Selasa, 25 Mac 2014

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


13 kawasan catat IPU sederhana setakat 2 petang

Posted: 25 Mar 2014 02:15 AM PDT

KUALA LUMPUR 25 Mac - Kualiti udara di seluruh negara pada keseluruhannya adalah baik kecuali 13 kawasan yang mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sederhana setakat 2 petang.

Menurut portal Jabatan Alam Sekitar (JAS), antara kawasan berkenaan ialah Bakar Arang (Sungai Petani) (53), Balok Baru (Kuantan) (55), SK Jalan Pegoh (Ipoh) (77) dan Seri Manjung (53).

Sembilan kawasan lain ialah Tanjung Malim (53), Kangar (55), Perai (73), Seberang Jaya 2 (Perai) (63), USM (70), Banting (60), Kuala Selangor (57), Pelabuhan Klang (70) dan Kemaman (53).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Orang ramai boleh merujuk portal http://apims.doe.gov.my bagi mengetahui bacaan IPU di kawasan masing-masing. - BERNAMA

Mahkamah Persekutuan benarkan pemaju merayu

Posted: 25 Mar 2014 01:17 AM PDT

PUTRAJAYA 25 Mac - Dua pemaju boleh meneruskan usaha mereka untuk mengemukakan saman sivil terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan enam yang lain berhubung satu dakwaan pengambilan tanah di Ijok, Selangor.

LBCN Development Sdn. Bhd. dan Mujur Zaman Sdn. Bhd. diberi kebenaran untuk membuat rayuan oleh panel lima anggota Mahkamah Persekutuan di sini hari ini terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang menolak saman sivil mereka sebelum ini.

Panel Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Raus Md Sharif sebulat suara membenarkan pemaju berkenaan mengemukakan rayuan.

Pemaju terbabit memohon untuk mengekalkan saman sivil mereka terhadap pengarah Jabatan Tanah dan Galian Selangor, Pendaftar Hak Milik Tanah Selangor, Pentadbir Tanah Kuala Selangor, Menteri Besar Selangor (atas kedudukan peribadi dan rasmi beliau), Kerajaan Negeri Selangor dan Menteri Besar Selangor Incorporated.

Dua persoalan undang-undang mengenai tort misfeasans dalam jawatan awam akan dibincang dan dibuat keputusan oleh Mahkamah Persekutuan dalam pendengaran rayuan sebenar pada tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Bagaimanapun, Raus menolak permohonan pemaju berkenaan untuk mendapatkan perintah sementara bagi menangguhkan penjualan tanah terbabit sementara menunggu keputusan rayuan mereka.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, pemaju terbabit, antara lain berkata responden sedar bahawa harta terbabit diberi hak milik kepada mereka bagi melaksanakan projek bersepadu Bukit Cerakah Green Revolution dan projek pembangunan perniagaan lain.

Mereka memohon mendapat perisytiharan bahawa keputusuan responden untuk mengambil balik tanah berkenaan pada 2011 dan 2012 adalah menyalahi undang-undang, batal dan tidak mempunyai kesan perundangan.

Perayu diwakili pasukan peguam diketuai Tan Sri Cecil Abraham, manakala peguam Datuk Kamaruzaman Arif mewakili Menteri Besar Selangor Incorporated dan penasihat undang-undang negeri Selangor Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman mewakili responden lain. - BERNAMA

Anugerah sukan dunia Laureus 2014 ubah program hormati tragedi MH370

Posted: 25 Mar 2014 12:52 AM PDT

KUALA LUMPUR 25 Mac - Anugerah Sukan Dunia Laureus 2014, yang pada mulanya dijadual berlangsung secara besar-besaran, diubah sebagai tanda simpati dan bagi menghormati berita tentang pesawat Malaysia Airlines MH370 yang mengakhiri penerbangannya di selatan Lautan Hindi.

Pengerusi Laureus World Sports Academy Edwin Moses hari ini berkata beberapa acara yang sepatutnya diadakan menjelang majlis itu esok, ditangguhkan.

"Semua kami di Laureus World Sports Academy sedih dengan tragedi dahsyat ini. Oleh kerana kami berasa begitu rapat dengan rakyat Malaysia ketika ini, maka apa yang berlaku itu menjadikan kami lebih terharu dan menyayat hati.

"Jadi, kami rasa, langkah yang wajar diambil dalam keadaan begini adalah tidak mengadakan beberapa kegiatan kami dalam tempoh dua hari ini dengan begitu meriah," katanya dalam satu kenyataan.

Moses berkata pihaknya mendedikasikan Laureus All Stars Unity Cup kepada keluarga dan mereka yang disayangi oleh mangsa MH370.

Malam tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pesawat berkenaan mengakhiri penerbangannya di Lautan Hindi berdasarkan analisis baharu yang dibuat terhadap data satelit oleh Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB) dan syarikat satelit Inmarsat.

Penerbangan ke Beijing dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal itu hilang pada 8 Mac. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved