Rabu, 26 Mac 2014

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Misi sukar yang mencabar

Posted: 26 Mar 2014 12:17 PM PDT

Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM
pengarang@utusan.com.my

PEGAWAI Kelas Pertama, Francis Enriquez tekun meneliti monitor radar, infra merah dan pengesan kelainan magnetik (MAD) sewaktu pesawat P3 Orion mengimbas permukaan Lautan Hindi, Isnin lalu.

SAYA tersedar daripada tidur selepas terdengar bunyi hentakan but Komander P3 Orion, Leftenan Erica Ross yang melompat turun dari katil boleh lipat yang terletak betul-betul di atas kepala saya.

Selesa seperti di rumah," pegawai wanita muda itu menyapa saya. Barangkali kerana melihat saya terlena lebih lama berbanding kru pesawatnya yang bergilir-gilir melelapkan mata di bahagian belakang P3 Orion.

Sambil membetulkan topi berwarna merah jambu, Ross mengajak saya meninjau suasana operasi bagi mengelakkan rasa bosan. Rupa-rupanya, sudah hampir dua jam saya terlelap kerana keletihan.

Tatkala memasuki ruang tengah P3 Orion, terbit rasa segan melihatkan kru lain masih setia dengan tugas mereka walaupun operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MH370 di Lautan Hindi sudah memasuki jam keempat.

Dua kru di kiri dan kanan pesawat berkenaan kelihatan tekun merenung permukaan laut dari tingkap tinjau sama ada dengan mata kasar, binokular dan kamera DSLR yang dilengkapi lensa telefoto.

Inilah tugas saya sejak 9 Mac lalu, memerhatikan permukaan Laut China Selatan sebelum beralih ke Selat Melaka dan kini di Lautan Hindi.

Adakalanya minda saya seperti mengada-adakan imej objek di permukaan laut. Mungkin kerana terlalu penat tetapi inilah cabarannya," kata Pegawai Kelas Kedua, Jaimeson Whiteley.

Ya. Memang amat mencabar kerana mereka dilatih untuk mengesan kapal selam dan kapal laut namun kali ini berdepan dengan misi yang lebih sukar kerana tidak tahu apakah objek yang akan muncul sama ada serpihan kecil MH370, jaket keselamatan mahupun dulang makanan pesawat malang itu.

Tidak jauh dari tingkap tinjau itu, terdapat empat stesen kerja yang dilengkapi monitor kamera resolusi tinggi, infra merah, radar dan pengesan kelainan magnetik (MAD) yang serba canggih.

Kelengkapan teknologi tinggi ini membolehkan P3 Orion mengesan manusia dari jarak 48 kilometer dan objek sekecil jaket keselamatan dari ketinggian 1,524 meter.

Teknologi infra merah umpamanya membolehkan operasi SAR dilakukan dalam cuaca gelap, MAD pula berkeupayaan mengesan kelainan medan magnetik seperti kewujudan logam manakala fungsi akustik mampu mengesan bunyi kira-kira 304.8 meter di dalam air.

Kemampuan luar biasa itu menobatkan P3 Orion buatan firma Lockheed Martin sebagai salah satu daripada dua pesawat pengawasan maritim terbaik di dunia bersama-sama P-8 Poseidon.

Di salah sebuah stesen kerja, Jurumudi Aaron Eller kelihatan khusyuk memerhatikan monitor yang memaparkan imej daripada tiga kamera tinjauan beresolusi tinggi yang berada di bawah badan pesawat.

Tangannya cekap bermain dengan joystick yang mengawal pergerakan kamera berkenaan. Imej yang kelihatan seperti objek akan dizoom. Segalanya cukup jelas dan bagi imej tertentu, gambarnya disimpan untuk analisis selanjutnya sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa Malaysia.

Jika ada objek yang dirasakan relevan dan perlukan pemeriksaan rapi, pesawat ini mampu terbang di paras yang lebih rendah kira-kira 60 meter dari permukaan laut bagi membolehkan kamera merakam imej dengan lebih jelas ," katanya.

Ditanya tidakkah tugas itu membosankan, dia sambil ketawa memberitahu: Suka atau tidak, petunjuk mengenai MH370 perlu dicari. Penemuannya akan memberikan impak yang besar kepada misi SAR."

Bersebelahan ruang kerja Eller pula, Pegawai Kelas Pertama, Francis Enriquez tenggelam dalam dunianya merenung monitor radar, infra merah dan MAD.

Jarak penglihatan saya melalui alat ini ialah kira-kira 290 km," katanya sambil menanda kawasan yang telah diimbas oleh P3 Orion.

Sementara itu, menceritakan operasi pada Isnin lalu, Komander Misi, Ketua Pegawai Waran Jorge Guiloty berkata, ia melibatkan kawasan pencarian seluas 43,000 batu nautika persegi di kawasan barat Lautan Hindi.

Katanya, lokasi pencarian itu adalah atas arahan kerajaan Malaysia dan pihaknya berharap sumbangan P3 Orion daripada Skuadron Grey Knight, Armada Ketujuh Tentera Laut Amerika Syarikat dapat membantu pencarian MH370.

Kami ke sini untuk memberikan impak kepada misi SAR. Secara teknikal, apa yang kami cari ialah objek di permukaan laut.

Apa sahaja, boleh jadi serpihan, bagasi penumpang dan kelengkapan lain ataupun kesan tumpahan minyak yang boleh dijadikan petunjuk.

Kami mesti mengimbas setiap inci permukaan laut, tidak boleh ada kawasan yang tertinggal jika mahu menamatkan misteri kehilangan MH370," jelasnya.

Terdahulu, P3 Orion bersama 11 kru misi SAR berlepas dari Pangkalan Udara Subang pada pukul 12.30 tengah hari dan terbang selama dua jam sebelum tiba di kawasan operasi.

Memasuki kawasan operasi, salah satu daripada empat enjin bebaling turbo P3 Orion dimatikan bagi tujuan penjimatan bahan bakar sekali gus memanjangkan tempoh SAR.

Selama enam jam P3 Orion berlegar di kawasan operasi dengan penerbangan statik pada ketinggian kira-kira 304 meter dari permukaan laut dengan kelajuan sederhana.

Jarak itu amat hampir sehingga mata kasar boleh menangkap objek terapung yang kebanyakannya adalah sampah-sarap. Kerja-kerja mengimbas permukaan laut dibuat mengikut garisan lurus sebelum berpatah balik menggunakan jaluran bersebelahan umpama memesin rumput di padang bola.

Sewaktu operasi, cuaca amat baik walaupun Lautan Hindi yang merupakan kawasan laut terpencil sinonim dengan perubahan cuaca secara drastik daripada cerah kepada ribut sebelum kembali cerah selepas beberapa jam akibat pengaruh lilitan Antartika.

Walaupun dalam kebingitan enjin bebaling turbo P3 Orion, penulis dapat merasakan kesunyian Lautan Hindi. Seluas mata memandang lautannya membiru menyimpan rahsia di manakah lokasi sebenar penerbangan MH370 berakhir.

Arus Lautan Hindi yang kuat juga menjadi penghalang kepada usaha mengesan bangkai pesawat kerana serpihan atau apa jua objek yang boleh dijadikan petunjuk akan hanyut dengan pantas. Difahamkan objek boleh berubah kedudukan sehingga 200 kilometer (km) hanya dalam masa empat hari.

Analogi mencari jarum peniti di dalam jerami bagi menggambarkan kesukaran mengesan serpihan atau bahan bukti MH370 di Lautan Hindi sudah tidak tepat kerana keadaannya jauh lebih sukar. Operasi kini ibarat mencari jarum di dalam jerami yang longgokannya bergerak pada setiap masa di bawah sinaran cahaya yang berubah-ubah warnanya.

Malah pencarian objek yang relevan dengan kehilangan MH370 oleh P3 Orion pada Isnin lalu juga buntu. Apa yang berjaya dikesan oleh kelengkapan ultra moden pesawat berkenaan hanyalah 52 bot pemancing, sebuah kapal kontena dan kawanan ikan lumba-lumba.

Bagi penulis, hasil operasi itu amat mengecewakan selepas 10 jam berada di udara dan jika diberi peluang untuk menyertai misi SAR bersama P3 Orion sekali lagi, saya pasti menolak kerana misi itu amat memenatkan dan boleh mengundang mabuk laut yang kronik.

Namun, 11 kru P3 Orion tidak patah semangat malah selepas mendarat di Pangkalan Udara Subang kira-kira pukul 10 malam, wajah mereka ceria dan Ross yang baharu keluar dari kokpit sempat bergurau dengan mengacah untuk menyepak salah seorang kru.

Kita sambung esok," katanya ringkas.

Jangan bohongi diri sendiri

Posted: 26 Mar 2014 12:17 PM PDT

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang telah berakhir dengan kemenangan calon PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dengan majoriti 5,379 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datin Paduka Chew Mei Fun yang juga Naib Presiden MCA.

Berikut adalah carta keputusan PRK Kajang pada 23.03.2014 dan statistik terdahulu sebagai perbandingan.

Jumlah tidak turun mengundi dalam PRK ialah 10,686 atau 27% daripada jumlah pengundi. Dalam PRU-12 pada 2008, calon PKR, Lee Kim Sin menang majoriti 3,268.

Dalam PRU-13, tiga calon bebas Melayu memperolehi 1,346 undi manakala calon bebas bukan Melayu (Ong Yan Foo) mendapat 85 undi.

Saya melihat kebanyakan penganalisis prokerajaan termasuk media memainkan isu konon PKR tidak mendapat sokongan berdasarkan majoriti yang diperolehi oleh Wan Azizah berkurangan sebanyak 2,830 (atau 15%) berbanding yang diperolehi oleh Lee Chin Cheh pada PRU-13.

Wan Azizah mendapat 16,741 berbanding Lee Chin Cheh mendapat 19,571.

Namun pada saya ini satu analisis yang menipu diri sendiri.

Jangan lupa calon BN, Chew Mei Fun hanya mendapat 11,362 undi, berbanding Lee Ban Seng, calon BN dalam PRU-13 yang mendapat 12,747 undi. Ini adalah kekurangan undi sebanyak 1,385 atau 10%.

Beberapa faktor perlu diambil kira didalam membuat analisis PRK Kajang ini. Yang paling ketara ialah jumlah pengundi yang turun dalam PRK ini sangat berkurangan berbanding dengan PRU-13.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah peratus turun mengundi bagi PRU-13 ialah 88.4%, manakala bagi PRK Kajang jumlah turun mengundi hanya 72%; iaitu kekurangan 6,151 undi atau 16%, satu jumlah yang agak besar.

Manakala jumlah yang tidak turun mengundi berbanding dengan jumlah daftar pengundi adalah 10,686 atau 27%. Ini satu jumlah yang sangat besar dan perlu diambil kira dalam menganalisis PRK Kajang.

Pada saya, penurunan jumlah turun mengundi adalah kerana pelbagai faktor. Antaranya, mereka sudah yakin PKR akan menang; kedua, kerana merasakan PRK Kajang tidak perlu; ketiga, faktor pengundi luar tidak balik mengundi; keempat, kerana isu MH370 yang masih menyelubungi negara mempengaruhi mood tidak mahu mengundi; kelima, kerana silent-protest (protes senyap).

Begitu juga kemungkinan besar pengundi Melayu terutamanya dalam kalangan ahli dan penyokong Pas kurang turun mengundi mungkin kerana faktor menolak politiking melampau Anwar Ibrahim dan PKR.

Apapun yang jelas, pada hakikatnya PRK Kajang membuktikan tiada sebarang perubahan dari segi trend mengundi sama ada kepada pembangkang mahupun BN.

Setelah 10 bulan PRU-13 berlalu di mana BN berhadapan dengan senario tsunami politik Cina yang menolak parti pemerintah, saya melihat PRK Kajang memberi gambaran sebenarnya tiada sebarang perubahan trend pengundian dalam kalangan pengundi.

Kita perlu ingat dalam PRK ini ada beberapa faktor memihak kepada BN iaitu:

1. Sabitan kesalahan jenayah liwat terhadap Anwar oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac yang menghukum Ketua Pembangkang itu lima tahun penjara;

2. Politik kronisme yang jelas diamalkan PKR bilamana Wan Azizah, isteri Anwar yang juga Presiden PKR dipilih sebagai calon menggantikan Anwar;

3. Isu kehilangan MH370 yang sepatutnya melahirkan rasa simpati rakyat dan sewajarnya diterjemahkan dalam bentuk undi kepada BN sebagai sokongan moral kepada kerajaan;

4. Tiadanya bantuan aktif daripada jentera Pas kawasan mahupun pusat dalam kempen, malahan Datuk Seri Abdul Hadi Awang hanya turun sekali;

5. Persepsi bahawa Anwar mengkhianati Tan Sri Khalid Ibrahim dengan perancangan untuk menggulingkannya sebagai Menteri Besar Selangor yang menjadi darling MB kepada masyarakat korporat dan peniaga Cina.

Pada waktu yang sama, calon BN bukan calang-calang orang. Mei Fun ialah Naib Presiden MCA, dilihat sebagai seorang yang berprinsip apabila meletakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri dan semua jawatan dalam MCA kerana tidak bersedia bersekongkol dengan bekas Presiden, Datuk Seri Chua Soi Lek yang diselubungi masalah moral yang serius.

Sebagai perbandingan, Wan Azizah pula dilihat sebagai calon yang tidak berprinsip, contohnya gagal menunjukkan jam Omega yang dikaitkan dengan skandal Anwar-China Doll. Kenyataan Wan Azizah bahawa jam itu ada dalam simpanannya bercanggah dengan bukti yang dikemukakan oleh Datuk Eskay yang telah menyerahkan jam tersebut kepada pihak polis.

Isu ini menimbulkan persoalan kewibawaan yang serius terhadap Wan Azizah; siapa yang berbohong, Wan Azizah atau Eskay? Malah slogan kempen BN dalam PRK ini antaranya; calon berprinsip atau calon puppet!

Jentera BN diturunkan sepenuhnya diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dengan Pengarah Jentera Pilihan Raya diamanahkan kepada Datuk Seri Noh Omar, Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor.

Tidak seperti jentera PKR dan pembangkang yang hanya berbekalkan air liur dan modal ceramah, jentera BN turun dengan segala bentuk persiapan dan bekalan; selain ceramah.

Saya memang dari awal tidak menjangkakan BN boleh memenangi kerusi Kajang ini. Namun saya berpandangan jika kena strategi dan perancangan, BN mampu mengurangkan dengan serius majoriti PKR terutama dalam kalangan pengundi Melayu.

Namun jangkaan itu meleset sama sekali. Ternyata hakikatnya tiada sebarang perubahan dalam trend mengundi pada PRK Kajang ini. Malahan trend tsunami politik Cina masih berterusan.

Pada saya, MCA masih gagal untuk menjadi relevan dan diterima oleh masyarakat Cina. Walaupun sudah berubah kepimpinan, namun ia tidak berjaya memberi keyakinan kepada pengundi Cina untuk mengubah trend politik mereka.

Jika PRK Kajang boleh dijadikan cermin untuk PRU-14, BN terutamanya UMNO perlu mengubah strategi dan pendekatan politik mereka.

Mengakui dan menyedari bahawa trend tsunami politik Cina bukan sahaja tidak akan berubah, malah akan bertambah parah dalam PRU-14, UMNO perlu kembali kepada asas undi akar umbi iaitu pengundi Melayu.

Saya berpegang kepada pendapat bahawa kuasa politik Malaysia masih lagi berpaksi kepada bangsa Melayu sebagai tulang belakang pemerintahan. Mana-mana juga parti yang dilihat mendapat sokongan jitu bangsa Melayu akan muncul sebagai tunggak mana-mana kerajaan yang dipilih.

Inilah rahsia kepada kelangsungan politik UMNO dan BN selama ini, termasuk dalam menghadapi PRU-14.

Sokongan dan undi Melayu menjadi paksi kepada kesinambungan politik UMNO. Dan UMNO perlu menyedari bahawa politik bangsa Melayu tidak seperti dahulu. Melayu kini sudah berubah.

Retorik politik bahawa Melayu perlukan UMNO sudah tidak relevan. Hakikatnya sekarang ialah UMNO perlukan Melayu.

Dan itulah pendekatan dan strategi yang perlu dirangka semula oleh kepimpinan UMNO.

Selagi UMNO merasakan Melayu perlukan UMNO, selagi itulah kepimpinan dan ahli UMNO akan berada di zon-selesa dan mengambil mudah kepentingan dan perjuangan bangsa Melayu.

Tetapi jika mereka merasakan bahawa UMNO memerlukan bangsa Melayu, saya yakin seluruh kepimpinan dan ahli UMNO akan mengubah pendekatan dengan memberi keutamaan kepada perjuangan dan kepentingan bangsa Melayu.

Salah satu pendekatan serius yang perlu dilakukan oleh UMNO ialah soal pertanggungjawaban pemerintahan, dalam konteks ketelusan, amanah dan tegas memerangi unsur-unsur salah guna kuasa dan rasuah.

Soal kenaikan harga, soal pengenaan cukai baru GST dan lain-lain bukan isu besar bagi golongan Melayu kelas pertengahan. Tumpuan mereka ialah soal ketirisan, pembaziran dan salah guna perbelanjaan kerajaan.

Soal pelantikan individu politik ke jawatan-jawatan amanah yang langsung tidak wajar, dilihat sebagai pelantikan habuan dan bukannya strategik untuk memartabat dan memperkasa bangsa Melayu. Bak kata pepatah Melayu, seperti menyuruh kucing menjaga lauk ikan! Ini adalah antara faktor yang membuatkan orang Melayu, khususnya kelas pertengahan meluat.

Salah satu pendekatan yang paling berkesan bagi UMNO menghadapi PRU-14 adalah dengan melipatgandakan usaha untuk menyatukan umat Melayu-Islam terutama dari segi politik.

Pemimpin dan jentera UMNO harus berusaha keras merapatkan jurang perbezaan dengan Pas. Suka tak suka, Pas adalah parti alternatif bagi orang Melayu.

Pas masih di tahap kurang cerdik dan terlalu taksub dengan kekuasaan sehingga menjadi pekak, bisu dan buta terhadap realiti keperluan survival politik umat Melayu-Islam.

Jika kelak satu hari Pas tersedar dan membuang Anwar serta membatalkan kerjasama politik dengan DAP, lalu kembali kepada perjuangan asal mereka untuk sebuah negara Islam dan pemerintahan yang tawaduk juga takwa kepada Allah, saya kira waktu itu UMNO hanya tinggal membilang hari.

Kini masih belum terlambat. UMNO perlu segera bangkit daripada zon selesa dan kembali kepada perjuangan mengangkat martabat dan memperkasa umat Melayu-Islam dalam semua aspek termasuk politik, agama, ekonomi, sosial dan lain-lain.

Dan UMNO wajib membuka ruang dan peluang kepada pimpinan pelapis dalam kalangan generasi muda terutama golongan profesional dan berpendidikan tinggi.

Saya merumuskan bahawa PRK Kajang adalah satu cermin istimewa untuk UMNO melihat ke hadapan. Tiada guna kita terus hidup membohongi diri sendiri daripada menerima hakikat bahawa kesinambungan politik Melayu-Islam terletak di tangan pengundi Melayu terutama dalam menghadapi PRU-14.

Selagi UMNO masih dengan sindrom penafian, selagi UMNO masih di dalam zon selesa, selagi UMNO tidak berubah menjadi parti yang meletakkan kualiti di tempat teratas, UMNO akan ketinggalan dalam arus politik perdana yang makin mencabar.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved