sahaja mahkamah berhenti bersidang, beliau dengan suara yang kuat menyatakan: "Sebut sahaja Anwar Ibrahim, memang akan kalah!."

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved