Khamis, 13 Februari 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Gangguan sebab kerja naik taraf

Posted: 13 Feb 2014 10:42 AM PST

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
pengarang@utusan.com.my

Wan Salman Wan Ismail (kiri) melancarkan tabung khairat kematian selepas majlis perasmian Mesyuarat Agung PIBG SMK Jengka 18 di Maran, kelmarin.

MARAN 13 Feb. - Gangguan air di kawasan Felda Wilayah Jengka ketika ini adalah akibat kerja-kerja menaik taraf sistem bekalan air demi menampung keperluan penduduk yang semakin bertambah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Datuk Wan Salman Wan Ismail berkata, projek RM52 juta mengandungi 11 pakej bagi menukar saluran paip lama kepada baharu bermula April tahun lalu itu sudah lebih 70 peratus siap.

Sehubungan itu kata beliau, penduduk perlu bersabar kerana gangguan bekalan air tidak dapat dielakkan disebabkan kerja-kerja penukaran.

"Projek tetap perlu diteruskan demi memenuhi keperluan rakyat untuk jangka panjang. Saya sendiri turun padang mendengar keluhan penduduk termasuk di media sosial, namun kita harus faham yang gangguan ini akibat daripada projek naik taraf bekalan air.

"Penduduk diminta bersabar demi pembangunan yang lebih baik dalam jangka panjang kerana mengikut perjanjian projek pemasangan saluran paip ke rumah-rumah berakhir hujung Mac," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka 18 di sini semalam.

Katanya, pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) akan membantu dengan menyediakan lori tangki untuk menghantar bekalan air ke rumah-rumah, masjid, surau serta sekolah.

Pihak Paip jelas beliau, turut menaik taraf loji bekalan air Batu Sawar dan Loji Jengka Utama seperti mencuci keladak dan lumpur yang turut mengambil masa.

"Kerja naik taraf bekalan air di Wilayah Jengka menjadi keperluan dan keutamaan kerana peningkatan jumlah penduduk lebih 50,000 dalam Parlimen Kuala Krau.

"Jumlah penduduk di Bandar Tun Abdul Razak Jengka sahaja lebih 25,000 orang berikutan wujud institusi pengajian tinggi dan pertambahan taman perumahan di situ," katanya.

Al-Quran panduan utama elak perselisihan sesama sendiri

Posted: 13 Feb 2014 10:42 AM PST

JERANTUT 13 Feb. - Perbalahan pendapat dalam kalangan masyarakat berhubung sesuatu isu sehingga membawa kepada perpecahan memperlihatkan kegagalan umat Islam untuk mengikut ajaran agama sebenar.

Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas Khas negeri, Syeb Ibrahim Syed Ahmad berkata, umat Islam harus sedar al-Quran adalah panduan utama sekiranya wujud sebarang perselisihan.

"Kita semakin lupa bahawa sumber Islam adalah al-Quran atau kita terima al-Quran sebagai panduan tetapi kita tidak mengamalkan sehingga wujud kesangsian dan perselisihan pelbagai perkara dalam masyarakat hari ini.

"Ada segelintir pihak yang mempunyai pengetahuan al-Quran semata-mata untuk mencari kepentingan peribadi sehingga sanggup memperlekehkan pihak lain sesama Islam sehingga mewujudkan perbalahan dalam masyarakat," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob menyempurnakan penutup dan penyampaian hadiah kepada pemenang Majlis Menghafaz al-Quran peringkat negeri di Dewan Majlis Daerah Jerantut di sini malam tadi.

Yang hadir sama Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman; Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Pahang (MUIP), Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan; Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail.

Katanya, sikap suka memperbesar-besarkan isu yang remeh sehingga wujud perpecahan juga menyebabkan umat Islam tidak sedar bahawa pihak tertentu secara senyap mengambil kesempatan memperlekehkan Islam.

"Inilah yang kita perlu hindarkan bahawa musuh Islam berada di mana-mana dan mengambil kesempatan daripada setiap kelemahan kita yang tidak sependapat beberapa perkara berkaitan dengan agama sehingga jelas dan terang seperti apa yang kita alami hari ini.

"Jika kita menjadikan al-Quran sebagai panduan sebenar dalam apa juga hal terutama soal kepimpinan negara, maka saya yakin kita akan menjadi umat yang berjaya," katanya.

Sehubungan itu, katanya, sesuatu masalah yang timbul dalam masyarakat kita sewajarnya dirujuk kepada al-Quran sebagai kitab panduan sementara ulama boleh memberi nasihat dan didikan menerusi peraturan ilmu Islam.

Paras air empangan di Pahang terkawal

Posted: 13 Feb 2014 10:42 AM PST

KUANTAN 13 Feb. - Keadaan empangan di negeri ini masih dalam keadaan terkawal walaupun cuaca panas sejak beberapa minggu lalu menyebabkan paras air empangan di Selangor dan Negeri Sembilan dilaporkan turun mendadak.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ir. Mohd. Soffi Abd. Razak berkata, gangguan bekalan air disebabkan penurunan aras air sungai di muka sauk loji-loji rawatan air Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) juga tidak berlaku.

"Secara keseluruhannya, keadaan bekalan air masih terkawal dan tidak terjejas walaupun Pahang turut dilanda fenomena cuaca panas yang berpanjangan.

"Ini disebabkan pihak Paip sentiasa memantau dan mengambil pelbagai langkah yang cukup proaktif dalam usaha menanganinya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Cuaca panas yang berpanjangan menimbulkan kebimbangan ramai mengenai keadaan paras air di empangan utama di seluruh negara.

Terbaharu, paras air di Empangan Sungai Selangor dan Klang Gate dilaporkan mengalami penurunan dengan simpanan kurang daripada 60 peratus manakala Empangan Terip dan Gemencheh di Negeri Sembilan turut merosot.

Sementara itu, menurut Mohd. Soffi, antara langkah yang dilakukan Paip dengan segera ialah membina tebatan merentasi sungai berdekatan muka sauk bagi meninggikan paras air untuk bekalan air mentah ke loji rawatan.

"Tindakan ini diambil di Loji Rawatan Mempateh, Lanchang dekat sini iaitu di Sungai Semantan baru-baru ini.

"Status paras air di Empangan Chereh, Sungai Lembing juga berada dalam keadaan baik dan berfungsi seperti yang sepatutnya," jelasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved