Sabtu, 29 Mac 2014

Utusan Online - Feminin


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Baju t untuk muslimah

Posted: 28 Mar 2014 12:28 PM PDT

Oleh MERAN ABU BAKAR

Koleksi baju t muslimah kerana labuh menutupi punggung

SEMUA mengetahui bahawa baju t merupakan baju yang selesa dipakai di mana sahaja dan tahan lasak. Bagaimanapun kebanyakan baju t yang terdapat di pasaran tidak cukup labuh menutupi punggung yang sesuai dipakai oleh golongan muslimah.

Baju t biasanya menjadi pilihan ramai untuk dipakai semasa berjalan-jalan, bersiar-siar di taman, membeli-belah, ke pasar, ke sekolah pada hari Sabtu atau ketika pergi bercuti. Namun tidak banyak yang boleh dipilih di pasaran. Selain itu, corak dan warna juga tidak menarik.

Amat peka dengan perkara ini, Ummu Habibah Abd Rahman selaku Pengarah Urusan Global Imtiyaaz Enterprise dan pengeluar koleksi Muslimah4u yang merupakan baju t muslimah telah menghasilkan sebanyak 300 rekaan baju ini.

Menurut pengeluar baju t muslimah nombor satu di Malaysia ini, setiap minggu terdapat tiga hingga empat rekaan dihasilkan. Setiap satu rekaan dibuat untuk 500 helai baju t.

Corak baju juga dipelbagaikan seperti corak bunga, abstrak, jalur, polka dot dan sebagainya. Sesuai dipakai oleh wanita berumur di antara 18 sehingga 50 tahun, banyak saiz boleh didapati daripada xs hingga 4xl pada harga RM55 hingga RM69.

Mempunyai kilang sendiri di Sentul, baju t yang dibuat daripada fabrik kapas dan kapas lycra ini mempunyai potongan yang labuh menutupi punggung dan di atas lutut. Ini memberikan keselesaan kepada si pemakai yang boleh menggayakannya bersama skirt labuh, seluar panjang atau palazzo.

Setiap rekaan dibuat sendiri oleh Ummu Habibah dan diilhamkan daripada blaus yang terdapat di pasaran, majalah dan fesyen luar negara.

Ia juga direka daripada pengalaman sendiri yang susah mencari baju t yang labuh dan memenuhi kehendak muslimah. Pernah menjadi stokis syarikat lain, beliau kemudian memulakan perniagaan sendiri pada tahun 2011.

Selain mempunyai pusat jualan di Pusat Bandar Seri Gombak dan butik di Pusat Perdagangan Selasih (Gombak), Seri Iskandar (Perak) dan Malay Town (Pahang), Ummu mempunyai seramai 300 orang stokis di seluruh negara.

Beliau turut merancang untuk menembusi pasar raya dan membuka butik eksklusif baju t di seluruh Malaysia.

Gaya moden muslimah metropolitan

Posted: 29 Mar 2014 05:48 AM PDT

Golongan muslimah seringkali mengalami kesukaran untuk mencari pakaian yang sesuai untuk digayakan ketika bekerja mahupun menghadiri majlis makan malam yang bersesuaian dengan tuntutan syarak.

Pemilihan busana pastinya akan terarah kepada jubah. Namun pemilihan jubah agak terhad, selain padanan warna yang sama menyebabkan wujud sedikit kebosanan kepada si pemakai.

Bagi memenuhi gaya metropolitan gadis muslimah, alternatif lain perlu dicari. Gaun yang direka khusus bukan sahaja untuk tujuan beribadat tetapi juga untuk aktiviti seharian.

Trend kali ini menampilkan koleksi daripada Love To Dress yang mempunyai potongan moden dan smart kasual, sesuai untuk mereka yang menitikberatkan gaya dan penampilan ke pejabat mahupun menghadiri majlis makan malam.

Padanan warna polos memang sesuai untuk acara formal seperti ini kerana ia menunjukkan kematangan dan kebijaksanaan seseorang dalam memilih dan mematuhi etika berpakaian.

Dengan menggayakan gaun labuh, seseorang itu tetap tampak yakin sekali gus memberi impak kepada persekitaran mereka dengan potongan gaun yang berpadanan.

Dalam aspek warna, ternyata warna hitam memang tidak boleh lari daripada menonjolkan imej korporat dan berani. Namun, padanan warna lain juga akan mempengaruhi personaliti individu dalam berpakaian.

Ditambah pula jahitan di pinggang yang menyerlahkan lagi bentuk gaun itu, seterusnya menambahkan seri pemakai.

Selain itu, padanan tudung yang bersesuaian juga penting dalam pemilihan gaun bagi memastikan seseorang itu kelihatan anggun dan cantik dari segi penampilan ketika menghadiri sesuatu acara. - AMIRUL

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved