Selasa, 25 Mac 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


75 peratus CCTV di pasang

Posted: 24 Mar 2014 12:25 PM PDT

Oleh HARITH MOHAMAD
kota@utusangroup.com.my

AHMAD Phesal Talib (depan) menunjukkan kedudukan CCTV yang dipasang sekitar Jalan Dato Onn kepada Muhammad Ibrahim pada majlis penyerahan CCTV kepada Bank Negara Malaysia di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/GHAZALI BASRI

KUALA LUMPUR 24 Mac - Sebanyak 75 peratus daripada 1,200 sistem kamera litar tertutup (CCTV) dipasang sekitar ibu negara melibatkan kos sekitar RM190 juta oleh kontraktor yang dilantik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, pemasangan itu dijangka siap sepenuhnya pada akhir Mei tahun ini.

Menurutnya, sehingga bulan lepas,sebanyak 900 CCTV dipasang di beberapa lokasi panas di sekitar ibu negara.

"Sempena Tahun Melawat Malaysia 2014, dijangkakan kira-kira 15 juta pelancong yang terdiri daripada 10.1 juta rakyat tempatan , manakala 4.9 juta pelancong asing berkunjung ke ibu negara.

"Pemasangan ini bagi mengurangkan kadar jenayah dan memastikan keselamatan serta keselesaan warga kota," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Sistem CCTV kepada Bank Negara Malaysia (BNM) di Dewan Persidangan 1, Sasana Kijang di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Gabenor BNM, Datuk Muhammad Ibrahim; Timbalan Ketua Pengarah (Pelaksanaan Projek dan Penyenggaraan) DBKL, Datuk Mohd. Najib Mohd.

Ahmad Phesal berkata, DBKL sedia maklum tentang peningkatan ketara kes kejadian ragut yang banyak berlaku di ibu negara sekaligus menjejaskan usaha kerajaan dalam menarik lebih ramai pelabur dan pelancong luar mahupun dalam negara.

"DBKL dan Polis Diraja Malaysia sentiasa bekerjasama bagi memastikan bandaraya ini bebas jenayah dengan meningkatkan pelbagai aspek keselamatan," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kerja-kerja meningkatkan tahap keselamatan di sekitar BNM dibiayai sepenuhnya oleh DBKL setelah mengadakan perbincangan bersama.

"Pelan tindakan peringkat pertama itu merangkumi pemasangan enam unit CCTV di sepanjang Jalan Dato' Onn,penambahan dua buah bonggol serta pemasangan pagar keselamatan di sepanjang laluan pejalan kaki sekitar lokasi terbabit.

"Manakala bagi peringkat kedua, jejantas BNM di Jalan Kuching akan dinaik taraf serta dicat semula, pemasangan tiga unit CCTV di laluan pejalan kaki berbumbung berhampiran stesen LRT Bandaraya dan penandaan garisan kuning di kedua-dua belah di Jalan Pekarangan Tun Ismail menghala ke Tunas Kijang," jelasnya.

Air Sungai Selangor alami penurunan, pelan catuan diteruskan ikut jadual asal

Posted: 24 Mar 2014 12:25 PM PDT

PELAN catuan peringkat ketiga diteruskan mengikut jadual asal berikutan ketiadaan hujan sejak kebelakangan ini sehingga menyebabkan paras air di Sungai Selangor menurun. - MOHD AZIM ABD RAHMAN/ UTUSAN

KUALA LUMPUR 24 Mac - Ketiadaan hujan di beberapa kawasan sejak beberapa hari lepas menyebabkan paras air di Sungai Selangor menurun semula.

Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. ( Syabas ), Priscilla Alfred berkata, sehubungan itu syarikat operator loji-loji rawatan air (LRA) terpaksa mengurangkan semula pengeluaran air terawat pada tahap asal iaitu sebanyak 500 juta liter sehari (JLH).

Menurutnya, loji-loji yang terlibat adalah LRA Sungai Selangor Fasa 1, LRA Sungai Selangor Fasa 2, LRA Sungai Selangor Fasa 3, LRA Sungai Rasa dan LRA Rantau Panjang.

"Oleh yang demikian, catuan bekalan air di kesemua kawasan yang terlibat akan dilakukan berdasarkan jadual pelan catuan seperti yang dimaklumkan sebelum ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kira-kira 3.13 juta pengguna melibatkan 782,609 buah rumah di 664 kawasan sekitar ibu negara, Gombak, Petaling, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang terlibat dalam catuan air peringkat ketiga bermula 10 Mac lalu.

Sementara itu, beliau menegaskan bahawa pengawalan dan pengurangan pelepasan air dari sungai yang terlibat adalah dilaksanakan oleh syarikat operator loji rawatan air iaitu Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn. Bhd. (SPLASH) dan Puncak Niaga (M) Sdn. Bhd. (Puncak Niaga)masing-masing mengawal Empangan Sungai Selangor dan Empangan Klang Gates.

Dalam masa yang sama, Priscilla memberitahu, kedua-dua LRA Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi masih beroperasi semula sejak 17 dan 19 Mac lalu mengikut keadaan kualiti sumber air mentah di dalam Sungai Langat.

"Pihak Syabas dimaklumkan oleh syarikat operator loji berkenaan bahawa kekurangan penurunan hujan sejak kebelakangan ini mungkin akan mengakibatkan paras kandungan ammonia meningkat semula di dalam sungai tersebut dan dipantau dengan rapi oleh Puncak Niaga.

"Walau bagaimanapun, kawasan yang dijadualkan dicatu bekalan air di bawah pelan catuan bekalan air peringkat pertama kini masih terus menerima bekalan air terawat sepanjang tempoh kedua-dua LRA tersebut masih beroperasi," jelasnya.

Tambahnya lagi, kerjasama pengguna amat diperlukan berikutan kedua-dua pelan catuan tersebut masih lagi diteruskan ke satu tarikh yang akan diputuskan oleh kerajaan negeri Selangor.

"Selain itu, para pengguna diingatkan supaya tidak melakukan perkara yang tidak bertanggungjawab terhadap fasiliti dan infrastruktur bekalan air yang diuruskan oleh Syabas kerana akan merumitkan lagi keadaan serta boleh dikenakan penalti yang tinggi di bawah Akta Industri Pembekalan Air 2006," jelasnya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lengkap berhubung pelan catuan air yang dilaksanakan boleh melayari laman web Syabas (www.syabas.com.my) dari semasa ke semasa.

MBSA buka permohonan tapak bazar Ramadan

Posted: 24 Mar 2014 12:25 PM PDT

SHAH ALAM 24 Mac - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan menyediakan 27 lokasi tapak bazar Ramadan yang menawarkan 2,226 lot berniaga sempena sambutan bulan tersebut tahun ini.

Timbalan Pengarah Komunikasi dan Korporat, Shahrin Ahmad berkata, borang permohonan akan diedarkan secara percuma mulai esok hingga 27 Mac ini yang boleh diperolehi di kaunter Utama MBSA, kaunter Jabatan Korporat di Tingkat G dan di Kaunter Jabatan OSC, Tingkat LG Wisma MBSA, Shah Alam.

"Selain itu borang juga boleh didapati di kaunter Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan di Tingkat 13, Wisma MBSA dan juga di pejabat-pejabat cawangan MBSA di Sungai Buloh, Kota Kemuning dan Setia Alam. Borang permohonan juga boleh dimuat turun melalui laman sesawang MBSA, http://www.mbsa.gov.my/.

"Proses pengeluaran Permit Bazar Ramadan ini akan mengambil masa sehingga 3 bulan yang bermula pada 25 Mac yang mana borang akan mula diedarkan sehinggalah penyerahan permit berniaga yang dijadualkan pada 17 Jun hingga 19 Jun depan," katanya di sini hari ini.

Shahrin berkata, pihaknya mengjangka sebanyak 3000 permohonan akan diterima bagi mengisi 2,226 lot berniaga di 27 lokasi Bazar Ramadan yang disediakan.

Tambahnya, lot-lot berniaga yang disediakan adalah sebanyak 1,245 lot tapak daripada lapan lokasi yang diundi dan 981 lot tapak daripada 19 lokasi yang tidak diundi.

"Antara lokasi tapak penjaja ialah di Seksyen 2, Seksyen 6, dua lokasi di Seksyen 7, Seksyen 8, Seksyen 13 Bazarena dan lain-lain seksyen di bandaraya ini," ujarnya.

Sebarang pertanyaan berkenaan Permit Bazar Ramadan, peniaga berminat boleh menghubungi Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan di talian 0355105133 sambungan 1550,1317, 1549, 1486 dan 1396 untuk keterangan lebih lanjut.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved