Khamis, 13 Februari 2014

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Khairy minta kaji larangan bawa kayu bendera

Posted: 13 Feb 2014 10:42 AM PST

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR - Segelintir penyokong dan juga ultras di beberapa negeri tidak bersetuju dengan pekeliling terbaharu dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang melarang mereka membawa tiang atau objek keras ke dalam stadium untuk mengikat bendera, dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin meminta badan induk tersebut mengkaji semula arahan itu.

Menurut Khairy, beliau memahami perasaan dan kehendak penyokong yang ingin membawa kayu atau tiang untuk mengibarkan bendera pasukan masing-masing.

Sehubungan itu beliau meminta FAM menilai kembali peraturan tersebut seperti amalan di peringkat antarabangsa.

"FAM perlu melihat perkara ini berdasarkan undang-undang antarabangsa. Jika betul kayu itu boleh menjadi senjata maka (larangan) perlu dipatuhi oleh peminat bola sepak tempatan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.

FAM mengeluarkan pekeliling tersebut Selasa lalu dengan memohon persatuan bola sepak negeri dan kelab bekerjasama dengan pihak keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) bagi memastikan penyokong pasukan tidak membawa barang dilarang.

Ujar Khairy, FAM perlu melihat kembali perkara tersebut selepas menerima banyak respons di media sosial yang meminta agar tiang, kayu atau sebarang objek keras dibenarkan kerana digunakan untuk mengikat bendera pasukan yang disokong.

"Saya hanya meminta FAM mengkaji perkara ini berdasarkan peraturan dan norma antarabangsa, sama ada benda ini mempunyai risiko untuk dijadikan sebagai senjata. Mereka perlu memahami permintaan penyokong," katanya.

Beliau juga meminta agar FAM mengambil tindakan dengan cepat tentang isu samseng bola sepak agar tidak merebak sehingga mengancam keselamatan serta mengganggu penyokong lain.

"Samseng bola sepak bukan perkara baharu, sebelum ini pun memang ada sebilangan kecil kumpulan penyokong yang ganas, tetapi tidak sampai ke tahap mengganggu penyokong lain dengan menggunakan kekerasan seperti mana yang kita dapat lihat beberapa minggu lepas.

"Saya sudah membangkitkan perkara ini kepada Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin, agar perlawanan bola sepak tidak menjadi persekitaran yang bahaya kepada anak-anak kecil, saya tidak mahu mereka merasakan diri mereka berada dalam keadaan bahaya sebab pergaduhan tercetus," katanya.

Tambahnya, FAM perlu menangani isu samseng bola sepak ini dengan tegas seperti dilakukan oleh Persatuan Bola Sepak England pada era 80-an dan 90-an apabila mereka bekerjasama dengan pihak polis dan stadium.

Piya tak minat jadi kapten

Posted: 13 Feb 2014 10:42 AM PST

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU - Tonggak tengah Kelantan, Mohd. Badhri Radhzi menegaskan, dia tidak berminat untuk menggalas tugas selaku kapten Harimau Malaya, sebaliknya hanya mahu fokus kepada usaha memperagakan aksi terbaik bagi membuktikan pemilihannya ke kem latihan pasukan kebangsaan adalah sesuatu yang tepat.

Badhri atau lebih dikenali sebagai Piya berkata, dia tidak pernah terfikir untuk menggalas tugas tersebut memandangkan kelibatnya masih baharu dalam pasukan kebangsaan.

Katanya, tugas selaku ketua pasukan The Red Warriors sejak tiga musim lalu sudah cukup membebankan dan fokus utamanya ialah membalas kepercayaan yang diberikan oleh

pengendali sementara Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee.

"Bagi saya, jawatan tidak penting dalam skuad kebangsaan kerana yang menjadi keutamaan saya ialah menunjukkan prestasi terbaik.

"Saya serahkan kepada jurulatih untuk tentukan siapa pilihannya. Lagi pun ramai lagi pemain senior dalam pasukan kebangsaan yang dipanggil untuk menjalani latihan pada minggu depan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia disini semalam.

Kim Swee dalam satu sidang media tiga hari lalu membayangkan lilitan kapten Harimau Malaya bakal bertukar tangan. Tanggungjawab ketua pasukan sebelum ini digalas bintang tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Mohd. Safiq Rahim.

Badhri turut menambah, ada beberapa pemain senior yang berada dalam pemikirannya untuk memimpin skuad kebangsaan.

Jeneral padang Kelantan itu sebelum ini pernah mencetus kontroversi apabila gagal menghadirkan diri untuk sesi latihan pusat pada Julai tahun lalu, sekali gus mencetuskan polemik apabila dikatakan tidak berminat untuk menyarung jersi skuad kebangsaan di bawah bimbingan Datuk K. Rajagobal ketika itu.

"Saya ingin buktikan pada usia seperti ini, saya masih mampu menyumbang sesuatu untuk negara. Saya sedar saingan cukup sengit dan perlu bekerja lebih keras bagi merebut tempat dalam skuad kebangsaan," ujar pemain berusia 31 tahun itu lagi.

Skuad negara kini dalam persiapan menghadapi perlawanan terakhir kelayakan Piala Asia menentang Yemen, 5 Mac ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved