Sabtu, 1 Februari 2014

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Fenomena 'Kajang Move' PKR

Posted: 01 Feb 2014 10:58 AM PST

Dr. Ahmad Zaharuddin Sani Sabri

PENGUNDI DUN Kajang kini terjerat dalam permainan politik PKR. - Gambar hiasan.

MELIHAT kepada suasana mainan politik tempatan semasa, ramai pemerhati politik yang berkelayakan apatah lagi yang tidak bertauliah pening memikirkan hala tuju yang ingin dibawa oleh politikus yang dilantik mewakili suara pendesak rakyat ke dalam dewan yang mulia.

Fenomena Kajang Move ciptaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pasti menjadi tajuk perbualan hangat setidak-tidaknya untuk beberapa bulan ini oleh peminat-peminat politik tempatan.

Secara ringkasnya Kajang Move dicetuskan oleh Lee Chin Cheh wakil rakyat dari PKR yang dipilih oleh penghuni N25 Kajang kira-kira 7 bulan yang lalu, yang secara tiba-tiba melepaskan segala amanah yang diberikan oleh rakyat tanpa menjelaskan sebab pengunduran beliau, seperti mana surat yang diserahkan kepada Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh Tseow Suan bertarikh 27 Januari 2014 secara serahan tangan.

Walaupun tindakan ini sejajar dengan Artikel 68 Perlembagaan Negeri Selangor yang menyatakan seseorang wakil rakyat boleh mengosongkan kerusi mereka hanya dengan menyatakan secara bertulis kepada Speaker Dewan, ia tetap mengundang kontroversi kerana bertentangan dengan prinsip Bersih yang mereka sering laung-laungkan.

Apatah lagi ketika rakyat dibebani dengan kenaikan kos sara hidup, mereka pula sewenang-wenangnya membazirkan wang milik rakyat untuk mengadakan sebuah pilihan raya kecil yang tidak perlu diadakan sebenarnya.

Tindakan tersebut telah menyebabkan Suruhanjaya Pilihan Raya terpaksa memperuntukkan kos operasi sekurang-kurangnya RM2 juta tidak termasuk untuk perbelanjaan yang terpaksa dikeluarkan oleh agensi-agensi lain seperti polis, tentera, pihak media dan parti-parti politik yang terbabit.

Drama ini bertambah menarik apabila sehari selepas itu, iaitu pada tanggal 28 Januari Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa beliau sendiri akan bertanding di bawah panji PKR untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Chin Cheh.

Populariti

Ramai daripada kita ternganga melihat percaturan apa yang cuba dilakukan oleh PKR. Mencari satu kerusi selamat untuk diberikan kepada ketua mereka sudah pastinya mengundang spekulatif yang negatif.

Walaupun banyak penafian yang dikeluarkan oleh pusat PKR namun ia tidak mampu meniup goyangan angin menderu.

Kalau dilihat pada ulasan yang diberikan oleh Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli percaturan ini sekadar pergerakan taktikal bertitik tolak daripada gerakan dalaman UMNO sendiri yang memaksa mereka bertindak sebegini rupa.

Menyalahkan UMNO untuk mereka menghalalkan sesuatu bukanlah perkara baru dalam PKR. Politik PKR sebenarnya tidak sesusah pengiraan aljebra untuk difahami. Mengapa isu ini dimainkan secara besar-besaran.

Ramai sudah mengetahui Selangor merupakan sebuah negeri "lubuk emas" buat siapa sahaja yang menerajuinya. Selangor merupakan negeri kelima terkecil di Malaysia, mencapai status negeri maju 15 tahun lebih awal berbanding negeri-negeri lain di negara ini.

Negeri yang hampir 6 juta penduduk ini mempunyai pendapatan per kapita RM36,135 mengikut unjuran 2012.

Ini menunjukkan betapa peri pentingnya Selangor dalam minda politikus. Ia boleh menjadi sumber kewangan dalam menaja banyak perkara yang boleh membantu populariti seseorang pemimpin.

Namun bagi PKR kepimpinan yang ada sekarang gagal membantu ke arah itu, maka wujudlah pergeseran yang tidak pernah reda antara Menteri Besar selama 6 tahun dengan pucuk kepimpinan parti.

Bagi pimpinan PKR pusat, Selangor adalah milik mereka walaupun mereka mempunyai kerusi yang kurang sedikit berbanding sekutu mereka dalam pakatan pembangkang.

Kekuatan Anwar Ibrahim dalam mempengaruhi dan menjadi orang suruhan cukup kuat berdasarkan formula; Kelantan untuk Pas; Pulau Pinang milik DAP dan Selangor empunyanya PKR.

Berdasarkan konsep keadilan ini, maka secara tidak langsung segala perkara yang berkaitan dengan hal ehwal Selangor jarang sekali mereka merujuk kepada rakan-rakan sepermainan kerana untuk PKR ia tidak perlu mendapat sebarang konsensus.

Tanpa kita sedari, PKR tanpa Selangor mereka hanyalah parti cebisan, maka silap langkah tamatlah cita-cita mereka menawan Putrajaya apatah lagi matlamat Anwar untuk menjadi Perdana Menteri.

Berdasarkan senario ini, PKR memerlukan satu kekuatan untuk mengimbangi kuasa rakan-rakan sekutu mereka. Bukan menyaingi UMNO seperti yang cuba ditutup rapat oleh Rafizi. Maka tidak boleh dinafikan, antara kekuatan yang mereka perlukan ialah penyaluran kewangan yang padu.

Seperti mana semua maklum Menteri Besar Selangor ketika ini Tan Sri Khalid Ibrahim, merupakan bekas tokoh korporat yang hebat.

Kehebatan penglibatan korporat beliau gagal diterjemahkan dalam bahasa politik PKR. Beliau mengendalikan Selangor seperti sebuah syarikat yang ada untung dan rugi kewangannya.

Duit tidak boleh dibelanja sewenang-wenangnya tanpa memikirkan risiko masa depan. Gaya pentadbiran sebegini menyebabkan ramai rakan yang berbumbungkan PKR tersekat langkah.

Ramai yang bercita-cita untuk melobi hasil politik tersekat dengan langkah berhati-hati Khalid. Kekalutan ini menimbulkan keresahan buat rakan-rakan dalam parti yang menyebabkan perlunya berlaku perubahan drastik di Selangor.

Apabila Anwar mengumumkan beliau akan bertanding di Kajang secara tidak langsung beliau memberi isyarat pengunduran buat Khalid kerana mana mungkin seorang yang bergelar Ketua Pembangkang yang juga mantan Timbalan Perdana Menteri akan menerima tudingan daripada seseorang yang dianggap mentah dalam mainan sepak terajang politik.

Kalaulah kehadiran Anwar di Selangor hanya sebagai penasihat pengurusan negeri, tidak cukupkah dengan jawatan sebagai penasihat ekonomi Selangor. Dan tidak cukupkah Saifuddin Nasution proksi Anwar menjadi Ketua Staf di pejabat Menteri Besar?

Pastinya, tindakan ini bukan sekadar untuk Anwar menjadi ADUN tanpa bisa, beliau yang kita kenali mesti mahukan sesuatu yang lebih besar.

Dan seperti mana tiupan angin, khabar mengatakan Khalid hanya akan berundur jika musuh politik beliau Azmin Ali tidak diangkat menjadi Menteri Besar, maka apa pilihan yang PKR ada selain meletakan Penasihat mereka sebagai teraju utama negeri itu.

Seperti yang dinyatakan, walaupun dinafikan, politik PKR tidak sesusah pengiraan aljebra.

n DR. AHMAD ZAHARUDDIN SANI SABRI ialah Timbalan Pengarah Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir.

NAP 2014 'kurang beri impak'

Posted: 01 Feb 2014 10:58 AM PST

DASAR Automotif Negara (NAP) 2014 yang diumumkan pada 22 Januari lepas secara umumnya tidak banyak memberi berita gembira kepada rakyat Malaysia selain usaha untuk menjadikan negara ini sebagai hab kenderaan cekap tenaga (EEV).

Kerajaan secara khususnya tidak mengumumkan penurunan harga kereta dalam NAP 2014 untuk tahun ini, tetapi secara konsistennya menumpukan fokus dalam mengkaji kedudukan fiskal negara.

Seperti yang dinyatakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, pada masa ini tiada kemungkinan kerajaan melalui Kementerian Kewangan menurunkan duti eksais.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan untuk kerajaan mengurangkan duti eksais dan pelbagai jenis cukai yang dikenakan kepada kereta jika terdapat sumber pendapatan lain yang boleh menggantikan hasil untuk cukai tersebut.

Untuk mendapat penjelasan lanjut wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID telah mewawancara Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), DATUK AISHAH AHMAD baru-baru ini. Ujar beliau terpulang kepada syarikat automotif untuk menentukan harga kereta masing-masing.

Di Malaysia sebahagian besar daripada harga kereta adalah disebabkan oleh duti yang tinggi bagi setiap kereta dan nilainya adalah sangat tinggi. Adalah diharapkan bahawa persaingan dan liberalisasi dalam kalangan syarikat-syarikat kenderaan akan memacu industri untuk lebih berdaya saing," katanya .

MINGGUAN: Berdasarkan pengumuman Dasar Automotif Nasional (NAP), harga kenderaan akan diturunkan secara berperingkat-peringkat antara 20 hingga 30 peratus dalam tempoh lima tahun. Apakah jangkaan Datuk kesan segera daripada pengumuman itu? Adakah pembeli akan menangguhkan pembelian sehingga mereka mendapat harga yang dihajati?

AISHAH: Secara umumnya kami tidak berpandangan bahawa akan ada impak penurunan harga kereta secara mendadak kerana kerajaan mengumumkan di bawah Dasar Automotif Nasional penurunan adalah secara berkadaran selama tempoh lima tahun. Walau bagaimanapun, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, (MITI) Datuk Seri Mustapa Mohamed telah menyatakan dengan jelas bahawa duti eksais daripada 65 sehingga 105 peratus tidak akan dikurangkan memandangkan pihak kerajaan tidak mampu untuk kehilangan RM9 billion bagi hasil kerajaan di bawah sektor ini.

Kerajaan juga tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan syarikat automotif mengurangkan harga kenderaan. Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri juga yakin dengan liberalisasi pasaran serta persaingan akhirnya akan memberi tekanan kepada syarikat automotif untuk menurunkan harga kenderaan. Penurunan harga kenderaan sebanyak 20 hingga 30 peratus sepanjang tempoh lima tahun bukanlah sesuatu yang mudah bagi syarikat automotif dan ia tidak boleh dilaksanakan serta-merta.

Terpulang kepada syarikat automotif untuk menentukan harga kereta masing-masing. Namun begitu spesifikasi, kecekapan pengeluaran, skala ekonomi serta menggunakan barangan dan peralatan keluaran tempatan, akhirnya akan dapat mengurangkan harga bagi kereta yang dipasang di dalam negara. Tetapi di Malaysia sebahagian besar daripada harga kereta adalah disebabkan oleh duti yang tinggi bagi setiap kereta dan nilainya adalah sangat tinggi.

Selain daripada itu, harga kenderaan juga ditentukan oleh beberapa faktor lain seperti pasaran bagi setiap model yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat automotif yang lain. Oleh kerana persaingan yang sengit di pasaran automotif maka syarikat kenderaan akan sentiasa bersaing dari segi strategi pemasaran serta kempen promosi. Ia terpulang kepada syarikat automotif berkenaan untuk menentukan jenis kenderaan keluaran mereka, serta bagaimana untuk memasarkan produk mereka (sama ada dengan menurun, mengekal atau menaikkan harga kereta keluaran mereka).

Perlu diingatkan bahawa syarikat kenderaan sentiasa membuat kempen mempromosi bagi mengekalkan pasaran mereka selain meningkatkan hasil jualan. Semasa kempen dan aktiviti promosi berkenaan, syarikat automotif akan menyedia dan menawarkan pelbagai tawaran dan insentif untuk menarik pelanggan. Penawaran diskaun juga adalah sebahagian daripada strategi tawaran mereka.

Melihat kepada perkara ini apakah langkah-langkah yang boleh dimainkan oleh peserta industri automotif dalam menjadikan operasi mereka lebih berdaya saing?

AISHAH: Pihak kerajaan telah menyatakan bahawa ia tidak akan melaraskan duti eksais bagi kenderaan bermotor pada masa ini. Adalah diharapkan bahawa persaingan dan liberalisasi dalam kalangan syarikat-syarikat kenderaan akan memacu industri untuk lebih berdaya saing.

Antara langkah-langkah yang boleh diambil oleh syarikat kenderaan untuk menurunkan harga kenderaan ialah:

1. Membuat perubahan kepada spesifikasi kenderaan

2. Meningkatkan kecekapan dalam operasi dan meminimumkan kos

3. Menggunakan komponen keluaran tempatan

4. Kecekapan skala ekonomi

Namun begitu perlu diambil perhatian bahawa harga kenderaan CKD dan CBU meningkat saban tahun, kos pengendalian juga meningkat selain gaji serta kos menjalankan perniagaan juga turut meningkat setiap tahun. Ketidaktentuan pertukaran wang asing juga akan memberi impak tidak langsung kepada harga kenderaan. Secara umumnya, kenderaan keluaran tempatan mempunyai lebih banyak komponen buatan tempatan berbanding model CKD yang membolehkan mereka meningkatkan penggunaan komponen tempatan selain membantu menurunkan harga lebih rendah.

Kebanyakan syarikat kenderaan di Malaysia mahu beralih daripada operasi CBU ke CKD memandangkan terdapat pelbagai insentif yang ditawarkan oleh pihak kerajaan kepada industri yang banyak menggunakan komponen tempatan. Namun begitu ia adalah keputusan perniagaan yang perlu dibuat oleh setiap syarikat kenderaan memandangkan terdapat banyak faktor yang perlu diberi perhatian seperti kuantiti, kualiti, harga kompetitif komponen tempatan, sumber CKD dari negara pengeluar, selain kos pelaburan bagi pemasangan tempatan juga perlulah wajar dan menguntungkan.

Kebiasaannya pelan tempatan oleh pengedar individu akan bergantung kepada strategi perniagaan. Sekiranya terdapat jumlah jualan yang wajar maka peralihan kepada CKD adalah tindakan yang wajar dilakukan. Jika jumlah penjualan tinggi maka pemasangan kereta-kereta import di pasaran tempatan akan meningkat kerana skala ekonomi yang menguntungkan.

Bagaimana Datuk melihat isu duti eksais. Bukankah penurunan duti eksais mampu menurunkan harga kereta selain mengurangkan beban rakyat?

AISHAH: Dasar semasa kerajaan melaksanakan kadar cukai yang terlalu tinggi ke atas kereta yang sebenarnya memberi implikasi kepada harga sesebuah kenderaan. Perkara ini berlaku akibat daripada pelaksanaan duti eksais yang sangat tinggi pada kadar 65 sehingga 105 peratus. Penurunan duti eksais sememangnya sangat membantu dalam menurunkan harga kenderaan. Namun kerajaan telah memberi gambaran bahawa tidak akan berlaku sebarang perubahan dalam kadar duti eksais melainkan keadaan ekonomi dan fiskal negara bertambah baik. Kita perlu faham kenderaan CBU tidak menikmati insentif bagi komponen tempatan dan hanya model yang mempunyai kadar jualan yang tinggi menikmati kemudahan tersebut. Kenderaan yang mempunyai kadar jualan yang rendah tidak menikmati kemudahan komponen tempatan berdasarkan skala ekonomi.

Satu perkara yang mungkin memerlukan penjelasan lanjut ialah pengumuman NAP dikatakan hanya tertumpu kepada kereta harga rendah atau kecil yang melibatkan golongan berpendapatan rendah tetapi tidak memberi kesan sangat kepada golongan berpendapatan sederhana. Apa komen Datuk?

AISHAH: NAP 2014 memberi fokus kepada isu-isu yang lebih besar melibatkan industri automotif negara dan juga isu melibatkan pengguna secara keseluruhan. Adalah tidak benar NAP 2014 hanya memfokus terhadap menurunkan harga kereta-kereta kecil. Contoh yang diberikan semasa kenyataan media MITI adalah berlandaskan promosi jualan tahun lepas yang disediakan oleh syarikat kenderaan terutamanya yang melibatkan kereta-kereta baru kerana persaingan adalah begitu sengit.

Perkara ini kita perlu faham memandangkan dua per tiga pasaran kenderaan dikuasai segmen enjin 1500cc dan ke bawah. Harga kereta-kereta mewah dan sederhana juga akan melalui persaingan harga yang begitu sengit pada masa depan berikutan penawaran harga yang lebih kompetitif yang ditawarkan kepada pengguna.

Bagaimana pula kesan NAP kepada industri kereta terpakai. Apakah industri ini akan menerima kesan yang besar?

AISHAH: Majoriti pengguna akan menjual kenderaan lama untuk membeli kereta baru. Berikutan persaingan ini, syarikat kenderaan akan memastikan kenderaan mereka dijual pada harga yang kompetitif supaya mereka tidak kehilangan pasaran. Selepas pelaksanaan NAP 2012 sebarang pengenalan kenderaan baru pada harga rendah akan memberi kesan terhadap kenderaan terpakai. Strategi penetapan harga akan menjadi keutamaan bagi syarikat kenderaan memandangkan ia akan turut memberi kesan dalam penjualan semula jenama kenderaan mereka sendiri. Bagaimanapun, ketika musim perayaan, pengeluar kenderaan akan menawarkan diskaun dalam tempoh singkat untuk menarik pelanggan dan syarikat kereta terpakai sudah terbiasa dengan keadaan sebegini. Namun sebaik-baik saja pengguna sudah sinonim dengan senario baru, permintaan untuk kereta sama ada baru atau terpakai akan kembali seperti biasa.

Bagaimana Datuk melihat NAP bakal menjadi platform untuk membangunkan Malaysia sebagai pusat atau hab automotif serantau bagi kenderaan cekap tenaga (EEV), Ada pihak yang sinikal tetapi bagi pihak MAA pula bagaimana?

AISHAH: Kami mengalu-alukan NAP 2014 khususnya pelan tindakan dalam menjadikan negara ini sebagai hub kenderaan cekap tenaga. Buat pertama kalinya dalam sejarah, kerajaan Malaysia telah meliberalisasikan industri automotif dan mengalu-alukan pelabur-pelabur OEM untuk menjadikan Malaysia sebagai hub serantau kenderaan EEV. Polisi ini akan dipanjangkan sehingga tahun 2020 bagi memudahkan usaha perancangan dan pelaksanaan. Namun begitu pihak industri juga mahu penjelasan yang lebih terperinci mengenai insentif EEV. NAP 2014 adalah satu dokumen polisi penting yang menjelaskan pelan kerajaan, dasar serta arah tuju dan masa depan industri automotif tempatan.

Pelbagai strategi dan pendekatan yang digariskan di bawah NAP 2014 adalah bertujuan memastikan pembangunan secara tersusun serta keupayaan persaingan industri automotif tempatan untuk jangka masa panjang. Kami juga mengalu-alukan objektif NAP 2014 yang antara lain akan membantu kelangsungan industri automotif tempatan selain meningkatkan liberalisasi dalam industri. Objektif dan pendekatan adalah baik serta positif selain akan memudahkan kemasukan pelabur ke negara ini.

Pada pandangan Datuk, siapa yang paling untung daripada NAP ini - pembeli, pengedar kenderaan atau pengeluar?

AISHAH: Polisi ini telah disediakan selepas melalui pelbagai perbincangan dan konsultasi dengan semua pihak yang terlibat dalam industri. Selain itu kerajaan juga telah mengambil kira semua kepentingan melibatkan pemain industri. Kami merasakan pemain industri serta pengguna akan mendapat faedah daripada semakan semula NAP.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved