Khamis, 13 Februari 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Elak pembakaran terbuka

Posted: 12 Feb 2014 11:52 AM PST

Oleh OPAT RATTANACHOT
uspetani@utusan.com.my

Seorang anggota Bomba dan Penyelamat memantau kebakaran yang berlaku di tapak pelupusan sampah Semeling, Sungai Petani, Kedah, semalam.

SUNGAI PETANI 12 Feb. - Ekoran cuaca panas dan kering yang melanda negeri ini sejak hampir dua bulan lalu, orang ramai diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Sungai Petani, Nor Arifin Kamari berkata, tindakan tersebut boleh menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara seterusnya menyebabkan keadaan jerebu.

"Dalam keadaan cuaca seperti ini, orang ramai harus mengambil langkah berjaga-jaga iaitu tidak melakukan sesuatu yang boleh menyebabkan pembakaran terbuka. Itu termasuklah membuang puntung rokok ke kawasan yang mudah terbakar, membakar sampah sarap, membuat unggun api semasa memancing, berburu atau aktiviti seumpamanya," katanya selepas meninjau operasi memadam kebakaran pusat pelupusan sampah Semeling di sini hari ini.

Nor Arifin berkata, orang ramai juga dinasihatkan agar mengurangkan aktiviti di luar rumah dalam musim kemarau ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, keadaan kebakaran pusat pelupusan sampah di Semeling kini berada dalam keadaan terkawal.

Beliau memberitahu, seramai 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, Yan dan Alor Setar telah ditempatkan dilokasi tersebut bagi menjalankan operasi memadam kebakaran.

"Kejadian ini berlaku kira-kira pukul 11 pagi semalam dan sejurus menerima laporan, kita telah menjalankan operasi memadam api. Selain anggota tetap, kita juga telah mendapatkan bantuan daripada Pasukan Bomba Sukarela di sekitar Merbok dan Sungai Petani," katanya.

Nor Arifin memberitahu, pihaknya akan melakukan pemantauan sepanjang tempoh 24 jam di lokasi tersebut bagi mengelakkan api merebak semula.

"Kita juga menghadapi sedikit masalah iaitu angin kencang dan kekurangan air. Bagi mengatasi masalah, bekalan air terpaksa diangkut dari tiga lombong berdekatan," katanya.

Cubaan seludup warga Myanmar gagal

Posted: 12 Feb 2014 11:52 AM PST

GERIK 12 Feb. - Cubaan tiga tekong warga tempatan untuk menyeludup lapan warga Myanmar ke Pantai Timur gagal apabila mereka berjaya diberkas dalam Op Cantas Khas di Kilometer 8, Jalan Raya Timur Barat di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Gerik, Supritendan Abdul Manab Bahrum berkata, kesemua suspek dan lapan warga Myanmar itu ditahan di dalam sebuah kereta Proton Saga berwarna perak kira-kira pukul 7 pagi berhampiran Kampung Sira Panas di sini.

Menurutnya, hasil maklumat risikan, polis menahan kenderaan yang dipercayai dalam perjalanan ke Kelantan itu.

"Ketiga-tiga tekong cuba melarikan diri bagaimanapun berjaya ditangkap dan kami juga menemui lapan warga Myanmar termasuk seorang wanita berusia lingkungan 20-an di tempat duduk belakang kereta berkenaan," katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Beliau memberitahu, tiga tekong yang berusia 23, 31 dan 32 tahun itu berasal dari Kelantan.

Tambahnya, ketiga-tiga tekong terbabit sengaja menggunakan kenderaan bercermin gelap yang dipercayai dicuri di Puchong, Selangor untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

"Modus operandi mereka ialah menjadikan Jalan Raya Timur Barat sebagai laluan untuk menyeludup warga asing terutamanya warga Myanmar," jelasnya.

Menurut Abdul Manab, kesemua suspek kini direman sementara menunggu arahan Timbalan Pendakwa Raya untuk dituduh di Mahkamah.

Katanya, jika disabit kesalahan di bawah Seksyen 26J Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran, suspek boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM250,000.

Sambut Tahun Baharu Cina di masjid

Posted: 12 Feb 2014 11:52 AM PST

Oleh ASLIZA MUSA
pengarang@utusan.com.my

Orang ramai yang hadir dalam sambutan Tahun Baharu Cina di Masjid Muhammadiah, Ipoh, baru-baru ini.

IPOH 12 Feb. - Walaupun Tahun Baharu Cina telah lebih seminggu berlalu, namun masih terdapat masyarakat di negara ini yang meraikannya melalui penganjuran beberapa majlis.

Lokasi yang kebiasaannya dipilih pula adalah di hotel-hotel atau dewan besar berhawa dingin.

Bagaimanapun, keadaan ini agak berlainan bagi Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) cawangan Ipoh apabila memilih Masjid Muhammadiah atau Masjid Cina di Taman Tasek Jaya di sini sebagai lokasi sambutan.

Mungkin kedengaran agak janggal mengadakan sambutan Tahun Baharu Cina disertai tarian naga di pekarangan masjid berkenaan, namun Macma cawangan Ipoh mempunyai alasannya tersendiri.

Bagi Timbalan Pengerusi Macma cawangan Ipoh, Mohd. Hafiz Ng Abdullah, penganjuran program berkenaan adalah bagi memberitahu masyarakat Cina bahawa mereka masih boleh meraikan perayaan berkenaan asalkan tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

Malah katanya, acara itu juga bagi memperbetulkan salah tanggap masyarakat yang mengatakan bahawa apabila memeluk agama Islam bermakna menjadi orang Melayu.

"Kita hendak memperbetulkan salah tanggapan mengenai Islam, contohnya apabila masuk Islam bermakna masuk Melayu. Ini tidak betul kerana kita tetap orang Cina.

Persembahan tarian singa dalam sambutan Tahun Baharu Cina di Masjid Muhammadiah, Ipoh, baru-baru ini.

"Kewujudan Masjid Muhammadiah yang berteraskan senibina Cina ini juga membuktikan bahawa mereka yang berketurunan Cina masih boleh mengamalkan peradaban kaum sendiri, asalkan tidak bertentangan dengan ajaran Islam," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Selain tarian singa, majlis yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Nizar Zakaria itu turut diisi dengan persembahan daripada kanak-kanak tadika, persembahan nasyid dan tazkirah.

Sementara itu, Mohd. Nizar dalam ucapannya berkata, usaha dilakukan Macma harus diberi pujian kerana dilihat sebagai antara usaha membentuk permuafakatan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

"Kerajaan sentiasa menyokong usaha untuk merapatkan persefahaman antara kaum melalui program-program yang dianjurkan semua pihak termasuk Persatuan Cina Muslim.

"Dengan adanya sambutan Tahun Baharu Cina dan Maulidur Rasul ini akan mewujudkan nilai-nilai muafakat dan saling bantu-membantu antara satu sama lain," ujarnya.

Beliau turut berharap masyarakat Cina Muslim dapat meneruskan legasi dakwah sekali gus memperjelaskan salah faham mengenai Islam di negara ini termasuk masuk Islam bukanlah bermakna mereka masuk Melayu.

"Kerajaan negeri melalui Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan sentiasa memberi perhatian terhadap saudara baharu.

"Oleh itu, saya berharap Macma akan memperbanyakkan lagi program sebegini yang boleh menyatupadukan rakyat," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved