Selasa, 25 Mac 2014

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Perjalanan yang tiada destinasi

Posted: 25 Mar 2014 11:51 AM PDT

SEJAK 8 Mac lalu sehingga ke hari ini, Malaysia diselubungi perasaan sedih, hiba dan tertanya-tanya dengan peristiwa kehilangan misteri pesawat MH370. Dalam keghairahan dunia tampil dengan pelbagai teknologi canggih, penjelajahan mencari dan menyelamat melibatkan 26 negara termasuk Amerika Syarikat, Rusia, Britain, Jepun, China, India, Perancis, Australia, Korea dan gergasi besar dunia lain cukup sukar sekali.

Ada pihak dengan mudah menuding jari kepada Malaysia kerana dikatakan tidak sensitif terutama dalam menyediakan maklumat dan data yang secukupnya. Malahan, rakyat Malaysia sendiri memburuk-burukkan negara tanpa segan-silu; tanpa melihat sensitiviti keluarga penumpang dan anak kapal.

Ada yang menjadi terlalu seronok menunjukkan kejaguhan dalam isu ini walaupun ia sebenarnya direkacipta untuk mencari populariti. Di manakah nilai kemanusiaan, pertahanan menyeluruh dan patriotisme tatkala dunia goyah disebabkan oleh insiden ini?

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri sebak dan turut menangisi kesukaran yang dilalui oleh kaum keluarga terlibat tetapi ada pula yang seronok memperlekehkan apa sahaja tindakan yang dibuat oleh pihak berwajib malahan ada tokok-tambah yang tidak masuk akal sama sekali.

Soalnya mengapa dalam negara berhadapan dengan krisis kehilangan pesawat Boeing 777-200, kita masih tidak mahu bersatu, memobilisasi sokongan dan keazaman merentasi apa sahaja perbezaan.

Ia sewajarnya dijadikan iktibar agar operasi mencari dan menyelamat tidak dipengaruhi oleh apa sahaja sentimen terutama dalam kalangan kelompok tertentu yang terlalu taksub dengan berita-berita sensasi diterbit dan disiar oleh pihak yang cuba berperang dengan psikologi rakyat Malaysia.

Berita mengelirukan oleh media tertentu dan kemaruk untuk menjadikan sesuatu berita viral yang tidak ada keabsahan daripada sumber rasmi menjadi-jadi.

Sejak awal kerajaan cuba mengurus krisis MH370 secara berhemah dengan melihat ia sebagai peristiwa yang memerlukan komitmen besar bukan sahaja dari pihak Malaysia tetapi juga negara luar. Malaysia sebagai pemilik pesawat dan titik permulaan penerbangan menjadi peneraju dalam pencarian pesawat ini. Ia dilakukan dengan penelitian sebaik mungkin kerana yang diutamakan oleh pihak berwajib adalah penumpang, anak kapal dan keluarga mereka.

Malaysia turut dikritik kerana saga MH370 penuh dengan spekulasi oleh pelbagai pihak termasuk yang mahu menjadi orang pertama merungkai misterinya walaupun maklumat yang disebar tidak benar atau hanya berasaskan kepada sedikit maklumat yang sumbernya diragui.

Pelbagai dakwaan dibuat termasuk oleh media asing.

Saya percaya jika radar satelit gelombang beberapa negara yang terlibat dalam operasi pencarian ini dikongsi sepenuhnya, barangkali kita mampu mengesan dengan lebih baik. Ada pihak yang menyalahkan Malaysia kerana dikhuatiri tidak memberikan kesemua informasi tanpa menyedari bahawa kebanyakan negara asing lebih mengutamakan keselamatan negara masing-masing daripada diceroboh melalui data yang boleh dikongsi bersama-sama Malaysia untuk mengesan dengan lebih mendalam.

Jika maklumat radar diberikan serta-merta, barangkali ia sudah dirungkai hari ini.

Ia ketara kerana Thailand baru muncul dengan pengesahan radar tenteranya bahawa pesawat MH370 melencong ke Selat Melaka pada 8 Mac lalu.

Rakyat Malaysia mengharapkan negara yang ada maklumat sekurang-kurangnya berkongsi secara tertutup dengan pihak berwajib Malaysia agar ia tidak melengahkan masa operasi mencari pesawat ini.

Begitu juga di Maldives apabila ada yang menyuarakan terlihat pesawat terbang rendah sedangkan ia tidak wujud.

Apakah Malaysia wajar dikritik jika negara lain memakan masa mengeluarkan maklumat yang ada? Jika Malaysia mengutamakan perasaan ahli keluarga penumpang dan anak kapal, ada media asing yang tidak tahu menghormati sensitiviti kerana lebih berminat untuk menampilkan teori konspirasi daripada mendekati jalan pencarian yang benar-benar praktikal kerana mereka sendiri sukar mempercayai pesawat ini sudah menjadi satu misteri di kala mereka megah dengan pelbagai peralatan canggih melangkaui zaman. Ada yang berlumba-lumba mahu ke hadapan tanpa menyedari ia memberikan impak negatif kepada keseluruhan insiden ini.

Angka korban, terhempas, dirampas sebagai tebusan dan bunuh diri ataupun dibunuh merupakan yang terakhir mahu dilihat oleh kerajaan yang komited atas keselamatan penumpang dan anak kapal pesawat MH370 walau ada segelintir yang syok dengan agenda ini untuk melemahkan pendekatan yang diambil oleh kerajaan kini.

Penyatuan dalam kalangan masyarakat Malaysia penting sewaktu negara berhadapan dengan krisis. Ini bukan pertama kali kita melihat ada pihak yang cuba memanipulasi situasi untuk meraih sokongan daripada percaturan politik.

Ia dilakukan sewaktu peristiwa Lahad Datu dan diulang semula sekarang. Apakah segalanya perlu dipolitikkan? Apakah belum wujud kematangan berpolitik sesama kita ketika cakap-cakap kita sudah berada di kepompong politik baru? Adakah kedaulatan negara tidak mahu dijunjung bersama kerana perbezaan fahaman politik?

Apakah politik masih menjadi titik pemisah sesama kita?

Barangkali, ramai yang tidak tahu bahawa koordinasi yang membabitkan 26 buah negara bukan mudah terutama dengan kesediaan beberapa negara dunia pertama sendiri mahu terlibat. Ada data radar yang sensitif tidak boleh dijadikan tatapan umum dan ada juga yang tidak dikongsi sebarangan oleh negara yang terhalang dengan limitasi dasar keselamatan negara masing-masing.

Ia juga membabitkan soal risikan, intipan serta justifikasi penanda aras ke atas kekuatan dan kekurangan teras bucu-bucu yang boleh dibolosi ketika berhadapan dengan konflik dan persengketaan. Ia adalah benteng mempertahankan kedaulatan serta sekuriti sesebuah negara.

Kewibawaan pimpinan negara terserlah walaupun dihimpit dengan bermacam tohmahan. Apa yang diberikan keutamaan adalah bukti sahih yang boleh dijadikan laporan rasmi; bukannya spekulasi dan ramalan penganalisis aviasi yang tiba-tiba muncul. Kesemua ini memerlukan keterampilan hubungan diplomatik dan terbukti dilakukan oleh kerajaan dengan sebaik mungkin menggunakan kesemua saluran hubungan dua hala serta pelbagai hala demi MH370.

Usaha kerajaan, MAS, pasukan keselamatan dan yang lain perlu diiktiraf. Walau ada kelemahan, penambahbaikan dilakukan secara berterusan dalam masing-masing dahaga maklumat.

Malaysia terus diuji dengan kehilangan MH370, masalah kemarau yang berpanjangan; jerebu, cuaca panas terik dan isu air; kesemuanya cuba ditangani dengan mencari formula menang-menang untuk semua.

Yang penting, kita perlu muafakat, bersatu, cekal dan tidak digoda oleh tangan-tangan yang mahu melihat Malaysia cemas dan runtuh di mata dunia.

Bagi yang secara berterusan mengkritik usaha kerajaan termasuk pemimpin yang ghairah memberikan bahan kepada media luar serta membogelkan martabat tanah air melalui sindiran lukisan, temubual dan penulisan, bayangkan jika yang ada dalam pesawat ialah insan yang kita kenali dan sayangi.

Cuba fahami dan selami jiwa keluarga dan waris mereka yang berada dalam MH370 sebelum mahu memburuk-burukkan insiden ini kerana tidak ada keuntungan yang boleh diperolehi melainkan kebencian dan perasaan marah.

Bersatulah mempertahankan kedaulatan, martabat dan kelangsungan negara-bangsa yang bernama Malaysia ini. Megah sebagai warga yang bertanggungjawab lebih baik daripada megah sebagai Si Kitul yang menjadi musuh dalam selimut kepada negaranya sendiri kerana penyatuan melangkaui politik adalah satu perjalanan yang tidak ada destinasinya.

Dr. Sivamurugan Pandian ialah Profesor Madya di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan

Universiti Sains Malaysia (USM)

Jangan hilangkan kotak hitam kemanusiaan

Posted: 25 Mar 2014 11:51 AM PDT

Oleh Abdul Razak Idris

DI SAAT ini doa untuk penumpang dan anak kapal pesawat MH370 masih belum putus-putus dipanjatkan oleh umat Islam di negara ini.

Doa adalah janakuasa keimanan kepada umat Islam yang mempercayai segala perkara yang berlaku di dunia ini telah ditentukan. Namun sebagai umat Islam kita perlu berusaha dan bertawakal.

Sementara pelbagai lapisan masyarakat daripada Perdana Menteri sehingga kanak-kanak prasekolah terus berdoa, malangnya masih ada yang menjadikan peristiwa kehilangan MH370 sebagai modal bicara di laman sosial.

Baru-baru ini penulis berpeluang menyaksikan kanak-kanak prasekolah dan murid Sekolah Kebangsaan Seksyen 19 menzahirkan rasa sedih dan harapan mereka terhadap penumpang MH370 yang tidak dikenali oleh mereka. Kanak-kanak prasekolah tersebut melukis dan mewarna dengan cantik gambar kapal terbang yang mungkin tidak pernah mereka naiki sebelum ini.

Antara mereka ada yang mengatakan MH370 telah terbang tapi masih belum pulang lagi ke negara ini. Ada juga mengatakan ibubapa mereka memberitahu tugas juruterbang adalah hebat dan memerlukan keberanian.

Malahan lebih menyayat hati apabila kanak-kanak ini mengatakan MH370 tidak hilang tetapi telah berada di dalam hati kita semua.

Bayangkan anak-anak yang masih hijau sudah memahami sentimen kesedihan atas hakikat sebuah kehilangan.

Sayangnya mengapa kita orang dewasa pula bertanggapan yang peristiwa kehilangan pesawat MH370 itu akan terus hilang daripada ingatan dan radar keprihatinan kita.

Di sana-sini di dunia maya ada yang terus menyebarkan spekulasi negatif hingga ada waris penumpang dan anak kapal MH370 menganggap Kerajaan Malaysia menyembunyikan sesuatu.

Isu yang di luar bidang kuasa kita bukan kita yang berhak menentukan. Apa yang penting kita memberi peluang kepada pihak-pihak yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) melaksanakan tanggungjawab mereka.

Sebaik-baiknya maklumat yang diterima dibincangkan mengikut kebijaksanaan dan bukan menonjolkan sisi jumud dan sinis diri kita.

Kita takut nanti setelah segala misteri kehilangan MH370 terungkai, kita pula sibuk mencari kotak hitam kemanusiaan kita.

Hentikanlah sikap buruk yang menyakitkan hati waris-waris 239 penumpang dan krew sama ada di dunia maya atau dunia realiti.

Biarlah operasi SAR memberi fokus mencari kotak hitam penerbangan MH370. Jangan pula kotak hitam kemanusiaan kita hilang dari radar keprihatinan kita.

Lautan Hindi dan cuaca sejuk adalah halangan operasi SARberdoalah.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved