Rabu, 26 Mac 2014

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Kes saman fitnah Anwar-Nalla diteruskan

Posted: 26 Mar 2014 12:17 PM PDT

Oleh SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 26 Mac - Kes saman fitnah oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan Ketua Pembangkang itu menerima wang RM60 juta daripada sebuah syarikat perjudian akan diteruskan dengan perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Ini berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan rayuan bekas rakan baiknya, Datuk S. Nallakaruppan dalam kes tersebut.

Panel lima hakim yang diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebulat suara memutuskan bahawa terdapat beberapa isu dalam pembelaan Nallakaruppan yang perlu dibuktikan melalui perbicaraan.

Panel terbabit turut memutuskan bahawa Anwar perlu membayar kos RM20,000 kepada bekas rakan permainan tenis beliau itu.

Yang turut bersidang ialah Tan Sri Suriyadi Hakim, Datuk Hasan Lah, Datuk Seri Zaleha Zahari dan Datuk Jeffrey Tan Kok Wha.

Pada 25 Ogos 2008, Anwar selaku plaintif memfailkan saman terhadap Nallakaruppan yang dinamakan sebagai defendan.

Anwar dalam pernyataan tuntutannya menyatakan, defendan pada 23 Ogos tahun yang sama, telah mengucapkan dan menyebabkan penerbitan dalam akhbar Mingguan Malaysia artikel bertajuk, Didakwa terima RM60 juta dan dalam akhbar Sinar Harian bertajuk, Anwar terima RM60 juta.

Kata-kata itu bagi plaintif, merupakan fitnah yang menggambarkan atau membawa maksud biasa dan semula jadi antaranya, plaintif telah terlibat dalam aktiviti korup, tidak jujur dan telah melakukan perbuatan jenayah serius di bawah Akta Pencegahan Rasuah 1997 serta undang-undang lain di Malaysia.

Plaintif mendakwa tindakan defendan telah didorong oleh niat jahat dan menyebabkan reputasinya terjejas.

Menurut plaintif, defendan berbuat demikian untuk mendapatkan kelebihan melalui penerbitan tersebut dan penerbitan semula pernyataan itu untuk pilihan raya kecil di kawasan Parlimen Permatang Pauh yang berlangsung pada 26 Ogos 2008.

Pada 23 November 2011, Mahkamah Rayuan memerintahkan Nallakaruppan mengemukakan butiran terperinci dalam tempoh dua minggu berhubung dakwaannya bahawa Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menerima wang RM60 juta daripada sebuah syarikat perjudian, Magnum Corporation.

Apabila Nallakaruppan gagal memberi butiran terperinci tersebut, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Su Geok Yiam pada 19 Jun 2012 bertindak membatalkan pembelaan Presiden Parti India Bersatu Malaysia (MUIP) itu selepas membenarkan permohonan Anwar.

Mahkamah Rayuan pada 21 Januari 2013 berpendirian bahawa tindakan Mahkamah Tinggi menolak pembelaan Nallakaruppan adalah betul selepas dia gagal membekalkan butiran berhubung dakwaannya terhadap Anwar.

ASP buat tuntutan palsu dihukum penjara enam tahun

Posted: 26 Mar 2014 12:17 PM PDT

SHAH ALAM 26 Mac - Seorang pegawai polis berpangkat Asisten Supritendan Polis (ASP) terpaksa meringkuk dalam penjara selama enam tahun setelah Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara setahun serta denda RM60,000 atas enam kesalahan membuat tuntutan palsu, 10 tahun lalu.

Hakim Datuk Noor Azian Shaari memerintahkan demikian terhadap Pegawai Penyiasat Trafik, Wan Nazli Wan Jaafar, 46, dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang setelah mendapati hakim Mahkamah Sesyen tersilap semasa memutuskan hukuman penjara setahun bagi setiap pertuduhan itu dijalankan serentak.

"Mahkamah terkhilaf semasa memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak kerana transaksi yang berlaku dalam kes ini adalah berlainan dan melibatkan enam resit justeru penjara setahun kekal bagi setiap pertuduhan tetapi hendaklah dijalankan secara berasingan bermula hari ini," kata beliau.

Bagaimanapun, Hakim Nor Azian mengekalkan hukuman denda tersebut.

Permohonan Wan Nazli yang diwakili peguam, Halim Ashgar Mohd. Hilmi untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan terakhir di Mahkamah Rayuan turut ditolak oleh hakim tersebut.

Lelaki itu didapati bersalah terhadap enam pertuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM1,300, berhubung penginapan di dua buah hotel.

Bagi lima pertuduhan pertama, Wan Nazli didakwa mengemukakan lima tuntutan penginapan hotel palsu kepada kerani kewangan, Bahagian Kewangan IPD itu, Rosliah Mohamed, berjumlah RM1,100, antara 28 Februari dan 11 Mac 2004.

Dia juga didakwa atas pertuduhan keenam mengemukakan tuntutan penginapan hotel palsu berjumlah RM200 di tempat sama, 29 Disember tahun sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Mahkamah Sesyen pada 8 Mac 2011 menjatuhkan hukuman penjara setahun dan denda RM10,000 untuk setiap kesalahan terhadap tertuduh dan memerintahkan hukuman penjara tambahan dua bulan bagi setiap denda yang tidak dibayar.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zarifah Zulghaffar.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved