Sabtu, 15 Februari 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Elak lakukan pembakaran terbuka

Posted: 14 Feb 2014 11:13 AM PST

Oleh KHAIRUL NAJIB ASARULAH KHAN
utusanmelaka@utusan.com.my

TELOK KEMANG 14 Feb. - Pejabat Bomba dan Penyelamat Port Dickson menerima 43 panggilan kecemasan sejak awal tahun sehinggalah 12 Februari lalu, yang mana sebahagiannya membabitkan pembakaran lalang, kebun, hutan, sampah, selain premis.

Ketua Balai, Sabri Roslan berkata, sebanyak 39 panggilan telah diterima berhubung kebakaran, tiga untuk tujuan penyelamatan dan satu tugas khas.

''Kita dapati sejak akhir-akhir ini banyak kebakaran melibatkan lalang, kebun, hutan dan sampah manakala ada juga yang kebakaran premis.

''Apa yang boleh saya tegaskan ialah elakkan melakukan pembakaran terbuka ketika cuaca sedang panas, berangin dan kering kerana akan menyebabkan api merebak cepat jika tidak dikawal pada peringkat awal.

''Kita bimbang apabila ini berlaku keadaannya akan menjadi lebih buruk apabila merebak di kawasan premis, mahupun hutan berdekatan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Sabri, pihak bomba juga mengingatkan orang ramai supaya tidak membakar apa juga sampah di hadapan rumah kerana perbuatan itu juga boleh mengundang bahaya.

''Orang ramai juga dinasihatkan supaya memastikan semua peralatan elektrik ditutup sebelum meninggalkan rumah, begitu juga punca gas yang boleh menghasilkan tindak balas percikan api jika dibiarkan terbuka tanpa disedari," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan adalah perlu masyarakat sekeliling menasihati antara satu sama lain supaya tidak sewenang-wenangnya melakukan pembakaran terbuka, termasuklah perbuatan setengah pihak yang membuang puntung rokok di merata tempat, terutama di kawasan rumput kering.

Dalam pada itu, tentang panggilan palsu, pihaknya tidak menerimanya dalam tempoh tersebut dan percaya rakyat sudah sedar implikasinya kepada pasukan ini.

Rumah generasi kedua Felda di Felda Pasoh Satu

Posted: 14 Feb 2014 11:13 AM PST

Jalaluddin Alias (tiga dari kanan) ketika melawat Tapak Projek Perumahan Generasi Kedua Felda bersama jurutera serta arkitek di Felda Pasoh Satu, dekat Jelebu, Negeri Sembilan, semalam.

JELEBU 14 Feb. - Sebuah perumahan baharu bagi Generasi Kedua Felda sedang dalam pembinaan di sini bagi memenuhi keperluan penduduk di Felda Pasoh Satu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang, Datuk Jalaluddin Alias berkata, projek ini merupakan penempatan untuk generasi berkenaan yang pertama dibina dalam kawasan Jelebu.

"Di Felda ini sebanyak 144 unit rumah akan dibina dan ketika ini sudah di peringkat 30 peratus pembinaan. Sekiranya mengikut jadual, rumah ini perlu diserahkan kepada generasi berkenaan pada pertengahan tahun ini," katanya selepas melawat Tapak Projek Perumahan Generasi Kedua di Felda Pasoh Satu dekat sini hari ini.

Kata Jalaluddin, projek ini memberi impak dalam teras kesejahteraan rakyat, apatah lagi untuk dimiliki oleh generasi kedua Felda.

"Biarpun ada beberapa masalah teknikal, kita berharap pihak dan agensi berkaitan dapat segera menyelesaikannya, sekali gus memastikan ia dapat disiapkan segera," katanya.

Pada masa yang sama, kemudahan asas dan infrastruktur seperti jalan, longkang, tempat pembuangan sampah akan diuruskan dengan baik, selain kawasan lapang yang akan dijadikan tempat riadah dan permainan kanak-kanak.

"Urusan pemilikan mahupun tawaran rumah ini diserahkan sepenuhnya kepada Felda kerana ini adalah projek mereka. Apa yang kita harapkan adalah penerimanya kelak adalah yang layak," tegasnya.

Tambahnya, sewaktu pelancaran projek ini kira-kira enam bulan lalu, Felda telah memberikan komitmen dan menegaskan rumah tersebut akan dijual pada harga serendah RM70,000 seunit.

Pameran Pengantin Melaka Mall akan jadi pusat sehenti

Posted: 14 Feb 2014 11:13 AM PST

MELAKA 14 Feb. - Pameran Pengantin Melaka Mall yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini akan menjadi pusat sehenti kepada bakal pengantin mendapatkan perkhidmatan yang pelbagai dalam menjayakan majlis perkahwinan mereka.

Pameran itu yang menghimpunkan lebih 25 pengusaha butik pengantin dan pengendali katering serta perkhidmatan lain berkaitan akan memberikan kemudahan kepada bakal pengantin untuk mendapatkan perkhidmatan itu di bawah satu bumbung.

Pameran ini bukan sahaja menyediakan busana pengantin yang menarik, malah turut menyajikan perkhidmatan yang mampu memenuhi kehendak bakal pengantin, antaranya pakej rundingan perkahwinan, kad jemputan, andaman, katering, dekorasi pelamin, fotografi dan cenderamata.

Pengunjung yang ditemui menyatakan bahawa pameran perkahwinan itu selain membantu mencari ilham tentang konsep perkahwinan, juga memberi pilihan lebih luas bagi menepati cita rasa mereka.

Seorang pengunjung, Farah Zahidah Khalid, 25, berkata, menerusi pameran perkahwinan itu pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga sudah tidak perlu khuatir dan membazir masa ke tempat lain kerana semuanya telah dihimpunkan di satu tempat.

"Saya akui tidak punya banyak masa untuk mencari kerana bekerja dan pameran sebegini ternyata memberi banyak kemudahan bagi saya dan pasangan," katanya.

Bagi, Muhamad Azwan Md. Rawi, 25, pula, kesemua kelengkapan yang dipamerkan di pameran itu amat memuaskan hati terutama dari segi harga dan rekaan yang menarik.

"Pelbagai pilihan dapat dilihat dalam pameran ini," katanya.

Seorang lagi pengunjung, Norliyana Zainon, 25, berkata, ekspo yang mempamerkan lebih 25 gerai perlu diperbanyakkan lagi bagi memberi lebih banyak pilihan kepada pengunjung.

"Banyak pilihan dari segi busana dan kelengkapan lain, cuma kalau diperbanyakkan lagi gerai pameran saya rasa mungkin lebih baik," katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung, Syakireen Ishak, 35, berkata, pameran tersebut patut diteruskan pada masa akan datang bagi memudahkan lebih ramai pasangan bakal pengantin membuat persediaan perkahwinan mereka.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved