Sabtu, 29 Mac 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


'Kami perlukan jambatan baharu'

Posted: 28 Mar 2014 12:28 PM PDT

Oleh NORLIA RAMLI
utusankedah@utusan.com.my

Sazizan Mat Piah (dua dari kanan) bersama beberapa penduduk kampung meninjau keadaan jambatan sempit dan uzur di Kampung Gajah Putih, Jeneri, Sik, Kedah, kelmarin.

SIK 28 Mac - Penduduk di Kampung Gajah Putih, Jeneri merayu agar jambatan lama yang sempit dan uzur termasuk besi penghadangnya yang reput di kampung itu diganti baharu bagi menjamin keselamatan pengguna yang melaluinya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Sazizan Mat Piah, 45, berkata, jambatan lama itu dibina sebelum merdeka iaitu kira-kira 63 tahun dulu.

"Kami mohon supaya kerajaan mengambil tindakan segera untuk mengatasi masalah jambatan sempit ini kerana ia amat berbahaya, tambahan pula besi penghadangnya juga telah reput," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Kata Sazizan, jambatan itu merupakan jalan pintas ke Alor Setar dan turut digunakan kenderaan berat.

"Jambatan ini juga hanya boleh dilalui oleh sebuah kereta sahaja dalam satu-satu masa dan bagi saya, jambatan baharu yang lebih lebar perlu dibina di sini," ujarnya.

Penduduk kampung, Che Ros Yahaya, 60, turut menggesa kerajaan membuat tindakan segera menggantikan jambatan sempit itu dengan sebuah jambatan yang lebih besar.

"Jangan menunggu sehingga berlaku kejadian yang tidak diingini baru hendak membuat tindakan segera kerana ketika itu sudah tidak berguna lagi," ujarnya.

Kata Che Ros, laluan sepanjang jalan di jambatan itu juga gelap dan amat berbahaya bagi pengguna jalan raya terutama orang luar.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Mahadzir Abdul Hamid berkata, jambatan itu sepatutnya telah diganti baharu.

"Tidak sepatutnya jambatan sempit ini kekal sebegini lagi memandangkan keadaan negara sekarang kian maju dan ia perlu dibina baharu demi keselesaan pengguna jalan raya.

"Jambatan ini juga kelihatan uzur dan amat merbahaya kepada pengguna, tambahan pula ia adalah jalan pintas ke Alor Setar dan semakin banyak kenderaan yang melaluinya," katanya.

Tambahnya, permohonan bagi menggantikan baharu jambatan tersebut telah dikemukakan kepada kerajaan, namun belum ada tindakan diambil dan beliau akan membuat susulan berhubung permohonan tersebut selepas ini.

Kedah terus beku permit korek pasir

Posted: 28 Mar 2014 12:28 PM PDT

Tajul Urus Md. Zain (kiri) bersama penduduk meninjau kegiatan mengorek pasir sungai yang mengakibatkan kawasan pertanian di sekitarnya terjejas di Kampung Batu Belacan, Bukit Selambau dekat Sungai Petani, Kedah, semalam. - UTUSAN/OPAT RATTANACHOT

SUNGAI PETANI 28 Mac - Kerajaan negeri Kedah akan terus membekukan pengeluaran sebarang permit mengorek pasir sungai sehingga diputuskan dalam mesyuarat Exco kelak.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya negeri, Datuk Tajul Urus Md. Zain berkata, keputusan tersebut dibuat bermula Jun lalu bagi mengelakkan implikasi negatif terhadap alam sekitar.

Beliau berkata, langkah berkenaan juga diambil selepas mendapati keperluan pasir untuk kegunaan projek-projek pembangunan di negeri ini mencukupi buat masa ini.

"Sebelum ini timbul pelbagai tuduhan mengatakan kerajaan negeri meluluskan banyak lesen atau permit mengorek pasir. Malah, ada dalam kalangan rakyat terpengaruh dengan dakyah pihak tertentu yang mengatakan kerajaan negeri rakus, tidak pentingkan alam sekitar dan cari makan dengan hasil bumi secara berlebihan.

"Sejak mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir bersama barisan Exco telah mengambil keputusan membekukan pengeluaran lesen baharu bagi aktiviti mengorek pasir," katanya kepada pemberita selepas meninjau kegiatan mengorek pasir di Kampung Batu Belacan, Bukit Selambau, dekat sini semalam.

Tajul Urus berkata, kerajaan negeri memandang serius aduan yang dibuat oleh penduduk setempat berhubung implikasi negatif yang tercetus daripada kegiatan mengorek pasir.

Bagaimanapun katanya, kesulitan masih timbul apabila sesetengah Pejabat Tanah dan Daerah dikesan tidak melaksanakan arahan yang dikeluarkan oleh mesyuarat Exco tersebut.

"Sebagai contoh, kerajaan negeri mengeluarkan arahan agar kerja-kerja mengorek pasir di sesetengah kawasan dihentikan tetapi pegawai di pejabat daerah pula membelakangi arahan itu. Mereka meminta pengusaha terus menjalankan kegiatan tersebut sehingga surat dikeluarkan.

"Apabila perkara sebegini berlaku, akhirnya kerajaan negeri dipersalahkan, jelasnya.

Beliau berkata, dalam kes di Kampung Batu Belacan, terdapat pertindihan kuasa kelulusan antara pihak yang mengeluarkan kelulusan mengorek pasir.

"Tanah di kawasan ini telah diambil alih oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk rancangan tebatan banjir Sungai Muda dan pampasan telah dibayar kepada mereka terlibat," katanya.

Tambah beliau, selepas diambil alih, sebahagian tanah rizab sungai itu disewakan kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Gurun untuk ahlinya menjalankan kegiatan pertanian.

"Walau bagaimanapun, masalah kemudiannya berbangkit apabila tanah rizab bersebelahan kawasan itu dijadikan tempat mengorek pasir sungai. Surat kelulusan untuk aktiviti tersebut dikeluarkan pejabat tanah. Di sini wujud masalah kelulusan tidak selaras antara agensi kerajaan," katanya.

Sehubungan itu, Tajul Urus berkata, kerajaan negeri kelmarin mengambil keputusan agar projek mengorek pasir itu dihentikan segera sehingga siasatan lanjut dibuat dalam tempoh terdekat.

Maritim selamatkan tekong, 4 awak-awak bot karam

Posted: 28 Mar 2014 12:28 PM PDT

Pasukan Maritim Malaysia berjaya menyelamatkan awak-awak daripada tenggelam bersama bot mereka yang karam di perairan Kuala Perlis, Kangar, semalam. - Ihsan Maritim Malaysia

KANGAR 28 Mac - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kuala Perlis berjaya menyelamatkan empat awak-awak dan seorang nakhoda sebuah bot kargo yang karam di perairan Kuala Perlis petang semalam.

Bot kargo yang didaftarkan atas nama Dibuk 1 itu karam kira-kira empat kilometer dari Kuala Perlis pada pukul 1.17 petang.

Ketua Penguat Kuasa Pangkalan Maritim Kuala Perlis, Leftenan Komander Shahrizan Raman berkata, sebelum itu pihaknya mendapat aduan daripada Pengarah Operasi Syarikat Dibuk, Khalid Khamis mengenai bot kargo berkenaan yang mengalami kebocoran di perairan Kuala Perlis.

"Kargo berkenaan dikatakan membawa muatan seperti bekalan makanan dan bahan mentah untuk dihantar ke Pulau Langkawi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Shahrizan berkata, sebuah bot peronda Maritim Malaysia dengan empat anggotanya telah dikejarkan ke lokasi kejadian untuk membuat pemantauan dan memberi bantuan kepada awak-awak bot tersebut.

"Ketika bot peronda Maritim tiba di tempat kejadian, bot kargo Dibuk 1 didapati telah pun tenggelam hampir lapan puluh peratus.

"Bot kargo itu tenggelam sepenuhnya pada pukul 1.20 petang," katanya.

Shahrizan berkata, kesemua awak-awak bot tersebut telah terjun ke laut dan berjaya diselamatkan oleh bot peronda Maritim tanpa sebarang kecederaan.

Katanya, sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim, Pangkalan Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved