Khamis, 13 Februari 2014

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Anwar fail notis rayuan

Posted: 13 Feb 2014 10:42 AM PST

PUTRAJAYA 13 Feb. - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) hari ini memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang menolak permohonannya untuk memanggil semula bekas pegawai penyiasat dalam kes liwat membabitkan dirinya, Supritendan Judy Blacious Pereira.

Peguam Ramkarpal Singh ketika dihubungi pihak media berkata, notis tersebut difailkan sekitar pukul 11 pagi di Kaunter Pendaftaran Mahkamah Persekutuan di sini.

Tarikh pendengaran rayuan tersebut masih belum ditetapkan.

Berikutan rayuan terbaharu dikemukakan oleh Anwar itu, rayuan utama pihak pendakwaan terhadap pembebasan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan terpaksa ditangguhkan lagi sehingga mendapat teguran oleh hakim Mahkamah Rayuan.

Semalam, panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Aziah Ali menolak permohonan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu untuk memanggil semula Judy selepas mendapati Anwar gagal memenuhi kesemua syarat yang diperlukan bagi membolehkan bukti atau keterangan baharu dimasukkan sebagai bahan bukti dalam kes tersebut.

Anwar memfailkan notis usul untuk memanggil semula Judy bagi membolehkan beliau mencabar kredibiliti saksi pendakwaan dalam kes liwatnya itu berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 Januari lalu yang membatalkan petisyen Judy untuk menjadi peguam bela dan peguam cara.

Hakim Datuk Zaleha Yusuf memutuskan demikian berdasarkan laporan inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dalam kes penahanan lima peguam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields kerana terlibat dalam perhimpunan haram.

Inkuiri pada 2009 itu yang dipengerusikan oleh peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang kini mengetuai pasukan pendakwaan, mendapati Judy merupakan saksi yang tidak boleh dipercayai kerana 'secara sedar atau tidak telah tidak bercakap benar atau menghidap penyakit hilang ingatan yang serius.

Bekas pengurus MIMOS dijel 7 tahun, denda RM5j

Posted: 13 Feb 2014 10:42 AM PST

KUALA LUMPUR 13 Feb. - Bekas Pengurus Besar Kewangan MIMOS Bhd., Khairuddin Khalid dihukum penjara tujuh tahun dan denda lebih RM5 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah didapati bersalah atas lapan pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah lebih RM500,000, lebih 12 tahun lalu.

Khairuddin, 54, yang kini memegang jawatan Ketua Pegawai Operasi (COO) di sebuah syarikat teknologi maklumat (IT) swasta juga berdepan dengan hukuman penjara 64 bulan jika gagal membayar denda.

Hakim Ahmad Zamzani Mohd. Zain membenarkan permohonan Khairuddin untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara tetapi memerintahkan denda dibayar hari ini setelah mendapati tiada sebarang alasan istimewa untuk membenarkan penangguhan bayaran.

Khairuddin bagaimanapun gagal membayar denda tersebut dan dihantar ke Penjara Kajang.

Ahmad Zamzani menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Dalam keputusannya, beliau berkata, keterangan pembelaan tertuduh hanyalah bersifat penafian, tidak berasas dan munasabah.

"Saksi pembelaan juga tidak menyokong pembelaan selain keterangan tertuduh juga adalah sesuatu yang difikirkan selepas kejadian," katanya.

Selain itu katanya, terdapat banyak isu yang tidak dapat dibuktikan dan hanya berdasarkan andaian semata-mata.

Khairuddin didakwa atas empat pertuduhan meminta untuk dirinya sendiri suapan melalui empat keping cek semuanya bernilai RM985,248 daripada Pengerusi Eksekutif Corporate Eight Asset Management Sdn. Bhd., Muhammad Khalid Ismail.

Daripada jumlah itu, tertuduh didakwa menerima RM502,002.37 sebagai upah kerana melaburkan dana pelaburan MIMOS Bhd. bernilai RM5.5 juta dengan syarikat pelaburan berkenaan.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 10(a)(bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta yang sama.

Khairuddin juga menghadapi empat pertuduhan memperoleh rasuah daripada individu yang sama membabitkan jumlah dan tujuan yang sama, iaitu kesalahan di bawah Seksyen 11(a) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta tersebut.

Seksyen 16 akta tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di pejabat Corporate Eight Asset Management Sdn. Bhd. yang beralamat di Suite 17.3-17.4A, Tingkat 17, Menara Weld, 76, Jalan Raja Chulan antara 23 Mei 2001 dan 8 Februari 2002.

Peguam Azi Azlin Zulkifli ketika mengemukakan permohonan penangguhan hukuman memberitahu, anak guamnya itu terlibat dalam projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) dan ketiadaan anak guamnya bakal menggugat kelancaran projek tersebut.

Terdahulu dalam rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, Azi Azlin berkata, mahkamah perlu mengambil kira kesalahan pertama anak guamnya itu selain isteri tidak bekerja serta menyara ibunya sakit tua.

Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Nur Lokman Samingan pula memohon hukuman setimpal berbentuk pencegahan dan pengajaran untuk tertuduh dan masyarakat.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved