Isnin, 24 Mac 2014

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Benarkah undi Cina meningkat?

Posted: 24 Mar 2014 12:25 PM PDT

Oleh Zulkifli Jalil

APA benarkah telahan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai bahawa berlaku peningkatan sokongan pengundi Cina kepada Barisan Nasional (BN) di Kajang kelmarin? Kata Tiong Lai, ia naik daripada 16 peratus kepada 25 peratus.

Sememangnya sukar untuk mengesahkan berlakunya peningkatan peratusan ini.

Mengikut rekod sahih yang diperoleh penulis, di pusat mengundi Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Sg. Chua 1 dan 2 sendiri, sentimen pengundian kaum Cina tampak padu kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR). Daripada 55 saluran, PKR meraih 4,021 undi manakala BN cuma 1,318 undi.

Demikian juga di pusat mengundi Balai Raya JKKK Kampung Baru Sg. Chua Kajang yang meliputi daerah mengundi Sg. Chua 3 menunjukkan perbezaan ketara dengan BN di saluran 1 hanya memperoleh 63 undi manakala PKR, 172. Di saluran 2 pula, BN, 61 dan PKR, 238.

Di daerah mengundi Sg. Chua 4 Pusat Rukun Tetangga dan Tabika Perpaduan, BN di saluran 1 meraih 72 undi sementara PKR, 184. Di saluran 2 daerah mengundi sama, BN cuma terdaya mendapat 85 undi dengan PKR jauh ke depan, 284 undi.

Di daerah mengundi Dewan Orang Ramai Sg. Chua 5 senarionya serupa dengan saluran 1 menyaksikan BN cuma meraih 90 undi dan PKR pula, 166; saluran 2 (BN, 82 dan PKR, 211), saluran 3 (BN, 113 dan PKR, 370) dan saluran 4 (BN, 81 dan PKR, 352). Semua daerah mengundi dari Sg. Chua 1 hingga Sg. Chua 5, BN kalah teruk.

Dalam waktu beberapa jam atau 24 jam, kita maklum agak sukar untuk sesiapa mengetahui trend pengundian mengikut kaum di setiap saluran. Melainkan, ia dianalisis daripada buku daftar pemilih ejen-ejen parti.

Namun, kalau berdasarkan keputusan daripada keseluruhan 87 saluran, ia tidak mencerminkan apa-apa yang positif kepada BN. Yang ketara hanyalah status-quo seperti 5 Mei 2013 semasa pilihan raya umum ke-13. Tidak ada peningkatan buat MCA meskipun jumlah keseluruhan keluar mengundi rendah daripada PRU-13, malahan Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail mendapat lebih lagi.

Justeru, dari segi sokongan mengikut kaum, kita belum pasti lagi bacaannya.

Dari segi pendirian pengundi Cina di Kajang pula, nampaknya mereka bukan mengundi calon mengikut kaum (dalam konteks ini, Datin Paduka Chew Mei Fun daripada BN). Tetapi terarah mengundi untuk memprotes kerajaan.

Jadi, MCA tidak boleh 'mendabik dada' dengan merumuskan trend sokongan mengikut kaum tanpa berlandaskan fakta. Jika bercakap semata-mata nak menyedapkan hati, parti tidak akan ke mana.

Berdasarkan trend pengundi semasa di Kajang sebelum 23 Mac pun, BN dilihat tidak mendapat tempat dalam kalangan pengundi kaum Cina. Komposisi pengundi di Kajang adalah sebanyak 39,278 pengundi di mana pengundi Melayu seramai 48 peratus, pengundi Cina seramai 41 peratus, pengundi India 10 peratus dan 1 peratus pengundi kaum lain.

Kalau dilihat pada peratusan kaum Cina di Kajang, BN memang dilihat tiada peluang untuk menambat hati mereka. Pada pilihan raya kecil DUN Sungai Limau, Kedah tempoh hari pun, kaum Cina telah sebulat suara menolak calon BN.

Tidak kira bantuan apa sekalipun diberi, mereka tetap tidak memberi undi pada BN. Ditambah pula dengan reputasi dan 'ayat-ayat manis' Anwar Ibrahim, peluang PKR di Kajang dengan bantuan pengundi Cina dilihat memang cerah dan ini dibuktikan apabila Mei Fun tewas.

Cuma yang bagusnya kempen BN dalam bab PRK Kajang ini, parti pemerintah tidak memberi apa-apa. Berjanji ada, tetapi tidak seperti pilihan raya-pilihan raya sebelum ini yang memberi bermacam-macam peruntukan terutama dana untuk sekolah-sekolah Cina.

Apa pun, kalau dilihat daripada sentimen pengundian di Kajang Ahad lalu, faktor kaum bukan alasan untuk pengundi Cina memilih BN. Demikian juga isu peribadi. Yang penting kepada pengundi Cina adalah rasa tidak puas hati menebal atau mungkin yang tidak berpenghujung terhadap kerajaan.

Dari segi jentera BN yang terlibat dalam PRK Kajang kelmarin, sesuatu mungkin juga boleh dipelajari. Meskipun majoriti penggerak kempen terbabit ialah Melayu, pada masa depan dalam mendepani cabaran pilihan raya terutama PRK, mereka perlu bijak atau bahasa betulnya, licik dalam mempelbagaikan taktik kempen. Gunakanlah kebijaksanaan intelek untuk berdepan dengan permainan psiko pakatan pembangkang. Sepatutnya sebahagian jentera yang berada di saluran-saluran mengundi kelmarin tidak terikut-ikut dengan gaya kempen pembangkang pada era 90-an.

Malangnya apa yang berlaku di Kajang, terlihat kembalinya gaya lama berkenaan - dengan cercaan peribadi bertali arus terhadap seorang individu berkumandang di sana sini. Apabila baldi bertemu kangkung dan buah kelapa, hanya kelicikan boleh memenangkan sesuatu pihak.

Dari satu segi lain, penulis dimaklumkan ketiadaan penyertaan daripada pengundi atas pagar dalam PRK berkenaan juga menjadi faktor utama keputusan menjadi status-quo. Trend pengundian rancak antara pukul 8 hingga 11 pagi, kemudian berkurangan dan semakin menyusut apabila memasuki 2 petang, sekali gus menyukarkan pencapaian 80 peratus keluar mengundi.

Di sebalik rezeki yang tidak berpihak kepada Mei Fun, jika benarlah telahan Tiong Lai yang sokongan pengundi Cina kepada BN telah bertambah kepada 25 peratus di Kajang, maka MCA kena mengambilnya sebagai satu pengajaran berguna. Iaitu untuk bergerak lebih agresif mendekati dan menyelami hati pengundi Cina. Jangan harapkan kepada Perdana Menteri sahaja.

Mungkin kepada kaum Cina, isu peribadi adalah hak peribadi seseorang individu. Ia barangkali bukan satu kesalahan seperti mana yang pernah diharungi bekas Presiden MCA sebelum ini.

Kepada pengundi Cina, isu utama sebahagian besar mereka adalah tidak suka kepada kerajaan. Di sinilah cabaran terbesar MCA untuk merungkaikannya.

PRK Kajang barangkali satu formula terbaik di mana MCA mengetuai jentera BN dengan hanya memberi fokus khusus kepada pengundi Cina, dan UMNO pula menyokong dari belakang.

Cuma selepas ini Tiong Lai perlu lebih agresif dan licik dengan memperhebatkan latihan dalam kalangan ejen-ejen parti daripada kaum Cina, andai kata mahu MCA terus berlayar di samudera raya.

Dan seandainya berlaku lagi PRK, apatah lagi di Pulau Pinang atau kerusi-kerusi yang membabitkan majoriti pengundi Cina, Tiong Lai barangkali tidak lagi akan cuak.

Tentu ada cara atau kaedahnya untuk melakukan pengubahsuaian trend dan sentimen pengundian kaum Cina.

Buang penyakit hati, tunjukkanlah sedikit simpati

Posted: 24 Mar 2014 12:25 PM PDT

Coretan Marhaen

Gelagat jelik penyokong pembangkang di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Persekutuan Kajang pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil N25 Kajang, kelmarin.

"Salam sejahtera. #prayforMH370.

Laut China Selatan kami kirimkan doa

Selat Melaka kami telah mencuba

Laut Andaman kami tak putus asa

Lautan Hindi kami terus berusaha

Koridor Utara dan Selatan kami panjangkan doa

Moga akan ada perkhabaran gembira"

Kata-kata itu dikirimkan oleh seorang pembaca Utusan Malaysia, Chin Jun Kui dari Miri, Sarawak.

Tidak perlu huraian. Tidak perlu penjelasan. Apa yang dinukilkan itu cukup jelas merangkumkan doa kita semua, rakyat Malaysia yang prihatin, yang masih ada sifat-sifat kemanusiaan terhadap insiden kehilangan misteri pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.

Perasaan sebak cepat sahaja menguasai apabila membaca kisah hiba waris penumpang dan anak kapal pesawat yang merindui insan kesayangan mereka.

Ketika mengikuti kesungguhan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang digerakkan oleh pasukan keselamatan dari pelbagai negara pun penulis terasa sebak juga.

Apatah lagi apabila membaca mesej-mesej yang diluahkan oleh pelbagai lapisan rakyat dari dalam negara kita mahupun warga asing yang tidak ada kena-mengena pun dengan 239 nyawa yang masih belum diketahui nasibnya.

Apa yang pasti, setiap daripada kita yang masih mempunyai sifat belas, simpati dan empati sedikit-sebanyak mampu merasai kepedihan hati waris-waris mereka yang menaruh sepenuh harapan untuk mendapat perkhabaran baik tentang orang tersayang.

Hanya mereka yang `hatinya berpenyakit' sahaja gagal menyelami perasaan itu. Lantas tanpa perasaan belas sanggup memomok-momok dan mempersenda perasaan dan emosi orang lain.

Malang sungguh apabila ramai dalam kalangan masyarakat kita kini mempunyai penyakit hati sebegini.

Buktinya dapat dilihat di dada-dada media sosial bahkan ternampak jelas melalui aksi kurang siuman yang ditunjukkan semasa hari pembuangan undi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang kelmarin.

Memang ramai termasuk penulis yang tidak bersetuju dengan tindakan seorang bomoh bersama pengikutnya mengaibkan negara dan agama Islam di KLIA baru-baru ini, bahkan banyak pihak termasuk alim ulama sudah membuat teguran.

Namun perlukah tindak-tanduk si bomoh diulang lakon dan dipergunakan untuk mempersenda usaha kerajaan menjalankan operasi menjejaki pesawat MAS yang hilang secara misteri itu?

Perbuatan tahyul dan khurafat memang mengarut, namun lebih mengarut apabila ada pihak khususnya bertaraf pemimpin sampai sanggup meminta penjelasan kerajaan berhubung kehadiran si bomoh.

Dalam pada banyak persoalan berhubung kehilangan misteri MH370 belum terjawab, tindak-tanduk yang didorong oleh kepentingan politik murahan ini langsung tidak membantu bahkan hanya menyerabutkan keadaan.

Kempen PRK DUN Kajang sudah berakhir. PKR sudah pun menang.

Cukup-cukuplah mempolitikkan insiden malang ini dan tunjukkan kewarasan bahawasanya masih ada sedikit ruang ihsan yang tertinggal di hati kita sebagai manusia kerdil di bumi Allah ini.

Takziah buat keluarga anak kapal dan penumpang MH370. Semoga mereka tabah menghadapi perkhabaran yang cukup perit untuk diterima ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved