Sabtu, 1 Februari 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Manjung kini di bawah NCER

Posted: 31 Jan 2014 11:55 AM PST

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

LUMUT 31 Jan. - Kerajaan bersetuju untuk memasukkan daerah Manjung sebagai salah sebuah kawasan di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) di negeri Perak.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, keputusan itu dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Ke-11 di Putrajaya, Selasa lalu.

"Kemasukan daerah Manjung ke dalam NCER merupakan langkah strategik berikutan daerah ini mempunyai kemudahan infrastruktur lengkap serta pelabuhan yang berpotensi menggerakkan pelan pembangunannya.

"Bagi pihak kerajaan negeri, saya ingin mengucapkan terima kasih atas jasa Perdana Menteri kerana bersetuju memasukkan Manjung ke dalam pelan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas turun padang memberikan sumbangan sempena perayaan Tahun Baharu Cina di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan China (SJKC) Hwa Lian di Pasir Bogak, Pulau Pangkor, dekat sini semalam.

Zambry turut meluangkan masa menyampaikan sumbangan ang pau dan limau mandarin di dewan terbuka sebuah tokong Cina di Batu 5 di Segari.

Pada 2 September tahun lalu, Menteri Besar melancarkan secara rasmi fasa kedua Pelan Pembangunan Koridor Utara di Perak yang antara lain memberi penekanan kepada penyediaan infrastruktur bagi projek 'Greater Kemunting'.

Zambry berkata, penyediaan infrastruktur itu berpotensi menarik pelaburan sebanyak RM18 bilion melalui 34 projek permulaan sekali gus bakal memberi impak pertumbuhan ekonomi dan perindustrian di negeri ini.

Warga Tentera Darat mesti utamakan kepemimpinan terbaik - Raja Muda Perlis

Posted: 31 Jan 2014 11:55 AM PST

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil (tengah) berkenan bergambar bersama anggota dan pegawai Rejimen 504 sempena Taklimat Latihan Sukarela dan Perancangan Latihan 2014 Rejimen 504 Askar Wataniah di Kem Bukit Keteri, Kangar, Perlis, baru-baru ini. - BERNAMA

KANGAR 31 Jan. - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail meminta setiap warga tentera darat, tanpa mengira pangkat, supaya sentiasa menunjukkan tahap kepimpinan terbaik.

Baginda yang juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah bertitah, kepemimpinan sering dikaitkan dengan orang yang mempunyai kuasa atau pangkat, tetapi ia sepatutnya diterap oleh setiap individu tanpa mengira kedudukan.

"Kepemimpinan menjamin kejayaan di dalam apa jua penugasan yang dilaksanakan dan harus menjadi pedoman untuk setiap warga tentera darat.

"Sejarah membuktikan bahawa aspek atau ciri kepemimpinan unggul telah menghasilkan kejayaan demi kejayaan di dalam semua pertempuran dan penugasan yang dilalui," titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin mengutarakan perkara itu ketika bertitah pada Majlis Taklimat Latihan Sukarela dan Perancangan Latihan 2014 Rejimen 504 Askar Wataniah di Kem Bukit Keteri dekat sini baru-baru ini.

Menurut baginda slogan 'Kepemimpinan Melalui Teladan' perlu diamalkan oleh semua peringkat pegawai dan anggota tentera darat supaya kecemerlangan organisasi dalam memartabatkan visi dan misi dapat direalisasikan dengan jayanya.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, tentera darat perlu mempunyai kepemimpinan efektif untuk menjadi sebuah organisasi unggul, cemerlang, profesional dan disegani ramai.

Turut berangkat pada majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis Mejar (Kehormat) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan baginda berdua disambut oleh Timbalan Komander rejimen itu, Leftenan Kolonel Zulfakar Wahid serta para pegawai kanan tetap dan sukarela rejimen.

Pada majlis itu, baginda berdua mendengar taklimat mengenai kegiatan dan kejayaan rejimen sepanjang 2013 serta perancangan promosi dan sasaran pencapaian bagi tahun 2014.

Dalam taklimat itu, Zulfakar berharap, kegiatan rejimen itu akan mendapat sokongan Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW).

Terdahulu, Tuanku Syed Faizuddin berkenan menyempurnakan pemakaian pangkat kepada tiga pegawai dan 14 anggota lain-lain pangkat rejimen itu. - BERNAMA

Bersatu hadapi cubaan runtuhkan perpaduan

Posted: 31 Jan 2014 11:55 AM PST

Zambry Abd. Kadir (empat dari kanan) dan Kong Cho Ha (enam dari kanan) melayani tetamu semasa menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di Lumut, Perak, semalam.

LUMUT 31 Jan. - Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir mengajak rakyat supaya bersatu padu bagi menentang sebarang bentuk percubaan untuk meruntuhkan perpaduan antara kaum di negara ini.

Menurutnya, walau apa sahaja permasalahan yang dicetuskan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, rakyat harus terus bersatu padu untuk mengekalkan suasana harmoni yang dinikmati sekarang.

Kata beliau, perpaduan kaum yang sudah sedia terbina dalam kalangan rakyat harus diperkukuhkan lagi antaranya menerusi penglibatan semua kaum meraikan sambutan hari kebesaran kaum seperti Tahun Baharu Cina yang sedang diraikan sekarang.

"Sempena Tahun Baharu Cina kali ini saya berharap kedamaian, keharmonian dan kesejahteraan di Malaysia dapat dikekalkan.

"Rakyat harus terus bersatu padu di sebalik segala cabaran dan rintangan serta pelbagai permasalahan yang datang atau sengaja dicetuskan oleh pihak-pihak tertentu," katanya di sini hari ini.

Beliau ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di kediaman bekas Menteri Pengangkutan yang juga Ketua Bahagian MCA Lumut, Datuk Seri Kong Cho Ha, di sini hari ini.

Mengenai kunjungannya itu, Zambry berkata, ia merupakan tanda persahabatan walaupun bekas Menteri Pengangkutan itu tidak lagi mempunyai jawatan dalam kerajaan atau sebagai Ahli Parlimen.

"Inilah rumah terbuka pertama sempena Tahun Baharu Cina yang saya kunjungi hari ini.

"Kunjungan saya ini demi menunjukkan semangat persahabatan dalam Barisan Nasional (BN), walaupun beliau (Cho Ha) kini 'orang biasa'. Inilah semangat kita dalam BN, semangat setiakawan walaupun dalam keadaan senang atau susah.

"Kerajaan negeri juga mengucapkan selamat Tahun Baharu Cina kepada kaum Cina di seluruh negara dan di Perak khasnya dan berharap semoga perayaan kali ini akan memberikan kesejahteraan dan kemakmuran kepada negara kita," kata Zambry.

Sementara itu, Dr. Zambry turut mengumumkan sambutan Tahun Baharu Cina peringkat negeri Perak akan diadakan di Dewan Komuniti Cenderiang, dekat Tapah malam esok.

Beliau menjangkakan antara 5,000 hingga 10,000 orang akan menghadiri majlis berkenaan.

"Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah juga akan hadir untuk bersama-sama rakyat," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved