Sabtu, 15 Februari 2014

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Selangor tumbang, Terengganu rampas takhta

Posted: 15 Feb 2014 10:12 AM PST

PEMAIN pertahanan JDT, Baihakki Khaizan menanduk masuk gol pertama JDT walaupun cuba dihalang oleh pertahanan Selangor, K. Gurusamy dalam perlawanan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bahru malam tadi. - MINGGUAN/RAJA JAAFAR ALI

KUALA LUMPUR - Takhta Liga Super kembali beralih tangan dengan Terengganu merampas daripada Selangor selepas menewaskan juara Piala Malaysia musim lalu, Pahang dengan keputusan 2-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini malam tadi.

Kejayaan skuad Penyu itu untuk berada di puncak liga turut dibantu dengan kekalahan Red Giants 1-4 di tangan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos.

Beraksi di hadapan lebih 10,000 penyokong, Terengganu memanfaatkan sepenuhnya kelebihan selaku tuan rumah apabila mendominasi sebahagian besar aksi perlawanan khususnya pada babak pertama.

Gol pertama tuan rumah hadir pada minit ke-20 apabila sepakan bebas dari luar kotak penalti yang diambil oleh pemain tengah, Mario Karlovic melantun sebelum menerjah jaring pelawat dan hanya mampu diperhatikan oleh penjaga gol, Mohd. Khairul Azhan Mohd. Khalid.

Anak-anak buah Abdul Rahman Ibrahim menggandakan kelebihan pada minit ke-69 apabila ketua pasukan, Ismail Faruqi Ash'ari mudah menolak masuk umpanan penyerang, Norfarhan Mohamad walaupun pertahanan Pahang cuba membantah jaringan tersebut kerana mendakwa pemain tersebut berada dalam keadaan ofsaid.

Di Larkin, JDT menunjukkan taring sebenarnya dan terlalu gagah buat Selangor apabila masih berupaya menjaringkan empat gol meskipun beraksi tanpa beberapa pemain tonggak seperti Pablo Aimar dan Aidil Zafuan yang mengalami kecederaan.

Tuan rumah memperoleh gol pertama pada minit kesepuluh menerusi tandukan kapten pasukan malam tadi, Baihakki Khaizan yang terus menerjah ke gawang gol dan jaringan kedua melalui tandukan seorang lagi pemain dari Singapura, Harris Harun pada minit ke-33.

Anak buah Mehmet Durakovic terus hampa apabila JDT memperoleh gol ketiga pada minit ke-52 menerusi penyerang dari Argentina, Luciano Figueroa hasil hantaran Amri Yahyah dan pemain pertahanan, Mohd. Fadhli Shas turut meletakkan diri selaku penjaring pada minit ke-59.

The Red Giants akhirnya memperoleh gol saguhati menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Paulo Rangel pada minit ke-59 namun sudah terlewat buat Selangor untuk mengelak daripada kalah buat kali kedua selepas lima perlawanan.

Kelantan naik ke tangga kedua Liga Super selepas mudah membenam T-Team dengan keputusan 3-0 di Stadium Sultan Muhammad IV dengan pemain dari Mesir, Mohamed Shawky Ali membuka tirai jaringan pada minit ke-32.

The Red Warriors berada dalam kedudukan selesa dengan dua lagi jaringan melalui ketua pasukan, Mohd. Badhri Mohd. Radhzi pada minit ke-44 dan Mohammed Ghaddar, pada minit ke-84 sekali gus mengutip kemenangan ketiga pada musim ini.

Jaringan tunggal penyerang Serbia, Milorad Janjus pada minit ketujuh memastikan Sarawak meraih kemenangan ketiga musim ini menerusi kemenangan tipis 1-0 ke atas Perak tetapi kehilangan Junior Eldstal yang dibuang padang pada minit ke-70. Pengadil, Sukri Abdul Rahman turut melayangkan lapan kad kuning.

Di Stadium MP Selayang, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kempunan untuk meraih tiga mata penting apabila dikejutkan dengan kekalahan 1-2 kepada Lions XII walaupun The Gladiators terlebih dahulu di hadapan pada minit keempat melalui Amiridzwan Taj.

Jurulatih Lions, Fandi Ahmad mengubah percaturan pada babak kedua yang membawa hasil apabila Khairul Amri menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-47 sebelum Afiq Yunos membuatkan anak-anak buah B. Sathianathan tertunduk layu apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit-minit terakhir.

Gara-gara tulisan doktor

Posted: 15 Feb 2014 10:12 AM PST

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Gara-gara tulisan doktor yang kurang difahami telah menyebabkan surat pertuduhan kepada pemimpin tinggi Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), yang didakwa terlibat dalam kekecohan di Larkin ketika perlawanan Piala FA awal bulan ini lewat daripada dikeluarkan.

Menurut sumber, Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terpaksa meminta pengurusan T-Team menghantar laporan perubatan doktor yang memeriksa pemainnya, Evaldo Goncalves dan jurulatih kecergasan pasukan, Stefano Impagliazzo sekali lagi, kali ini secara bertaip dan bukannya tulis tangan.

Goncalves dan Impagliazzo telah membuat laporan polis, bahawa mereka dikasari oleh pemimpin tinggi PBNJ di dalam terowong ketika menuju ke bilik persalinan pemain sewaktu pertemuan T-Team dengan Johor Darul Ta'zim dalam pusingan kedua Piala FA berhenti rehat. Mereka turut mendapatkan pemeriksaan doktor.

Namun, selepas sepuluh hari semenjak FAM meminta laporan perubatan berkenaan, T-Team masih belum memberikan maklum balas yang menyebabkan masih tiada sebarang dakwaan dapat dilakukan ke atas pengawai tinggi PBNJ itu.

Sumber itu memberitahu, laporan doktor berkenaan cukup penting buat Jawatankuasa Tatatertib kerana laporan itu boleh menentukan Kod Tatatertib bersesuaian yang akan digunakan untuk mendakwa pemimpin tinggi PBNJ itu.

"Mengenai surat pertuduhan (ke atas pemimpin PBNJ terlibat), saya difahamkan sudah hampir siap dan telah mendapat maklum balas daripada Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin (Mohd. Amin) serta Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib (Datuk Taufek Abdul Razak), cuma laporan doktor yang memeriksa Evaldo dan Stefano yang melambatkan.

"Tulisan tangan doktor berkenaan sukar difahami, jadi sukar untuk menentukan pertuduhan itu dikeluarkan di bawah akta yang mana.

"Saya difahamkan Jawatankuasa Tatatertib telah meminta T-Team agar mendapatkan laporan doktor secara menaip. Ini adalah satu amalan biasa jika di dalam mahkamah sekali pun, tetapi masalahnya pihak T-Team sehingga hari ini belum menghantar laporan yang diminta, itu sebab kes ini lambat dibicarakan," kata sumber itu ketika ditemui Mingguan Malaysia.

Berdasarkan Kod Tatatertib yang termaktub, individu yang menyerang Evaldo atau Stefano boleh didakwa di bawah tiga pertuduhan berbeza iaitu Perkara 2.4, iaitu melakukan serangan secara fizikal tetapi tidak memberikan sebarang kecederaan.

Dua lagi pertuduhan ialah di bawah Perkara 2.5 iaitu melakukan serangan secara fizikal serta mendatangkan kecederaan atau Perkara 2.6 iaitu melakukan serangan secara fizikal dan membuatkan mangsa mendapat kecederaan parah.

Selain itu, sumber berkenaan memberitahu pihak PBNJ juga akan dikeluarkan surat pertuduhan atas kegagalannya mengawal keamanan semasa pemain T-Team menuju bilik persalinan.

"Mengenai kawalan keselamatan secara keseluruhan, dijangka satu lagi surat pertuduhan akan dikeluarkan kepada PBNJ kerana tidak mampu menghalang kekecohan daripada berlaku," katanya.

Sebelum ini, Hamidin memberitahu wartawan pada Selasa lalu yang surat pertuduhan mengenai insiden Evaldo ditumbuk dan Stefano ditendang di bahagian kemaluan ketika menuju bilik persalinan pemain di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos hampir pasti akan dikeluarkan.

Perlawanan pusingan kedua Piala FA pada 1 Februari itu tidak dapat disambung untuk babak kedua apabila pemain T-Team enggan meneruskan permainan ekoran insiden berkenaan, sebelum Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) memutuskan untuk memberikan kemenangan 3-0 buat skuad Harimau Selatan.

Selain itu, isu pergaduhan penyokong yang membabitkan Pahang dan JDT di perkarangan Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 7 Februari dan kereta pengurus pasukan Perak dipecahkan di Larkin, juga akan disiasat oleh Jawatankuasa Tatatertib.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved