Sabtu, 1 Februari 2014

Utusan Online - Rekreasi


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rekreasi


Rakit terbalik di Jeram Kotak

Posted: 31 Jan 2014 11:55 AM PST

Oleh ROHANA MAN

SETIAP hujung minggu, pasti ada sahaja aktiviti luar dianjurkan pelbagai pihak. Demi mengisi masa terluang terutama bagi yang bercuti pada setiap hari Sabtu dan Ahad, tentunya aktiviti yang digemari menjadi pilihan untuk dilayan sepanjang hujung minggu.

Begitulah dengan sekumpulan peminat aktiviti luar yang memilih lokasi Sungai Slim di Perak untuk menghabiskan cuti hujung minggu masing-masing.

Sebanyak 21 peserta yang terdiri daripada kenalan sepakat memompa adrenalin menerusi aktiviti berakit arus deras di sungai tersebut pada 14 Disember yang lalu.

Penulis turut berpeluang menyertai aktiviti yang mengujakan ini. Menerusi Raftasia Sport yang diurus oleh Kamal Abdullah atau lebih dikenali sebagai Bai, kami meletak kereta di Perkampungan Orang Asli Pos Bersih yang terletak kira-kira 20 kilometer dari pekan Tanjung Malim.

Dari situ, kami menaiki kenderaan pacuan empat roda menuju ke tempat permulaan berakit. Selepas kesemua peserta berkumpul di tepi sungai yang jernih dan berbatu besar, kami diberikan taklimat dan demonstrasi berakit yang disampaikan oleh Bai.

Pelbagai teknik mendayung, memberhentikan rakit, menstabilkan rakit, memahami arahan menggunakan perkataan khusus seperti forward, backward, paddle up dan lain-lain disampaikan kepada kami.

Selesai taklimat yang memakan masa sekitar 15 minit, kami mula menyentuh air sungai yang sejuk dan deras. Setiap rakit dikendalikan oleh dua juru pandu sungai yang berpengalaman.

Berbanding aktiviti sebelum ini di Sungai Kampar yang hanya memerlukan seorang juru pandu sungai mengendalikan rakit, kali ini di Sungai Slim, sebanyak dua khidmat juru pandu sungai diperlukan.

Ini kerana Sungai Kampar diletakkan dalam gred dua hingga tiga, manakala Sungai Slim berada dalam gred tiga hingga empat.

Gred tersebut diiktiraf di peringkat dunia dalam sukan berakit arus deras bagi menentukan tahap kesukaran yang mana semakin tinggi gred maka semakin mencabar laluan sungai yang ditempuh.

Dalam pada itu, sepanjang laluan sejauh tujuh kilometer yang berakhir di Pos Bersih, kami menempuh beberapa jeram.

Namun jeram paling mencabar yang ditempuh adalah Jeram Kotak yang mana tersilap percaturan maka rakit akan terbalik.

Inilah yang berlaku pada sebuah rakit yang terbalik di jeram tersebut sehingga menyebabkan beberapa peserta terhumban keluar dari rakit.

Mereka yang menikmati pengalaman itu adalah Zaliana Che Zainuddin, Nurzamzaira Zaib, Norsofiah Yusof, Zulkifli Mohamad, Zukra Hakkie Effendi dan peserta paling muda, Ahmad Afnan Bazli, 15 tahun.

Ketika penulis menghampiri rakit yang terbalik itu, kelihatan wajah Nurzamzaira pucat lesi sambil tersandar di tebing sungai. Ternyata beliau seperti hilang semangat gara-gara tercampak ke dalam aliran sungai yang deras.

Menurut Bai, Jeram Kotak menyimpan banyak kisah mengenai rakit yang terbalik. Namun, katanya laluan tersebut selamat selagi juru pandu sungai mampu mengendalikan rakit agar tidak terbalik.

Dalam pada itu, penulis sendiri tiba-tiba tercampak keluar dari rakit yang dinaiki ketika menempuh arus deras di celah-celah batu besar.

Apabila tercampak keluar dari rakit, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah tidak panik dan lihat ke arah rakit. Kalau boleh, cuba berenang ke arah rakit dan minta bantuan kawan-kawan untuk masuk semula ke dalam rakit.

Jika berada agak jauh dan hanyut dibawa arus deras, lihat ke arah juru pandu sungai yang akan membaling tali keselamatan untuk dipegang.

Pegang tali dan berenang ke arah juru pandu sungai, tetapi jika tidak tahu berenang, cukup sekadar memegang kuat tali tersebut yang mana juru pandu sungai akan menarik kamu ke tepi.

Apa sekali pun yang berlaku, cuba jangan panik. Tarik nafas dalam-dalam dan tenangkan diri sebelum bantuan tiba," ujar Bai yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam aktiviti tersebut.

Kami menamatkan aktiviti yang mencabar ini pada petang hari yang sama dan sebelum pulang ke destinasi masing-masing, kami dijamu dengan hidangan makan tengah hari yang enak.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved