Isnin, 24 Mac 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Pelan catuan air berjalan lancar

Posted: 23 Mar 2014 11:17 AM PDT

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusangroup.com.my

Seorang penduduk di Jalan 23/108, Taman Salak Jaya, Salak Selatan, Kuala Lumpur menadah air bagi tujuan simpanan berikutan catuan air di kawasan berkenaan sehingga 31 Mac ini. - UTUSAN/QAMARUL RIZAL

KUALA LUMPUR 23 Mac - Pelan catuan bekalan air peringkat pertama dan ketiga di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang mula dilaksanakan sejak 27 Februari dan 10 Mac lalu berjalan lancar.

Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), Priscilla Alfred berkata, kira-kira 3.13 juta pengguna melibatkan 782,609 buah rumah di 664 kawasan sekitar ibu negara, Gombak, Petaling, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang terlibat dalam catuan air peringkat ketiga itu.

Menurutnya, walaupun lima loji rawatan air (LRA) iaitu LRA Sungai Selangor Fasa 1, LRA Sungai Selangor Fasa 2, LRA Sungai Selangor Fasa 3, LRA Sungai Rasa dan LRA Rantau Panjang yang menggunakan sumber air mentah dari Sungai Selangor telah menambah pengeluaran air terawat masing-masing, namun pelan catuan masih diteruskan seperti biasa sehingga satu tarikh diputuskan oleh kerajaan Negeri Selangor.

Sungai tersebut mendapat peningkatan sedikit aliran air sungai ekoran dari hujan di kawasan terbabit beberapa hari yang lalu. Bagaimanapun, pengeluaran air terawat masih dikawal dengan mengurangkan pelepasan air daripada Empangan Sungai Selangor," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, tambahan bekalan air terawat itu sudah pun disalurkan ke sebahagian kawasan yang terlibat dalam pelan catuan peringkat ketiga.

Sementara itu katanya, LRA Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi yang beroperasi semula sejak 17 dan 19 Mac lalu masih dalam pemantauan oleh syarikat operator loji berkenaan berikutan paras amnonia masih belum dapat dipastikan.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan para pengguna supaya sentiasa memberi kerjasama penuh untuk bertindak menjimatkan air bagi membolehkan bekalan air sedia ada dapat bertahan lebih lama.

Kerjasama pengguna amat diperlukan berikutan kedua-dua pelan catuan tersebut masih lagi diteruskan ke satu tarikh yang akan diputuskan oleh kerajaan negeri Selangor.

Selain itu, para pengguna diingatkan supaya tidak melakukan perkara yang tidak bertanggungjawab terhadap fasiliti dan infrastruktur bekalan air yang diuruskan oleh Syabas kerana akan merumitkan lagi keadaan serta boleh dikenakan penalti yang tinggi di bawah Ak-ta Industri Pembekalan Air 2006," jelasnya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lengkap berhubung pelan catuan air yang dilaksanakan boleh melayari laman web Syabas (www.syabas.com.my) dari semasa ke semasa.

Persatuan sukan di Wilayah Persekutuan terima bajet RM579,000

Posted: 23 Mar 2014 11:17 AM PDT

PUTRAJAYA 23 Mac - Majlis Sukan Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM579,000 kepada persatuan-persatuan sukan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, objektif pemberian peruntukan tersebut bertujuan menyalurkan geran bantuan untuk aktiviti tahunan dan keperluan pengurusan persatuan.

Peruntukan yang disediakan untuk persatuan-persatuan sukan di Kuala Lumpur sebanyak RM351,000 sementara itu, persatuan-persatuan sukan di Putrajaya pula menerima peruntukan sebanyak RM126,000 dan Labuan menerima peruntukan sebanyak RM102,000," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penyerahan geran bantuan kepada persatuan-persatuan sukan di Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Dr. Loga Balan Mohan Jaganathan.

Tengku Adnan berkata, peruntukan itu memudahkan pihak pengurusan untuk mentadbir persatuan dengan lebih berkesan dan secara tidak langsung dapat memartabatkan kecemerlangan sukan Wilayah Persekutuan.

Ingin saya mengingatkan pihak persatuan bahawa geran bantuan ini hendaklah diuruskan dengan berhemah dan sistematik bagi mengelakkan pembaziran yang boleh merugikan perkembangan sukan.

Jadi, setiap persatuan perlulah mempunyai perancangan yang sistematik dalam menguruskan geran bantuan yang diberikan," katanya.

Pembeli lega rumah siap dibina

Posted: 23 Mar 2014 11:17 AM PDT

Pangsapuri kos rendah Saga Suria, Taman Saga, Ampang, Selangor yang siap dibina menamatkan penantian pembeli sejak tahun 2005.

AMPANG JAYA 23 Mac - Pembeli pangsapuri kos rendah Saga Suria, Taman Saga dekat sini lega apabila rumah mereka yang terbengkalai sejak 2005 akhirnya siap dibina dan boleh diduduki pada bila-bila masa.

Tinjauan Utusan Malaysia ke pangsapuri 12 tingkat yang mempunyai kira-kira 468 unit itu hari ini mendapati kawasan perumahan itu turut dilengkapi pelbagai kemudahan seperti kedai, dewan, surau dan taman permainan kanak-kanak.

Berdasarkan pemerhatian hanya lapan buah keluarga sudah berpindah ke rumah masing-masing, sebaik memperoleh Sijil Layak Menduduki (CF) pada 3 Disember tahun lalu.

Sebelum ini pada 31 Oktober tahun lalu, Utusan Malaysia menyiarkan mengenai pangsapuri kos rendah berkenaan yang menimbulkan tanda tanya penduduk sekitar mengenai status pembinaannya. Penduduk sekitar mendakwa pangsapuri tersebut masih tidak dimasuki sedangkan pembinaannya telah terlalu lama iaitu sejak 2005.

Ini menyebabkan penduduk tertanya-tanya apakah projek itu terbengkalai sedangkan dari pandangan mata kasar projek perumahan Pangsapuri Saga Suria itu telah siap.

Seorang pembeli, Tan Ah Kaw, 45, berkata, disebabkan menunggu terlalu lama pangsapuri itu disiapkan dia sudah membeli rumah lain.

Saya mengambil keputusan menyewakan pangsapuri ini kepada adik saya sendiri. Apapun saya gembira kerana rumah ini siap juga akhirnya.

Saya amat berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan selain lokasi yang strategik," katanya.

Rumah tersebut mempunyai keluasan 700 kaki persegi dan mempunyai tiga buah bilik serta dua bilik air.

Dalam pada itu, Hu Liang, 70, berkata, dia dan keluarga tidak sabar untuk berpindah ke kediaman baharu mereka.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved