Sabtu, 1 Februari 2014

Utusan Online - Jenayah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Kanak-kanak 3 tahun maut dihempap TV

Posted: 01 Feb 2014 10:58 AM PST

Oleh MOHD. FIRDAUS ISMAIL
utusanpenang@utusan.com.my

BUKIT MERTAJAM 1 Feb. - Kegembiraan sebuah keluarga untuk merakamkan gambar kenangan semasa perayaan Tahun Baharu Cina bertukar duka apabila seorang kanak-kanak berusia tiga tahun mati dihempap sebuah televisyen berukuran 29 inci malam tadi.

Dalam kejadian di Taman Chai Leng, Perai, dekat sini, kira-kira pukul 9 malam itu, mangsa, Chew Hui Zhen dipercayai tertarik wayar televisyen di ruang tamu sebuah rumah ketika ahli keluarganya yang lain sedang bersiap sedia untuk sesi bergambar.

Akibatnya, Hui Zhen ditimpa televisyen seberat 10 kilogram itu dan mengalami kecederaan di kepala.

Mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Seberang Jaya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Baharom Abu berkata, siasatan awal pihaknya mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian berkenaan.

Polis menerima panggilan telefon mengenai kejadian ini kira-kira pukul 10.30 malam daripada pihak hospital. Setakat ini kita mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut dan menunggu laporan bedah siasat.

Ketika kejadian, mangsa dipercayai berdiri berhampiran rak televisyen yang agak rendah sebelum tertarik wayar dan televisyen terbabit menghempapnya," katanya di sini hari ini.

Sementara itu, bapa mangsa, Chew Hock Soon yang bekerja sebagai tukang paip kelihatan sebak ketika menunggu mayat anaknya di Rumah Mayat Hospital Seberang Jaya.

Hock Soon dan isterinya, Phoruethai Sae Lee yang berketurunan Siam menangis teresak-esak dan enggan ditemu-ramah kerana terlalu sedih dengan kejadian yang menimpa anak tunggal mereka itu.

Dua bersaudara lemas

Posted: 01 Feb 2014 10:58 AM PST

Oleh FARIK SALLEH
utusanjohor@utusan.com.my

Mayat mangsa lemas dibawa ke Hospital Kota Tinggi, Johor untuk dibedah siasat kelmarin. - MINGGUAN/ FARIK SALLEH

KOTA TINGGI 1 Feb. - Percutian sebuah keluarga di pantai Tanjung Balau, Desaru dekat sini, sempena cuti perayaan, menjadi detik hitam buat mereka apabila dua daripadanya lemas ketika mandi-manda di pusat peranginan itu, semalam.

Mangsa yang terbunuh ialah J. Krisna Kumar, 31, dari Jalan Permas Jaya, Masai dan adik iparnya, R. Ghanapathy, 32, dari Taman Ungku Tun Aminah, Skudai.

Dalam kejadian pukul 6.15 petang itu, seorang anak saudara mereka, B. Suren, 16, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Selesa Jaya 2, Skudai bagaimanapun sempat diselamatkan orang ramai.

Suren ditemui terdampar di kawasan berbatu sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan. Seorang lagi yang turut mandi bersama mereka bagaimanapun terselamat.

Kesemua mereka datang ke pantai itu bersama 15 ahli keluarga yang lain tetapi hanya empat orang sahaja yang mandi sebelum dihanyutkan ombak besar.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Rahmat Othman memberitahu, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 6.25 petang dan melancarkan operasi mencari dan menyelamat dengan turut dibantu Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Kedua-dua mangsa yang hilang akibat dipukul ombak besar ditemui terdampar di pantai tidak jauh dari lokasi mereka mandi pada pukul 7.30 malam. Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing untuk disemadikan.

Kawasan berkenaan menjadi lokasi bahaya kepada mereka yang mandi-manda dan pihak berkuasa sebelum ini telah memasang bendera amaran, namun ramai yang tidak mengendahkan arahan tersebut," katanya ketika dihubungi.

Justeru, Rahmat menasihatkan ibu bapa dan penjaga agar mengambil langkah keselamatan terhadap anak-anak apabila melakukan aktiviti di kawasan perkelahan yang berisiko terutamanya pada musim angin dan ombak besar.

Kelmarin, seorang remaja Orang Asli, Sham Salem, 14, yang bekerja di ladang tembikai berhampiran pusat peranginan itu mati lemas ketika datang ke situ bersama enam rakannya untuk mencari pucuk pokok nipah untuk dibuat pembalut rokok.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved