Selasa, 25 Mac 2014

Utusan Online - Luar Negara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Konflik selatan Filipina berakhir

Posted: 25 Mar 2014 11:51 AM PDT

Gambar fail bertarikh 11 Februari 2012, menunjukkan Benigno Aquino III, (kanan) berkongsi gula-gula dengan Murad Ebrahim semasa lawatannya ke kubu kuat MILF di Sultan Kudarat, selatan Mindanao. - AFP

MANILA 25 Mac - Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) bakal mencatat sejarah penting apabila kedua-dua pihak bersetuju untuk menandatangani perjanjian pada Khamis ini yang akan mengakhiri krisis pemberontakan berdarah paling lama di Asia.

Perjanjian itu bakal menyaksikan penubuhan entiti baru wilayah autonomi Bangsamoro di selatan negara ini.

Naib Pengerusi MILF, Ghazali Jaafar berkata, perjanjian itu sangat penting bagi menamatkan perjuangan di Mindanao selepas Bangsamoro menempuh pelbagai detik sukar dan kepayahan.

"Bangsa kami telah melalui kesukaran selama berpuluh-puluh tahun. Kejayaan ini amat dinanti-nantikan," katanya.

MILF telah berjuang lebih empat dekad untuk mendapatkan kemerdekaan atau hak autonomi di wilayah itu atas tuntutan bahawa kawasan tersebut merupakan tanah warisan nenek moyang mereka.

Konflik itu meragut lebih 120,000 nyawa, sekali gus menyebabkan Mindanao menjadi wilayah paling miskin dan dicemari isu rasuah di Filipina.

Dalam majlis memeterai perjanjian itu Khamis ini, Presiden Benigno Aquino III akan mewakili kerajaan Filipina, sementara MILF diwakili Pengerusinya, Murad Ebrahim.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka menyaksikan upacara menandatangani perjanjian tersebut selepas rundingan damai anjuran Kuala Lumpur itu akhirnya berjaya dilaksanakan.

Wilayah autonomi melibatkan 10 peratus kawasan Filipina itu, akan mempunyai pasukan polis dan Parlimen yang ditubuhkan sendiri selain kuasa untuk mengenakan cukai kepada penduduk. - AFP

Barack Obama digesa bantu Rohingya

Posted: 25 Mar 2014 11:51 AM PDT

WASHINGTON 25 Mac - Bekas ahli Kongres Amerika Syarikat (AS), Tom Andrews yang melawat kem pelarian etnik Rohingya di barat Myanmar menggesa Presiden AS, Barack Obama menggunakan pengaruhnya di negara itu untuk melindungi anggota etnik tersebut.

Andrews yang merupakan presiden kumpulan aktivis, End Genocide dalam laporannya semalam memberi amaran, anggota etnik tersebut mengalami kekurangan bekalan perubatan dan sentiasa hidup dalam ketakutan.

"Tanda-tanda bahaya dapat dilihat dengan jelas. Jumlah yang terkorban adalah tinggi.

"Mereka diserang bukan kerana apa yang telah mereka lakukan. Serangan dilakukan kerana etnik dan agama mereka," katanya yang melawat kem tersebut selama sebulan.

Beliau berkata, tanda-tanda amaran berlakunya pembunuhan kaum dan keganasan besar-besaran sudah dapat dilihat di sana.

Sejak pertengahan 2012, hampir 280 orang terutama etnik Rohingya Islam maut dalam pertempuran kaum di negeri Rakhine, kejadian yang membayangi perubahan Myanmar ke arah demokrasi selepas lima dekad diperintah oleh kerajaan junta.

Hampir 140,000 anggota Rohingya Islam terpaksa tinggal di kem-kem sesak dan berpuluh ribu melarikan diri ke negara lain menaiki bot.

Andrews berkata, jumlah pelarian yang melarikan diri melalui laut meningkat dua kali ganda tahun ini walaupun perjalanan tersebut amat berbahaya dan sukar mendapat perlindungan di tempat lain.

Myanmar menganggap kira-kira 1.3 juta etnik Rohingya Islam sebagai pendatang yang berpindah ke negara itu secara haram dari Bangladesh walaupun kebanyakannya sudah tinggal di sana sejak beberapa generasi. - AGENSI

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved