Khamis, 13 Februari 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Vandalisme cemari Kuala Lumpur

Posted: 13 Feb 2014 10:42 AM PST

Oleh MOHAMAD HARITH
MOHAMAD NIZAR
kota@utusangroup.com.my

SEORANG wanita berjalan berhampiran dinding yang diconteng di Jalan Petaling, Kuala Lumpur semalam. - UTUSAN/MOHD. NAJIB MOHD. NOR

KUALA LUMPUR 13 Feb. - Kreatif tidak bertempat.

Itulah sikap pihak tidak bertanggungjawab yang menjadikan dinding beberapa premis di sekitar ibu kota sebagai tempat untuk diconteng dengan lukisan grafiti.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati lukisan comot dan sarat dengan mesej yang tidak sesuai dengan budaya di negara ini boleh dilihat di beberapa bangunan di Jalan Petaling, Jalan Pudu dan Pasar Seni.

Bayangkan sahaja perasaan pemilik kedai yang pintu premis mereka diconteng tanpa izin itu.

Lebih malang apabila contengan itu tidak mempunyai unsur seni yang indah di mata sesiapa pun.

Kegiatan vandalisme itu dipercayai dilakukan pada waktu malam sehingga gagal dikesan anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang biasanya meninjau kawasan tersebut pada waktu siang.

Mereka yang tidak bertanggungjawab itu barangkali ingin menyampaikan sesuatu mesej kepada orang ramai ataupun individu tertentu, tetapi caranya salah di sisi undang-undang.

Ia juga mencemarkan imej negara ini sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014.

Sudah tentu ia sesuatu yang memalukan sekiranya pelancong asing yang berkunjung ke kawasan tersebut berkongsi 'wajah comot' Kuala Lumpur itu dengan rakan dan keluarga mereka.

Sehubungan itu, pihak berwajib perlu memandang serius masalah tersebut agar ia tidak berlarutan sehingga lebih banyak bangunan menjadi mangsa tangan-tangan nakal tersebut.

Jika dibiarkan, ia umpama 'nasi menjadi bubur' kerana boleh mengundang persepsi negatif pelancong asing terhadap negara yang pastinya sukar untuk diperbetulkan pada masa akan datang.

Kereta kuda beroperasi 15 Mac

Posted: 13 Feb 2014 10:42 AM PST

Oleh SITI AINIZA KAMSARI
kota@utusangroup.com.my

DUA petugas DBKL mengendalikan kereta kuda yang akan menyediakan perkhidmatan membawa pelancong bersiar-siar di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 13 Feb. - Kuala Lumpur bakal mempunyai daya tarikan baharu menerusi pakej pelancongan kereta berkuda yang akan diperkenalkan mulai 15 Mac ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, sebanyak dua unit kereta kuda telah dibeli dari Turki untuk membawa para pelancong bersiar-siar di sekitar ibu kota.

Ujarnya, bagi tujuan itu, kuda jenis Friesian, iaitu baka terbaik dari Belgium telah melalui proses penyesuaian iklim di negara ini di Unit Berkuda, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Perkhidmatan tersebut disediakan dari pukul 10 pagi hingga 11.30 pagi dan 3 petang hingga 4.30 petang.

"Ia terhad kepada empat hingga lima penumpang dewasa bagi setiap perjalanan dengan kadar bayaran RM50 sejam bagi setiap orang," katanya selepas merasmikan Festival Sambutan Tahun Baharu Cina 2014 di pekarangan Galeri Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Nazri Aziz; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib; Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. J. Loga Bala Mohan dan Duta Turki, Ugur Dogan.

Tengku Adnan berkata, pelancong tidak perlu bimbang mengenai soal keselamatan kerana kereta kuda itu akan melalui kawasan taman dan perkhidmatan disediakan bukan pada waktu puncak.

Sementara itu, Ahmad Phesal berkata, DBKL yakin kira-kira 17,000 pelancong akan menggunakan kemudahan tersebut pada tahun ini.

"Pemandu kereta kuda juga akan bertindak sebagai pemandu pelancong. Kita berharap tarikan terbaharu ini akan mendorong pelancong tinggal lebih lama lagi di Kuala Lumpur," katanya.

Isu PKNS dibahas dalam Sidang DUN

Posted: 13 Feb 2014 10:42 AM PST

Noh Omar

TANJUNG KARANG 13 Feb. - Barisan Nasional (BN) Selangor akan membawa usul supaya isu dalaman Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dibahaskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan disiasat secara lebih menyeluruh.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Noh Omar berkata, usul yang dijangka dibuat dalam sidang DUN pada 17 Mac ini penting untuk memperbetulkan urus tadbir PKNS.

Menurutnya, usul itu akan menuntut supaya PKNS menyiasat secara lebih mendalam tentang kemungkinan salah laku, penyelewengan, rasuah dan masalah integriti dalam anak syarikat milik kerajaan negeri itu selain memanggil mereka yang terlibat.

"Kita (BN) serius berhubung isu PKNS dan sebenarnya telah banyak kali mempersoalkan isu urus tadbir dan integriti dalam anak syarikat kerajaan itu termasuk pengambilan penasihat-penasihat dari luar yang dibayar gaji tinggi," katanya selepas merasmikan perhimpunan agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Datuk Harun di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pembangkang DUN, Datuk Mohd. Samsudin Lias; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Sulaiman Abdul Razak dan Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor, Datuk Mahmud Karim.

Anak syarikat PKNS, PKNS Holdings Sdn. Bhd. (PHSB) pada 4 Februari lalu memecat serta-merta 22 kakitangan kontraknya.

Noh turut menyifatkan 22 kakitangan kontrak terbabit menjadi 'mangsa' kepada perbalahan antara Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali.

"Akibat daripada masalah peribadi, Abdul Khalid bertindak memecat 22 kakitangan PHSB itu untuk menunjukkan bahawa tindakan Azmin sebelum ini tidak betul dan ini adalah satu perbuatan yang kejam," ujarnya.

Sementara itu, Samsudin berkata, BN dalam Sidang DUN sebelum ini pernah membuat bantahan berhubung pelantikan kakitangan kontrak terbabit tetapi pada masa itu Abdul Khalid mempertahankan dan menyifatkannya sebagai keperluan untuk mewujudkan gerak kerja baharu.

"Malangnya hari ini, beliau sendiri menyatakan pelantikan kakitangan tersebut sebagai pembaziran.

"Saya percaya, ini semua angkara politik dalaman pimpinan kerajaan negeri yang mempunyai agenda tertentu," tambah Samsudin.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved