Selasa, 25 Mac 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Akuakultur jana ekonomi Pasir Salak

Posted: 24 Mar 2014 12:25 PM PDT

Oleh AIN SAFRE BIDIN
utusanutara@utusan.com.my

TAJUDDIN Abdul Rahman melawat kebun limau seorang penduduk ketika mengetuai lawatan kerja pegawai tertinggi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ke kawasan Parlimen Pasir Salak di Perak, kelmarin. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN

PASIR SALAK 24 Mac - Ternakan ikan dalam sangkar atau akuakultur bakal menjadi sumber ekonomi utama di Pasir Salak selain padi dan sawit, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak berkata, aktiviti eko-pelancongan juga akan menjadi antara sumber ekonomi baharu di kawasan itu.

Menurut beliau, kedua-dua aktiviti ekonomi itu adalah antara cadangan yang terkandung di dalam Pelan Induk Pembangunan Ekonomi dan Sosial Pasir Salak yang sedang disediakan.

"Walaupun pelan induk itu masih belum siap sepenuhnya, kita sudah ada idea apa sektor yang sesuai untuk dibangunkan di kawasan ini," katanya kepada pemberita sempena lawatan kerja pegawai tertinggi Kementerian Pertanian dan Asas Tani ke kawasan Parlimen itu semalam.

Lawatan kerja sehari itu yang diketuai Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Mohd. Hashim Abdullah antara lain melawat projek naik taraf pengairan Sungai Manik, ternakan ikan dalam sangkar di Sungai Perak dan pusat pengumpulan FAMA di Changkat Lada.

Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak berkata, walaupun banyak program pembangunan dilaksanakan di kawasannya, sudah sampai masanya untuk kerajaan mengadakan lebih banyak program yang boleh meningkatkan lagi pendapatan rakyat.

Menurut beliau, pihaknya telah mengenal pasti lokasi yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai kawasan akuakultur dan eko-pelancongan.

"Bagaimanapun keputusan akhir mengenai lokasi itu akan diputuskan selepas mendapat nasihat pakar dari kementerian," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan rakyat di Pasir Salak supaya menyambut baik program yang akan dilaksanakan oleh kerajaan.

"Mereka bukan sahaja perlu memberi sokongan moral tetapi perlu sama-sama menjadi peserta yang aktif," ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan tambahan RM44 juta untuk projek menaik taraf pengairan Sungai Manik.

Beliau berkata, RM7.3 juta akan dibelanjakan tahun ini dan tahun depan, manakala bakinya akan dibelanjakan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang bermula 2016.

Pejabat Tanah Kulim capai taraf lima bintang

Posted: 24 Mar 2014 12:25 PM PDT

KULIM 24 Mac - Pejabat Tanah (PT) Kulim sekali lagi merangkul anugerah pada peringkat kebangsaan apabila berjaya mencapai taraf lima bintang dalam Audit Penilaian Pentadbiran Tanah, baru-baru ini.

Program penarafan tersebut mula dilaksanakan pada tahun 2013 dengan melibatkan semua pejabat tanah dan daerah di seluruh Malaysia.

Penolong Pentadbir Tanah (Pendaftaran) PT Kulim, Mohd. Nasrun Suid berkata, penilaian berkenaan turut dijalankan dengan kerjasama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) dan Jabatan Audit Negara.

"Sebelum ini, sesi prapenilaian penarafan bintang telah dilaksanakan di 22 buah pejabat tanah. Daripada jumlah itu, empat pejabat tanah mendapat empat bintang manakala sembilan lagi pejabat memperoleh tiga bintang dan selebihnya diberikan tiga bintang.

"Bagi sesi penilaian akhir pula melibatkan 17 pejabat tanah. Selepas melepasi sesi ini, PT Kulim telah diiktiraf oleh panel penilaian menjadi pejabat yang mendapat penarafan lima bintang," katanya dalam majlis lawatan kerja Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Zoal Azha Yusof di sini, semalam.

Yang hadir sama ialah Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Tanah dan Galian, Datuk Dr. Sallehuddin Ishak serta Pengarah Tanah dan Galian Kedah, Datuk Wira Mohd. Nor Rafie.

Mohd. Nasrun berkata, melalui penarafan berkenaan, ia akan meningkatkan motivasi kerja dalam kalangan kakitangan PT Kulim dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.

PT Kulim pernah memenangi beberapa anugerah di peringkat nasional antaranya adalah Anugerah Inovasi Sektor Awam (AISA) pada tahun 2010.

Hutan Gunung Jerai terbakar

Posted: 24 Mar 2014 12:25 PM PDT

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat memadam kebakaran di kawasan hutan di Gunung Jerai , Kedah, yang dipercayai berpunca akibat cuaca kering yang berlarutan sejak kebelakangan ini. - GAMBAR IHSAN JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT

ALOR SETAR 24 Mac - Hampir 10 hektar hutan di Gunung Jerai yang menyimpan pelbagai khazanah berharga, dikhuatiri musnah ekoran berlakunya kebakaran sejak seminggu lalu sehingga kini.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak, Abdul Muin Ayob, kebakaran itu berpunca daripada cuaca panas dan kering kebelakangan ini.

Kata beliau, pihaknya menghadapi kesukaran untuk memadam kebakaran di kawasan itu memandangkan lokasinya jauh dari jalan utama, tiupan angin kencang dan kedudukannya yang curam.

"Lokasi kebakaran dianggarkan berada pada paras ketinggian 640 meter dari aras laut. Lebih menyukarkan keadaan, untuk sampai ke situ kami perlu berjalan lebih dua jam di dalam kawasan hutan.

"Justeru, apa yang kami mampu lakukan, hanyalah menghalang kebakaran itu daripada merebak, khususnya di kawasan bawah yang lebih banyak pokok," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini semalam.

Gunung dengan ketinggian 1,217 meter dari aras laut itu merupakan yang tertinggi di utara semenanjung tanah air selain menjadi tumpuan pengunjung untuk melawat tempat-tempat bersejarah serta rekreasi seperti berjoging.

Seorang pekerja resort berhampiran yang enggan dikenali mendakwa, kebakaran di kawasan itu sudah bermula sejak hampir seminggu lalu.

"Sejak seminggu lalu, api sudah mula ada di kawasan tepi jalan menuju ke puncak. Tetapi nampaknya, kini sudah mula padam dan hanya tinggal asap.

"Kemudian hari ini saya difahamkan berlaku kebakaran di dalam hutan pula. Diharapkan agar kebakaran ini dapat dipadam secepat mungkin dan tidak memberi kesan kepada kami yang mencari rezeki di sini," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved