Khamis, 9 Januari 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Banjir di Sungai Petani diatasi

Posted: 08 Jan 2014 11:02 AM PST

Oleh OPAT RATTANACHOT
uspetani@utusan.com.my

ISMAIL Said (enam dari kiri) dan Mhd. Saiful Anuar Zainal (lima dari kanan) serta para jemputan bergambar dalam Majlis Pelancaran Kenderaan Berat Pembersihan Awam dan Pelancaran Kempen Kitar Semula E-Idaman di Sungai Petani, semalam.

SUNGAI PETANI 8 Jan. - Masalah longkang tersumbat dan banjir kilat yang membelenggu penduduk Sungai Petani dijangka dapat diatasi apabila syarikat pembersihan awam dan sisa pepejal, Environment Idaman Sdn. Bhd. (E-Idaman) hari ini memperkenalkan kemudahan mesin penyedut dan penyembur Ultra Whack & Jetter.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mhd. Saiful Anuar Zainal berkata, mesin bernilai RM1.3 juta itu mampu mengatasi masalah longkang tersumbat sepanjang 72,000 meter di 107,000 premis yang diselenggara pihaknya dalam kawasan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK).

"Mesin Jetter dapat menyembur air berkapasiti 8,000 liter pada kadar 400 liter seminit manakala Ultra Whack pula mampu menyedut lima tan lumpur pada satu-satu masa.

"Kita menganggarkan kemudahan ini digunakan untuk membersih longkang di sepanjang tiga hingga empat kilometer sehari berbanding kaedah manual sebelum ini iaitu hanya 600 meter sehari," katanya dalam Majlis Pelancaran Kenderaan Berat Pembersihan Awam dan Pelancaran Kempen Kitar Semula E-Idaman di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan Yang Dipertua MPSPK, Datuk Ismail Said.

Menurut Mhd. Saiful, kemudahan itu akan digerakkan ke seluruh kawasan mengikut jadual yang ditetapkan.

Selain itu, pihaknya juga akan mendapatkan kerjasama daripada MPSPK untuk mengenal pasti kawasan bermasalah.

Sementara itu, Ismail berkata, antara lokasi yang dikenal pasti mempunyai masalah longkang tersumbat sekarang adalah kawasan binaan kekal dan medan selera yang mempunyai sisa terkumpul lama.

"Kita berharap dengan adanya Ultra Whack & Jetter, masalah perparitan di Sungai Petani akan berjaya diatasi, sekali gus mampu menghalang banjir kilat yang sering dihadapi penduduk.

"Kita juga akan menumpukan operasi di kawasan medan selera kerana dikhuatiri dipenuhi lemak dan sisa makanan," katanya.

Dalam perkembangan lain, MPSPK akan menaik taraf laluan utama bandar Sungai Petani bermula dari Plaza Tol Sungai Petani Utara dan Selatan untuk menarik lebih ramai pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

Dalam majlis tersebut, MPSPK turut meraikan 220 bekas kakitangannya yang kini berkhidmat dengan E-Idaman.

"Kita menghargai mereka dengan memberi sedikit penghargaan memandangkan ada yang telah berkhidmat lebih 20 tahun bersama MPSPK sebelum berpindah ke syarikat konsesi ini," katanya.

Harga rumah dipantau, Ahli MBI dikurang

Posted: 08 Jan 2014 11:02 AM PST

IPOH 8 Jan. - Kerajaan negeri sedang memantau perkembangan harga rumah, selain mahu proses pelaksanaan pembinaan kediaman dipercepatkan bagi menyiapkan kira-kira 15,000 unit rumah mampu milik di seluruh Perak dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir (gambar) berkata, satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan bagi memastikan kemudahan perumahan berpatutan dapat disediakan tanpa dipengaruhi oleh permainan spekulasi yang boleh menjejaskan pertumbuhan di negeri ini.

Beliau berkata, jawatakuasa berkenaan dianggotai Pejabat Tanah dan Galian, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perak (SEDC), Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) serta wakil Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan sekretariatnya dikendalikan oleh Bahagian Perumahan negeri Perak.

"Kita ingin harga rumah benar-benar menggambarkan permintaan dan berpatutan berdasarkan kemampuan rakyat. Sehubungan itu, kita mengharapkan kerjasama semua pihak termasuk swasta. Kita tidak mahu aspek teknikal dan birokrasi menjadi penghalang bagi mencapai sasaran ini.

"Permintaan pembinaan rumah di negeri Perak begitu rancak sekali, malah dalam laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik pada 2012, salah satu pertumbuhan negeri ini disumbangkan oleh sektor pembinaan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Dalam pada itu, Zambry turut mengajak semua pemaju agar sama-sama memahami hasrat kerajaan serta tidak mengejar keuntungan sehingga menyebabkan agenda penyediaan perumahan kepada rakyat terbengkalai.

Menurut Zambry, kerajaan tidak sama sekali berhasrat menyekat pemaju, namun persefahaman diperlukan bagi memudahkan lebih banyak penyediaan kediaman yang selesa.

"Kita masih belum menetapkan harga siling bagi rumah mampu milik. Namun, pada pandangan saya, mungkin sepatutnya sekitar RM200,000 ke RM250,000 supaya lebih banyak orang ramai terutamanya anak muda dapat memiliki rumah," katanya.

Selain itu katanya, bilangan pelantikan Ahli Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan dikurangkan pada tahun ini, sekali gus tidak timbul isu pengurangan wakil dari MCA mahupun Gerakan dalam pengurusan pihak berkuasa tempatan tersebut.

Menurutnya, perubahan kuota berkenaan perlu dilihat secara lebih positif sekali gus menjangkakan lebih banyak wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang akan menyertainya.

"Kita perlu berfikir di luar kotak. Malah, wakil dari UMNO juga sedikit. Kita tidak mahu hanya memenuhi kuota sahaja sedangkan rakyat menilai kita," katanya.

7 kawasan dikenal pasti pusat pembiakan aedes

Posted: 08 Jan 2014 11:02 AM PST

KANGAR 8 Jan. - Tujuh kawasan di Perlis telah dikenal pasti mempunyai indeks pembiakan nyamuk aedes yang tinggi serta berpotensi untuk berlakunya demam denggi.

Jurucakap Jabatan Kesihatan negeri berkata, kawasan itu melibatkan Taman Bukit Kubu, Taman Sri Bayu dan Taman Sentosa di Mukim Kuala Perlis.

"Kampung Guar Syed Alwi di Mukim Utan Aji, Kampung Guring di Mukim Arau, Kampung Tok Kayaman di Mukim Beseri dan Kampung Seri Embun di Mukim Sena," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, ini berdasarkan daripada laporan situasi demam denggi di Perlis bagi minggu Epid 01/2014 dari 29 Disember 2013 hingga 4 Januari lalu.

Sehubungan itu, katanya, penduduk di kawasan berkenaan perlu mengambil langkah berjaga-jaga.

Beliau berkata, hanya empat kes demam denggi yang didaftarkan pada minggu Epid pertama tahun ini.

Tambahnya, terdapat peningkatan satu kes atau 33.3 peratus berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun 2013 iaitu hanya tiga kes sahaja.

Bagaimanapun, katanya, tiada kematian akibat demam denggi berdarah yang dilaporkan.

Selain itu, katanya, secara kumulatif hingga Epid 01/2014 ini, tiada episod wabak dilaporkan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved