Sabtu, 15 Februari 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Pemuda UMNO pantau harga barang

Posted: 15 Feb 2014 10:13 AM PST

Oleh SHAHRINNAHAR LATIB
utusanpahang@utusan.com.my

Shahruddin Ahmad (dua dari kanan) bersama Ahmad Fikri Ali (kanan) dan Mohd. Nazifuddin Mohd. Najib (tiga dari kanan) meninjau harga ikan di Pasar Besar Pekan, Pahang, semalam.

PEKAN 15 Feb. - Pemuda UMNO Pahang telah menggerakkan kira-kira 400 ahlinya melalui Skuad Pengguna Pemuda UMNO bagi memantau harga barang keperluan di negeri ini.

Ketuanya, Shahruddin Ahmad berkata, tugas utama mereka adalah membuat pemantauan bagi membantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

"Namun, skuad ini hanya membantu dari segi pemantauan dan akan memberi maklumat kepada pihak kementerian untuk bertindak jika ada kesalahan di peringkat peniaga," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pemantauan di Pasar Besar Pekan di sini hari ini bersama pegawai KPDNKK dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Lawatan itu turut disertai anak Perdana Menteri, Mohd. Nazifuddin Mohd. Najib dan Pegawai Penguatkuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri, Ahmad Fikri Ali.

Menurut Shahruddin, di setiap Parlimen telah ditempatkan seramai 30 ahli Skuad Pengguna Pemuda UMNO Pahang dan mereka akan dikerah untuk turun bagi memantau harga barang.

"Inisiatif ini membuktikan keprihatinan Pemuda UMNO terhadap isu semasa lebih-lebih lagi bagi perkara berkaitan kesejahteraan rakyat seperti kenaikan harga barang.

"Meskipun skuad ini tidak mempunyai kuasa mengambil tindakan terhadap peniaga, mereka boleh memanjangkan kesalahan dilakukan kepada pihak berwajib dan setiap laporan akan diambil perhatian serius oleh penguat kuasa," katanya.

UiTM Raub siap Mac 2015

Posted: 15 Feb 2014 10:13 AM PST

Shahiruddin Ab. Moin menyampaikan bantuan wang tunai kepada pelajar Sekolah Menengah Seri Raub di Raub, semalam.

RAUB 15 Feb. - Pembinaan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Raub bakal memberi lonjakan menyeluruh kepada daerah ini apabila projek itu siap Mac tahun hadapan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, pihaknya sentiasa memantau pelaksanaan projek tersebut yang kini siap kira-kira 26 peratus.

"Projek ini berjalan mengikut jadual ditetapkan dan menurut jawatankuasa penilaian pembinaannya, cepat tiga peratus daripada jadual asal.

"Pada masa ini bangunan asrama sembilan tingkat dalam proses pembinaan dan kita berharap projek ini akan dapat disiapkan secepat mungkin bagi memberi manfaat kepada penduduk di sini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan skim bantuan khas kerajaan negeri dan Yayasan Pahang kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Raub di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengetua SMK Seri Raub, Abdul Halim Salleh. Dalam majlis itu seramai kira-kira 300 pelajar menerima bantuan wang tunai.

Menurut Shahiruddin, kampus UiTM Raub yang diluluskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di kawasan tanah seluas kira-kira 32 hektar di persimpangan Felda Krau itu mampu menampung kira-kira 3,000 pelajar.

Katanya, institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pertama di daerah ini bernilai lebih RM300 juta itu amat dinantikan penduduk dalam memberi impak pendidikan dan ekonomi kepada daerah ini.

"Saya berharap penubuhan kampus ini akan memberi semangat kepada pelajar sekolah di sini untuk berusaha bersungguh-sungguh seterusnya dapat melanjutkan pelajaran di kampus baharu berkenaan," jelasnya.

22 PATI ditahan

Posted: 15 Feb 2014 10:13 AM PST

KUANTAN 15 Feb. - Jabatan Imigresen negeri menahan 22 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk tujuh tukang urut dalam Op 6P Bersepadu yang diadakan di sekitar bandar ini kelmarin.

Kesemua PATI berumur antara 19 hingga 40 tahun itu ditahan dalam operasi yang diadakan bermula pukul 4 petang hingga 12.20 tengah malam.

Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Pahang, Razali Ahmad berkata, operasi itu membabitkan kawasan perindustrian Semambu, Jalan Stadium dan Jalan Haji Ahmad.

"Dalam operasi di sebuah pusat urut di Jalan Haji Ahmad di sini, kami menahan tujuh tukang urut warga asing yang sedang melayan pelanggan," katanya di sini semalam.

Menurut beliau, ketika serbuan, penjaga premis enggan membuka pintu menyebabkan anggota imigresen terpaksa mengumpil pintu terbabit yang dilengkapi dengan ciri keselamatan.

"Bagaimanapun selepas pintu berjaya dibuka, mereka semua menyerah diri kerana menyedari premis terbabit sudah dikepung," katanya.

Katanya, turut ditahan dua lelaki warga tempatan berusia 28 dan 36 tahun dipercayai penjaga premis berkenaan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved