Sabtu, 15 Februari 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


200 spesies kucing dalam festival di Putrajaya

Posted: 15 Feb 2014 10:13 AM PST

ASEH Che Mat (tengah) bergambar bersama pemilik kucing yang menyertai pertandingan pakaian beragam khas untuk kucing pada Festival Kucing Putrajaya di Kompleks PPj, Putrajaya, semalam. - MINGGUAN/RASHID MAHFOF

PUTRAJAYA 15 Feb.- Para peminat kucing berpeluang menyaksikan pelbagai spesies haiwan peliharaan tersebut dalam Festival Kucing Putrajaya yang dianjurkan oleh Perbadanan Putrajaya (PPj) di Auditorium Cempaka Sari, Kompleks PPj.

Festival dua hari bermula hari ini itu menampilkan 200 kucing daripada pelbagai spesies dan baka termasuk Parsi, Norwegian Forest, Devon Rex, Cornish Rex, Bengal, Siam, Siberian, Birman, Angora, Turkish, Kucing Malaysia, Maine Coon, Exotic Short Hair, Exotic Long Hair, kucing tanpa bulu daripada jenis Sphynx dan pelbagai jenis kucing yang ganjil dan unik.

Presiden PPj, Tan Sri Aseh Che Mat berkata, festival tersebut diadakan bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan dan bertujuan memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan pendedahan dan tunjuk ajar berhubung teknik dan kaedah penjagaan kucing.

Beliau berkata, pemilihan rakan strategik pada penganjuran tersebut iaitu Kelab Kucing Malaysia selaku pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bernaung di bawah Federation International Feline (Fife) merupakan satu platform untuk mengumpul semua penggemar kucing dari dalam dan luar negara.

"Festival ini diselitkan dengan pelbagai program termasuk pameran dan juga pertandingan kucing, 30 kategori dipamer dan dipertandingkan iaitu 15 kategori untuk bulu pendek dan 15 kategori bagi kucing bulu panjang.

"Pameran dan pertandingan ini terbuka kepada semua peminat dan pemilik kucing, orang ramai boleh menyaksikan pelbagai jenis kucing dengan kemasukan secara percuma," katanya ketika berucap merasmikan Festival Kucing Putrajaya di sini hari ini.

Dalam pertandingan tersebut, kucing milik Nor Aziah Abdullah, 44, yang dinamakan 'Bella' mendapat tempat pertama dengan mengayakan pakaian yang digubah khas menggunakan bendera Wilayah Persekutuan.

Selain itu katanya, pameran dan pertandingan pada festival berkenaan akan diadili oleh juri yang didatangkan khas dari Rusia, Norway dan Jepun selain seorang juri tempatan daripada Jabatan Veterinar Kementerian Kesihatan.

"Pemenang setiap kategori yang dipertandingkan akan membawa pulang piala pusingan, sangkar kucing, aksesori dan makanan kucing berserta sijil," katanya.

Terdahulu Aseh menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan pakaian kucing tercantik anjuran Kelab Kucing Malaysia.

Dalam pertandingan tersebut, kucing milik Nor Aziah Abdullah, 44, yang dinamakan 'Bella' mendapat tempat pertama dengan mengayakan pakaian yang digubah khas menggunakan bendera Wilayah Persekutuan.

Selain Festival Kucing Putrajaya, bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan, PPj turut menganjurkan Putrajaya Autoshow, Convoy & Gathering yang disertai lebih 3, 000 kereta pelbagai jenis dan motosikal berkuasa tinggi di Dataran Putrajaya, Presint 3 di sini.

83,084 rumah terputus bekalan air

Posted: 15 Feb 2014 10:13 AM PST

Oleh MOHAMAD HARITH
MOHAMAD NIZAR
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 15 Feb. - Sebanyak 83,084 buah rumah di sekitar ibu negara, Hulu Langat, Kuala Langat dan Petaling Jaya terputus bekalan air selain berdepan dengan situasi tekanan air rendah.

Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), Priscilla Alfred berkata, kejadian itu berlaku kerana pertambahan permintaan air yang mendadak

"Pertambahan permintaan itu adalah berikutan cuaca panas dan kering serta ketiadaan hujan yang berlarutan di sekitar kawasan terbabit sejak kebelakangan ini.

"Jika perkara itu terus berlaku, Syabas menjangkakan lebih ramai pengguna akan terputus bekalan air," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengenai penutupan Loji Rawatan Air Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi akibat pencemaran ammonia di Sungai Langat, Priscilla berkata,perkara itu menyebabkan 27,003 buah rumah di beberapa kawasan sekitar Hulu Langat dan Kuala Langat masih terputus bekalan air.

Sementara itu, beliau memaklumkan pihaknya telah mengaktifkan pelan tindakan kecemasan bagi memantau dan mengurus penghantaran bantuan air menggunakan lori tangki dan tangki statik untuk meringankan beban pengguna.

"Walau bagaimanapun, kemampuan bekalan air kecemasan ini amat terhad dan tidak mampu memenuhi kesemua permintaan pengguna yang terlibat dalam masa yang diinginkan mereka.

"Para pengguna disaran mengambil air daripada lori-lori tangki yang disediakan dan menggunakannya secara berjimat cermat bagi membolehkan lebih ramai pengguna mendapat bantuan air kecemasan ini," katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan, perlukan bantuan air atau ingin membuat aduan boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan Syabas (Puspel) di talian 1800-88-5252 atau hubungi Pusat Khidmat Setempat (PKS) Syabas.

Sementara itu, di Hulu Langat, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika ditemui selepas merasmikan Kempen Gaya Hidup Sihat Peringkat Negeri 2014, mempertahankan tindakannya melengah-lengahkan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 yang sepatutnya dibina sejak lima tahun lalu.

Katanya, kelewatan pembinaan loji itu bukan punca krisis bekalan air yang mula dirasai kira-kira dua juta penduduk Lembah Klang sebaliknya akibat perubahan cuaca.

"Jika hari ini setuju untuk bina loji, masih lagi tidak mampu menyelesaikan masalah air yang ada sekarang," katanya.

Sungai Langat dicemari ammonia

Posted: 15 Feb 2014 10:13 AM PST

KUALA LANGAT 15 Feb. - Lebih 10 sekolah di sekitar daerah ini mengalami gangguan bekalan air yang terpaksa diberhentikan ekoran pencemaran ammonia di Sungai Langat.

Pencemaran itu menyebabkan dua loji rawatan air Puncak Niaga iaitu Loji Rawatan Air Cheras Batu 11 dan Bukit Tampoi ditutup berikutan tahap ammonia masih di paras tinggi.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Mohd. Salleh Mohd. Kassim berkata, kawasan terlibat adalah di Bukit Changgang, Padang Mahkota dan Kampung Olak Lempit.

Antara sekolah yang terjejas adalah sekolah berasrama harian iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Banting, SMK Telok Datuk dan SMK Bukit Changgang.

Bagaimanapun, katanya, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) telah menyediakan bekalan air ke sekolah terbabit.

"Pihak Syabas telah menyediakan bekalan air mencukupi dan tiada sekolah yang ditutup buat masa ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan Suzuki APV sumbangan Suzuki Malaysia Automobile Sdn. Bhd. (Suzuki Malaysia) kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Judah, Pulau Carey di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Suzuki Malaysia, Keiichi Suzuki dan Guru Besar SK Sungai Judah, Abd. Rahman Ahmad.

Sumbangan tersebut bertujuan menggalakkan kehadiran murid Orang Asli di sekitar kawasan tersebut ke sekolah.

Sementara itu, Abd. Rahman berharap usaha dilakukan mampu meningkatkan pencapaian akademik murid dan pelajar Orang Asli.

"Kita mengucapkan terima kasih kepada pihak Suzuki dan berharap agar murid-murid di sekolah ini akan mendapat manfaat," katanya.

SK Sungai Judah juga merupakan sekolah angkat kepada Suzuki Malaysia.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved