Sabtu, 15 Februari 2014

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Sarawak akan terus 'mansang'

Posted: 15 Feb 2014 10:12 AM PST

Dr. Jayum Jawan
jayum@upm.edu.my

PEMILIHAN Tan Sri Adenan Satem akhirnya menamatkan teka-teki siapa Ketua Menteri baharu Sarawak yang juga dilihat sebagai paling sesuai dan berpengalaman. Bagaimanapun sudah tentu sukar untuk menilai Adenan terlalu awal apatah lagi beliau mengambil alih setelah 33 tahun Pehin Seri Abdul Taib Mahmud memerintah dan mungkin agak sukar dilupakan jasanya yang terlalu besar kepada rakyat Sarawak.

Sesungguhnya Sarawak akan terus mansang (maju) tanpa Abdul Taib kerana beliau sudah menyediakan landasan yang boleh diteruskan oleh penggantinya. Selama lebih 33 tahun Abdul Taib menjadi Ketua Menteri, tidak dapat dinafikan bahawa sumbangan beliau tidak mudah dilupakan oleh semua golongan masyarakat. Seperti yang umum sedia maklum, Adenan sudah lama disediakan untuk mengambil alih jawatan Ketua Menteri. Namun semasa beliau naik untuk mengambil alih jawatan tersebut pada 1 Mac nanti, keadaannya kurang manis kerana terpaksa melangkah beberapa pemimpin lain dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang memegang jawatan lebih kanan daripada beliau.

Ini merujuk kepada beberapa individu yang dilangkahnya antaranya Tan Sri Alfred Jabu Numpang yang juga Timbalan Presiden PBB yang mana nama beliau langsung tidak disebut dalam perbincangan soal pengganti. Apatah lagi dengan kedudukan seorang lagi Timbalan Presiden, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg yang juga dilangkah Adenan. Ini belum mengambil kira kedudukan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, seorang Naib Presiden PBB yang turut dilangkah.

Berbanding tiga tokoh PBB itu, Adenan hanyalah Ketua Penerangan PBB. Jawatan yang disandang beliau ini ialah jawatan yang dilantik dan bukan dipilih oleh perwakilan PBB dalam pemilihan pucuk kepimpinan parti itu pada pemilihan parti yang lalu. Dengan berpaut kepada jawatan lantikan itu, ini bermakna Adenan tidak ada mandat parti untuk memimpin PBB walaupun selepas dilantik Ketua Menteri nanti, memandangkan beliau akan diangkat sebagai pemangku Presiden PBB. Tidak dinafikan bahawa beliau akan mendapat sokongan majlis tertinggi parti itu, tetapi ia tidak sama dengan mendapat mandat sendiri dan diperolehi terus daripada perwakilan.

Maka Adenan perlu berkerja keras untuk memperolehi keyakinan pelbagai etnik di Sarawak bahawa beliau ialah Ketua Menteri untuk semua kaum dan bukan untuk Melayu/Melanau sahaja ataupun Ketua Menteri PBB atau Ketua Menteri BN. Setakat ini, pemilihan beliau sebagai Ketua Menteri Sarawak tidak melibatkan seramai mungkin rakyat Sarawak. Hanya melibatkan beberapa individu tertentu dalam PBB sahaja iaitu Taib Mahmud, Abang Johari, Awang Tengah selain beliau sendiri.

Oleh itu, beliau mesti kembali kepada ahli PBB untuk mendapatkan mandat parti. Beliau tidak seharusnya melengah-lengahkan waktu untuk ini dan seelok-eloknya mengadakan Perhimpunan Khas PBB untuk tujuan itu. Beliau juga juga perlu mendapatkan mandat daripada rakyat Sarawak secara terus. Tidak cukup sekadar mendapatkan endorsement daripada pemimpin rakan-rakan komponen seperti Tan Sri James Masing daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri William Mawan - Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Tan Sri Peter Chin - Parti Rakyat Bersatu Sarawak - (SUPP).

Beliau kini perlu memikirkan untuk kembali kepada rakyat melalui pilihan raya negeri bagi mendapat mandat bersepadu supaya dapat mentadbir Sarawak dengan legitimate serta tenang berdasarkan amalan demokrasi. Dengan demikian, barulah seorang Ketua Menteri mampu memimpin dengan yakin kerana mendapat sokongan rakyat.

Kebangkitan

Adenan juga perlu sedar bahawa rakyat Sarawak sudah matang dan bijak. Rakyat mahu didengar dan dilibatkan secara terus dalam proses politik serta pembangunan. Zaman pemimpin tahu semua sudah berlalu. Kebangkitan kesedaran ini juga sudah tentu berkaitan dengan pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi yang semakin mendekati rakyat dengan pelbagai maklumat secara pantas. Dalam erti kata lain, rakyat sudah tidak boleh dikelentong lagi.

Maka sama ada mahu atau tidak, Adenan perlu melakukan beberapa perkara dalam masa terdekat setelah menjawat jawatan Ketua Menteri. Pertama, beliau perlu mendapatkan mandat sendiri daripada akar umbi atau perwakilan PBB. Ini bagi mengelakkan beliau menjadi Ketua Menteri yang tidak ada kuasa dan dilihat lemah. Jika tidak, beliau akan sentiasa sibuk bermain politik dan saling mengimbang kuasa-kuasa di sekelilingnya. Dalam konteks ini juga, Adenan perlu pandai mengurus hal ehwal dalaman rumah tangga PBB. Kekecewaan penyokong tiga pemimpin kanan parti yang tidak terpilih perlu dirawat. Ini penting kerana jika tidak mereka boleh menyebabkan kepimpinan Adenan huru-hara.

Kedua, menjelang pilihan raya Sarawak yang mesti diadakan pada atau sebelum 2016, Adenan perlu membantu dan mengurus parti-parti komponen yang bermasalah. Dua daripada tiga parti komponen kini sedang berhadapan dengan masalah yang amat berat. SUPP kini berpecah dan berpuak-puak. Kelangsungan dan nyawa SUPP masih belum diketahui ekoran masalah dalaman yang berkemungkinan akan menyaksikan parti itu diistiharkan tidak sah. Tambahan, prestasi dan sokongan SUPP daripada kalangan masyarakat Cina berada di paras yang amat rendah selepas PRU-13.

SPDP pula berhadapan dengan masalah apabila lima wakil rakyat parti tersebut memberontak dan meninggalkan parti berkenaan. Sudah tentu mereka akan memberi saingan hebat kepada calon BN dari SPDP pada pilihan raya negeri akan datang.

Ketiga, Adenan bukanlah pemimpin yang boleh dinilai berdasarkan kepimpinannya yang belum teruji. Tidak ada sesuatu yang dapat dikaitkan selama beliau dalam kerajaan sama ada di peringkat negeri atau Persekutuan. Namun, ini bukan penghalang kepada beliau menjadi seorang pemimpin yang hebat.

Beliau perlu bijak mengurus kehebatan orang lain di sekelilingnya bagi membantu dalam mentadbir Sarawak. Kepintaran mengguna dan mengurus kehebatan ini sudah tentu dapat membantu dan melahirkan kepimpinan yang lebih hebat. Selain itu, adalah menjadi keperluan untuk beliau memastikan hubungan Sarawak dengan Kuala Lumpur akan terus kukuh dan baik. Pertukaran yang berlaku, melibatkan pemimpin daripada parti sama dan bukannya parti berbeza dalam komponen BN Sarawak. Justeru, hubungan baik yang sedia terjalin diharap akan berterusan dan terus kukuh.

Dalam pada itu timbul pula cakap-cakap akan berlaku pilihan raya negeri lebih awal daripada tarikh sepatutnya. Melihat dari sudut strategi, pilihan raya negeri wajar diadakan dalam masa terdekat setelah Adenan menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri. Kerana, sebagai Ketua Menteri baharu, beliau wajib mendapat mandat sendiri untuk mentabdir dengan aman dan stabil. Kedua, satu keperluan strategik bagi seorang pemimpin mengadakan pilihan raya negeri lebih awal kerana beliau belum ada banyak musuh dan juga belum banyak buat salah dan silap yang akan membangkitkan kemarahan rakyat.

Justeru, mengadakan pilihan raya negeri secepat mungkin langkah terbaik bagi beliau kerana dilihat mampu mengurangkan kelemahan diintai pihak lawan, sekali gus menjadi senjata ampuh untuk melemahkan pembangkang. Sesungguhnya Adenan akan berhadapan cabaran besar apabila berdepan dengan pembangkang pada pilihan raya negeri akan datang. Apakah tahap kesihatannya membolehkan beliau mengetuai jentera BN Sarawak bagi mempertahankan kedudukannya seperti sekarang, termasuk membantu meningkatkan prestasi SUPP yang mengecewakan pada pilihan raya negeri dan parlimen yang lalu.

Sebagai Ketua BN Sarawak, Adenan sangat bergantung kepada pemimpin-pemimpin komponen lain untuk mempertahankan kedudukan BN Sarawak pada pilihan raya akan datang. Beliau sudah pasti akan bergantung kepada Abang Johari untuk mempertahankan prestasi PBB di kawasan Melayu. Beliau juga akan bergantung kepada Alfred Jabu atau penyokong utamanya bagi mengekalkan prestasi PBB dalam kawasan Dayak yang dimenangi PBB pada pilihan raya lalu. Adenan juga pasti sangat bergantung kepada James Masing dan William Mawan bagi sebahagian besar kawasan Dayak yang dimenangi oleh kedua-dua parti itu pada pilihan raya lalu. Namun, pergantungan kepada William Mawan dan SPDP agak rumit seperti juga pergantungan kepada SUPP berikutan ribut yang melanda kedua-dua parti itu.

Justeru, sebelum turun mengetuai BN Sarawak beliau mempunyai tugas berat untuk mengurus parti-parti komponen. Dalam hal ini, paling penting ialah kebolehan beliau untuk mengekalkan prestasi PBB dalam pilihan raya akan datang sebagai tanda Adenan mendapat sokongan padu daripada parti sendiri. Kegagalan dalam hal ini sudah tentu akan membawa padah yang bukan sedikit. Oleh itu Adenan perlu mencari ramuan kepimpinannya sendiri. Beliau perlu keluar dan meninggalkan kaedah pecah dan perintah yang pernah diamalkan oleh beberapa Ketua Menteri sebelum ini. Mungkin kerana faktor umur dan tahap kesihatan (dan mungkin juga kerana perjanjian Mekah), beliau tidak mempunyai masa yang lama dan panjang sebagai Ketua Menteri.

Oleh sebab itu, beliau perlu berkerja keras untuk mencari sesuatu yang dapat ditinggalkan sebagai penanda aras memandangkan beliau juga Ketua Menteri Melayu pertama bagi negeri Sarawak.

Tiada sesiapa kebal

Posted: 15 Feb 2014 10:12 AM PST

MELIHAT kepada perkembangan sukan bola sepak tanah air seolah-olah kita sudah menduduki tahap yang sama dengan jaguh bola sepak dunia. Tetapi jangan salah faham kerana apa yang sama hanyalah dalam hal hooliganisme, pergaduhan semasa perlawanan berlangsung mahupun perseteruan antara sesama kelab.

Hakikatnya dalam soal mutu, kualiti dan kejayaan yang boleh dibanggakan adalah sangat jauh tersasar daripada yang kita harapkan.

Untuk itu wartawan Mingguan Malaysia HAFIZAHRIL HAMID dan FERZALFIE FAUZI telah mewawancara Menteri Belia dan Sukan , Khairy Jamaluddin untuk mengupas isu-isu yang melanda sukan nombor satu di negara ini.

Ujar beliau, tidak perlu menuding jari menyalahkan sesiapa kerana apa yang penting ialah kerjasama dan perancangan teliti perlu diusahakan secara berterusan antara pihak kementerian dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Namun beliau mengharapkan dalam banyak isu yang melibatkan sukan bola sepak tanah air supaya tidak berlaku pilih kasih kerana ia akhirnya hanya merosakkan masa depan serta menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan.

MINGGUAN: Kebelakangan ini isu keganasan penyokong atau hooligan semakin berleluasa, sedangkan ini bukan perkara baru. Bagaimana YB melihat soal ini?

KHAIRY: Masalah hooligan bukan masalah baru, sebenarnya dari dulu kita ada kumpulan kecil penyokong agak ganas sedikit tetapi tidak sampai tahap menganggu penyokong lain seperti kekerasan yang kita lihat beberapa minggu lepas. Sebab itu saya bangkit isu ini kepada Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin. Saya kata mesti ada tindakan yang cepat menangani isu samseng bola sepak sebab kita tidak mahu perkara ini merebak. Kita pergi menonton perlawanan bola sepak kadang-kadang bawa anak sekali. Kita tidak mahu mereka merasakan diri mereka dalam keadaan bahaya, dibaling benda tidak sepatutnya atau pergaduhan di dalam dan luar stadium. Saya cakap kepada Hamidin, kita kena tangani masalah ini dengan tegas. Sewaktu hooliganisme melanda United Kingdom pada 1980-an dan 1990-an mereka bertegas, bukan sahaja FA England tetapi pihak polis, pihak stadium dan sebagainya. Mereka adakan kawalan polis yang ketat, ubah masa permulaan perlawanan supaya tidak lewat sangat. Kalau lewat mereka minum di pub dan kemudian masuk stadium dalam keadaan mabuk. Kita perlu ada strategi juga, penyokong kita tak minum tetapi ganas dalam keadaan tidak mabuk, ini lebih bahaya. Kita kena ada tindakan tegas. Tetapi kita kena faham ada kumpulan penyokong fanatik tidak ganas. Sebahagian besar daripada mereka anggota kumpulan ultras. Mereka memang fanatik, ghairah tetapi tidak kacau orang. Namun ada sekumpulan orang memang menjadikan sumber inspirasi kelab di England seperti di West Ham, ada Green Street Hooligan yang menjadi idola mereka yang sengaja mencari penyokong lawan untuk bergaduh. Ini kita tidak boleh terima. Mungkin mereka nyanyi lagu dan menjerit, itu memang suasana bola sepak. Saya pun terima, itulah persekitaran bola sepak dan stadium, tetapi mereka yang mengancam sesiapa itu kita kena ambil tindakan tegas.

Satu lagi isu ialah penggunaan suar yang perlu diatasi FAM. Ada yang kata pembakaran suar dan bunga api mengancam keselamatan. Ada yang kata itu sebahagian suasana seperti di San Siro, Itali. Ada pihak yang mengadu berlaku pilih kasih kerana pasukan tertentu dikenakan tindakan tetapi beberapa pasukan lain yang mempunyai hubungan rapat dengan FAM tak kena tindakan. FAM kena peka tentang perkara ini. Kepimpinan FAM yang bukan presiden sampai ke bawah, semua berasal dari negeri yang berbeza. Jadi bila dilihat negeri ada kaitan FAM tidak dikenakan tindakan, negeri yang blacklist cepat kena tindakan, jadi mereka akan marah. Namun saya telah redakan keadaan ini, saya kata dalam Twitter jangan kita alih kesilapan kita kepada kesilapan orang lain. Kalau salah, dua-duanya salah. FAM kena tegas dan tidak pilih kasih. Mereka kena denda mana-mana pasukan yang salah dari segi disiplin, keganasan penyokong, pembakaran suar dan juga kes terowong. FAM kena ambil tindakan kepada semua. Walaupun orang kata tidak setuju tetapi perlu adil kepada semua.

Dalam isu JDT dan T-Team, bagaimana YB lihat cara terbaik menyelesaikannya kerana keadaan sekarang sudah sampai ke tahap keterlaluan?

KHAIRY: Kita dalam Islam jika sudah sampai tahap angkat sumpah itu kira jalan terakhir. Ada dalam kalangan orang Islam kata jangan kaitkan angkat sumpah al-Quran dengan bola sepak. Kita hormati semua pandangan. Soal sesuai atau tidak, saya tak nak jawab, tanpa angkat sumpah benda ini sudah serius kerana jadi percakapan umum. Waktu kejadian itu mula tersebar luas di media sosial, macam-macam video kita boleh lihat. Saya lihat sendiri video itu tetapi tidak berapa jelas apa yang terjadi, namun banyak keterangan mengesahkan atau menuduh sesuatu telah berlaku. Dalam perbincangan dengan Hamidin, jawatankuasa pertandingan sudah buat keputusan T-Team kalah sebab tak memaklum pegawai supaya tamatkan perlawanan. Soal disiplin belum selesai.

Prinsip saya sebagai menteri, FAM bertindak jangan ada pilih kasih. Sekiranya sesiapa langgar peraturan dan undang-undang tatacara bola sepak dan FAM, mereka mesti dikenakan tindakan. Kita tidak boleh ada undang-undang berbeza untuk mana-mana pihak. Bola sepak ialah kepunyaan rakyat dan peminat bola sepak mahu lihat undang-undang itu dipatuhi dan dikuatkuasakan. Saya mahu cepatkan pertuduhan sekiranya ada. Kedua, jangan ada apa-apa kelonggaran atau pilih kasih, ini penting untuk menghantar mesej undang-undang tetap dihormati dan tidak ada kekebalan dalam hal ini.

Terdapat persepsi yang melihat antara YB dan FAM ada isu berkait. Apakah benar perkara ini dan tidakkah YB rasakan sudah sampai masanya untuk menunjukkan FAM dan kementerian mampu bekerjasama untuk pembangunan bola sepak?

KHAIRY: Persepsi ini dibentuk mungkin sebab komen-komen saya dalam surat khabar. Saya jenis menteri yang berterus terang, saya lebih suka cakap apa yang betul daripada saya simpan. Kadang-kadang buat kenyataan umum, ada kesan yang baik. Barulah persatuan sukan notice, kalau panggil macam itu sahaja mereka buat tidak tahu. Kadang-kadang saya kena buat komen secara umum, tetapi tidak bermakna saya tidak mengamal profesionalisme. Walaupun rakyat lihat saya dan FAM ada perang mulut tetapi saya tetap kekalkan profesionalisme. Sebagai Menteri Belia dan Sukan (KBS) banyak benda perlu kami bekerjasama. Jumaat lepas saya mengadap Tengku Mahkota Pahang selaku Timbalan Presiden FAM, Datuk Affendi Hamzah ada selaku Naib Presiden dan Hamidin. Kami bincang isu-isu berbangkit secara profesional.

Saya profesional, dan sambutan cukup baik apabila saya bentangkan pelan pembangunan bola sepak yang akan dilancarkan Mac ini oleh Perdana Menteri. Saya bentangkan kepada Tengku Mahkota Pahang supaya baginda memahami dan membawanya kepada Exco FAM.

Saya melihat respons cukup baik sekali. Saya kata kita kena buat kerjasama pembangunan di bawah KBS dan di bawah program pembangunan bola sepak negara untuk remaja bawah tujuh hingga 17 tahun. Selepas itu produk ini akan masuk sistem FAM dan untuk jadi pemain kebangsaan perlu lalui program ini. Tanpa sokongan dan kerjasama FAM, kita tidak akan berjaya melaksanakan program ini dan ia sangat positif.

Sebagai contoh dalam program pembangunan bola sepak kita kena tambah bilangan jurulatih. Hari ini dalam program ada 387 jurulatih dan kita hendak tambah kepada 662 jurulatih yang minimum ada Lesen A dan 2,064 yang ada kelayakan Lesen C menjelang 2020. Perlesenan jurulatih adalah daripada FAM dan ini komponen paling penting dalam program iaitu jurulatih yang bertauliah. Jadi saya bekerjasama rapat dengan FAM. Tengku Mahkota kata jika itu keperluan FAM, mereka akan bantu KBS melatih jurulatih supaya dapat melengkapkan 3,000 jurulatih bertauliah dan bagi saya ini adalah kerjasama.

Masa Ong Kim Swee hendak hantar pasukan Harimau A ke Queesland untuk menyertai Liga Australia, mereka tidak cukup duit. Mereka datang jumpa saya minta KBS biayai separuh, kita kata tidak ada masalah. Di situ dilihat memang betul ada sesetengah perkara saya tidak setuju dan ada perkara yang saya akan kritik dan terus kritik. Memang ada pihak dalam FAM tidak suka saya kritik macam itu, tetapi bila soal kerja, kita kena profesional. Sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam sukan walaupun tidak boleh campur tangan pentadbiran dan urusan FAM tetapi dari segi strategi, polisi dan hala tuju sukan mesti ada ruang untuk saya tegur.

Jadi boleh kata tidak timbul isu personal semasa YB menjadi Timbalan Presiden FAM dulu?

KHAIRY: Saya memang tidak ada langsung isu personal atau kenangan tidak manis sewaktu menjadi timbalan presiden. Saya pun berjaya tamatkan tempoh timbalan presiden tanpa masalah, tidak pernah digantung atau dikenakan tindakan disiplin. Saya memilih tidak bertanding semula sebab waktu itu saya ada banyak kerja sebagai Ketua Pemuda, wakil rakyat dan sebagainya. Tengku Mahkota pun nak kembali bertanding timbalan presiden jadi saya kosongkan tempat itu.

Saya tidak ada apa-apa personal malah Hamidin adalah kawan baik saya. Beliau bawa saya jadi timbalan presiden dan bantu saya kempen, saya tidak ada masalah dengan Presiden - hubungan cukup baik termasuk timbalan presiden. Cuma saya lantang bersuara sebab nak melihat tindakan yang cepat. FAM ditadbir dengan baik tetapi birokrasi terlalu besar. Jika menteri tidak cuit, mereka tidak akan respons dengan cepat, sedangkan penyokong bola sepak hari ini terutama anak-anak muda nak melihat tindakan cepat. Mereka tidak mahu lihat keadaan samar-samar di mana ada insiden berlaku tetapi tiada siasatan. Ada yang dikenakan tindakan tetapi di tempat lain tidak ada tindakan atau dalam erti kata lain, pilih kasih. Itu yang kita kena atasi. Saya maklum kepada Hamidin, kena selesaikan masalah ini cepat, sebab ini kredibiliti FAM dan bola sepak tanah air. Kita kena bagi keyakinan kepada rakyat bukan hanya tingkatkan prestasi atas padang tetapi termasuklah layanan FAM terhadap pasukan, penyokong dan soal pilih kasih mesti dilihat jelas dekat di mata penyokong bola sepak.

Bagaimana YB melihat peranan sultan dan pihak istana dalam mengetuai persatuan sukan. Ada berpandangan dengan kedudukan mereka memudahkan usaha mencari penaja, namun apakah ia masih sesuai pada zaman sekarang?

KHAIRY: Ramai tanya saya mengenai penglibatan kerabat diraja dan ahli politik. Kita satukan soalan ini dengan ahli politik, kerana kedua-duanya sama, ada kedudukan dalam masyarakat. Ada yang melihat campur tangan sultan dalam persatuan sukan dilihat menyusahkan kerana protokol. Namun ini pandangan peribadi saya, kita tidak boleh buat ketetapan umum bahawa penglibatan tokoh-tokoh besar, raja dan ahli politik adalah perkara negatif untuk sukan. Ini kerana ada kalanya penglibatan mereka terbukti berjaya.

Saya bagi contoh, tanpa penglibatan Tan Sri Annuar Musa dalam bola sepak Kelantan, bola sepak negeri itu tidak akan bangun ke tahap yang ada hari ini. Begitu juga tanpa Datuk Seri Shahidan Kassim, bola sepak Perlis satu ketika dahulu sewaktu beliau menjadi Menteri Besar dan ketika memimpin Kesatuan Renang Malaysia, beliau berjaya. Dalam soal penglibatan sultan pula jika kita tolak ketepi insiden Larkin, adakah tanpa penglibatan Tengku Mahkota Johor (TMJ), pasukan Johor Darul Takzim (JDT) akan berjaya seperti hari ini. Sebelum TMJ terlibat dalam bola sepak Johor, saya masih ingat tidak ada apa di Larkin. Kejayaan besar kali terakhir adalah pada zaman Alistair Edward dan Abbas Saad. Kini barulah JDT naik sebab TMJ terlibat.

Saya tidak boleh bagi jawapan umum apakah ia tidak sesuai. Kita kena tengok pada prinsip, tiada siapa yang kebal dari segi undang-undang dan peraturan. Walau siapa jadi presiden dan pemimpin persatuan sukan, jangan anggap kritikan kepada persatuan sukan adalah kritikan kepada individu tersebut. Saya risau ada tokoh hebat yang memimpin persatuan sukan tetapi bila kita tegur persatuan sukan itu, ia dianggap menegur individu tersebut. Amat malang sekali berlaku keadaan tersebut kerana tidak ada sesiapa boleh menegur sebab takut dianggap derhaka. Padahal kita tegur soal pentadbiran dan ia amat berbeza dengan menyerang individu, jauh sekali serang peribadi. Prinsip yang perlu difahami tidak ada kekebalan di sini, kita ikut peraturan dan tidak ada sesiapa boleh mengetepikan peraturan dan undang-undang. Kita mengkritik pengurusan institusi tertentu dan bukan individu, jadi harap semua boleh faham.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved