Isnin, 24 Mac 2014

Utusan Online - Jenayah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Penagih dadah larikan jentera bomba 30 minit

Posted: 24 Mar 2014 12:25 PM PDT

Oleh AINSAFRE BIDIN
utusanperak@utusan.com.my

BAHAGIAN hadapan jentera bomba dan penyelamat rosak teruk selepas dilarikan seorang penagih dadah di Teluk Intan, Perak, semalam.

BAGAN DATOH 24 Mac - Seorang penagih dadah nekad menceroboh Balai Bomba dan Penyelamat Hutan Melintang sebelum menghidup dan melarikan sebuah jentera pasukan itu sejauh 14 kilometer, di sini hari ini.

Dalam kejadian mencemaskan kira-kira pukul 11 pagi itu, suspek bertindak memandu secara melulu menghala ke Teluk Intan dekat sini, malah turut melanggar beberapa kenderaan, tiang lampu dan pembahagi jalan.

Berikutan itu, seorang penunggang motosikal cedera ringan akibat terjatuh setelah nyaris dilanggar jentera berkenaan.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis mengejar jentera itu selama setengah jam sebelum kenderaan berkenaan terbabas di persimpangan lampu isyarat di kawasan Batak Rabit, menghala ke Teluk Intan.

Katanya, suspek berusia 30 tahun itu kemudian berjaya ditahan.

Menurut beliau, insiden itu bermula semasa anggota bomba yang bertugas bertukar syif di balai berkenaan.

"Suspek yang menunggang motosikal tiba-tiba menceroboh masuk ke dalam bilik jentera sebelum menghidupkan enjin dan melarikan kenderaan berkenaan dengan merempuh pagar balai.

"Sepasukan anggota dari Balai Polis Hutan Melintang dan Hilir Perak mengejar jentera itu dan cuba menahannya namun tidak diendahkan suspek, sebaliknya lelaki itu terus memecut," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Kok Liang, hasil pemeriksaan mendapati jentera itu mengalami kerosakan termasuk cermin hadapan dan lampu hadapan sebelah kirinya pecah manakala bahagian badan kenderaan remuk.

"Hasil siasatan yang dijalankan mendapati suspek adalah penagih dadah dan berasal dari Kampung Selabak dekat sini. Sehingga kini siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk motif dia melarikan jentera tersebut.

"Suspek kini ditahan reman selama sehari bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 42(1), Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu secara melulu dan membahayakan.

"Jika sabit kesalahan, suspek boleh dipenjara sehingga lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 serta tidak lebih RM15,000," katanya.

Penunggang motosikal terlibat, Hanis Shahfinas Ismail, 26, yang ditemui di Hospital Teluk Intan berkata, dia terkejut apabila sebuah jentera bomba mengekorinya terlalu rapat sehingga hampir melanggar motosikalnya.

"Bila terdengar bunyi siren bomba, saya menunggang motosikal ke tepi bagi membolehkannya lalu. Bagaimanapun saya pelik apabila jentera itu tidak mengikuti jalan yang telah dikosongkan sebaliknya berada betul-betul di belakang motosikal saya.

"Akibat ketakutan, saya terlanggar batu dan terjatuh. Nasib baik saya tidak masuk di bawah kenderaan tersebut," katanya.

Remaja 13 tahun dirogol dua lelaki

Posted: 24 Mar 2014 12:25 PM PDT

TEMERLOH 24 Mac - Polis menahan dua remaja lelaki bagi membantu siasatan kes rogol seorang pelajar tingkatan di kawasan sebuah kedai makan di Kerayong, Bera dekat sini, pada 18 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Supritendan Zakaria Yusof berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, mangsa terlebih dahulu minum dengan kedua-dua suspek berusia 17 dan 19 tahun di kedai berkenaan.

"Namun setelah kedai itu ditutup, kedua-dua suspek memaksa mangsa melakukan seks di kawasan berdekatan sebelum dihantar pulang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Zakaria berkata, ibunya yang menyedari perubahan sikap anaknya itu, mendesak mangsa menceritakan perkara sebenar sebelum membuat laporan polis, kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi.

"Susulan laporan itu, polis menahan dua suspek terbabit dan direman tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved