Selasa, 25 Mac 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Cabaran martabatkan usahawan

Posted: 24 Mar 2014 12:25 PM PDT

Oleh NAZARUDIN SHAHARI
utusanN9@utusan.com.my

SEREMBAN 24 Mac - Usaha untuk mengembalikan martabat Dewan Perniagaan Melayu Malaysia cawangan Negeri Sembilan (DPMMNS) sebagai payung kepada para usahawan di negeri ini adalah antara cabaran yang perlu dipikul oleh jawatankuasa kepimpinan pertubuhan itu yang baharu dipilih.

Yang Dipertuanya Abdul Rahman Yaakub berkata, jawatankuasa baharu itu yang majoritinya usahawan muda mengakui berdepan tugas mencabar untuk mengembalikan semula reputasi pertubuhan itu yang terjejas sejak beberapa tahun kebelakangan ini hingga ramai yang menganggap dewan berkenaan sudah tidak wujud lagi.

Beliau berkata, jawatankuasa tersebut akan berusaha bersungguh-sungguh menjayakan aspirasi DPMMNS bagi membantu meningkatkan keupayaan dan daya saing para usahawan di negeri ini.

"Saya bersama ahli jawatankuasa yang baharu akan berusaha melaksanakan amanah ini dengan sebaik mungkin untuk membantu memartabatkan usahawan Melayu dan menarik lebih ramai golongan muda menceburi bidang keusahawanan," katanya kepada para pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama jawatankuasa baharu DPMMNS, di bangunan DPMMNS, di sini baru-baru ini.

Bagi menjayakan hasrat itu, katanya, DPMMNS menetapkan lima sasaran utama untuk direalisasikan sepanjang tempoh tiga tahun bermula tahun ini.

Jelasnya, sasaran tersebut ialah membina dan memperkasakan rangkaian ekonomi usahawan Melayu dan mendedahkan ahli dewan kepada dana dan peluang yang disediakan oleh kerajaan serta swasta.

"Selain itu, dewan juga mahu menjadi tunjang kepada persatuan-persatuan usahawan Melayu di negeri ini dan memantapkan hubungan dengan kepimpinan kerajaan negeri.

"Kita juga menetapkan transformasi ke arah kegemilangan DPMMNS menjelang 2016," ujarnya.

LN9i bantu kerajaan jayakan TMM 2014

Posted: 24 Mar 2014 12:25 PM PDT

REMBAU 24 Mac - Kelab Pemilik Nissan Grand Livina Negeri Sembilan (LN9i) berhasrat membantu kerajaan negeri menjayakan program dan aktiviti pelancongan di negeri ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM 2014) tahun ini.

Presidennya, Ahmad Radhi Rosli berkata, pihaknya mahu menyumbang tenaga dan idea yang boleh membantu mempromosikan Negeri Sembilan sebagai destinasi pelancongan yang mesti dikunjungi sama ada oleh pelancong asing mahu pun tempatan.

"Kami akan melibatkan diri dalam program-program yang telah dirancang dan dilaksanakan oleh kerajaan negeri bagi mempromosi negeri ini bagi menarik kedatangan lebih ramai pelancong," katanya pada mesyuarat agung pertama LN9i di sini baru-baru ini.

Mesyuarat agung itu telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Modal Insan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Zaifulbahri Idris yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Chembong.

Selain itu, Ahmad Radhi berkata, kelab itu juga akan bersama-sama dengan kerajaan membanteras gejala sosial seperti mat rempit dan dadah dengan mendekati mereka dan melakukan aktiviti yang lebih berfaedah.

Jelasnya, kelab itu yang ditubuhkan pada 2011 telah melaksanakan pelbagai aktiviti yang turut memberi faedah kepada masyarakat seperti menyertai sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri, berbuka puasa di rumah anak yatim dan memberi sumbangan kepada mangsa banjir di Terengganu.

"Bermula dengan hanya dua ahli pada awal 2010, kelab ini kini mempunyai kira-kira 400 ahli di negeri ini," ujarnya.

Tambahnya, pemilihan ahli kelab itu tertakluk hanya kepada pemilik kereta Nissan Grand Livina yang lahir di negeri ini, bekerja di negeri ini dan bermastautin di negeri ini.

Warga MPAG disaran amal cara hidup sihat

Posted: 24 Mar 2014 12:25 PM PDT

ALOR GAJAH 24 Mac - Warga Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) disaran untuk mengamalkan cara hidup sihat dengan mementingkan penjagaan kesihatan badan agar dapat melaksanakan tugas dengan lebih produktif dan cekap.

Yang Dipertuanya, Murad Husin berkata, kesihatan kakitangannya termasuk para pegawai dan anggota MPAG memainkan peranan penting dalam memastikan perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan ditahap yang terbaik.

Menurutnya, corak tugasan pihak berkuasa tempatan (PBT) bukan sahaja berhadapan dengan kerenah pelanggan saban hari malah turut terpaksa memperjudikan nyawa khususnya ketika melaksanakan tugas penguatkuasaan.

"Bagi memastikan setiap tugasan yang diamanahkan ini dapat dipikul dengan baik, salah satu faktornya adalah kesihatan mesti berada di tahap yang terbaik kerana dalam setiap tugasan itu ada cabarannya yang tersendiri.

"Yang menjalankan tugas penguatkuasaan semestinya fizikalnya mesti kuat dan yang berhadapan dengan kerenah pelanggan yang datang ke pejabat pula memerlukan kekuatan mental dan mampu mengawal emosi dengan baik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Gaya Hidup Sihat Bersama Komuniti MPAG di perkarangan MPAG, Alor Gajah, di sini hari ini.

Menurutnya, melalui program itu warga MPAG akan lebih menghargai kesihatan sebagai aset paling bernilai dan meningkatkan usaha untuk mencegah penyakit-penyakit berkaitan melalui amalan cara hidup yang sihat.

Katanya lagi, terdapat empat komponen utama yang menjadi teras program itu antaranya peningkatan pengetahuan dan amalan pemakanan, peningkatan pengetahuan dan amalan menangani tekanan, peningkatan pengetahuan dan amalan anti merokok dan peningkatan amalan sukan dan rekreasi.

"Pihak pengurusan MPAG mengharapkan dengan adanya program kesihatan ini akan membantu warga kerja MPAG mengamalkan cara hidup sihat dan meningkatkan kesedaran terhadap kesihatan diri sendiri dan ahli keluarga," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved