Selasa, 25 Mac 2014

Utusan Online - Jenayah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Remaja 16 tahun dicabul depan sekolah

Posted: 25 Mar 2014 11:51 AM PDT

IPOH 25 Mac - Seorang pelajar perempuan tingkatan empat di sebuah sekolah dekat Kampar, dicabul seorang lelaki ketika sedang menunggu bapanya selepas tamat aktiviti persekolahan, Sabtu lalu.

Dalam kejadian pukul 4.20 petang di pintu utama sekolah itu, mangsa didatangi oleh suspek berusia 30-an lalu duduk di sebelahnya lalu tiba-tiba memeluknya.

Mangsa melawan sehingga berlaku pergelutan dan terjatuh di atas lantai sebelum suspek bertindak mengoyakkan baju remaja tersebut.

Bagaimanapun jeritan mangsa berjaya menakutkan suspek menyebabkan lelaki itu melarikan diri dengan sebuah motosikal.

Akibat pergelutan itu, mangsa mengalami rasa sakit di bahagian dada.

Ketua Polis Daerah Kampar, Supritendan Ng Kong Soon berkata, ketika kejadian, mangsa seorang diri dan tiada saksi berada di lokasi berkenaan.

"Imej dipercayai suspek berjaya dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tempat letak kenderaan. Siasatan percaya imej itu adalah suspek berdasarkan warna baju serta bentuk badan.

"Pihak polis telah melakukan soal siasat terhadap beberapa staf serta guru sekolah tetapi tiada yang mengenali atau pernah melihat suspek sebelum ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Kong Soon, kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan.

Pemilik hotel rugi RM50,000 rumah dipecah masuk

Posted: 25 Mar 2014 11:51 AM PDT

IPOH 25 Mac - Seorang pemilik sebuah hotel di sini kerugian kira-kira RM50,000 selepas rumahnya di Jalan Kelab Golf dekat sini dipecah masuk malam semalam.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 10.15 malam ketika mangsa yang berusia 70 tahun dan keluarganya tiada di rumah.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, ketika kejadian hanya tiga pembantu rumah warga asing berada di dalam rumah tersebut.

Beliau berkata, kejadian itu disedari selepas salah seorang daripada pembantu rumah terbabit terdengar bunyi bising dari luar bilik tidur mereka.

"Semasa pembantu rumah cuba memeriksa punca bunyi bising itu mereka dikejutkan dengan kehadiran tiga lelaki bertopeng bersenjatakan parang.

"Penjenayah terbabit kemudiannya mengurung dua daripada pembantu dalam sebuah bilik manakala seorang lagi pembantu diacukan parang di leher dan diugut agar memberikan kerjasama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Polis Ke-207 peringkat negeri di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara Polis di sini hari ini.

Chang Keong berkata, penjenayah terbabit kemudiannya bertindak menggeledah rumah berkenaan dan mengambil barangan berharga termasuk barang kemas bernilai RM50,000.

Katanya, pembantu rumah berkenaan yang tidak mengalami sebarang kecederaan telah menghubungi majikan mereka bagi memaklumkan kejadian sebaik penjenayah terbabit meninggalkan rumah.

"Siasatan mendapati, rumah tersebut dilengkapi sistem kamera litar tertutup (CCTV) namun alat perakamnya sudah dilarikan penjenayah.

"Kita kini sedang mengesan penjenayah itu dan siasatan kes ini dibuat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved