Sabtu, 15 Februari 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Kuota bumiputera kekal

Posted: 14 Feb 2014 11:13 AM PST

Oleh OPAT RATTANACHOT
uspetani@utusan.com.my

MUKHRIZ Mahathir (dua dari kanan) mendengar penerangan daripada Abdul Latiff Ahmad (dua dari kiri) dalam Majlis Serah Kunci Fasa Pertama dan Pendaftaran Pembelian Fasa Kedua projek Taman Permai Utama di Jalan Jeniang, Gurun, Kedah, kelmarin.

GURUN 14 Feb. - Kerajaan negeri Kedah tidak bercadang untuk mengurangkan kuota perumahan dan hartanah bumiputera daripada kadar sedia ada iaitu 50 peratus dalam tempoh terdekat.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, berdasarkan perkembangan semasa, tiada keperluan bagi kerajaan untuk berbuat demikian meskipun mendapat rungutan daripada pemaju perumahan tentang rumah dan kedai yang dikhaskan untuk bumiputera tidak terjual.

Beliau berkata, isu rumah lot bumiputera tidak terjual sebenarnya dapat diatasi apabila kerajaan negeri baru-baru ini campur tangan dengan mengadakan kaedah promosi bagi menarik minat pembeli.

"Memang pemaju dan sektor swasta ada maklumkan bahawa macam-macam kaedah yang mereka lakukan untuk galakkan pembeli bumiputera termasuk iklan dan pameran, tetapi masih tidak terjual. Namun, kerajaan negeri mengambil pendekatan sendiri seperti kita anjurkan satu program untuk bantu pamerkan lot bumiputera ini.

"Bukan sahaja rumah tetapi melibatkan premis kedai. Kita buat pada dua bulan lepas dan laporan yang diterima menunjukkan semua 200 unit rumah dan kedai lot bumiputera melibatkan nilai lebih RM50 juta dapat dijual," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Serah Kunci Fasa Pertama dan Pendaftaran Pembelian Projek Taman Permai Utama kelolaan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Jalan Jeniang di sini semalam.

Yang hadir bersama Pengerusi SPNB, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Badrul Hisham Hashim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Datuk Dr. Leong Yong Kong.

Mukhriz mengulas desakan sektor swasta termasuk pemaju perumahan yang mahukan kerajaan negeri mengkaji semula kuota perumahan yang melibatkan 50 peratus bumiputera dan 50 peratus lagi untuk bukan bumiputera di negeri itu.

Menteri Besar itu berkata, kerajaan negeri berpendapat, tidak timbul masalah unit rumah atau kedai yang dikhaskan kepada bumiputera tidak terjual sekiranya pemaju mengambil langkah proaktif menggalakkan pembeli.

"Kerajaan negeri berjaya laksanakan kempen dan terbukti memang ada permintaan. Malah bumiputera dikesan mampu membelinya. Justeru, tak ada keperluan untuk kurangkan kuota," tegasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan negeri menyasarkan pembinaan sebanyak 40,000 buah rumah mampu milik untuk keperluan rakyat di negeri ini dalam tempoh lima tahun akan datang.

Katanya, langkah itu selaras dengan polisi kerajaan yang mahu melihat rakyat memiliki kediaman selesa pada harga berpatutan selain mematuhi aku janji yang dibuat sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Econsave prihatin nasib Muhamad Aiman

Posted: 14 Feb 2014 11:13 AM PST

ZAMZURI Mansor (tiga dari kiri) menyerah sumbangan berupa lampin pakai buang kepada Mohamad Aiman Nasaruddin di Kampung Haji Kudung, Kota Kuala Muda, Sungai Petani, Kedah, kelmarin.

SUNGAI PETANI 14 Feb. - Nasib menimpa seorang pelajar, Muhamad Aiman Nasaruddin, 12, yang mengalami kecederaan di bahagian kepala akibat kemalangan dialami pada November tahun lalu, mendapat perhatian Econsave Cash @ Carry Sdn. Bhd., (Econsave), Bandar Puteri Jaya di sini.

Syarikat itu melalui Program Dana Prihatin Econsave, menghulurkan sumbangan kepada Muhamad Aiman di rumahnya di Kampung Haji Kudung, Kota Kuala Muda di sini semalam.

Ibu Muhamad Aiman, Azizah Zainol gembira kerana ada pihak yang sanggup menghulurkan bantuan kepada anaknya.

"Kami sekeluarga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Econsave kerana sudi membantu anak kami," katanya.

Muhamad Aiman cedera di kepala setelah motosikal ditungganginya terbabit dengan kemalangan di Jalan Kampung Haji Kudung di sini, 8 November tahun lalu.

Akibat kemalangan itu, dia mendapat rawatan selama tiga hari di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) sebelum bertukar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar hampir sebulan.

Sementara itu, Pengurus Operasi Econsave Wilayah Utara, Zamzuri Mansor berkata, bantuan dihulurkan pihaknya adalah berupa barangan makanan dan keperluan lain bernilai RM1,000.

"Program yang dilakukan ini adalah salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan diharap sumbangan yang diberikan dapat meringankan beban keluarga Muhamad Aiman," katanya.

Kedah kaji lonjak pendapatan petani - Norsabrina

Posted: 14 Feb 2014 11:13 AM PST

KULIM 14 Feb. - Kerajaan negeri sedang mengkaji beberapa pendekatan efektif bagi membantu petani mendapat pulangan dengan lebih cepat dan mudah.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi, Teknologi Maklumat dan Teknologi Tinggi Kedah, Datin Norsabrina Mohd. Noor berkata, antara usaha tersebut termasuk membekalkan benih-benih yang memerlukan masa yang singkat untuk ditanam kepada petani.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga boleh menjalankan kerjasama dengan agensi pusat seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk memastikan hasil keluaran pertanian dapat diedarkan ke pasaran.

"Kerajaan negeri sememangnya sentiasa berusaha menggalakkan para petani meningkatkan hasil keluaran mereka. Kita sebenarnya mempunyai kekuatan kerana turut terlibat dalam bidang bioteknologi yang mana makmal tisu yang dikendalikan Kedah Bioteknologi di Taman Teknologi Tinggi berupaya menghasilkan benih bermutu tinggi.

"Kedah Bioteknologi sebelum ini membekalkan benih pisang daripada baka yang baik dan hasilnya para petani dapat meningkatkan keluaran dan sekali gus melipatgandakan pendapatan mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Motivasi dan Kurus Keusahawanan di bawah Program Azam Tani Daerah Kulim Bandar Baharu di sini semalam.

Seramai 50 peserta terdiri daripada petani dan usahawan tani menyertai kurus yang dikendalikan FAMA.

Yang turut hadir, Pengarah Operasi FAMA Wilayah Utara, Mohamad Shahrul Nizam dan Timbalan Pengarah FAMA negeri, Mohd. Fatimi Mohd. Fauzi.

Norsabrina berkata, usaha yang dijalankan kerajaan tersebut diharap dapat meningkatkan produk pengeluaran pertanian di samping menambah pendapatan petani agar keluar daripada kepompong kemiskinan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau melahirkan penghargaan atas inisiatif FAMA Kedah yang memperuntukkan RM2 juta untuk meningkatkan taraf hidup 200 petani miskin tegar melalui penganjuran pelbagai program sejak tahun lalu.

Buat masa ini katanya, seramai 100 orang dari daerah Kulim Bandar Baharu dan Baling telah mendapat manfaat daripada program berkenaan.

"Tahun ini, 100 lagi petani dari daerah Sik akan mendapat kemudahan sama. Pemilihan mereka dibuang melalui saringan daripada senarai E-Kasih yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.

Beliau berharap, kemudahan yang disediakan FAMA itu dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh para petani pada masa akan datang.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved